About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, March 2, 2021

KESIAGAAN ARMADA TENTERA LAUT

 Oleh: Paklang Hamzah/Foto: PROTLDM

 


 

Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany memulakan ucapan perutusan tahun baharu 2021 dengan pujian dan syukur kepada Allah SWT, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seterusnya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada seluruh warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perutusan Tahun Baharu merupakan platform bagi YBhg Tan Sri PTL menyampaikan imbasan TLDM bagi tahun 2020, serta aspirasi TLDM bagi tahun 2021. Beliau melafazkan syukur ke hadrat Illahi, dengan berkat keizinanNya dan mengucapkan syabas dan tahniah kerana The Navy People telah berjaya mengharungi tahun 2020 yang getir disebabkan pandemik COVID-19 dengan penuh dedikasi dan tabah.

 

Menurut beliau, TLDM turut terkesan dengan pandemik ini di mana statistik tertinggi telah dicatatkan pada 19 Disember 2020, seramai 102 warga, keluarga dan anggota awam telah disahkan positif. Statistik semasa pula kekal di antara 50 - 60 kes positif. Pandemik telah banyak mengubah kelaziman, gaya hidup dan rutin seharian. Pelbagai program dan aktiviti terpaksa ditangguhkan dan sebahagiannya dibatalkan.

 

Pelbagai mekanisme dan kaedah baharu telah diperkenalkan oleh kerajaan dan TLDM. The Navy People tiada pilihan dan perlu patuh kepada SOP serta mempraktikkan norma baharu bagi mengimbangi kelangsungan hidup seharian dan pelaksanaan tugas sebagai warga TLDM.

 

Kesiagaan Armada

 

Walaupun berdepan dengan pandemik ini, Kesiagaan Armada tetap menjadi teras utama. Secara keseluruhannya, purata kesiagaan aset TLDM bagi tahun 2020 berada pada tahap memuaskan dan tidak banyak perubahan berbanding tahun 2019. Beliau menyeru agar usaha-

usaha diteruskan untuk mempertingkatkan kesiagaan aset-aset TLDM.

 

TLDM juga bertanggungjawab mengetuai komponen maritim dalam Operasi Benteng kendalian National Task Force. Operasi melibatkan 19 pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang dikhuatiri membawa virus COVID-19. Sebagai rekod, sebanyak 171 siri Op BENTENG LAUT telah dilaksanakan dengan jumlah 1,836 hari pengoperasian di laut bagi kesemua aset-aset yang terlibat. Ini membuktikan Armada TLDM mampu untuk beroperasi dalam tempoh yang panjang.

 

Tempoh operasi yang tinggi memerlukan aset berdaya tahan atau sustainable asset. Bagi mempertingkatkan kesiagaan aset, beberapa inisiatif dan program yang telah dilaksanakan pada tahun lalu akan diteruskan secara berperingkat sehingga tahun 2024 yang merangkumi:

 

• Program menangani keusangan atau Obsolescence Program (OP) untuk KD PERDANA, KD GANYANG, Skuadron Korvet Ke-24 dan Skuadron MCMV Ke-26.

 

• Pemasangan 14 buah Indigenous Combat Management System (iCMS) untuk kapal Skuadron FAC dan;

 

• Program Repowering 6 buah kapal serta 5 buah bot tempur.

 

Tahun 2020 juga menyaksikan kejayaan TLDM mencipta sejarah melaksanakan rutin pasang pulih sepenuhnya di Malaysia bagi kedua-dua kapal selam Scorpene.

 

Perolehan Aset Baharu

 

Dari aspek perancangan dan perolehan aset baharu pula, tahun 2020 menyaksikan kejayaan:

 

• Kapal pertama Littoral Mission Ship (LMS) KD KERIS menyertai Armada TLDM pada 17 Januari 2020. Manakala, LMS ke 2, SUNDANG baru sahaja diterima pada 14 Januari 2021. LMS 3 dan LMS 4 pula dijangka terima pada bulan Ogos dan November juga pada tahun ini.

 

• Selain itu, TLDM juga menerima 6 daripada 12 buah pesawat Unmanned Aerial Systems (UAS) ScanEagle. Seterusnya, baki 6 buah UAS lagi dijangka akan diterima pada bulan Jun 2021.

 

• Kontrak perolehan 3 buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) juga telah dimeterai pada 2 Sep 2020 yang lalu. Helikopter pertama dijangka diterima pada 30 Oktober 2022, helikopter kedua pada 31 Mei 2023 dan yang terakhir pada 28 Februari 2024.

 

• Sebagai penutup tirai 2020, TLDM turut berjaya memperoleh tambahan 11 buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB), sebuah Multipurpose Boat, dan 6 buah Fast Combat Boat (FCB) untuk keperluan Op Benteng.

 

Selaras dengan pelan pembangunan yang telah direncanakan dan keperluan operasi masa hadapan, TLDM turut merancang untuk melaksanakan perolehan melalui peruntukan RMK-12 yang bermula 2021 hingga 2025 yang merangkumi:

 

• Littoral Mission Ship (LMS).

• Bridge Simulator dan Action Speed Tactical Trainer (ASTT).

• Helikopter Operasi Maritim (HOM).

• Fast Combat Boat (FCB).

• Multi Roles Support Ship (MRSS).

• Vertical Take-off and Landing (VTOL) Unmanned Aerial System (UAS).

• Special Force Boat (SFB) dan;

• Anti-Submarine Warfare (ASW) Helicopter.

 

Pembangunan Dan Penambahbaikan

 

Dari aspek pembangunan infrastruktur pula, pada tahun 2020 TLDM telah berjaya menyiapkan beberapa projek pembangunan, antaranya:

 

• Projek Pembinaan Pangkalan TLDM Sungai Lunchoo telah siap dan beroperasi sepenuhnya pada 6 Mac 2020.

• Penerimaan Bangunan Blok Utama, Projek pembinaan semula infrastruktur asas Pulau Jarak pada 9 September 2020 dan;

• Projek menaik taraf Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut berkapasiti 3,500 jemaah telah disiapkan sepenuhnya pada 9 Julai 2020.

 

Bagi tahun 2021, beberapa projek pembangunan juga telah dirancang seperti:

 

• Peningkatan infrastruktur MAWILLA 2 termasuk pembinaan Jeti Operasi yang baharu berukuran 300 meter.

• Tiga projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) terbahagi kepada 202 unit pelbagai kelas di PHN, 1,036 Unit di PTKK dan 375 Unit di Sandakan serta;

• Projek pembinaan sebuah bangunan tambahan Wisma Laskar di PTKK.

 

Dari aspek pengurusan kewangan, pada tahun 2020, TLDM telah diperuntukan sebanyak RM2.752 bilion merangkumi RM1.406 bilion bagi Belanja Mengurus (OE) dan Belanja Pembangunan (DE) RM1.346 bilion. Secara keseluruhannya, 97 % daripada jumlah peruntukan

tersebut telah berjaya dibelanjakan.

 

TLDM juga telah diperuntukan tambahan sebanyak RM10 juta di bawah Projek Ransangan Ekonomi (PRE) 2020 dan RM7 juta di bawah projek PRIHATIN. Ianya bertujuan menambahbaik, menyelenggara prasarana dan kemudahan infrastruktur serta pembaikan kenderaan.

 

Manakala bagi tahun 2021, TLDM diperuntukan sebanyak RM2.916 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM164 juta (5.96%) berbanding tahun lalu. Daripada jumlah ini, sebanyak RM1.683 bilion diperuntukan untuk Belanja Mengurus (OE) dan RM1.233 bilion untuk Belanja Pembangunan (DE). Justeru, beliau menggesa semua pengurus PTJ untuk merangka strategi perbelanjaan yang bersesuaian bagi memastikan peruntukan yang diterima dapat dibelanjakan secara optimum dan berhemah.

 

Latihan Dan Pembangunan Modal Insan

 

Sepanjang tahun 2020, pelaksanaan eksesais bilateral, multilateral, antara perkhidmatan dan eksesais tunggal turut terkesan. Daripada 35 siri eksesais yang dirancang hanya 5 siri eksesais sahaja dapat dilaksanakan. Ini secara tidak langsung mengurangkan pendedahan warga kepada eksesais berskala besar sepanjang tahun 2020.

 

Bukan itu sahaja, pelaksanaan kursus dan latihan juga turut terkesan. Daripada 561 siri kursus Rancangan Latihan (RALA) yang dirancang, sejumlah 71 kursus terpaksa dibatalkan. Dalam hal ini, beliau melihat penggunaan teknologi maklumat boleh dioptimumkan. Pendekatan pembelajaran secara atas talian merupakan alternatif yang boleh diperkembangkan. Penggunaan aplikasi Learning   Information Naval Reservist (LiNar) yang dibangunkan dan digunakan Pasukan Simpanan Sukarela TLDM wajar dicontohi dalam meneruskan latihan dan pembelajaran.

 

Sepanjang tahun 2020, seramai 375 pegawai dan 2,896 anggota TLDM telah berjaya dinaikkan pangkat. Lebih membanggakan, sejarah telah tercipta apabila TLDM untuk kali pertama mempunyai Pegawai Wanita berpangkat Laksamana Pertama. Pelantikan  Pemangku Laksamana Pertama Rohana binti Jupri ini membuktikan kaum wanita juga berpeluang untuk dinaikkan pangkat dan menjawat jawatan penting di dalam perkhidmatan.

 

TLDM juga memberi fokus terhadap moral dan kesejahteraan warganya. Pada tahun 2020, Majlis Konvokesyen Program Recognition Of Prior Experiential Learning atau RPEL telah berjaya dianjurkan buat julung kalinya. RPEL merupakan program khusus untuk mengiktiraf pengalaman warga TLDM untuk dianugerahkan Diploma Kemahiran sekaligus meningkatkan kebolehpasaran apabila bersara kelak.

 

Dari aspek disiplin pula, statistik Kesalahan Tatatertib bagi tahun 2020 menunjukkan peningkatan kes kesalahan jenayah dan moral agama berbanding tahun 2019, manakala bagi kes-kes penyalahgunaan dadah, Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) dan keutuhan mencatatkan penurunan. YBhg Tan Sri PTL  menggesa pengurusan markas dan unit untuk meneruskan inisiatif dan tindakan proaktif bagi menangani isu tatatertib dalam TLDM.

 

Pencapaian Dan Hala Tuju

 

Menyorot kembali setiap cabaran dan pencapaian tahun 2020, secara keseluruhannya, PTL simpulkan bahawa pencapaian TLDM berada di tahap yang amat memuaskan. Bagaimanapun warga TLDM tidak harus cepat berpuashati dan beliau percaya pencapaian ini masih boleh dipertingkatkan pada tahun ini dengan terus memberi keutamaan kepada Empat Teras Utama Hala Tuju Kepimpinan TLDM iaitu:

 

Yang Pertama: Memberi keutamaan kepada Kesiagaaan Armada TLDM.

Kedua: Pembangunan Armada TLDM sesuai perancangan Program Transformasi TLDM 15to5.

Ketiga: Meningkatkan integrasi dan sokongan kepada Aspek Kebersamaan.

Dan yang Keempat: Menyediakan Modal Insan Terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

 

Dalam memacu TLDM ke arah kecemerlangan, direktif strategik sedia ada dijadikan sebagai panduan. Justeru, kesinambungan Peta Strategik 1320 (PS 1320) akan diteruskan dengan Peta Strategik 2021-2025 (PS 2125) yang mengambil panduan daripada Kertas Putih Pertahanan (KPP), Sistem Pengurusan Strategik (SPS) ATM 2125, Direktif Strategik Panglima Tentera Laut (DS PTL) dan Amanat Panglima Angkatan Tentera Tahun 2020.

 

PS TLDM 2125 mengandungi 4 Teras Strategik iaitu:

• Keupayaan dan Kesiagaan Angkatan (Force Capability and Readiness).

• Keberkesanan Perhubungan Strategik (Strategic Relationship Effectiveness).

• Kecemerlangan Modal Insan (Human Capital Excellence).

• Kesejahteraan Warga TLDM (Well Being of the Navy People).

 

Justeru, adalah menjadi harapan beliau agar warga TLDM menggunapakai panduan-panduan ini untuk meneruskan usaha ke arah kecemerlangan.

 

Tingkatkan Kompetensi

 

Menilai situasi semasa pandemik COVID-19 yang tidak menentu, setiap lapisan warga the Navy People perlu terus membudayakan norma baharu dalam kehidupan seharian samada di rumah, pejabat mahupun bertugas di tengah laut. Katanya biarlah kita ‘over do’ dalam mengambil tindakan pencegahan asalkan kesihatan kita dan organisasi terjamin.

 

Dalam usaha untuk menjadi sebuah angkatan laut yang kredibel, PTL berhasrat agar warga the Navy People bersedia membuka minda untuk berubah. Diperamati, terdapat dalam kalangan mereka yang membuat kerja secara ikut-ikutan tanpa memahami dan menyemak daripada rujukan. Jawapan yang sering diterima apabila ditanya ialah “memang macam ni Tuan”. PTL menggesa supaya ‘BUDAYA MEMANG’ ini hendaklah dihentikan segera dan mengajak mereka  bersama-sama menjadi ejen perubahan dengan membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa.

 

Sejajar dengan keperluan untuk berubah, warga TLDM harus memperkemaskan rujukan, dasar, prosedur dan peraturan semasa sentiasa dikemaskini. Ianya penting agar panduan ini selari dengan peredaran masa dan mematuhi pengarahan terkini.

 

Dari aspek latihan pula, PTL mahukan ianya dimaksimumkan agar kompetensi warga the Navy People dapat dipertingkatkan. Beliau percaya dengan ungkapan ‘Practice makes perfect’. Rancanglah dengan teliti, di samping mengoptimumkan kemudahan latihan seperti simulator ataupun kaedah-kaedah baharu yang lebih kreatif.

 

Beliau menggesa semua pemerintah untuk turun padang dan sentiasa menilai tahap kompetensi pegawai dan anggota masing-masing. Ungkapan, ‘You Get What You Inspect, Not What You Expect’. Generasi sekarang adalah pemimpin dan pentadbir masa hadapan. Jangan dibiarkan mereka tanpa panduan dan bimbingan sewajarnya.

 

Keperluan meningkatkan kompetensi modal insan, kesiagaan platform dan penambahbaikan proses perlu berjalan seiringan. Warga TLDM perlu dari masa ke masa menilai di mana kedudukan mereka. Oleh itu, beliau mahu perancangan teliti kepada ketiga-tiga elemen ini dilaksanakan mengikut keutamaan dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

 

Setiap perancangan yang dibuat perlu diselarikan dengan peruntukan kewangan yang diterima agar ia dapat dioptimumkan sewajarnya dan memberi pulangan faedah atau ROI yang tinggi kepada TLDM. Laksanakan perancangan yang realistik mengikut kemampuan dan keupayaan.

 

Di dalam keghairahan menggunakan media sosial dan rangkaian internet, PTL tidak mahu insiden kebocoran maklumat di laman sesawang gelap (Dark Web) berulang di masa hadapan. Beliau menyeru semua warga TLDM bersama-sama mematuhi ikrar kesatria, ‘Menyimpan rahsia negara dengan seketat-ketatnya’.

 

YBhg Tan Sri PTL mengakhiri ucapannya dengan mengajak warga TLDM bersama-sama berdoa agar Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada perkhidmatan dan negara serta melindungi dan mempermudahkan setiap urusan mereka. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua the Navy People atas sumbangan dan perkhidmatan cemerlang yang telah dicurahkan sepanjang tahun 2020. Semoga TLDM sentiasa diberkati, dilindungi serta terus berjaya dan cemerlang  dalam menempuh tahun 2020.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini