About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, October 20, 2010

Boustead terima surat hasrat bina enam kapal peronda


Sumber utusan

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Boustead Holdings Bhd., melalui dua anak syarikatnya telah menerima surat hasrat daripada Kementerian Pertahanan untuk membina enam kapal peronda generasi kedua (LCS) dengan keupayaan bertempur.

Tempoh dan nilai projek yang diperoleh Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BN Shipyard) dan syarikat bersekutu, Boustead Heavy Industries Corp. Bhd. (BHIC) sedang dirunding dengan kerajaan.

Pengarah Urusan BN Shipyard, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor berkata, kontrak baru itu menunjukkan keyakinan dan kepercayaan kerajaan terhadap kebolehan syarikat menunaikan tanggungjawab yang diberi.

''Kami telah terlibat dengan pakej projek komersial dan teknik kerajaan sejak beberapa lama dan kami yakin kontrak ini dapat diselesaikan lebih awal,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Beliau berkata, bagi pembinaan LCS, reka bentuknya memerlukan pertambahan sistem perkakasan dan keupayaan.

''Ini memerlukan pelaburan teknologi tambahan, sebahagian daripadanya akan kami beli dan sebahagian lagi dibangunkan bersama rakan strategik dengan peserta industri pertahanan,'' ujar beliau.

Ahmad Ramli menambah, BN Shipyard mempunyai pengalaman dan pengetahuan tidak ternilai dalam Kontrak Kapal Peronda pertama terutama dalam nilai tambah dan meluaskan kandungan tempatan.

Saturday, October 16, 2010

ATM komited laksana eksesais bersama

Sumber utusan

BUTTERWORTH 15 Okt. - Meskipun pernah berdepan krisis ekonomi global, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap komited melaksanakan latihan secara besar-besaran dengan angkatan tentera negara luar bagi memastikan rantau ini selamat daripada sebarang ancaman.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, semua latihan bersama yang pernah diadakan di negara ini berjalan lancar mengikut perancangan walaupun terdapat kekangan dari segi bajet.

Katanya, apa yang penting, latihan tersebut dapat diteruskan mengikut kemampuan ATM.

"Selama ini latihan bersama dengan tentera negara-negara asing berjalan mengikut jadual. ATM menghantar aset-aset termasuk anggota mengikut kemampuan kerana yang penting program dan perancangan dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Eksesais Bersama Padu 2010 di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.

Latihan itu disertai ATM bersama angkatan tentera Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom berlangsung dari 11 hingga 29 Oktober ini.

Ia melibatkan 14 kapal laut, 66 pesawat dan 897 anggota dari kelima-lima angkatan tentera tersebut di beberapa lokasi di Semenanjung, Singapura dan Laut China Selatan.

Azizan memberitahu, kelebihan latihan bersama di bawah FPDA adalah setiap aktiviti yang dijalankan boleh diselaraskan mengikut kesesuaian tertentu.

"Apa yang baik dalam FPDA adalah aktiviti latihan menjurus kepada fleksibiliti, seperti jika aset pertahanan sesuatu negara tidak berkemampuan maka tentera negara lain akan membantu.

"Format latihan sudah sedia ada dan kita melihat kepada pelbagai pendekatan untuk memastikan matlamat eksesais terlaksana," ujarnya.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini