About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, March 28, 2019

TUDM menerajui pelbagai misi menggunakan Airbus A400M


Langkawi, 28 Mac 2019 – Pengunaan empat buah pesawat pengangkut udara taktikal Airbus A400M milik Angkatan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) telah membolehkan Malaysia menjadi peneraju rantau dalam pelbagai operasi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) bagi rantau Asia-Pasifik.

TUDM telah menerima pesawat A400M yang keempat mereka pada tahun 2017, menjadikan mereka sebagai pengendali global pertama yang berdiri gagah dengan memiliki skuadron lengkap.

Sehingga kini, pesawat pengangkut tersebut terlibat dalam enam operasi HADR bagi menyampaikan bahan bantuan kemanusian kepada mereka yang amat memerlukan.  A400M juga turut mengambil bahagian dalam sesi latihan pelbagai hala, dan menyertai misi pengisian bahan api di udara untuk mempertingkatkan lagi kemampuan operasi TUDM.

Prestasi yang cemerlang serta tahap pengunaan yang tinggi telah membolehkan Airbus memberi pengiktirafan kepada skuadron ke-22 TUDM di LIMA 2019 di atas kejayaan mereka merakam jam penerbangan yang paling tinggi di kalangan semua pengendali A400M di seluruh dunia.

Sebuah plak untuk memperingati kejayaan cemerlang ini telah disampaikan kepada Yg Bhg General Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang, Ketua Tentera Udara DiRaja Malaysia, oleh Jean-Marc Nasr, Presiden Airbus Asia-Pasifik, di pertunjukan udara tersebut.

Berucap kepada pemberita semasa sesi taklimat media di LIMA 2019, Lt Col Yusrizal Zain, pegawai komandan skuadron ke-22, berkata: “Pemilikan A400M telah membolehkan Malaysia menyokong pelbagai operasi HADR dengan lebih efektif berbanding sebelumnya.  Ini disebabkan kerana kini kami memiliki keupayaan untuk terbang lebih jauh dan lebih pantas dengan membawa berat bebanan yang lebih tinggi berbanding pesawat lain. Beroperasi di landasan yang rosak, lebih pendek mahupun tidak diturap bukan lagi merupakan satu halangan kerana reka bentuk dan kemampuan A400M yang unik mampu menangani semua cabaran ini.”

Sehingga kini, TUDM A400M telah melaksanakan operasi HADR di Marawi, Filipina (Julai 2017), Chittagong, Bangladesh (Ogos 2017, Januari 2018 dan Julai 2018), Vientiane, Laos (July 2018), dan Palu, Indonesia (Oktober 2018).

Misi tersebut turut merangkumi aktiviti penyampaian bahan bantuan kemanusiaan seperti makanan, pakaian, ubat-ubatan dan air sehingga kepada membawa kargo bersaiz besar seperti jentera pengaut tepat ke pusat penerimaan di mana ia diperlukan. A400M terbukti cemerlang di Palu, di mana ia mampu mendarat walaupun dengan bebanan yang penuh di landasan yang mengalami permasalahan teruk untuk beroperasi kerana keretakan yang dialami akibat gempa bumi.

Selain dari misi HADR, A400M milik TUDM turut melaksanakan aktiviti pengisian bahan api di udara dengan pelbagai pesawat seperti F/A-18s, Su-30s dan Hawks.  Mereka juga turut menyertai latihan pelbagai hala seperti Pitch Black di Australia (Julai-Ogos 2018) dan BERSAMA LIMA di Singapura (Oktober 2018).

“Walaupun A400M secara idealnya lebih sesuai digunakan untuk menyokong misi kemanusiaan di rantau Asia-Pasifik, namun ciri pesawat yang serba boleh, bermakna kami juga berupaya melaksanakan misi pengisian bahan api di udara untuk memantap serta mempertingkatkan lagi keupayaan operasi TUDM. Pesawat ini juga merupakan duta terbaik Malaysia semasa pelaksanaan misi pelbagai hala, dan mempamerkan kemampuan kendiri kami berbanding tentera udara lain dari seluruh dunia,” ujar Lt Col Yusrizal.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini