About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, December 2, 2010

Tiada diskriminasi dalam ATM

Oleh MUHAMMAD IQBAL

ISU mengenai penglibatan bukan bumiputera dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukanlah satu isu baru, malahan sebelum ini ia sudah banyak kali diperbahas dan diperdebatkan.

Namun begitu sehingga ke hari ini tiada jalan penyelesaian yang betul-betul jitu dicapai bagi memenuhi matlamat itu.

Lanjutan itu, jumlah penyertaan bukan Melayu dalam ATM masih rendah, sebagai contoh mengikut maklumat yang diterima dalam tentera darat bagi pegawai yang keseluruhan berjumlah sekitar 7,000 orang, jumlah kaum Cina sekitar 1.4 peratus, India (2.2 peratus) dan lain-lain (0.4 peratus). Bumiputera pula 96.2 peratus.

Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada hampir 2,500 orang pegawai, kaum Cina sekitar 2.7 peratus, India (2.5 peratus) dan lain-lain 2.5 peratus. Bumiputera 93.9 peratus.

Untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), jumlah kaum Cina yang menjadi pegawai ialah 3.2 peratus, India (2.8 peratus) manakala lain-lain 1.5 peratus. Bumiputera 92.5 peratus.

Bagi lain-lain pangkat, jumlah penyertaan bukan bumiputera dalam ketiga-tiga cabang itu juga masih rendah. Daripada lebih 100,000 anggota, kaum Cina contohnya, hanya 0.2 peratus dalam tentera darat, 0.3 peratus (tentera laut) dan 0.4 peratus dalam tentera udara.

Kaum India pula 0.7 peratus dalam tentera darat, 1.1 peratus (tentera laut) dan 1.7 peratus (tentera udara) manakala kaum bumiputera 98.3 peratus dalam tentera darat, 94.1 peratus (tentera laut) dan 93.8 peratus (tentera udara)

Jika statistik ini diambil kira sudah pastilah perbezaan antara kaum bumiputera dengan bukan bumiputera terlalu jauh.

Bagaimanapun ini bukan alasan untuk kita membuat tafsiran yang tidak betul kenapa golongan bukan bumiputera tidak menyertai ATM.

Atas sebab itulah seperti mana kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah berkaitan pengambilan anggota tentera bukan Melayu di dalam ATM.

Sebaliknya mengarahkan Kementerian Pertahanan dan ATM bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik bukan Melayu untuk menarik penyertaan masyarakat bukan Melayu menjadi anggota tentera.

Sudah pastilah arahan itu menunjukkan dengan jelas bahawa sama ada kerajaan mahupun ATM tidak pernah mengamalkan diskriminasi dalam pengambilan pegawai dan anggota.

Semua kaum selagi ia bernama warganegara Malaysia berhak memasuki pasukan berkenaan demi berbakti mempertahankan kedaulatan negara.

Jika sejarah di dalam ATM diimbas, kita akan mendapati sudah ramai bukan Melayu mencatatkan kejayaan cemerlang dalam pasukan itu, malahan ada antara mereka terkorban dalam berbakti kepada negara.

Justeru adalah lebih wajar daripada mana-mana pihak cuba mempolitikkan isu ini, tumpuan perlu diberikan bagi mempertingkatkan jumlah kaum bukan bumiputera tersebut.

Ia kerana ATM amat mengalu-alukan kehadiran mereka dan tidak pernah sekali pun di dalam mana-mana iklan pasukan itu tercatat perkataan 'hanya untuk bumiputera sahaja'.

Sebaliknya, penyertaan berkenaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan mereka akan menerima layanan yang sama apabila memasuki pasukan tersebut.

Tetapi mungkin penjelasan yang agak kurang telah menyebabkan kaum bukan bumiputera enggan menyertai ATM, apatah lagi apabila mereka terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak tertentu kononnya berlaku diskriminasi dalam pasukan berkenaan.

Ini termasuklah dari segi kenaikan pangkat dan peluang-peluang bagi pembangunan karier.

Adalah sesuatu yang malang apabila keadaan itu berlaku kerana dalam ATM fenomena berkenaan sama sekali tidak wujud.

Sebaliknya, semua pegawai dan anggota mempunyai peluang yang sama rata dalam soal tersebut dan ia berasaskan kepada kelayakan serta kepakaran mereka.

Turut yang mungkin tidak diketahui oleh ramai pihak ialah bagaimana pegawai dan anggota ATM tanpa mengira kaum berpeluang melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi dan diberi elaun sepanjang menjalani pengajian.

Malahan mereka juga turut berpeluang dihantar berkursus bukan sahaja yang dikendalikan oleh ATM tetapi juga pihak swasta dengan tujuan meningkat kemahiran dan kemampuan mereka.

Selain itu, usaha perlu dilakukan bagi memberi penjelasan kepada kaum bukan bumiputera bahawa dalam ATM ia bukan sekadar soal peperangan semata-mata.

Maksudnya, dalam ATM juga terdapat bidang-bidang lain seperti teknologi maklumat, perubatan dan kejuruteraan, pendek kata apa juga kerjaya yang ada di luar ATM, ia hakikatnya ada dalam pasukan itu.

Semua faktor-faktor inilah yang perlu diketengahkan dan diperhebatkan penerangannya kepada masyarakat bukan bumiputera. Ia hanya boleh dilakukan melalui kerjasama semua pihak seperti mana ditegaskan oleh Perdana Menteri.

Turut boleh dilakukan ialah melalui iklan-iklan di media elektronik seperti mana dilakukan dengan penuh 'gah' oleh negara-negara jiran dalam menggalakkan orang ramai tanpa mengira kaum menyertai pasukan tentera mereka.

Namun begitu, kita harus akui bahawa faktor ganjaran juga turut memainkan peranan seperti gaji, elaun dan sebagainya.

Malahan dalam perbincangan penulis dengan beberapa kaum bukan Melayu, mereka turut memberikan pandangan yang sama.

Justeru persepsi atau pandangan seumpama itu tidak boleh dibiarkan, sesuatu yang drastik perlu dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

Berikutan itu adalah tidak keterlaluan jika ATM melalui Kementerian Pertahanan merenung sejenak soal-soal ini.

Kajian yang mendalam perlu dilakukan termasuklah membandingkan gaji dan faedah yang diterima oleh pegawai dan anggota tentera di negara-negara maju.

Ia seperti ditegaskan oleh bekas Timbalan Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia, Ibrahim Ahmad yang mahu kelemahan seumpama itu diatasi.

"Jika benar masalah gaji, disiplin atau suasana dalam tentera yang menjurus kepada faktor kurangnya penyertaan bukan Melayu dalam ATM, kita berharap agar perkara ini boleh dibincangkan secara baik.

"Ini kerana tidak ada kuota yang mengehadkan penyertaan mana-mana kaum untuk menyertai tentera kerana ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak," katanya.

Sememangnya, perkara seumpama ini tidak boleh dipandang remeh kerana kita perlu menerima hakikat bahawa dalam suasana kehidupan yang menyaksikan segala kos meningkat, faktor 'survival' tetap memainkan peranan penting.

Apa pun isu kekurangan bukan bumiputera di dalam ATM ini adalah perkara yang perlu diberi perhatian dengan segera.

Janganlah kita hanya mengeluh dan membuat tafsiran sahaja sedangkan dalam masa yang sama tidak ada apa-apa yang dilakukan bagi memperbaiki keadaan.

2 comments:

Superman Can't Fly said...

Dulu dah apply TUDM few times, tapi x dapat dapat~~~minat, tapi x dapat.

ben sungib said...

Satu pandangan yang menarik.Saya setuju dengan pandangan penulis khususnya dari segi pendekatan yang seharusnya dilakukan oleh Kementah dan ATM untuk meningkatkan peratus penyertaan bangsa asing ke dalam ATM.

Memang benar perkara ini telah lama dibincangkan tetapi bezanya apabila ia dikaitkan dengan ahli politik ia menjadi agenda politik.

Saya yakin penulis arif masalah pokok (root cause) yang menyebabkan berlakunya fenomena ini. Apa yang dikatakan oleh Menteri Pertahanan itu ada kebenarannya, tetapi ia tidak terkecuali kepada bangsa asing sahaja. Ramai orang-orang Melayu juga termasuk di dalam 5 kategori spt yang disebut oleh DS Zahid Hamidi.Tetapi disebabkan bangsa Melayu menjadi majoriti di negara ini maka "representation"nya di dalam ATM kelihatan begitu menyerlah.

Pada hemat saya, sebab utama kurangnya penyertaan di dalam ATM ialah kerana kurangnya minat. Kalau seseorang itu berminat, dia akan menolak ke tepi faktor keuntungan ekonomi, faktor kekeluargaan, faktor kurangnya semangat patriotisme dan sebagainya, dan menyertai ATM. Faktor inilah yang perlu disuntikkan ke dalam jiwa pemuda-pemuda kita. Dan faktor ini perlu disemai sewaktu mereka berada di umur belasan tahun.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini