About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, March 11, 2011

Bersediakah Malaysia?

sumber utusan

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
pengarang@utusan.com.my

AHAD lalu, Tentera Darat (TD) Malaysia menyambut ulang tahun ke-78 dengan satu lagi perkembangan menarik berkaitan usaha pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam dunia serba canggih ini.

Pengesahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa TD akan menerima Armoured Fighting Vehicles (APC) AV8 secara berperingkat mulai awal tahun depan membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pasukan pertahanan negara tidak ketinggalan.

Biarpun Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin menegaskan tentang perlunya perbelanjaan pemodenan ATM dibuat secara berhemah, tetapi tidak bermakna Malaysia mesti mengetepikan soal keperluan memiliki peralatan canggih dan terkini.

Ini kerana dalam menghadapi kemelut dunia yang semakin tidak mampu dijangka sejauh mana kesannya terhadap kestabilan Malaysia, kesiapsiagaan ATM dari segi sumber manusia dan juga peralatannya bukanlah sesuatu yang boleh dikesampingkan.

Di rantau Asia, Singapura sememangnya diketahui memiliki kelengkapan ketenteraan terbaik. Negara republik itu juga tersenarai dalam kedudukan antara negara tertinggi berbelanja dalam sektor pertahanan berasaskan per kapita.

Langkah itu amat jelas apabila baru-baru ini Singapura mengumumkan peningkatan bajet pertahanannya sebanyak 5.4 peratus.

Sejumlah S$12.08 bilion (kira-kira RM35.5 bilion) diperuntukkan bagi tahun kewangan 2011 bermula 1 April ini, berbanding S$11.46 bilion pada tahun lalu.

Dalam menyokong langkah tersebut, Menteri Mentornya Lee Kuan Yew dipetik berkata, sebagai negara pulau dengan penduduk seramai lima juta orang, ia perlu berbelanja lima hingga enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertahanan bagi membendung 'sebarang tekanan dari jiran lebih besar, Indonesia dan Malaysia'.

"Tanpa pertahanan yang kuat, Singapura tidak akan wujud," kata Kuan Yew. Bajet sebegitu tinggi untuk sebuah negara kecil, terletak pula di tengah-tengah Malaysia pastinya mencetuskan banyak perbahasan di kalangan industri pertahanan, pemikir strategik dan pengkritik secara umumnya.

Tentunya ramai mempersoalkan kewarasan Singapura yang berterusan menganggap Malaysia dan Indonesia sebagai ancaman, sedangkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara kini digambarkan sudah berada dalam era baru.

Biarpun mentaliti terkepung Singapura sudah banyak kali dibincangkan dan diketahui ramai, namun adakah Malaysia tidak perlu bimbang terhadap pembinaan senjata di negara pulau tersebut, atau memilih untuk buat-buat tidak tahu?

Secara umumnya, Malaysia dan Singapura tidak pernah berlumba dalam aktiviti mengumpul pistol dan peluru, malah negara ini diketahui akan membeli senjata hanya bila bajet membenarkan.

Data Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) dari 1990-2007 jelas menunjukkan terdapat enam tahun di mana bajet tentera diturunkan.

Data SIPRI turut mendedahkan bahawa jurang antara Malaysia dan Singapura dalam perbelanjaan tentera, berbeza hanya AS$800 juta setahun pada 1991 tetapi menjarak kepada AS$1.3 bilion setahun pada 1995. Pada 2008, republik tersebut berbelanja lebih AS$2.3 bilion lebih tinggi berbanding Malaysia. Bila data itu dikaji bagi tempoh 10 tahun, jurang perbelanjaan menjadi lebih besar.

Persoalannya, jika Malaysia kurang berbelanja dalam bidang pertahanan, apa pula langkah lain untuk kita membentuk bala tentera, melatih, melengkapkan peralatan dan mengekalkan keupayaan pasukan tentera sepanjang masa. Ahmad Zahid pernah menarik perhatian mengenai belanjawan tahun ini yang hanya memperuntukkan RM9.1 bilion, berbanding RM9.8 bilion tahun lepas untuk pertahanan negara yang dilihat tidak akan menjejaskan operasi dan pengurusan keselamatan negara.

Kolumnis Mingguan Malaysia, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah pernah menyentuh perihal tersebut. Beliau mencadangkan supaya perbelanjaan yang kurang memberikan impak kepada keselamatan dikurangkan seperti perkara yang bersifat ceremonial. Tentu saranan beliau itu amat kena dengan perbelanjaan berhemah yang tidak berpilih.

Langkah itu supaya negara dapat berjimat dan wang tersebut boleh disalurkan untuk pertahanan atau sekurang-kurangnya kebajikan anggota tentera.

Perarakan Hari Tentera sewajarnya dikecilkan di kawasan tertutup seperti stadium berbanding pusat bandar hingga mengakibatkan kesesakan teruk.

Yang pastinya, pembelian pesawat baru tidak mungkin dilaksanakan kerana ATM masih mempunyai senarai perolehan yang lebih mendesak seperti penggantian peluru berpandu dan bom yang telah luput serta pembelian kenderaan perisai baru untuk kegunaan TD.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengadakan lawatan rasmi ke Turki menyatakan komitmen untuk menambah pembelian kenderaan perisai Pars buatan firma pertahanan Turki, FNSS Defense System Inc. bagi kegunaan tentera Malaysia.

''Kerjasama dalam bidang ketenteraan antara FNSS dan DRB-Hicom Berhad menerusi anak syarikatnya, DEFTECH Sdn. Bhd. akan diteruskan dengan meneroka peluang-peluang perniagaan baru,'' kata Perdana Menteri.

Mengikut kerjasama itu, DEFTECH akan memasang kenderaan perisai Pars di Malaysia, dengan FNSS berperanan mereka-bentuk, membangun, mengilang dan menyediakan sokongan logistik. Perjanjian yang dimeterai pada 22 Februari lalu itu akan meningkatkan keupayaan TD daripada segi mobiliti menerusi kenderaan yang memiliki tiga jenis roda iaitu empat, enam dan lapan.

Kereta berperisai seumpama itu diperlukan oleh TD bagi menggantikan kereta perisai sedia ada yang telah lebih 25 tahun digunakan, jauh daripada hayat sebenar kegunaannya dari segi ekonomi iaitu 15 tahun.

Kebanyakan kereta perisai atau diistilahkan sebagai AFV tersebut berdepan dengan masalah alat ganti kerana ia tidak lagi dikeluarkan oleh pengeluar asal, dan jika ada sekali pun, kosnya sangat tinggi.

Sama seperti menyenggara kereta penumpang, ia menjadi lebih sukar disenggara tatkala model-model baru diperkenalkan.

Difahamkan Kementerian Pertahanan terpaksa menangguhkan program pemodenan ATM dalam dua Rancangan Malaysia bagi menggantikan AFV disebabkan bajet terhad dan pelaksanaan dasar mengutamakan yang terdesak sahaja.

Benar, akal waras kita akan menepis kemungkinan Singapura akan menyerang Malaysia secara perang konvensional. Hubungan diplomatik yang semakin mesra dan kemasukan pelawat Singapura-Malaysia yang tidak putus-putus ke negara masing-masing, adalah jaminan senjata yang dibeli oleh Singapura tidak akan digunakan untuk menembak kita.

Namun, isu perebutan wilayah seperti Pulau Batu Putih di perairan Johor seharusnya menjadi iktibar kerana Singapura sentiasa menghalau nelayan kita dengan bot peronda canggihnya. Harus diingat, Malaysia berdepan dengan beberapa lagi tuntutan bertindih ke atas beberapa pulau di perairan negara. Paling mendesak adalah Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan Malaysia, Brunei, Filipina, Taiwan, Vietnam dan China.

Trend menunjukkan negara berorientasikan ketenteraan tidak teragak-agak mempamerkan kekuatan tenteranya untuk menekan, dan menakut-nakutkan negara lain yang turut sama menuntut Spratly.

Keberanian itu semata-mata kerana mengetahui negara seperti Malaysia memiliki keupayaan ketenteraan yang terbatas. Kita ada dua kapal selam. Singapura ada enam.

1 comment:

ben sungib said...

Saya penuh optimis bahawa Malaysia sudah lama bersedia untuk mempertahankan negara ini dari ancaman pihak musuh, baik oleh pasokan keselamatannya mahupun oleh rakyatnya. Masalah dengan kita ialah kita sentiasa mempunyai perasaan pessimis terhadap keupayaan kita sendiri.Ini kerana kita tidak berhadapan dengan ancaman sebenar (real threat) sepertimana yang dihadapi oleh sesetengah rakyat di beberapa buah negara lain seperti rakyat India dan rakyat Pakistan, rakyat Korea Selatan dan rakyat Korea Utara dan rakyat Taiwan dan rakyat Republik Rakyat China. Tidak adanya ancaman yang dihadapi sebagaimana rakyat-rakyat di negara-negara yang disebutkan di atas membuatkan kita rasa kita berada di dalam 'zon selesa' (comfort zone).

Sejarah silam contohnya Perang Dunia Ke II, zaman dharurat,dan era konfrantasi Indonesia terhadap negara kita, adalah manifestasi bahawa pasokan keselamatan dan rakyat keseluruhannya akan bangkit untuk mempertahankan negara dari ancaman oleh kuasa-kuasa asing.

Sebagai 'tulang belakang' kepada pertahanan negara, ATM memang sudah bersedia. Segala bentuh latihan yang dijalankan, baik secara individu atau kolektif, hingga ke peringkat satu perkhidmatan (single service), secara bersama (joint exercise), gabungan bersama (joint combine)antara ATM dengan angkatan tentera negara asing dan tugas-tugas pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semuanya dilaksanakan bagi mencapai kesiap siagaan AT.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini