About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, February 24, 2010

Tentera Darat tubuh pasukan helikopter tempur

Sumber utusan

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Tentera Darat (TD) mengorak langkah dalam perkembangan pertahanan negara dengan menubuhkan unit helikopter tempur dalam Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata, cadangan penubuhan unit helikopter tempur PUTD itu dijangka berhasil dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) kelak.

Jelasnya, kewujudan unit helikopter tempur itu penting bagi operasi melumpuhkan keupayaan musuh seperti memusnahkan kereta kebal, tempat perlindungan dan formasi pasukan peperangan musuh.

Kata beliau, permohonan mendapatkan helikopter tempur serta bilangan pesawat yang diperlukan itu telah dibuat melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan.

“Bilangan ideal bagi sesebuah pasukan helikopter tempur TD adalah di antara enam sehingga 12 buah, tetapi jumlah sebenar yang kami mohon tidak dapat saya nyatakan di sini,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun ke-77 TD pada 1 Mac depan.

Bagaimanapun, kata Muhammad Ismail, perolehan dan penubuhan unit helikopter tempur PUTD itu akan diputuskan oleh kerajaan berdasarkan kemampuan serta keperluan semasa.

Dalam perkembangan sama, katanya, Raja Muda Johor, Leftenan Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dijadualkan menjadi pembantu juruterbang dalam salah sebuah helikopter peninjau PUTD pada lintasan hormat bersama beberapa pesawat lain semasa sambutan ulang tahun ke-77 TD Isnin depan.

Jelasnya, baginda Raja Muda Johor yang ditauliahkan dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu telah menjalani latihan penerbangan asas dan penerbangan pengubahsuaian sehingga melayakkannya menjadi pembantu juruterbang.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini