About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, July 6, 2011

Eksesais Belangkas

sumber Majalah Perajurit edisi Julai 2011
Oleh Hamzah hd.




Dasar Pertahanan Negara (DPN) Malaysia telah menetapkan bahawa mempertahankan kepentingan-kepentingan negara merupakan teras kepada kedaulatan dan kemerdekaannya. Justeru, melindungi dan mempertahankan kawasan kepentingan Malaysia dari segala ancaman samada dari luar atau dalam negara menjadi objektif utama. Oleh yang demikian, membina struktur gabungan, keseragaman, keseimbangan dan kerjasama yang mantap antara perkhidmatan adalah penting kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mempertingkatkan keupayaan menghadapi peperangan konvensional dengan memberi perhatian kepada peperangan empat dimensi iaitu peperangan di daratan, laut, udara dan elektronik.

Kekuatan operasi darat bergantung kepada keampuhan kuasa tempur Tentera Darat Malaysia (TDM) yang beroperasi dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Perlaksanaan misi ini memerlukan kemampuan sistem persenjataan, mobiliti, perlindungan dan bantuan logistik.

Sempadan yang panjang mengelilingi wilayah negara yang sebahagian besarnya adalah sempadan laut memerlukan keupayaan ATM bertindak pantas melalui Angkatan Bersama untuk menghadapi sebarang ancaman yang mana salah satu kaedah yang efisyen adalah pendaratan amfibi sebelum menyusup ke kawasan-kawasan sasaran.

Sejarah peperangan di Tanah Melayu malah dari zaman Kesultanan Melaka lagi, salah satu kaedah kemasukan tentera-tentera Portugis menawan Melaka pada tahun 1511 adalah melalui pendaratan amfibi.

Lt. Jen. Yamashita, Panglima 25 Pemerintahan Medan Tentera Darat Jepun mengetuai bala tentera yang mempunyai kekuatan 25,000 pegawai dan anggota mendarat serentak di Songkhla, Patani dan Kota Bharu pada 7 Disember 1941 juga melalui kaedah amfibi.

Pada Ogos 1964, gerila Indonesia dalam kempen Ganyang Malaysia mula menyerang wilayah di Semenanjung Malaysia sebahagiannya juga menggunakan kaedah amfibi sebelum membuat penyusupan ke dalam hutan Malaya.

Ini menggambarkan gerakan amfibi sangat signifikan dalam rentetan sejarah peperangan dan pertahanan negara. Justeru TLDM sebelum era 90an mempunyai beberapa buah kapal Landing Ship Tank (LST) seperti KD SRI LANGKAWI, KD SRI RAJA JAROM DAN KD SRI BANGI yang telah dilucutkan tauliah pada era 80an. Menerima kemasukan kapal-kapal pembekal yang lebih moden seperti KD SRI INDERA SAKTI, KD MAHAWANGSA dan KD SRI INDERAPURA yang juga mempunyai peranan yang sama sebagai Kapal Pembekal Pelbagai Guna yang boleh bertindak sebagai Kapal Induk dalam skrin armada TLDM dan platform untuk operasi amfibi Angkatan Bersama.



DPN yang memperuntukan TLDM sebagai elemen pertahanan maritim manakala TDM sebagai elemen pertahanan darat secara umumnya saling memerlukan di antara satu sama lain bagi menyediakan pertahanan mapan di dalam wilayah negara dengan dibantu oleh TUDM.

Bagi menentukan keberkesanan kaedah penghantaran pasukan tempur samada sebagai pertahanan maupun menggempur musuh di sesuatu lokasi bergolak, sebagai negara maritim yang di kelilingi laut semestinya kaedah amfibi menjadi satu pilihan taktikal yang mungkin lebih berkesan dan praktikal. Bagi menterjemahkan doktrin operasi bersama ini, Eksesais Belangkas (EKS-BELANGKAS) telah diaturgerak bagi memenuhi tujuan dan matlamat ATM.

EKSESAIS BELANGKAS 26/2011

EKS-BELANGKAS merupakan siri latihan eksesais tahunan bersama di antara TLDM dan TDM mengkhususkan kepada pelaksanaan latihan bagi Operasi Amfibi iaitu operasi yang melibatkan keupayaan trup membuat penyusupan melalui pendaratan di pantai seterusnya membuat serangan ke atas musuh.

EKS- BELANGKAS siri ke 26 telah diadakan pada 2 Mei hingga 11 Mei 2011 dengan penglibatan lebih 500 orang pegawai dan anggota-anggota TDM dan TLDM antaranya dari Markas 10 Briged Para, Kem Terendak Melaka, 9 Rejimen Askar Melayu Diraja Para, Kompeni Batalion Para dan 10 Skuadron RSD Para. Manakala TLDM melibatkan Kapal Diraja (KD) SRI INDERA SAKTI, KD SELANGOR, KD DUYONG dan KD PANGLIMA HITAM.
Eksesais ini telah dilaksanakan dalam tiga fasa utama iaitu:

Fasa 1 - Fasa Pelabuhan yang berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut Perak, melibatkan perancangan atur gerak, perbincangan, taklimat di Pusat Taktik dan Maritim (PUSTAKMAR). Di samping aktiviti sukan Piala BELANGKAS dan pelbagai acara sosial bagi memperkukuhkan kerjasama dua hala di antara TLDM dan TDM.

Fasa 2 - Kapal belayar menerusi Selat Melaka menuju ke Perairan Tanjung Bidara di Kem Terendak, Melaka. Sepanjang pelayaran, semua aset yang terlibat telah melaksanakan evolusi-evolusi kelautan, navigasi, latihan penembakan meriam dan senjata kecil secara bersama.

Fasa 3 - Merupakan fasa utama yang melaksanakan gerakan sebenar Pendaratan Amfibi di mana aset-aset yang terlibat telah menjalani latihan Operasi Amfibi secara bersama di Perairan Tanjung Bidara, Melaka.

Eksesais ini mensasarkan objektif yang jelas untuk meningkatkan tahap kerjasama di antara TDM dan TLDM di dalam pelaksanaan operasi bersama, menguji persiapan atur gerak trup, melatih Pemerintah dan Staf di dalam perancangan dan pelaksanaan, menilai dan menguji keberkesanan Standard Operating Procedure For Army and Navy (SOPAN) dan mengenalpasti keperluan aset Pasukan UdaraTentera Darat (PUTD) dalam menyokong pelaksanaan Eksesais BELANGKAS 26/2011.

Latihan berbentuk Operasi Amfibi amat penting untuk dikuasai oleh ATM dalam konteks negara kita Malaysia sebagai sebuah negara maritim. Justeru, EKS-BELANGKAS merupakan platform terbaik bagi TDM dan TLDM bagi menguasai peperangan jenis ini baik dari aspek perkongsian pengalaman, pengetahuan serta aset dalam membentuk sebuah angkatan tentera yang mantap lagi kredibel. Usaha ini amat selari dengan konsep integrasi dan jointness seperti yang diaspirasikan oleh ATM.

Namun pada pemerhatian penulis, ‘kekurangan’ unsur yang sangat penting dalam operasi ini masih belum menampakkan tanda-tanda penambahan walaupun sudah beberapa kali penyataan positif ke arah perolehan ini diumumkan oleh pihak kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

Operasi Amfibi sangat penting dalam konteks pertahanan negara. MPCSS KD MAHAWANGSA dan KD SRI INDERA SAKTI tidak akan lagi dapat menampung keperluan ini dengan lebih berkesan bila mana sesuatu latihan atau operasi sebenar yang berskala lebih besar digerakkan. Atas faktor usia, platform ini kemungkinan pada waktu itu salah satu atau kedua-duanya diserang ‘sakit’ mengejut.

Biarpun TLDM berjaya menjaga kedua-dua kapal yang berusia lebih 20 tahun ini dengan baik namun susut nilai akan berlaku juga. Sedangkan tugas untuk digalas tidak pernah berkurang, dari rondaan atau tugas-tugas rutin TLDM, segala bentuk latihan intra/ bilateral/multilateral, operasi-operasi khas, misi kemanusiaan dalam dan luar negara perlu dilunasi tanpa gagal.

Ironinya bila permintaan melebihi pengeluaran, secara fitrah ianya akan gagal memenuhi keperluan secara berkesan. Justeru, 4 buah lagi MPSS/MRSS perlu disegerakan bagi mengisi armada TLDM sejajar dengan pertambahan Pangkalan-pangkalan baru dan pembangunan Angkatan Bersama ATM dalam merencanakan kepelbagaian dimensi taktikal pertahanan negara. PERAJURIT

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini