About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, September 1, 2016

SELAMAT BERSARA DATO’ WIRA MOHD NOOR

Oleh Paklang Hamzah
Pada tanggal 12 Ogos 2016 bertempat di Padang Kawad 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Mek) Kem Lapangan Terbang Sungai Petani Kedah, satu Perbarisan Penghargaan sempena persaraan Yang Berbahagia Mej Jen Dato’ Wira Mohd Noor bin Daud telah diadakan dengan penuh istiadat tradisi Tentera Darat Malaysia (TDM).
Perbarisan ini telah dihadiri oleh Panglima TDM YM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohd Noor,  Panglima Medan Barat TDM Lt Jen Dato Sri Zulkiple bin Hj Kasim merangkap Pengerusi RAMD,  Panglima  Divisyen ke 2 Infantri Mej Jen Dato’ Fadzil bin Mokhtar,  Pengarah Infantri Mej Jen Dato’ Hj Jalaluddin bin Hj Manan, Panglima Briged Ke 6 Infantri Brig Jen Dzulkarnain bin Ahmad dan Ketua Pengarah Bahagian Pasukan Simpanan Brig Jen Mohd Radzi bin Ibrahim.
Seramai 495 orang anggota Lain-lain Pangkat (LLP) dan Pegawai di bawah naungan Bgd Ke 6 Infantri telah mengambil bahagian di dalam perbarisan ini.
Sejarah Ringkas Perkhidmatan
Mej Jen Dato’ Wira Mohd Noor dilahirkan pada 25 Ogos 1956 di Johor Bahru. Menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 3 Dis 1974 dan ditauliahkan dalam kor RAMD pada 11 Nov 1975.  Mendirikan rumahtangga dengan Datin Wira Samsiah binti Abdul Samad dan dikurniakan 2 orang anak lelaki iaitu Muhammad Faris Fitri dan Hesmeer Hakim.
Bermula dengan jawatan sebagai Ketua Platun pada usia 19 tahun di Batalion Ke 7 RAMD di Sarawak pada tahun 1977, beliau tidak lagi menoleh ke belakang, mengatur gerak langkah dari satu Unit ke satu Unit, dari satu Jabatan ke satu Jabatan memikul tugas dan tanggungjawab yang diarahkan tanpa gentar menghadapi segala halangan dan rintangan memburu dan diburu musuh-musuh durjana yang berkeliaran di seluruh pelusuk tanahair pada masa itu.  
Sebagai pegawai muda yang ditauliahkan di zaman darurat kedua, cabaran dan tanggungjawab yang dipikul oleh beliau dan rakan-rakan pada era insurgensi itu amatlah berat namun dengan semangat darah muda yang kental yang dilatih dan diterap dengan nilai-nilai kesetiaan dan keperwiraan beliau dan rakan-rakan telah berjaya melumpuhkan sepenuhnya pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mencetus kepada perletakan senjata pada tahun 1989.
Sehingga ke penghujung perkhidmatan Alhamdulillah, beliau diberi keselamatan oleh Allah namun begitu menjadi adat perjuangan, ada dalam kalangan rakan-rakan seperjuangan gugur sebagai bunga-bunga bangsa malah tidak kurang juga yang cacat dan hilang upaya.
Demi untuk memajukan diri sendiri, Dato’ Wira Mohd Noor sentiasa bersifat terbuka dan berlapang dada dengan menerima apa saja penugasan yang diberi samada di dalam mau pun di luar Negara.  Beliau pernah berkhidmat di bawah  misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Namibia pada 1989 hingga 1990 sebagai Pegawai Pemerhati Tentera di bawah United Nations Transition Assistant Group (UNTAG) dan pernah menjadi Penolong Penasihat Pertahanan MALAWAKIL USA  pada tahun 1994 hingga  tahun 1997.
Antara jawatan-jawatan penting yang pernah beliau sandang sepanjang perkhidmatan beliau selama 41 tahun 8 bulan 22 hari yang berakhir pada 24 Ogos 2016 ialah sebagai Panglima 6 Bgd pada tahun 2006 hingga 2007,  Panglima 2 Div pada tahun 2008 hingga 2011.  Kemudian beliau ditukarkan ke Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia sebagai Ketua Staf pada 2011 hingga 2013.  Bertugas di MK TD-BITD Kuala Lumpur sebagai Inspektor Jeneral sebelum menjawat jawatan Pengarah Gred Utama C, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dari 3 Jul 2013 hingga 3 Feb 2016.

Pesanan
Mej Jen Dato’ Wira Mohd Noor dalam ucapan akhir beliau berpesan seluruh warga TD dan warga 6 Bgd khususnya supaya berusaha dan belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai impian di dalam ATM serta menjaga dan meningkatkan mutu disiplin, kerjasama berpasukan demi menjaga nama dan maruah TD. Jangan sekali-kali memburukkan nama organisasi yang cukup hebat berdisiplin dan dipandang tinggi di mata masyarakat.  Apabila bersara, beliau berharap semua warga TD kembali bersatu di bawah bumbung JHEV dan persatuan-persatuan Veteran ATM yang berkaitan bagi memudahkan penyaluran maklumat serta kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini