About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, January 21, 2023

351 PERAJURIT MUDA UDARA SIRI 65/22 TAMAT LATIHAN ASAS KETENTERAAN


IPOH, 21 Januari 2023- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan 

Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 65/22 bertempat di Padang Kawad Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh. 


Upacara perbarisan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM yang turut diiringi oleh isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan. 


Turut serta menyaksikan perbarisan ialah Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri, Datin Dr Halina binti Haron; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM dan isteri, Datin Lynette binti Tan Sri Mohame, para Pegawai-pegawai Kanan TUDM, warga ATU serta ibu bapa dan ahli keluarga.


Keseluruhan anggota PjM U Siri 65/22 terdiri daripada 292 PjM U lelaki dan 59 PjM U wanita. Perbarisan hari ini terdiri daripada 351 orang PjM U terbahagi kepada tiga (3) iaitu Flait Alpha, Bravo dan Charlie diketuai oleh PjM U Muhammad Iqbal bin Sardon serta Ajutan Perbarisan, PjM U Hanif Khairul Fahmi bin Mohamad. 


Perbarisan telah diiringi oleh Pancaragam Gabungan ATU dan Kolej Tentera Udara (KTU) di bawah pimpinan Lt Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM. 


Sejurus ketibaan, Panglima Tentera Udara yang menerima Tabik Hormat kemudiannya dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan oleh Panglima Tentera Udara. Perbarisan diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat. Panglima Tentera Udara yang diiringi oleh Komandan Akademi Tentera Udara, Kolonel Junairi bin Baharom TUDM telah menyempurnakan penyampaian anugerah kepada PjM U bagi kategori Anugerah Terbaik Keseluruhan PjM U Siri 65/22, Anugerah Akademik Terbaik dan Anugerah Flait Terbaik Keseluruhan.


Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua jurulatih dan staf pusat latihan termasuklah ibu bapa yang sentiasa mendoakan dan merestui perjuangan para PjM U sehingga berjaya menamatkan latihan. Beliau turut mengingatkan kepada PjM U agar sentiasa menjaga maruah dan disiplin diri, imej dan nama baik perkhidmatan. 


Beliau turut menegaskan agar PjM U menjauhkan diri daripada terlibat dengan penyalahgunaan najis dadah, pencemaran nilai integriti, melibatkan diri dengan kumpulan ekstremis serta terlibat dalam pelanggaran tatatertib. Panglima Tentera Udara turut menyeru semua PjM U agar meningkatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran agar ianya selari dengan perkembangan teknologi semasa. 


Hal ini juga bertepatan dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-20 dalam Tonggak ketiga iaitu Pemerkasaan dan Pengupayaan Warga Udara dalam melahirkan modal insan yang berwibawa dan profesional. 


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada barisan Jurulatih 

serta tenaga pengajar yang memberikan komitmen penuh dalam melahirkan barisan pelapis baharu anggota Lain-lain Pangkat yang akan meneruskan kecemerlangan organisasi. 


Tidak terkecuali penghargaan kepada ibu bapa serta keluarga yang menjadi tulang belakang dan pemangkin semangat kepada para PjM Udara yang berjaya menamatkan latihan dan turut berkongsi kegembiraan pada hari bersejarah ini. 


Selesai perbarisan, upacara dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik yang dibawa khas untuk tontonan tetamu yang hadir seperti Pertunjukan Payung Terjun daripada Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Kawad Formasi dan persembahan daripada Pancaragam Gabungan ATU dan Pancaragam KTU, persembahan Senaman Perang dan persembahan Gimnastik D'Fearless Hawk yang terdiri daripada PjM U. Selain itu, turut diadakan pameran dan jualan daripada pelbagai agensi. 









Bagi kumpulan PjM U Siri 65/22, mereka telah mengangkat sumpah pada tanggal 4 Julai 2022 seterusnya menjalani latihan asas ketenteraan selama 24 minggu. 


Mereka melalui tiga (3) fasa latihan iaitu Fasa Pertama, Latihan Asas Ketenteraan; Fasa Kedua, Pelajaran serta Akademik dan Fasa Ketiga iaitu Latihan, Ujian Praktikal serta Pembentukan Sahsiah. Berbekalkan semangat dan kecekalan, akhirnya kesemua PjM U yang mengikuti latihan asas ini telah berjaya menamatkan latihan dengan jayanya. 


Selepas menamatkan latihan ini, mereka akan ditempatkan dalam Ketukangan/Tred masing-masing di pasukan-pasukan yang telah ditetapkan. Mereka kemudiannya akan menghadiri kursus asas Ketukangan/Tred agar memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran dan sebagai permulaan karier sebagai seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.


PENERIMA ANUGERAH PERAJURIT MUDA UDARA TERBAIK SIRI 65/22


Anugerah Terbaik Keseluruhan PjM U Siri 65/22 - PjM U Mohammad Iqbal bin Sardon. Beliau dilahirkan pada 6 Mei 2003 di Mentakab, Pahang dan merupakan anak sulung daripada dua orang adik beradik. Memasuki TUDM kerana minat yang mendalam serta bercita-cita semenjak dari bangku sekolah untuk menjadi seorang anggota TUDM yang berdisiplin tinggi. Berdasarkan kebolehan serta kepimpinan cemerlang yang beliau tunjukkan di sepanjang menjalani latihan, beliau telah dinobatkan sebagai Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan Siri 65/2022 dengan menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.


Anugerah Akademik Terbaik - PjM U (W) Wan Nor Zulaika Sofea binti Wan Zulkifli.

Beliau dilahirkan pada 1 Jun 2003, di Kota Bharu Kelantan dan merupakan anak kedua daripada lima orang adik beradik. Beliau memasuki TUDM kerana minat yang mendalam serta semangat untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Tidak mudah mengalah adalah prinsip yang dipegang untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap ujian yang dijalankan dan akhirnya beliau dipilih sebagai Akademik Terbaik Perajurit Muda Udara Siri 65/2022 dengan menerima Piala Pusingan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara.


Anugerah Flait Terbaik Keseluruhan - Flait Bravo ”Pantas Memintas”, itulah cogan kata yang membentuk semangat kerjasama dan setiakawan flait Bravo. Kesungguhan dan semangat tidak mudah berputus asa sepanjang menjalani latihan, membolehkan mereka mencapai kejayaan dalam setiap acara yang dipertandingkan. Antaranya, johan dalam pertandingan merentas halangan, pertandingan jalan laju, dan pertandingan kawad kaki. Berdasarkan pencapaian kecemerlangan tersebut, flait Bravo dianugerahkan sebagai Flait Terbaik Keseluruhan Siri 65/2022 dengan menerima Piala Pusingan Komandan.






No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini