About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, December 2, 2011

4 jet pejuang gegarkan LIMA 2011

sumber utusan

Oleh ZARINA MD HASHIM
utusankedah@utusan.com.my

LANGKAWI 1 Dis. - Empat jet pejuang terbaru jenis Rafale, Gripen, FA-18 Super Honet dan Eurofighter Typhoon bakal menggegarkan ruang udara di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi 2011 (LIMA 2011) tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad berkata, jet pejuang Rafale buatan Perancis, Gripen (Sweden), FA-18 Super Hornet (Amerika Syarikat) dan Eurofighter Typhoon buatan (Eropah) itu dibawakan serentak buat pertama kali untuk dipertontonkan kepada pengunjung dalam LIMA 2011 yang akan berlangsung dari 6 hingga 10 Disember depan.

Menurutnya, jet-jet pejuang tersebut akan terlibat membuat persembahan aerobatik udara serta pameran statik.

"Tahun ini mencatat sejarah tersendiri dan merupakan perkembangan terbaik dalam penganjuran LIMA di Langkawi kerana kali pertama kita membawakan empat jenis jet pejuang secara serentak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 3 Siri 8/2011 di Kem Lagenda Seri Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama, Datuk Pahlawan Mior Rosdi Datuk Mior Mohd Jaafar.

Ismail berkata, selain empat jet pejuang tersebut, LIMA kali ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan ruang udara terbaru oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dinamakan Krisakti.

Katanya, persembahan Krisakti akan menggunakan empat buah pesawat Extra 300L dan juruterbangnya adalah juruterbang-juruterbang tempatan.

"Ini juga merupakan persembahan terbaru daripada TUDM yang setanding dengan persembahan negara luar dan ia diyakini mampu memukau perhatian pengunjung dalam penganjuran kali ini," katanya yang menyasarkan kehadiran sehingga 40,000 pengunjung.

Mengenai PLKN, beliau berkata, tiga modul yang baru diperkenalkan iaitu sub-modul budaya kerja, Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dan I-Smart berjaya dilaksanakan.

"Manakala, satu lagi sub-modul yang sedang dikaji akan dilaksanakan mulai tahun hadapan ialah modul fizikal yang dicadangkan khusus untuk pelatih-pelatih yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti," katanya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini