About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, March 2, 2021

KESIAGAAN ARMADA TENTERA LAUT

 Oleh: Paklang Hamzah/Foto: PROTLDM

 


 

Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany memulakan ucapan perutusan tahun baharu 2021 dengan pujian dan syukur kepada Allah SWT, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seterusnya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada seluruh warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perutusan Tahun Baharu merupakan platform bagi YBhg Tan Sri PTL menyampaikan imbasan TLDM bagi tahun 2020, serta aspirasi TLDM bagi tahun 2021. Beliau melafazkan syukur ke hadrat Illahi, dengan berkat keizinanNya dan mengucapkan syabas dan tahniah kerana The Navy People telah berjaya mengharungi tahun 2020 yang getir disebabkan pandemik COVID-19 dengan penuh dedikasi dan tabah.

 

Menurut beliau, TLDM turut terkesan dengan pandemik ini di mana statistik tertinggi telah dicatatkan pada 19 Disember 2020, seramai 102 warga, keluarga dan anggota awam telah disahkan positif. Statistik semasa pula kekal di antara 50 - 60 kes positif. Pandemik telah banyak mengubah kelaziman, gaya hidup dan rutin seharian. Pelbagai program dan aktiviti terpaksa ditangguhkan dan sebahagiannya dibatalkan.

 

Pelbagai mekanisme dan kaedah baharu telah diperkenalkan oleh kerajaan dan TLDM. The Navy People tiada pilihan dan perlu patuh kepada SOP serta mempraktikkan norma baharu bagi mengimbangi kelangsungan hidup seharian dan pelaksanaan tugas sebagai warga TLDM.

 

Kesiagaan Armada

 

Walaupun berdepan dengan pandemik ini, Kesiagaan Armada tetap menjadi teras utama. Secara keseluruhannya, purata kesiagaan aset TLDM bagi tahun 2020 berada pada tahap memuaskan dan tidak banyak perubahan berbanding tahun 2019. Beliau menyeru agar usaha-

usaha diteruskan untuk mempertingkatkan kesiagaan aset-aset TLDM.

 

TLDM juga bertanggungjawab mengetuai komponen maritim dalam Operasi Benteng kendalian National Task Force. Operasi melibatkan 19 pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang dikhuatiri membawa virus COVID-19. Sebagai rekod, sebanyak 171 siri Op BENTENG LAUT telah dilaksanakan dengan jumlah 1,836 hari pengoperasian di laut bagi kesemua aset-aset yang terlibat. Ini membuktikan Armada TLDM mampu untuk beroperasi dalam tempoh yang panjang.

 

Tempoh operasi yang tinggi memerlukan aset berdaya tahan atau sustainable asset. Bagi mempertingkatkan kesiagaan aset, beberapa inisiatif dan program yang telah dilaksanakan pada tahun lalu akan diteruskan secara berperingkat sehingga tahun 2024 yang merangkumi:

 

• Program menangani keusangan atau Obsolescence Program (OP) untuk KD PERDANA, KD GANYANG, Skuadron Korvet Ke-24 dan Skuadron MCMV Ke-26.

 

• Pemasangan 14 buah Indigenous Combat Management System (iCMS) untuk kapal Skuadron FAC dan;

 

• Program Repowering 6 buah kapal serta 5 buah bot tempur.

 

Tahun 2020 juga menyaksikan kejayaan TLDM mencipta sejarah melaksanakan rutin pasang pulih sepenuhnya di Malaysia bagi kedua-dua kapal selam Scorpene.

 

Perolehan Aset Baharu

 

Dari aspek perancangan dan perolehan aset baharu pula, tahun 2020 menyaksikan kejayaan:

 

• Kapal pertama Littoral Mission Ship (LMS) KD KERIS menyertai Armada TLDM pada 17 Januari 2020. Manakala, LMS ke 2, SUNDANG baru sahaja diterima pada 14 Januari 2021. LMS 3 dan LMS 4 pula dijangka terima pada bulan Ogos dan November juga pada tahun ini.

 

• Selain itu, TLDM juga menerima 6 daripada 12 buah pesawat Unmanned Aerial Systems (UAS) ScanEagle. Seterusnya, baki 6 buah UAS lagi dijangka akan diterima pada bulan Jun 2021.

 

• Kontrak perolehan 3 buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) juga telah dimeterai pada 2 Sep 2020 yang lalu. Helikopter pertama dijangka diterima pada 30 Oktober 2022, helikopter kedua pada 31 Mei 2023 dan yang terakhir pada 28 Februari 2024.

 

• Sebagai penutup tirai 2020, TLDM turut berjaya memperoleh tambahan 11 buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB), sebuah Multipurpose Boat, dan 6 buah Fast Combat Boat (FCB) untuk keperluan Op Benteng.

 

Selaras dengan pelan pembangunan yang telah direncanakan dan keperluan operasi masa hadapan, TLDM turut merancang untuk melaksanakan perolehan melalui peruntukan RMK-12 yang bermula 2021 hingga 2025 yang merangkumi:

 

• Littoral Mission Ship (LMS).

• Bridge Simulator dan Action Speed Tactical Trainer (ASTT).

• Helikopter Operasi Maritim (HOM).

• Fast Combat Boat (FCB).

• Multi Roles Support Ship (MRSS).

• Vertical Take-off and Landing (VTOL) Unmanned Aerial System (UAS).

• Special Force Boat (SFB) dan;

• Anti-Submarine Warfare (ASW) Helicopter.

 

Pembangunan Dan Penambahbaikan

 

Dari aspek pembangunan infrastruktur pula, pada tahun 2020 TLDM telah berjaya menyiapkan beberapa projek pembangunan, antaranya:

 

• Projek Pembinaan Pangkalan TLDM Sungai Lunchoo telah siap dan beroperasi sepenuhnya pada 6 Mac 2020.

• Penerimaan Bangunan Blok Utama, Projek pembinaan semula infrastruktur asas Pulau Jarak pada 9 September 2020 dan;

• Projek menaik taraf Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut berkapasiti 3,500 jemaah telah disiapkan sepenuhnya pada 9 Julai 2020.

 

Bagi tahun 2021, beberapa projek pembangunan juga telah dirancang seperti:

 

• Peningkatan infrastruktur MAWILLA 2 termasuk pembinaan Jeti Operasi yang baharu berukuran 300 meter.

• Tiga projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) terbahagi kepada 202 unit pelbagai kelas di PHN, 1,036 Unit di PTKK dan 375 Unit di Sandakan serta;

• Projek pembinaan sebuah bangunan tambahan Wisma Laskar di PTKK.

 

Dari aspek pengurusan kewangan, pada tahun 2020, TLDM telah diperuntukan sebanyak RM2.752 bilion merangkumi RM1.406 bilion bagi Belanja Mengurus (OE) dan Belanja Pembangunan (DE) RM1.346 bilion. Secara keseluruhannya, 97 % daripada jumlah peruntukan

tersebut telah berjaya dibelanjakan.

 

TLDM juga telah diperuntukan tambahan sebanyak RM10 juta di bawah Projek Ransangan Ekonomi (PRE) 2020 dan RM7 juta di bawah projek PRIHATIN. Ianya bertujuan menambahbaik, menyelenggara prasarana dan kemudahan infrastruktur serta pembaikan kenderaan.

 

Manakala bagi tahun 2021, TLDM diperuntukan sebanyak RM2.916 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM164 juta (5.96%) berbanding tahun lalu. Daripada jumlah ini, sebanyak RM1.683 bilion diperuntukan untuk Belanja Mengurus (OE) dan RM1.233 bilion untuk Belanja Pembangunan (DE). Justeru, beliau menggesa semua pengurus PTJ untuk merangka strategi perbelanjaan yang bersesuaian bagi memastikan peruntukan yang diterima dapat dibelanjakan secara optimum dan berhemah.

 

Latihan Dan Pembangunan Modal Insan

 

Sepanjang tahun 2020, pelaksanaan eksesais bilateral, multilateral, antara perkhidmatan dan eksesais tunggal turut terkesan. Daripada 35 siri eksesais yang dirancang hanya 5 siri eksesais sahaja dapat dilaksanakan. Ini secara tidak langsung mengurangkan pendedahan warga kepada eksesais berskala besar sepanjang tahun 2020.

 

Bukan itu sahaja, pelaksanaan kursus dan latihan juga turut terkesan. Daripada 561 siri kursus Rancangan Latihan (RALA) yang dirancang, sejumlah 71 kursus terpaksa dibatalkan. Dalam hal ini, beliau melihat penggunaan teknologi maklumat boleh dioptimumkan. Pendekatan pembelajaran secara atas talian merupakan alternatif yang boleh diperkembangkan. Penggunaan aplikasi Learning   Information Naval Reservist (LiNar) yang dibangunkan dan digunakan Pasukan Simpanan Sukarela TLDM wajar dicontohi dalam meneruskan latihan dan pembelajaran.

 

Sepanjang tahun 2020, seramai 375 pegawai dan 2,896 anggota TLDM telah berjaya dinaikkan pangkat. Lebih membanggakan, sejarah telah tercipta apabila TLDM untuk kali pertama mempunyai Pegawai Wanita berpangkat Laksamana Pertama. Pelantikan  Pemangku Laksamana Pertama Rohana binti Jupri ini membuktikan kaum wanita juga berpeluang untuk dinaikkan pangkat dan menjawat jawatan penting di dalam perkhidmatan.

 

TLDM juga memberi fokus terhadap moral dan kesejahteraan warganya. Pada tahun 2020, Majlis Konvokesyen Program Recognition Of Prior Experiential Learning atau RPEL telah berjaya dianjurkan buat julung kalinya. RPEL merupakan program khusus untuk mengiktiraf pengalaman warga TLDM untuk dianugerahkan Diploma Kemahiran sekaligus meningkatkan kebolehpasaran apabila bersara kelak.

 

Dari aspek disiplin pula, statistik Kesalahan Tatatertib bagi tahun 2020 menunjukkan peningkatan kes kesalahan jenayah dan moral agama berbanding tahun 2019, manakala bagi kes-kes penyalahgunaan dadah, Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) dan keutuhan mencatatkan penurunan. YBhg Tan Sri PTL  menggesa pengurusan markas dan unit untuk meneruskan inisiatif dan tindakan proaktif bagi menangani isu tatatertib dalam TLDM.

 

Pencapaian Dan Hala Tuju

 

Menyorot kembali setiap cabaran dan pencapaian tahun 2020, secara keseluruhannya, PTL simpulkan bahawa pencapaian TLDM berada di tahap yang amat memuaskan. Bagaimanapun warga TLDM tidak harus cepat berpuashati dan beliau percaya pencapaian ini masih boleh dipertingkatkan pada tahun ini dengan terus memberi keutamaan kepada Empat Teras Utama Hala Tuju Kepimpinan TLDM iaitu:

 

Yang Pertama: Memberi keutamaan kepada Kesiagaaan Armada TLDM.

Kedua: Pembangunan Armada TLDM sesuai perancangan Program Transformasi TLDM 15to5.

Ketiga: Meningkatkan integrasi dan sokongan kepada Aspek Kebersamaan.

Dan yang Keempat: Menyediakan Modal Insan Terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

 

Dalam memacu TLDM ke arah kecemerlangan, direktif strategik sedia ada dijadikan sebagai panduan. Justeru, kesinambungan Peta Strategik 1320 (PS 1320) akan diteruskan dengan Peta Strategik 2021-2025 (PS 2125) yang mengambil panduan daripada Kertas Putih Pertahanan (KPP), Sistem Pengurusan Strategik (SPS) ATM 2125, Direktif Strategik Panglima Tentera Laut (DS PTL) dan Amanat Panglima Angkatan Tentera Tahun 2020.

 

PS TLDM 2125 mengandungi 4 Teras Strategik iaitu:

• Keupayaan dan Kesiagaan Angkatan (Force Capability and Readiness).

• Keberkesanan Perhubungan Strategik (Strategic Relationship Effectiveness).

• Kecemerlangan Modal Insan (Human Capital Excellence).

• Kesejahteraan Warga TLDM (Well Being of the Navy People).

 

Justeru, adalah menjadi harapan beliau agar warga TLDM menggunapakai panduan-panduan ini untuk meneruskan usaha ke arah kecemerlangan.

 

Tingkatkan Kompetensi

 

Menilai situasi semasa pandemik COVID-19 yang tidak menentu, setiap lapisan warga the Navy People perlu terus membudayakan norma baharu dalam kehidupan seharian samada di rumah, pejabat mahupun bertugas di tengah laut. Katanya biarlah kita ‘over do’ dalam mengambil tindakan pencegahan asalkan kesihatan kita dan organisasi terjamin.

 

Dalam usaha untuk menjadi sebuah angkatan laut yang kredibel, PTL berhasrat agar warga the Navy People bersedia membuka minda untuk berubah. Diperamati, terdapat dalam kalangan mereka yang membuat kerja secara ikut-ikutan tanpa memahami dan menyemak daripada rujukan. Jawapan yang sering diterima apabila ditanya ialah “memang macam ni Tuan”. PTL menggesa supaya ‘BUDAYA MEMANG’ ini hendaklah dihentikan segera dan mengajak mereka  bersama-sama menjadi ejen perubahan dengan membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa.

 

Sejajar dengan keperluan untuk berubah, warga TLDM harus memperkemaskan rujukan, dasar, prosedur dan peraturan semasa sentiasa dikemaskini. Ianya penting agar panduan ini selari dengan peredaran masa dan mematuhi pengarahan terkini.

 

Dari aspek latihan pula, PTL mahukan ianya dimaksimumkan agar kompetensi warga the Navy People dapat dipertingkatkan. Beliau percaya dengan ungkapan ‘Practice makes perfect’. Rancanglah dengan teliti, di samping mengoptimumkan kemudahan latihan seperti simulator ataupun kaedah-kaedah baharu yang lebih kreatif.

 

Beliau menggesa semua pemerintah untuk turun padang dan sentiasa menilai tahap kompetensi pegawai dan anggota masing-masing. Ungkapan, ‘You Get What You Inspect, Not What You Expect’. Generasi sekarang adalah pemimpin dan pentadbir masa hadapan. Jangan dibiarkan mereka tanpa panduan dan bimbingan sewajarnya.

 

Keperluan meningkatkan kompetensi modal insan, kesiagaan platform dan penambahbaikan proses perlu berjalan seiringan. Warga TLDM perlu dari masa ke masa menilai di mana kedudukan mereka. Oleh itu, beliau mahu perancangan teliti kepada ketiga-tiga elemen ini dilaksanakan mengikut keutamaan dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

 

Setiap perancangan yang dibuat perlu diselarikan dengan peruntukan kewangan yang diterima agar ia dapat dioptimumkan sewajarnya dan memberi pulangan faedah atau ROI yang tinggi kepada TLDM. Laksanakan perancangan yang realistik mengikut kemampuan dan keupayaan.

 

Di dalam keghairahan menggunakan media sosial dan rangkaian internet, PTL tidak mahu insiden kebocoran maklumat di laman sesawang gelap (Dark Web) berulang di masa hadapan. Beliau menyeru semua warga TLDM bersama-sama mematuhi ikrar kesatria, ‘Menyimpan rahsia negara dengan seketat-ketatnya’.

 

YBhg Tan Sri PTL mengakhiri ucapannya dengan mengajak warga TLDM bersama-sama berdoa agar Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada perkhidmatan dan negara serta melindungi dan mempermudahkan setiap urusan mereka. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua the Navy People atas sumbangan dan perkhidmatan cemerlang yang telah dicurahkan sepanjang tahun 2020. Semoga TLDM sentiasa diberkati, dilindungi serta terus berjaya dan cemerlang  dalam menempuh tahun 2020.

Monday, March 1, 2021

PERKUKUH KETUMBUKAN TDM

 Oleh: Paklang Hamzah/Foto:  PROTD

 


Pada 29 Januari yang lalu, bersesuaian dengan amalan norma baharu serta mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan, Perutusan Tahun Baharu 2021 Panglima Tentera Darat (PTD),  YBhg Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain dibuat secara maya kepada seluruh pemerintahan dan formasi.

Perutusan dimulai dengan puji-pujian serta ucapan syukur ke hadrat  Allah SWT dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.  YBhg Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain mengambil alih tampuk pemerintahan Tentera Darat Malaysia (TDM)  ke 28 pada 11 Jun 2020 dengan memulakan langkah menyusun pembangunan tentera darat sebagai kesinambungan kepada pemerintahan yang terdahulu.

 Pelan Strategik TDM

Pelan strategik TD yang berlandaskan kepada tiga prinsip dan lima tonggak (3P + 5T) telah dijadikan sebagai elemen utama di dalam perintah ulung PTD ke-28. Lima tonggak iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan, Keutuhan Organisasi, Pelestarian Kesejahteraan Warga, Pengukuhan Hubungan Pertahanan dan Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam telah dijadikan sebagai panduan kepada seluruh warga TD untuk melaksanakan pelan tindakan yang bersesuaian bagi mencapai misi dan visi TD.

Beliau mengucapkan setinggi-tingi penghargaan kepada seluruh warga TD yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi di dalam melaksanakan setiap pelan tindakan bagi merealisasikan perintah ulung tersebut. Setelah enam bulan perlaksanaannya, pelan-pelan tindakan yang dirangka telah mula menampakkan pencapaian yang positif walaupun mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah cabaran yang muncul daripada pandemik covid-19 yang melanda seluruh negara sejak awal tahun 2020 yang lalu.

Di dalam situasi ini, TD bukan sahaja perlu berfungsi sebagai elemen utama keselamatan bagi membantu kerajaan menangani pandemik ini, malah TD juga berhadapan dengan risiko di mana pegawai dan anggota tentera juga turut terdedah dengan kemungkinan jangkitan covid-19 ketika melaksanakan tugas. Berdasarkan trend semasa jangkitan yang masih tinggi, beliau menyeru kepada seluruh warga TD untuk terus meningkatkan usaha menjaga diri, ahli keluarga serta rakan sekerja yang lain. Tahap kesihatan yang tinggi adalah sangat penting agar semua dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik dan berkesan. Sesungguhnya segala apa yang berlaku adalah kehendak yang maha kuasa, namun pada masa yang sama TD tidak boleh berpeluk tubuh dan akan terus bertekad membantu kerajaan di dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan.

Di dalam membantu kerajaan melandaikan lengkuk jangkitan pandemik covid-19 ini, TD  sentiasa menjunjung tinggi titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang telah pun mengisytiharkan proklamasi darurat bermula 12 januari 2021 yang lalu. Beliau menyeru agar seluruh warga TD menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi di dalam mematuhi setiap arahan serta peraturan yang sedang dikuatkuasakan. Laksanakanlah tugas dengan penuh profesional dan penuh integriti pada sebilang masa.  Beliau percaya, proklamasi darurat ini telah dibuat berdasarkan penilaian ke atas risiko-risiko yang berkemungkinan akan berlaku yang boleh merencatkan usaha kerajaan di dalam menangani pandemik covid-19 ini sama ada dari segi iklim politik semasa mahu pun sosio-ekonomi.

 Cabaran Mendatang TD

Di dalam perutusan 100 hari pemerintahan PTD ke-28 yang lalu, beliau telah pun menjelaskan beberapa cabaran yang dihadapi TD untuk mencapai kesiagaan tertinggi di dalam menjaga kepentingan dan mempertahankan kedaulatan negara. TD menghadapi cabaran dari segi peruntukan terhad bagi penggantian aset dan perolehan aset baharu di dalam melaksanakan misinya untuk menjadi ketumbukan yang kredibel dan kekal relevan.

TD juga menghadapi cabaran di dalam memperkemaskan sistem tadbir urus.  Sistem tadbir urus yang kemas dan tersusun masih perlu dioptimumkan bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran TD dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Semua peringkat pemerintahan perlu terus komited memperbaiki sistem tadbir urus di pemerintahan masing-masing bagi meningkatkan produktiviti dan di dalam menguruskan sumber yang terhad.

Cabaran seterusnya yang perlu dititik beratkan adalah berkaitan dengan jati diri sebagai anggota tentera.  Warga TD pada masa kini berada di dalam persekitaran sosial yang sangat mencabar. Persekitaran negatif yang tidak dibendung melalui tindakan pemerintahan yang komprehensif akan menyebabkan kerugian kepada sumber manusia dan menjejaskan daya juang TD. Sehingga hari ini, cabaran-cabaran ini masih dihadapi dan perlu ditangani dengan berkesan demi kelangsungan misi TD.

Amanat Menteri Kanan  Pertahanan Dan PAT

Beliau turut memanjangkan kepada seluruh warga TD mengenai amanat Menteri Kanan Pertahanan yang telah menekankan lima tema utama untuk dicapai. Pertama, meningkatkan keupayaan dari segi aset dan persenjataan.  Kedua, memperkasakan penglibatan ATM dalam pelbagai operasi serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah. Ketiga, menjamin kesejahteraan dan kebajikan anggota termasuk veteran ATM. Keempat, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan dan Kelima, memperkukuh jaringan strategik dan hubungan diplomasi terutama dalam Negara Asean dan antarabangsa.

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Malaysia juga telah menzahirkan tiga aspirasi untuk direalisasikan oleh seluruh warga ATM bagi tahun 2021.

Aspirasi pertama adalah untuk mengekalkan empat teras di dalam perintah ulung panglima angkatan tentera ke-21. Aspirasi kedua adalah bagi menentukan good governance iaitu tadbir urus yang baik termasuk di dalam aspek pengurusan kewangan dan pemerkasaan modal insan. Aspirasi ketiga adalah berkaitan pembudayaan inovasi bagi tujuan penyelesaian masalah di dalam organisasi.

Melihat kepada kelima-lima tema amanat Menteri Kanan Pertahanan dan juga ketiga-tiga aspirasi PAT untuk tahun 2021, beliau berasa amat bersyukur bahawa TD berada di landasan yang tepat ke arah mencapai matlamat strategik seperti mana tema dan aspirasi yang dinyatakan. Lima tonggak perintah ulung PTD ke-28 berada seiring dengan matlamat strategik yang digariskan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan dan juga aspirasi yang ingin dicapai oleh PAT.

Di dalam tema ke empat iaitu meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan pertahanan, TD akan sentiasa mendukung komitmen kerajaan di dalam membangunkan industri pertahanan negara. TD juga menyumbang secara tidak langsung di dalam membekalkan sumber manusia berkepakaran serta bersedia menyediakan platform yang bersesuaian bagi tujuan penyelidikan pertahanan. Pemerkasaan tadbir urus dan pembudayaan inovasi juga merupakan aspek yang diberi perhatian di dalam tonggak perintah ulung beliau.

 Mengimbau Pencapaian

Mengimbau pencapaian pada tahun 2020, beliau telah menyimpulkan bahawa TD telah berjaya memperolehi beberapa pencapaian yang signifikan.

Pencapaian pertama adalah dari segi kejayaan merealisasikan penstrukturan TD secara holistik bagi meningkatkan keupayaan aset dan sumber manusia di pemerintahan Medan Timur. Selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan TD, beberapa perolehan aset baru juga telah berjaya dilaksanakan termasuklah perolehan kereta perisai 8 x 8 Gempita dan tambahan unit Meriam 105mm.

Pencapaian kedua yang diperolehi adalah keberkesanaan operasi yang dilaksanakan oleh TD di dalam membantu kerajaan menguruskan bencana, sama ada bencana kesihatan mahupun bencana alam. TDM melaksanakan misi penting di dalam mengawal penularan covid-19 melalui Op Benteng dan juga melalui kerjasama dengan pihak berkuasa lain di dalam Op Penawar. TD juga sentiasa komited dan bersiap sedia di dalam memberikan bantuan semasa Op Murni termasuklah dari segi bantuan menyelamat mangsa banjir dan pemasangan jambatan sementara di kawasan bencana yang dilaksanakan pada awal tahun ini. Beliau juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak media yang sentiasa memberikan publisiti yang positif kepada usaha yang dilaksanakan oleh TD.

Pencapaian ketiga adalah dari segi pemeliharaan moral warga TD melalui inisiatif kebajikan yang dilaksanakan. Selain daripada meningkatkan keselesaan di rumah keluarga dan bangunan-bangunan teknikal, TD juga telah melaksanakan lawatan-lawatan kebajikan secara lebih menyeluruh di setiap pemerintahan dan formasi.  Selain lawatan-lawatan kebajikan yang dilaksanakan oleh beliau sendiri, juga turut dilaksanakan oleh Panglima-panglima Pemerintahan dan Formasi di kawasan tanggungjawab masing-masing.

Bagi meningkatkan aspek tadbir urus dan integriti di dalam TD, perkara keempat yang dicapai pada tahun 2020 adalah melalui pelancaran buku pelan anti rasuah TD. Buku pelan anti rasuah ini merupakan panduan kepada setiap lapisan pemerintahan untuk membudayakan amalan baik menjauhi amalan rasuah bagi mencapai keutuhan di dalam organisasi.selain itu, juga berkaitan dengan memperbaiki keutuhan di dalam organisasi, TD telah memperbaiki sistem laluan kerjaya pegawai dan anggota di mana peluang yang lebih baik diberikan bagi tujuan kenaikan pangkat berdasarkan pengiktirafan kepada kepakaran yang dimiliki.

Namun begitu, disebabkan beberapa cabaran yang dihadapi pada tahun 2020, beberapa perkara yang dirancang tidak dapat dicapai sepenuhnya.dari segi latihan, pandemik covid-19 yang berlaku telah menyebabkan banyak aktiviti latihan tergendala termasuklah eksesais bilateral dan multilateral bersama negara asing. Kekangan pergerakan dan penutupan pintu sempadan antarabangsa susulan pandemik covid-19 juga telah menghalang aktiviti pengukuhan hubungan antarabangsa dilaksanakan secara fizikal. Perbincangan serta persefahaman dua hala hanya dilakukan secara maya. Selain daripada itu, PKP yang dilaksanakan juga telah menyebabkan beberapa projek senggaraan tidak dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan perlu dibuat penjadualan semula.

Bagi menghadapi tahun 2021 yang mencabar ini, TD terus positif bahawa setiap cabaran itu pasti ada tindakan penyelesaiannya. Walaupun negara kita masih lagi dibelenggu pandemik covid-19 di mana hampir seluruh negara sedang berada di dalam PKP dan juga di dalam situasi darurat, TD terus komited untuk menjadi ketumbukan yang terus diyakini kerajaan dan rakyat.

Berdasarkan kepada penelitian yang telah dilaksanakan pada tahun 2020 yang lalu serta bagi mencapai apa yang dihasratkan pada tahun ini, TD telah menetapkan bahawa sambutan hari TD yang ke-88 pada tahun ini adalah bertemakan “Sinergi TD dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara.” Hubungan erat di antara tentera dan rakyat adalah penting bagi mendukung pencapaian kelima-lima tonggak perintah ulung PTD seperti mana yang diharapkan. Kerjasama kukuh ini akan memastikan TD mencapai kelangsungan misi dan kesiagaan, mempunyai sebuah organisasi yang utuh, melestari aspek kebajikan dan kesejahteraan warga, mengukuhkan hubungan pertahanan dengan negara serantau dan antarabangsa serta memperolehi keyakinan serta pengiktirafan daripada rakyat melalui kerjasama yang dijalin.

Pada tahun 2021 ini, TD sedang di dalam inisiatif mengoperasikan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menjadi asas kepada perancangan strategik TD.  Beliau akan memastikan bahawa perancangan TD untuk tahun 2021 ini juga akan mendukung Pelan Strategik Kementerian Pertahanan selain mencapai perintah ulung PAT yang ke-21.  TD juga komited di dalam usaha merealisasikan Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0) dan Fourth Dimension Malaysia Armed Forces (4DMAF) sebagai salah satu inisiatif memperkukuhkan ketumbukan TD di dalam melaksanakan misi yang ditetapkan.

Pengukuhan

Tahun 2021 adalah merupakan tahun pengukuhan bagi TD. Jika pada tahun 2020, TD menumpukan kepada pelaksanaan dan pemantauan, pada tahun 2021 ini, TD akan menumpukan kepada pengukuhan aspek gerakan, tadbir dan logistik supaya misi dan visi TD dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pada tahun ini, selain daripada meneruskan usaha memperolehi aset-aset strategik bagi melengkapkan keupayaan untuk beroperasi di dua wilayah secara serentak, TD akan menumpukan kepada peningkatan aspek pengurusan keselamatan termasuk menambahbaik polisi serta direktif sedia ada.  Keselamatan adalah aspek yang akan terus diberi perhatian sama ada berbentuk keselamatan fizikal mahupun keselamatan maklumat.  Ini adalah antara usaha bagi membolehkan TD terus dapat beroperasi sama ada di dalam operasi teras mahupun operasi membantu kerajaan di dalam operasi kemanusiaan dan bencana alam.

Pada tahun 2021 ini juga, TD akan memberi tumpuan bagi memperlengkapkan keperluan tempur dan peralatan persendirian anggota ke tahap 100 peratus. Beliau percaya bahawa kelengkapan persendirian ini adalah aspek penting bukan sahaja dari segi meningkatkan tahap kesiagaan warga TD dalam setiap pelaksanaan misi, malah ia juga merupakan elemen penting di dalam pemeliharaan moral dan semangat juang anggota.

Di dalam aspek tadbir urus, pada tahun 2021 ini TD akan meneruskan inisiatif penstrukturan organisasi yang bertujuan meningkatkan keberkesanan operasi dan pentadbiran TD secara keseluruhan. Tumpuan diteruskan bagi menempatkan aset dan sumber manusia di Wilayah Dua untuk membolehkan keupayaan beroperasi serentak di dua wilayah tercapai. Beliau juga telah mengarahkan agar penstrukturan organisasi ini dimasukkan sebagai pelan tindakan tambahan di dalam pemantauan perintah ulung PTD ke-28 di bawah tonggak kedua iaitu keutuhan organisasi.

Pada tahun 2021 juga, TD memberi tumpuan untuk mengukuhkan aspek moral dan jati diri anggota. Kajian secara terperinci akan dilaksanakan ke seluruh formasi TD bagi mendapatkan maklumbalas kepuasan anggota TD terhadap pemerintahan dan perkhidmatan. Maklumbalas ini adalah mustahak supaya TD dapat merangka pelan tindakan yang bersesuaian bagi mengukuhkan aspek ketahanan serta kompetensi sumber manusia sebagai aset utama TD.

Bagi menambahbaik aspek governance atau tadbir urus, TD akan terus melaksanakan peningkatan ke atas aspek pengurusan kewangan, pengurusan modal insan serta kepimpinan. Selain itu, aspek pembudayaan inovasi akan terus diperkasakan bagi membolehkan organisasi diurus dengan lebih cekap dan berkesan.

Bagi mengukuhkan aspek logistik pula, TD telah menetapkan keutamaan untuk dilaksanakan pada tahun 2021. Tumpuan utama diberikan kepada peningkatan keselamatan fizikal melibatkan instalasi-instalasi keselamatan dan kem-kem tentera. Keutamaan seterusnya diberikan bagi menambahbaik aspek kebajikan meliputi senggaraan kediaman dan bangunan teknikal. Penambahbaikan juga akan terus dilaksanakan ke atas fasilitas latihan bagi memastikan latihan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. TD juga merancang untuk meningkatkan aspek keselesaan dan kemudahan kepada seluruh warganya.

Di dalam usaha mencapai matlamat seperti mana yang dihasratkan di dalam perintah ulung PTD ke-28, TD perlu meneruskan pelan-pelan tindakan yang dirancang walaupun berhadapan dengan cabaran semasa. Bagi merealisasikan perkara ini, beberapa pengubahsuaian ke atas pendekatan sedia ada perlu dilaksanakan supaya bersesuaian dengan norma baharu dan situasi semasa. Setiap peringkat pemerintahan perlu memastikan pelaksanaan pelan tindakan adalah berpandukan kepada keutamaan serta perancangan yang rapi.

Bagi memastikan kompetensi anggota dikekalkan, aktiviti latihan perlu diteruskan berpandukan norma baharu walaupun terdapat sekatan dari segi eksesais melibatkan negara asing. Aktiviti-aktiviti meningkatkan profesionalisme perlu diteruskan dengan mengaplikasi pendekatan-pendekatan baharu. Selain itu, perhubungan pertahanan dengan negara asing juga akan terus dilaksanakan melalui penggunaan media baharu secara maya dan juga melalui kerjasama yang dijalin bersama wakil-wakil pertahanan di dalam negara.

Beliau percaya selagi prinsip 3P ini difahami dan dilaksanakan oleh setiap warga TD, mereka akan dapat mencapai setiap pelan tindakan yang dirancang. Laksanakan apa yang harus dilakukan, Lakukan apa yang dikatakan akan dilaksanakan dan laksanakanlah perkara yang betul.

Penutup

Sebagai penutup ucapan perutusan, YBhg Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose berseru kepada semua warga TD untuk bersama-sama berdoa agar pandemik covid-19 ini dapat diatasi dengan segera. Patuhilah kepada setiap peraturan serta arahan dari pihak berkuasa. Jaga kesihatan diri dan ahli keluarga. Beliau juga menyeru agar semua warga TD menjaga nama baik dan imej dan berusaha ke arah menjadikan TD sebagai sebuah angkatan yang disegani dan diyakini rakyat. Beliau juga  mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada pihak kerajaan, kepada Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan dan PAT di atas sokongan yang diberikan bagi membolehkan TDM melaksanakan misi dan visi yang ditetapkan. Selaku PTD, beliau akan terus komited menggembleng segala kudrat, usaha dan pendekatan bagi meneruskan inisiatif dan tindakan demi kecemerlangan dan kegemilangan TD.

 

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini