About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, January 26, 2023

PTL BERSARA

 

PTL membalas tabik hormat semasa perbarisan penghargaan untuk beliau

LUMUT 26 Jan, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany mula mengambil alih tampuk pemerintahan TLDM pada 30 November 2018 setelah 42 tahun berkhidmat.  Beliau akan menjalani  Latihan Peralihan sebelum bersara pada 13 Ogos 2023. 


Sehubungan dengan itu, hari ini beliau telah diraikan oleh warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut dalam satu Istiadat Perbarisan Penghargaan, Majlis Ramah Mesra bersama warga TLDM, Street Lining dan Fleet Review di Perairan Pulau pangkor.


Majlis Penghargaan Panglima Tentera Laut ini turut dihadiri oleh ahli Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang terdiri daripada Panglima-panglima Markas Formasi dan Asisten-asisten Ketua Staf di peringkat tertinggi TLDM dan warga Pangkalan TLDM, Lumut.


Kesiagaan Armada Jadi Fokus Utama


Keusangan aset TLDM adalah antara isu yang dialami oleh perkhidmatan. Mengimbau sepanjang beliau memegang jawatan Panglima Tentera Laut, tahap kesiapsiagaan armada TLDM adalah menjadi fokus utama beliau khususnya dalam menangani aset usang TLDM walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan situasi global yang mencabar.


Dengan tagline ‘We Exist Because of the Fleet” beliau telah melaksanakan dua inisiatif iaitu Obsolescence Programme (OP) dan Program Repowering ke atas Skuadron Fast

Attack Craft (FAC) M yang telah berusia. OP bertujuan menggantikan struktur (badan kapal) serta keseluruhan sistemnya, kecuali beberapa peralatan legasi seperti meriam. 


Program Repowering dijalankan adalah untuk menggantikan sistem kuasa gerak (enjin, kotak gear dan propeller) serta sistem jana kuasa (generator) bagi kapal dari skuadron FAC (G). 


Kedua-dua program ini bukan sahaja telah meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi  Armada, malah menjadi inisiatif berkesan dalam menyokong langkah penjimatan sumber kewangan negara.


Meneruskan Usaha Memodenkan Armada


Tan Sri Mohd Reza meneruskan perjuangan kepimpinan sebelum ini untuk memodenkan armada TLDM. Perolehan Littoral Mission Ship (LMS) diteruskan yang menyaksikan pentauliahan empat kapal LMS iaitu KD KERIS, KD SUNDANG, KD BADIK dan KD RENCONG. 


Selain itu, perolehan Fast Interceptor Craft (FIC) meningkatkan lagi kesiagaan armada TLDM dalam penugasan rondaan terutamanya dalam Operasi Benteng ketika negara dilanda pandemik COVID-19.


Kesiagaan TLDM dipertingkatkan lagi khususnya di perairan Malaysia Timur dengan

penubuhan Skuadron 601 iaitu Skuadron Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) pertama dalam Angkatan Tentera Malaysia. Seterusnya penubuhan Stesen Udara Kota Kinabalu dan Skuadron 503 adalah hasil perolehan Helikopter Operasi Maritim TLDM yang baharu.


Operasi TLDM  Dalam Dan Luar Negara


TLDM cekal dan terus mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi dengan bimbingan Laksamana Tan Sri Mohd Reza. Armada TLDM tetap memberikan yang terbaik dalam setiap latihan dan operasi yang disertai di dalam mahupun luar negara, yang sekaligus mengukuhkan lagi hubungan diplomasi pertahanan dengan angkatan laut negara asing.


Penglibatan TLDM dalam Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 dan Eksesais Kakadu 2022 adalah antara kejayaan yang dicapai di persada antarabangsa, walaupun dengan penglibatan aset yang berusia lebih 25 tahun iaitu KD LEKIR (38 tahun) dan KD LEKIU (28 tahun).


Pembangunan Modal Insan


Dari segi sumber manusia, Laksamana Tan Sri Mohd Reza telah memberi pengiktirafan kepada pegawai dan anggota wanita untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar. Kepercayaan dan pengiktirafan beliau ini dibuktikan dengan kenaikan pangkat yang diberikan kepada Laksamana Muda Rohana binti Jupri dari Cawangan Bekalan dan Urus Setia. Laksamana Muda Rohana merupakan pegawai wanita pertama menjadi ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM dan kini memegang jawatan Asisten Ketua Staf Materiel di Markas Tentera Laut. Selain itu, lebih ramai pegawai wanita kini diperjawatkan di kapal-kapal TLDM dalam pelbagai perjawatan.


Disamping itu,kebajikan warga the Navy People terus diberi perhatian pucuk pimpinan TLDM dengan pelbagai inisiatif untuk memberi keselesaan tempat tinggal dan bantuan apabila dilanda sesuatu musibah serta pengiktirafan terhadap sumbangan warga kepada perkhidmatan.


Selamat Bersara Tan Seri!











No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini