About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, June 27, 2010

MEDIA MERAKAM PERANG PANGKOR

sumber: Majalah Perajurit Isu jun 2010
Oleh Hamzah Hd.

Sempena hari ulang tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke 76, satu slot program Hari Bersama Media telah dilaksanakan pada 28 Apr 2010 yang melibatkan semua media tempatan. Kerjasama ini boleh dikatakan menjadi program tahunan bagi menzahirkan terima kasih dan penghargaan TLDM kepada media yang telah banyak membuat liputan dan pablisiti positif sepanjang tahun 2009 di samping memberi peluang kepada pengamal media berintraksi secara terus dengan Navy people yang berada di barisan hadapan pertahanan maritim negara.

Tanpa liputan berterusan dari pihak media, rakyat tidak akan tahu peranan yang telah dimainkan oleh TLDM khususnya di samping perkembangan-perkembangan terkini yang berhubung kait dengan TLDM dalam konteks pertahanan maritim negara.

Di samping media arus perdana, masyarakat hari ini mempunyai banyak alternatif di dalam memperolehi sumber berkaitan TLDM terutamanya berkaitan dengan keupayaan aset-aset dan kelengkapan yang dimiliki melalui rencana dan perbincangan di media baru yang terbit dari spekulasi negatif dari anasir-anasir yang mempunyai agenda perang saraf bagi menidakkan keupayaan sebenar angkatan laut negara.

Lebih buruk daripada itu, media kepartian turut mencipta keaiban yang serupa bertujuan untuk menzahirkan kelemahan agensi-agensi yang berkait dengan kerajaan pemerintah.

Sebagai rakyat Malaysia, tindakan ini boleh diumpamakan seperti meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri kerana sepatutnya agenda pertahanan tidak perlu dipolitikkan malah semua warganegara seharusnya memberi sokongan seratus peratus setiap agenda untuk memperkasakan pertahanan selagi ianya berjalan mengikut landasan yang betul.

Justeru, peluang keemasan media bersama TLDM ini dapat memberi kefahaman tentang cara hidup, budaya dan tradisi tentera laut dengan lebih jelas dan mendalami permasalahan, risiko yang mereka hadapi semasa menjalankan tugas. Dengan cara ini media arus perdana dapat menghayati dan menterjemahkan dengan laporan-laporan yang adil, telus dan konsisten bagi melonjakkan imej serta reputasi TLDM. Sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat terhadap kewibawaan TLDM khususnya di dalam mengawal dan menjaga sempadan perairan maritim negara dari segala ancaman dan pencerobohan.

Perang Pangkor

Perang Pangkor telah dilaksanakan oleh TLDM sejak 2006 yang diadaptasikan dari Thursday War (Perang Khamis) yang dilaksanakan oleh Tentera Laut Diraja British. Eksesais ini dilaksanakan pada tiap-tiap hari Khamis selama 12 jam bagi setiap siri.

Ianya melibatkan semua kapal-kapal yang beroperasi yang berada di Pangkalan TLDM Lumut dan keluar ‘bertempur’ seawal jam 0500. Ianya bertujuan untuk menguji tahap pengoperasian kapal, sistem dan persenjataan di samping usaha berterusan bagi mempertajamkan kemahiran warga kapal di dalam pengendalian semua peralatan dan menguji prosedur dan taktikal dalam menghadapi pelbagai dimensi peperangan. Membina persefahaman antara kapal-kapal yang terlibat berasaskan piawaian prosedur operasi yang telah ditetapkan di samping membina persefahaman dan semangat setiakawan sesama sendiri.

Setiap siri perlaksanaannya berpandukan direksi pemula perang samada eksesais dalam konteks navigasi yang mengandungi latihan Orang Jatuh Laut, Menggeledah, mendarat dan sebagainya. Permainan olahperang ancaman peperangan 4 dimensi adalah menjadi subjek yang paling utama kerana ianya melibatkan manipulasi taktikal pemain, penderia-penderia, sistem intergrasi kombat, dan persenjataan.

Dalam masa yang sama latihan melawan kebakaran dan mengawal kerosakan (DCFF) terus diberi perhatian serius untuk menentukan kapal boleh terapong dan bergerak untuk berperang. Dengan cara ini warga yang terlibat lebih fokus dan mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan yang ada sebagai persiapan menghadapi eksesais yang berskala besar yang lebih mencabar yang telah direncanakan sepanjang tahun malah lebih yakin dan bersedia untuk menghadapi peperangan sebenar jika terpaksa berbuat demikian.

Tim Pemeriksaan dan Penilaian (P&P) dan Latihan Penyesuaian Laut (LPL) dari Bahagian Kesiagaan Markas Armada bertanggungjawab sebagai pemerhati dan penilai keberkesanan setiap kali eksesais ini dilaksanakan. Selat Melaka atau kawasan segitiga WMD 413 yang telah digazetkan sebagai kawasan latihan penembakan menjadi medan untuk perlaksanaan eksesais ini.

Senario Perang Pangkor Siri 6/2010

Laporan media Negara Jingga telah mengapi-apikan sentimen politik negara. Motif mereka untuk melemahkan moral warga armada melalui media berunsurkan hasutan pemikiran negatif. Hal ini berlaku berikutan rasa irihati Negara Jingga terhadap pencapaian TLDM dalam pelbagai peringkat operasi maritim yang telah membawa banyak kejayaan kepada negara.

Berasaskan direksi pemula perang di atas maka Gugus Tugas 33.4 (GT 33.4) telah dibentuk dan keluar pelabuhan pada jam 1330H dalam suasana ancaman. Bagi menentukan semua ancaman diberi tentangan, GT 33.4 keluar pelabuhan dalam keadaan Stesyen Bertindak dengan kawalan kerosakan kapal dipertingkat kepada 1 keadaan Zulu (1Z). Tim Panduarah Terang dirapatkan untuk menentukan kapal melalui koordinat kawasan bebas Ranjau yang telah diberi sewaktu keluar pelabuhan.

Kawalan Kerosakan Kapal Tahap 1 adalah merupakan tahap yang paling tinggi persediaan kawalan kerosakan kerana kapal pada waktu ini sedang menerima ancaman yang pasti semasa di laut maupun semasa Operasi Janggal. Semua anggota kapal merapat di posisi masing-masing yang telah ditetapkan mengikut Watch and Station Bill.

Kondisi kekedapan air adalah ZULU dan kondisi kekedapan gas (jika terlibat dengan peperangan kimia) ialah ZULU ALPHA (ZA) akan dikuatkuasakan Ini bermakna semua pembukaan yang bertanda X, Y dan Z ditutup dengan sempurna supaya semua warga kapal terlindung dari pancaran letupan, kilat , kebakaran dan gas.

Kawalan Kerosakan Kapal Tahap 2 yang juga masih di dalam suasana perang samada di pelabuhan atau di laut yang mana kekuatan anggota yang merapat di bahagi kepada 2 bahagian (50%) iaitu Awasan Port dan Starboard. Kondisi kekedapan air adalah YANKEE (Y) dan kondisi kekedapan gas (jika terlibat dengan peperangan kimia) ialah YANKEE ALPHA (YA) akan dikuatkuasakan. Pembukaan yang bertanda Y dan Z mesti ditutup sebagai persediaan untuk menghadapi segala kemungkinan dan kapal sentiasa berada dalam keadaan kedap air dan gas.

Kawalan Kerosakan Kapal Tahap 3 adalah kapal dalam suasana aman samada di laut atau di pelabuhan. Kekuatan anak-anak kapal yang bertugas adalah satu pertiga dari kekuatan penuh. Kondisi kekedapan air adalah X-RAY (X). Hanya pembukaan yang bertanda X sahaja yang ditutup. Namun begitu ianya boleh dibuka tetapi memerlukan kebenaran terlebih dahulu. Dalam keadaan tertentu seperti melalui kawasan kabus, mealui terusan sempit, dan lain-lain evolusi, kondisi kekedapan air boleh dipertingkat kepada Y.

Di dalam konteks kawalan kerosakan kapal, pembukaan yang bertanda X, Y dan Z adalah suatu indikasi bagi menunjukkan tanda kekedapan bagi sesuatu kompartmen yang harus dikawal pembukaannya supaya dalam situasi-situasi tertentu warga dapat berlindung dari percikan bahan letupan, pancaran dan api kebakaran dan juga untuk mengawal dari merebaknya kebanjiran jika berlaku sesuatu kebocoran yang disebabkan terkena tembakan dan seumpamnya. Justeru bagi langkah pengawalan di dalam tahap-tahap ancaman tahap 1, 2 atau 3 , arahan dikeluarkan untuk peringatan kepada anak-anak kapal.

Satu lagi keadaan di mana jika kapal memasuki kawasan peperangan kimia, kawalan kerosakan kapal akan dipertingkatkan kepada 1 keadaan Zulu Alpha (1 ZA). Semua tempat yang bertanda A, M dan R akan diurus oleh Kawalan Kerosakan Pusat (DCHQ). Bagi anggota yang disyaki dicemari bahan kimia akan menjalani prosedur pembersihan di ruangan Citadel terlebih dahulu sebelum dibolehkan bercampur dengan warga lain di dalam kapal.

Wakil media telah diberi peluang untuk membuat liputan secara dekat senario Perang Pangkor untuk siri kali ini telah merakamkan aktiviti-aktiviti GT 33.4 yang terdiri dari KD SRI INDERASAKTI (SIS), KD LEKIU dan KD KEDAH sebagai platform permukaan. Helikopter Super Lynx, Fennec, dua buah Jet Pejuang Bae Hawk TUDM sebagai elemen udara dan Tim Penggempur Pasukan Khas Laut (PASKAL) bersama rigid-hulled inflatable boat (RHIB) dari KD PANGLIMA HITAM.

Setelah kapal melepasi kawasan bebas Ranjau, pada jam 1530H, satu demontrasi menggeledah di atas kapal SIS oleh PASKAL bagi menyelamatkan tebusan dalam satu misi anti keganasan dengan kaedah kemasukan dengan menggunakan RHIB dan helikopter Fennec dan setelah misi berjaya Super Lynx membawa keluar anggota PASKAL dengan kaedah spy rig.

Pada jam 1615H, GT 33.4 telah diserang oleh dua buah Jet Pejuang Bae Hawk dari 6 Skuadron TUDM Kuantan. Satu peluang yang amat sukar dan jarang diperolehi oleh mana-mana orang awam untuk menjengah di dalam bilik Pusat Informasi Kombat (CIC).

Di dalam program ini wakil-wakil media di beri peluang untuk merasai suasana sebenar bagaimana Tim CIC mengendali sistem intergrasi kombat yang sistematik bagi mengesan, mengenali dan menjejak kontek yang akhirnya diterjemahkan dengan memusnahkan samada musuh udara, permukaan dan bawah permukaan dengan kuasa persenjataan yang dimiliki oleh setiap platform terbabit. Di bilik yang hanya diterangi oleh cahaya dari skrin radar ini sebenarnya memerlukan kombinasi pengetahuan, kemahiran dan persefahaman yang tinggi di antara ‘panglima perang’ (Principle Warfare) dengan anak-anak buahnya. Setiap ahli dalam tim ini seharusnya tahu dan peka dengan peranan masing-masing dari peringkat pengumpulan maklumat dari sumber-sumber yang ada, menilai ancaman dan bertindak dengan kebijaksanaan taktikal dalam masa yang terhad untuk memusnahkan musuh.

Jam 1730, Pegawai Bertugas Anjungan (PBA) GT 33.4 , mempamirkan kemahiran manuvra dengan gerakan-gerakan sukar mengikut formasi-formasi yang diarahkan. Semasa manuvra ini dilakukan media terpilih diberi peluang membuat rakaman dari udara.

Jam 1850H, evolusi Pemindahan Ringan Jackstay (berat beban kurang 500kg ) telah dipertontonkan kepada media. Kapal yang terlibat ialah di antara LEKIU sebagai kapal pembekal dan SIS sebagai kapal penerima. Tugas kapal pembekal ialah menyediakan semua peralatan pemindahan dan PBA bertanggongjawab mengawal jarak yang konsisten di antara kedua-dua kapal terlibat supaya risiko perlanggaran tidak berlaku dan bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Jam 2000H, GT 33.4 melakukan penembakan malam dengan menggunakan sasaran udara di mana salah satu unsur menembak rocket flair diikuti dengan tembakan bertubi-tubi dengan menggunakan Meriam 30mm dan General Purpose Machine gun (GPMG) ke arah cahaya roket.
GT 33.4 kembali merapat di Jeti Operasi Markas Armada pada jam 0130H.

Natijah

Apa yang lebih bermakna hasil dari jumlah pendedahan yang dibuat oleh media ialah semangat ‘Sedia Berkorban’ warga TLDM dapat dikongsi dengan peningkatan sokongan dan semangat patriotisme rakyat terutamanya generasi muda untuk sama-sama sedia berkorban demi kestabilan negara. Demikian juga untuk menjana kefahaman dan semangat patriotik kepada etnik-etnik yang menjadi minoriti di dalam perkhidmatan TLDM supaya lebih ramai lagi menceburkan diri dalam kerjaya ketenteraan. Di dalam perkhidmatan TLDM khususnya, semua etnik minoriti diberi tugas dan tanggungjawab yang sama seperti kaum majoriti. Tiada diskriminasi dan ramai di antara mereka diberi kepercayaan untuk mengetuai di kapal-kapal perang malah di jabatan-jabatan strategik di pangkalan tanpa ragu terhadap kesetiaan mereka kerana tanggungjawab pertahanan negara adalah peranan semua warga yang bergelar warganegara.

Kepada kerajaan, supaya tidak ragu-ragu untuk membelanjakan sejumlah wang negara bagi memperlengkapkan TLDM ke tahap yang lebih kelihatan dominan sebagai usaha cegah rintang di dalam kalangan negara-negara di rantau Asean. Walaupun pada dasarnya Malaysia memilih diplomasi sebagai jalan penyelesaian kepada sesuatu peperangan namun ini tidak bermakna membangunkan sebuah angkatan laut kepada satu tahap dominan boleh di kesampingkan. Gendang perang ada kalanya dipalu tanpa menyoal samada pasukan bertelagah sudah bersedia atau tidak.

Apa yang jelas, navy people sangat komited untuk menjadi pemain yang versatile di dalam bidang mereka namun kerajaan harus memberi perhatian sewajarnya dalam konteks perolehan platform, peralatan dan persenjataan agar armada TLDM kelihatan lebih ‘bertaring’ untuk meletakkan TLDM lebih digeruni. Apa yang penting navy people akan lebih yakin untuk keluar berperang sebagai anak jantan dan moto ‘Sedia Berkorban’ menjadi pemangkin kepada keberhasilan di dalam setiap misi dan visi yang di gagaskan oleh TLDM. PERAJURIT

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini