About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, October 29, 2022

BERITA BAIK UNTUK TLDM

Lumut, 26 Okt - Lawatan kerja YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Pertahanan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini membawa khabar gembira kepada warga The Navy People secara amnya dan kepada pemerhati-pemerhati pertahanan Malaysia umumnya.


Dalam lawatan tersebut, Hishamuddin turut meninjau tahap kesiapsiagaan TLDM khususnya Pasukan Khas Laut (PASKAL).  Menurut beliau, hasil perbincangan beliau dengan kepimpinan MINDEF serta TLDM telah bersetuju untuk melaksanakan perolehan aset baharu pelbagai jenis kepada unit PASKAL dalam masa terdekat.


Perolehan aset baharu ini dibuat dengan mengambil kira kehendak serta keperluan end user sendiri iaitu TLDM yang merangkumi aset-aset seperti  Close Circuit Breathing Apparatus, Submachine Gun, Static Parachute, Freefall Parachute, Thermal Binocular dan Pembinaan Sniper Shooting Tower di Lapang Sasar Sniper.


Menurutnya lagi, menerusi kerjasama pertahanan erat antara Malaysia-Amerika Syarikat (AS) khususnya melalui program Building Partnership Capacity serta hasil hubungan akrab beliau dengan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd J. Austin III, PASKAL turut bakal menerima lebih 900 aset pelbagai jenis yang disumbangkan oleh AS. Ia merangkumi Glock 17 Gen 4; M4 Carbine; Bullet Proof Vest; Spotter Scope; dan Radio Hand Held Thales.


Perolehan LCS Dan LMS Batch 2


Selain kesiapsiagaan PASKAL, antara fokus utama Hishamuddin sejak kembali menerajui MINDEF ialah berusaha memenuhi permintaan Panglima Tentera Laut yang mahu beliau menerajui usaha memastikan projek Littoral Combat Ship (LCS) diteruskan serta memberi penekanan terhadap perolehan Littoral Mission Ship (LMS) batch kedua. 


Menurut beliau, fasa mobilisasi projek LCS selama enam (6) bulan yang akan berakhir hujung Disember ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Rundingan dengan OEM dan vendor telah selesai; rundingan dengan pihak bank berjalan lancar serta Kerajaan Perancis juga telah menyerahkan komitmen bertulis kepada beliau sendiri menyatakan mereka menyokong penuh projek LCS diteruskan.


Hishamuddin juga telah mengarahkan supaya pasukan dari MINDEF, TLDM dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melakukan rundingan secara bersemuka dengan pihak berkepentingan di Eropah. 


Katanya lagi, lawatan kerja Ketua Setiausaha MINDEF, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Haji Ayob; Ketua Eksekutif LTAT, Dato’ Nazim Rahman; serta beberapa lagi pegawai tertinggi MINDEF, TLDM dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) ke Euronaval di Perancis berjalan lancar dan membawa hasil memberangsangkan. 


Pihak Naval Group telah menyatakan persetujuan dan menyokong penuh usaha Kerajaan  untuk meneruskan projek LCS serta berjanji memberikan komitmen dalam usaha memastikan LCS siap sepenuhnya dalam tempoh masa yang ditetapkan Kerajaan Malaysia. Lebih penting, Naval Group juga menyatakan persetujuan untuk meneruskan rundingan dengan pihak BNSSB berhubung harga. 


Berhubung LMS batch 2, bukan sahaja perbincangan serta kerja-kerja di peringkat groundwork telah dilaksanakan, malah lebih daripada itu, pihak Kementerian sudah pun membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan perolehan ini. 


Tegasnya lagi, Kepimpinan MINDEF akan terus berkomunikasi dan bekerjasama rapat dengan pihak EPU bagi memastikan permohonan ini diluluskan. Lebih bermakna, kapal-kapal LMS batch 2 akan dilengkapi persenjataan lebih menyeluruh selari dengan kehendak dan keperluan end user iaitu TLDM untuk meningkatkan keupayaan pasukan armada dalam usaha mempertahankan kedaulatan maritim tanah air. 


Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut Dinaiktaraf


Bertujuan meningkatkan tahap keselamatan warga kapal Pangkalan TLDM Lumut serta menyediakan tempat kerja yang lebih kondusif, Hishammuddin  memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf jeti operasi Lumut di pangkalan ini sedang giat dilaksanakan. 


Ia merangkumi pembinaan jeti sepanjang 200m x 20m termasuk kelengkapan seperti mooring dolphin, bollard, fender, pontoon dan jalan penghubung. Kerja-kerja mekanikal dan elektrikal, kerja pengerukan (dredging), pembinaan bangunan sampingan seperti subs station, rumah pam dan tandas, tempat letak kenderaan, serta pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung. Kerja naik taraf dengan kos kira-kira RM64 juta ini dijangka siap tahun 2024. 


Kebajikan


Dalam konteks kebajikan, bagi memelihara moral dan semangat lebih 20,000 warga pertahanan termasuk keluarga di pangkalan ini, Dato Seri Hishammuddin turut mengadakan tinjauan ke sekolah-sekolah dalam pangkalan ini untuk bertemu pelajar, guru dan kakitangan sekolah. 


Beliau juga mengambil peluang memantau sendiri pelaksanaan kerja-kerja senggaraan tiga buah sekolah dalam Pangkalan TLDM Lumut yang beliau telah arahkan sejak awal tahun ini dengan jumlah peruntukan RM1,362,736.30. Bagi kerja-kerja mengecat bangunan, menukar bumbung, memasang jubin, pembaikan tandas, penukaran pagar, menaiktaraf gelanggang sukan, menurap parkir kenderaan, penyelenggaraan bengkel kemahiran hidup, menurap padang kawad dan menaiktaraf kantin.

Diakhir lawatan Dato’ Seri Hishammuddin kemudiannya menemui warga TLDM Lumut dalam satu majlis ramah mesra. serta menyampaikan sumbangan kebajikan daripada Yayasan LTAT kepada beberapa anggota memerlukan.




No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini