About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, October 28, 2022

BATTALION MALAYSIA TERUS DIIKTIRAF


Suatu detik yang sangat bermakna dan membanggakan negara ialah apabila  peranan dan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi Interim Force in Lebanon (UNIFIL) terus diiktiraf dan kini sudah menjangkau 16 tahun penglibatannya yang bermula pada tahun 2007 menerusi penghantaran Kontinjen Malaysia Pertama (MALCON I).


Pada 27 Oktober yang lalu, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Pertahanan telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) ke Lubnan di bawah misi UNIFIL di Pangkalan Udara TUDM Subang.


Dato’ Seri Hishammuddin dalam ucapannya berkata, penglibatan berterusan ini bukan sahaja membuktikan ATM sentiasa bersedia dan bersiap siaga untuk mengatur gerak pasukannya bagi memenuhi keperluan penugasan di luar tanah air, malah mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap keupayaan serta kepakaran ATM dalam melaksanakan misi-misi pengaman.


Penglibatan Anggota Wanita Terbesar Dan Anggota ABDB


MALBATT 850-10 menampilkan kekuatan keseluruhan seramai 854 orang iaitu 84 pegawai dan 770 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) termasuk seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan (MINDEF)yang diketuai oleh Kolonel Mohd Rizman bin Hj Ramli selaku Komander.


Daripada jumlah tersebut, 11 pegawai dan 74 LLP ialah anggota wanita yang mana buat kali kedua penglibatan mereka selepas MALBATT 850-9. Mereka akan melaksanakan misi secara berterusan selama setahun seperti anggota lelaki. Ia sekaligus memenuhi keperluan UNIFIL yang sememangnya memerlukan lebih ramai penglibatan anggota wanita bagi melaksanakan tugasan berkaitan kemasyarakatan melibatkan wanita-wanita tempatan.


“Bagi Menyerlahkan lagi semangat kebersamaan ASEAN dan hubungan erat Malaysia-Brunei Darussalam, MALBATT 850-10 turut disertai 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang mana buat pertama kali ABDB menampilkan dua anggota wanita. Bagi pihak Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Brunei Darussalam khususnya KDYMM Sultan Brunei kerana sentiasa bersama Malaysia dalam menjayakan misi UNIFIL”.  Kata Hishammuddin.


Penempatan


MALBATT 850-10 diatur gerak secara berperingkat bermula 27 Okt 2022 bagi melaksanakan misi secara rasmi selama 12 bulan mulai 13 November 2022 hingga 13 November 2023. MALBATT 850-10 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin seterusnya akan melaksanakan tugas-tugas di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL. Manakala, perintah dan kawalan pentadbiran serta hal-hal disiplin pula diletakkan di bawah Markas Angkatan Bersama (MK AB).


Sebelum itu semua anggota MALBATT 850-10, telah menjalani Force Integration Training (FIT) di Perkampungan MALBATT, Port Dickson, Negeri Sembilan mulai 18 Julai 2022 hingga 9 September 2022  yang di kawal selia oleh MK AB bagi mempersiapkan mental dan fizikal mereka yang terlibat.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ahli keluarga pasukan MALBATT 850-10 yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada suami, isteri dan anak masing-masing. Peluang  yang sangat bermakna kepada ahli keluarga selepas dua tahun majlis ini tidak boleh dihadiri ahli keluarga ekoran pandemik COVID-19.


No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini