About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, December 16, 2010

MENYATU MENGUKUH DAN MEMPERKASA PERJUANGAN BEKAS TENTERA 1MALAYSIA

Sumber Majalah Perajurit Edisi Dis 2010
Oleh Hamzah Hd

Tanggal 10.10.10 telah mencatat sejarah buat julung-julung kalinya warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bernaung di bawah Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) berhimpun dalam jumlah yang begitu ramai. Hampir 20,000 orang bekas tentera bersama keluarganya berhimpun dalam satu perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Raksaksa PBTM bersama Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Razak.


Angka sebenar penyertaan peserta berdaftar yang dibiayai adalah seramai 16,881 orang manakala selebihnya adalah terdiri dari ahli PBTM yang tidak mendapat tempat bersama peserta yang dibiayai dan bekas-bekas tentera yang langsung tidak berdaftar sebagai ahli persatuan. Mereka datang dari segenap pelusuk negeri ke Stadium Bukit Jalil mewakili cawangan masing-masing secara berkumpulan maupun secara individu untuk mendengar apakah mesej yang hendak disampaikan oleh pemimpin negara bagi membela, memperjuang serta mempertingkatkan ekonomi bekas tentera.

Perhimpunan ini berjalan dalam suasana harmoni, gembira dan terharu. Harmoni dalam ertikata intraksi di antara kaum yang berbilang bangsa dan etnik seperti mana yang diamalkan semasa di dalam perkhidmatan masih utuh dan terpelihara walaupun mereka sudah terserap ke dalam masyarakat luar yang semakin transisi dan terjebak dengan semangat perkauman.

Gembira sesekali keluar bebas dari runtunan tuntutan mencari nafkah yang tidak ada jalan penghujung, berintraksi dengan kawan-kawan lama yang terpisah belasan malah puluhan tahun walaupun ada yang sudah samar ingatan dan fizikal yang banyak berubah ditelan usia.

Terharu dengan pertemuan rakan-rakan lama tanpa terduga dan mengimbau kenangan pahit manis semasa meniti perjuangan bersama menentang pengkhianat negara. Ada yang datang bertongkat, berkerusi roda, dipimpin waris kerana penglihatan sudah tiada. Ada yang datang pada zahirnya segak bergaya tetapi hakikat sebenar kakinya sudah tiada cuma kaki palsu penghias sementara. Fenomena ini bukan kerana angkara kemalangan jalanraya seperti yang dialami Mat Rempit generasi masa kini tetapi mereka hilang sesuatu yang berharga kerana mempertaruhkan jiwa raga mereka berjuang untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.



Mereka berhimpun pada kali ini dan mungkin pertama dan terakhir pada sesetengah mereka bukan untuk dirai tetapi untuk menyatakan manifestasi kepada menteri dan rakyat seluruhnya bahawa bumi bertuah yang mereka telah rintis dan terokai keamanannya puluhan tahun lampau mesti dijagai supaya kesinambungan keamanan ini mesti diwarisi oleh anak cucu. Jangan dibiarkan walau seinci pun bumi keramat ini dijajahi sekali lagi.

Memetik dan menghayati bait-bait puisi yang dinukilkan oleh Pak Nuri Angkasa… “Kita veteran diajak ke sini di Bukit Jalil, bumi bertuah anak bangsa bukan untuk memilih bakal juara sukan negara atau menerima taklimat Operasi Sapu Habis, memburu pengganas komunis di lokasi hutan simpan Hulu Bendul pun tidak lagi ada CO Parade sabtu depan…..Tapi kita dipanggil ada pesan dari sejarah silam ada berita penting dari bumi perbatasan Gubir, Gua Musang, Pulai, Padang Tenku, Tanjong Tualang, Sungai Ruan, Tanjong Kunyit , Lundu, Kalabakan dan berbilang ratusan lagi bumi yang hangus dibakar api peperangan….

Justeru kawanku wira veteran, kita di sini diajak mengingati saat-saat getir dalam perjuangan berdarah ketika menentang keganasan pengganas komunis, kita diajak mengingati detik-detik sayu rakan-rakan wira yang gugur kerana menjulang sejarah, maruah anak bangsa menjulang maruah Angkatan Tentera kita maruah yang sudah sebati tertanam dalam tubuh yang sudah bersarang seribu luka dari kesan tembakan
tubuh yang masih tinggal cuma sekepal daging membungkus tulang masih dapat bertahan buat mengisi tugas bakti dalam satu lagi pengembaraan menghabiskan sisa-sisa hidup yang terus berbangga TERCAPAINYA KEMERDEKAAN NEGARA TANPA TUMPAH SETITIK DARAH !! tapi…. hendaknya sejarah tidak lupa tentang sejarah perjuangan berdarah kami di perbatasan demi kemerdekaan negara…..”

Menyatu

Memang wajar pimpinan memberi perhatian kepada usaha menyatu dalam konteks perhubungan, ikatan silaturrahim dan fahaman dalam kalangan bekas ATM selepas menamatkan perkhidmatan walau apa pun pangkat mereka sejauh mana pun jumlah perkhidmatan mereka. Jika di dalam perkhidmatan semua anggota bersatu dalam satu ikatan divisional tetapi setelah berhenti mereka seperti enau di dalam belukar, masing-masing melepaskan pucuk masing-masing. Di kala Sang Prebet terkial-kial mencari kesesuaian untuk kerjaya kedua selepas keluar dari perkhidmatan, Sang Panglima yang sedang enak bergelar korporat di gedung konglomerat tidak lagi mahu memandang ke bawah menghulur bantuan kepada Sang Prebet yang dulu menyokong dirinya berdiri tegak. Ke mana perginya bapak-bapak Jeneral selepas bersara. Hanya seorang dua sahaja yang turun berpesatuan. Sepatutnya mereka kembali memimpin di arena persatuan. Strategi dan taktikal mereka sangat berbisa dan PBTM memerlukan pemimpin-pemimpin yang dinamik dan berwibawa untuk meneruskan perjuangan.

PBTM ditubuhkah dengan hasrat penyatuan dapat dilaksanakan untuk melihat dan memberi bimbingan supaya tidak ada yang tercicir dan kebajikan mereka terbela. Bilangan bekas tentera terlalu ramai dan tahap kehidupan mereka berbeza-beza. Ada di kalangan mereka dapat mengenal pasti potensi diri dengan peluang-peluang ekonomi yang terbuka luas dan ada pula yang tidak begitu beruntung dan berjaya. Ramai bekas tentera yang hidup susah, berdepan dengan masalah perumahan, kesihatan, pemakanan dan lain-lain keperluan asas.


Sebenarnya apa yang dihasratkan tidak berlaku secara otomatis dan sistemetik kerana masih ramai dari kalangan bekas tentera yang tidak bersatu di bawah PBTM samada mereka-mereka yang senang maupun yang susah. Mereka yang senang dan berjaya tidak mahu berkongsi kejayaan mereka di dalam persatuan dan mereka yang susah juga tidak berusaha menjadikan PBTM sebagai tempat mengadu masalah. Maka timbul persoalannya adakah sejak penubuhan PBTM dari tahun 1922 betul-betul berfungsi sebagai penyatu kepada bekas tentera dan telah membela kebajikan ahli-ahlinya?. Tiada jawapan yang spesifik dalan persoalan ini tetapi kemungkinan ada kaitan dengan beberapa fenomena yang berlaku yang mana sebahagian daripada bekas tentera sebenarnya tidak menjadi ahli PBTM atas alasan persatuan tidak berupaya merubah sosio-ekonomi mereka kepada satu keadaan yang boleh dibanggakan.

Sehingga kepada suatu perkembangan, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) ditubuhkan di bawah Kementerian Pertahanan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2000. Jabatan ini dipertanggungjawabkan untuk membantu dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan memelihara kebajikan pesara tentera setelah menamatkan perkhidmatan dalam ATM.

Visi dan objektif JHEV kelihatan selari dengan apa yang diperjuangkan oleh PBTM sebelum ini malah dari segi keupayaan, JHEV yang berada di bawah struktur Kementerian Pertahanan lebih berketrampilan sebagai penaung kepada bekas tentera yang ahlinya secara otomatis kerana mempunyai sumber kewangan yang disalur khas oleh kerajaan untuk kepentingan kebajikan bekas tentera. Tenaga kerja dari perkhidmatan tetap memberi komitmen sepenuhnya bagi mencapai visi dan misi jabatan. Sedangkan PBTM tidak mempunyai hasil yang konsisten dari usaha sendiri melainkan memohon bantuan juga dari kerajaan dan derma dari sumber-sumber tertentu di samping jadual waktu kerja yang terhad dan lebih bersifat sukarela.

Tren mutakhir, banyak persatuan-persatuan yang berasaskan Kor telah ditubuhkan dan memberi fokus kepada ahli dari kor-kor yang terlibat tetapi meletakkan wawasan yang sama berasaskan silaturrahim dan menjaga kebajikan kepada anggotanya. Sejauh mana keupayaan itu hanya masa yang menentukan untuk sama-sama kita tunggu dan lihat.
Satu lagi alternatif bekas-bekas tentera telah aplikasikan ialah dengan menyertai Pertubuhan-pertubuhan parti politik sebagai wadah perjuangan untuk mendapatkan sesuatu kebajikan atau agenda peribadi seperti permohonan tanah, tempat tinggal dan peluang pekerjaan atau perniagaan. Ini adalah berikutan kuasa memberi tanah dan seumpamanya adalah bidang kuasa kerajaan tempatan walaupun ada pekeliling yang mengatakan bekas tentera layak mendapat tanah tapak rumah atau tanah pertanian milik kerajaan walau di mana sahaja mereka berada namun kerajaan tempatan mempunyai hak mutlak dan sudah tentu merit berpihak kepada ‘orangnya’.

Walaupun apa alasan dan kaedahnya, usaha ke arah penyatuan di bawah satu payung persatuan harus digerakkan dan perlu diberi nafas supaya kewujudannya tetap relevan kepada bekas tentera tanpa perlu menonjolkan persaingan bahkan saling melengkapi di antara satu sama lain.

Bagi mencapai objektif ‘menyatukan bekas-bekas tentera’ melalui penguatkuasaan Akta Veteran yang akan diperkenalkan suatu hari nanti mesti mewajibkan atau keahlian bekas tentera di dalam PBTM adalah mandatori dan berlaku secara otomatis tanpa perlu membuat apa-apa permohonan seawal tamat perkhidmatan. Statistik keahlian PBTM setakat ini adalah seramai 149,000 dan masih ada lagi lebih kurang 200,000 orang yang belum menjadi ahli. Jika akta Veteran tidak ‘memaksa’ angka yang selebih ini maka matlamat untuk penyatuan bekas tentera secara mutlak ke dalam PBTM tidak akan tercapai sepenuhnya.

Memperkukuh Dan Memperkasa Perjuangan

Bagi memperkukuh dan memperkasakan perjuangan bekas tentera 1Malaysia seharusnya bermula dari kekukuhan sosio-ekonomi keluarganya terlebih dahulu.
Bagi mereka yang sudah tidak berdaya disebabkan faktor usia dan kecacatan kekal akibat pertempuran dan sebab-sebab lain perkhidmatan masa lalu, kerajaan perlu mengkaji dari masa ke semasa faedah-faedah persaraan yang berupa kadar imbuhan pencen, pemberian insentif khas, pemberian faedah dan bantuan kesihatan, elaun pelajaran, bantuan perumahan serta khairat kematian dan lain-lain.

Bagi bekas tentera yang baharu menamatkan perkhidmatan, mereka boleh diberi pilihan dengan memberi peluang-peluang pekerjaan/perniagaan yang sesuai dengan minat dan kebolehan bagi meneruskan kerjaya kedua sejajar dengan usaha mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Apakah selama ini kerajaan melalui agensinya terlepas pandang tentang perkara ini?. Pada pemerhatian penulis, jawapannya tidak. Malah segala ruang dan peluang telah disediakan untuk memperlengkapkan seseorang itu sebelum bergelar pesara dan peluang yang sama terbuka luas semasa bersara dengan ilmu yang cukup cuma seperti kata pepatah seseorang hanya mampu mengheret kuda ke kolam tetapi yang pastinya tiada siapa yang boleh memaksa kuda itu untuk minum. Bila mereka gagal mendapatkan pekerjaan dengan cara biasa, kebanyakan mereka mengharapkan persatuan boleh membantu. Bila mereka gagal mendapatkan ‘pertolongan’ daripada PBTM bagi menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai untuk mereka, maka mereka membuat tafsiran bahawa PBTM gagal menjaga kebajikan mereka.

Apa yang penulis ingin tekankan ialah kebanyakan bekas tentera yang gagal bersaing adalah banyak berpunca dari sikap dan kelemahan pengurusan diri sendiri. Golongan ini sebenarnya sangat ramai dan tidak mampu berdikari walaupun mereka mempunyai ilmu, pengalaman dan kemahiran. Mereka perlukan satu organisasi yang mentadbir mereka, dengan kata lain mereka boleh bekerja dengan arahan orang lain yang bergelar majikan.
Oleh sebab itu tidak hairanlah jika sektor kawalan keselamatan didominasikan oleh bekas tentera yang menjadi pengawal. Walaupun mereka ‘malu’ menyarung uniform pasukan kelas ketiga, tetapi mereka tiada pilihan. Sektor ini sinonim dan sangat memerlukan perkhidmatan mereka tanpa ada birokrasi tetapi gaji mereka tidak setimpal dengan pengalaman dan kemahiran mereka. PBTM patut mengambil tanggungjawab berjuang untuk penambahbaikan sektor ini. Mungkin Akta Veteran boleh menggariskan satu plan yang komprehensif untuk meletakkan bekas-bekas tentera kepada satu tahap yang lebih ‘berharga’ dan jika sektor kawalan keselamatan yang inginkan perkhidmatan mereka harus membayar dengan harga yang ditetapkan oleh Akta Veteran yang bakal dibentangkan nanti.

Justeru, Akta Veteran perlu mewajibkan semua bakal pesara mendapatkan sijil kemahiran sekurang-kurangnya samada di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) atau pun pusat- pusat kemahiran awam sewaktu menjalani proses peralihan supaya mereka dapat bersaing dan memenuhi keperluan majikan apabila berada dalam masyarakat luar yang lebih kompetetif. Sesuai dengan pengiktirafan PERHEBAT yang akan menjadi sebuah kolej universiti menjelang 2015 nanti akan meletakkan ia sebagai institusi yang unggul dalam menawarkan peluang kursus dan latihan berkemahiran tinggi kepada bakal dan pesara ATM. Diharapkan selepas ini graduan lepasan PERHEBAT akan laku di pasaran pekerjaan.

Memperkasa perjuangan mempunyai dimensi yang pelbagai. Dato’ Seri Najib menegaskan dalam ucapannya bahawa bekas tentera adalah benteng pertahanan barisan kedua. Dengan penyatuan dan pengukuhan yang dibina di bawah satu bumbung PBTM, bekas tentera diminta untuk mengembleng tenaga secara kolektif untuk menentang apa saja ancaman samada dari luar atau dalam. Atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam, tiada kompromi kepada segala bentuk dan sebarang unsur yang ingin merungkai kedaulatan dan perlembagaan dan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir sebagaimana sumpah setia kepada negara semasa dalam perkhidmatan ATM dahulu.
Bagi mendukung wawasan 2020 negara, selaku pejuang barisan kedua mengenggam falsafah kestabilan politik adalah asas kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru setiap orang daripada warga veteran harus tahu memain peranan dan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi bagi menentukan kesinambungan pimpinan yang boleh menentukan kestabilan dan keamanan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.

Sesuatu yang sangat mendukacitakan daripada statistik yang diumumkan oleh Presiden PBTM Dato’ Muhammad Abdul Ghani semasa ucapannya daripada 74,205 orang yang berpencen didapati hanya 40,355 orang sahaja yang berdaftar sebagai pengundi. Jika ini kenyataannya PBTM dan Persatuan-persatuan Kor dalam ATM perlu mengambil inisiatif untuk memastikan semua bekas tentera layak dan keluar mengundi walau apa juga fahaman politik.

Sebagai usaha memperkasa perjuangan untuk mendapat pengiktirafan hak-hak keistimewaan bekas-bekas tentera, tampuk pemerintahan yang tidak mengiktiraf musuh lampau berada di dalam negara adalah calun terbaik yang perlu disokong untuk merealisasikan dan memastikan segala perancangan yang sudah dirancang tidak terbantut.

Penutup

Jika kita mengimbau sejarah penjajahan asing di tanahair, Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Bintang 3, konfrontasi Indonesia dan berhadapan dengan ancaman komunis dari tahun 1945 hingga 1989, jiwa yang patriotik pasti akur dengan jasa dan budi pahlawan samada yang sudah gugur sebagai bunga-bunga bangsa maupun yang masih hidup.

Meskipun negara beroleh kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tetapi hakikat sebenar sebelum dan selepas merdeka, banyak keringat dan darah pahlawan mengalir di bumi ini. Jadi sewajarlah sebagai sebuah kerajaan dari sebuah negara yang terbina dari jasad dan darah pengorbanan perajurit memberi fokus penambahbaikan berterusan kepada individu dan organisasi yang mereka wakili demi kelangsungan hidup yang lebih baik di luar perkhidmatan.

Pimpinan PBTM samada di peringkat bahagian maupun cawangan, jawatan anda adalah amanah yang perlu dilunasi. Usaha menyatu, mengukuh dan memperkasa perjuangan PBTM keseluruhannya mesti digerakkan mulai detik ini. Jangan khianati kepercayaan ahli terbanyak. Penulis terkejut bila dapat tahu dari mulut peserta sendiri tentang wang saku yang sepatutnya mereka terima telah diselewengkan sedangkan peruntukan oleh PBTM Pusat untuk semua bahagian bagi menyertai program ini adalah sama banyak tetapi sampai kepada sasaran dengan jumlah yang berbeza-beza. Jika beginilah sikap dan wajah sebenar pemimpin-pemimpin negeri yang terlantik, usaha menyatu, mengukuh dan memperkasa perjuangan bekas tentera hanya akan menjadi suatu angan-angan. PERAJURIT

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini