About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, January 28, 2010

PENAMAAN DAN PENTAULIAHAN KAPAL DIRAJA SULTAN BADLISHAH

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jan 2010
Oleh Hamzah Hd.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menutup tirai sambutan Jubli Intan 75 tahun penubuhannya dengan menerima beberapa penambahan aset strategik ke dalam inventorinya. Di antaranya ialah aset kombat permukaan KD PERAK, aset kombat bawah permukaan KD TUNKU ABDUL RAHMAN dan dalam suasana kehangatan LIMA ’09, satu lagi pangkalan hadapan pertahanan negara ditauliahkan.

Pangkalan strategik ini yang lokasinya berada di Pulau Langkawi yang berperanan sebagai pemantau kemasukan kapal-kapal ke perairan Selat Melaka yang merupakan Selat yang tersibuk di dunia di samping bertanggung jawab menjaga keutuhan serta intergriti perairan Barat Laut Semenanjong Malaysia.

Kewujudan Pangkalan ini secara tidak langsung boleh memanjangkan bantuan dan pertolongan atau usaha sama kepada agensi-agensi kerajaan yang lain yang berada di kawasan ini dalam konteks domestik seperti bantuan kepada mangsa-mangsa bencana seperti banjir dan aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang sekali gus membantu meringankan beban supaya dapat bertugas dengan lebih baik dan berkesan.

Kehadiran sebahagian daripada anggota TLDM dan armadanya di sekitar perairan Langkawi ini dijangka sedikit sebanyak akan menjadikan perairan Langkawi lebih terjamin dari ancaman kegiatan penyeludupan, pelanunan yang memberi ruang kepada peningkatan sosio ekonomi penduduk dan seterusnya membawa kepada kemakmuran kepada negeri Kedah amnya.

SEJARAH KD SULTAN BADLISHAH

Pangkalan yang dimaksudkan ialah Pangkalan TLDM Langkawi yang terletak di kawasan Bukit Malut, mula beroperasi pada 1 okt 2007. Mengambil sempena nama KD SRI LANGKAWI iaitu sebuah kapal TLDM jenis Landing Ship Tank (LST) yang telah dilucutkan tauliah pada tahun 80an. Berperanan sebagai garrison dimana segala pengurusan pentadbiran pangkalan telah diletakkan di bawah unit ini.

Mengambil kira sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kedah kepada TLDM dengan meluluskan pembinaan pangkalan TLDM di Langkawi dan penghormatan yang tidak berbelah bagi kepada institusi Diraja khasnya Kesultannan Negeri Kedah Darul Aman, maka pucuk pimpinan TLDM telah mengambil keputusan untuk menukarkan nama KD SRI LANGKAWI kepada KD SULTAN BADLISHAH.

Pada 2 Dis 2009 bersamaan 15 Zulhijjah 1403H Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman telah berkenan bercemar Duli menyempurnakan acara Penamaan dan Pentauliahan KD SULTAN BADLISHAH (KDSB).
Penamaan KDSB dengan nama ini sangat bersesuaian dengan jasa bakti yang dicurahkan oleh Al-Marhum kepada negara.

Fungsi utama KDSB ialah sebagai unit pelaksana pentadbiran Pangkalan TLDM Langkawi. Terdapat tiga cawangan utama di dalam unit ini iaitu:

1. Cawangan Tadbir Pangkalan. Melaksanakan peranan yang merangkumi pengurusan rekod, khidmat dan kawalan anggota, keselamatan pangkalan dan tadbir awam.

2. Cawangan Bantuan. Melaksanakan peranan bantuan yang merangkumi pengurusan kewangan unit, senggaraan prasarana, khidmat kenderaan dan pengurusan wisma.

3. Cawangan Perubatan. Memberi bantuan perubatan dan kesihatan kepada warga TLDM khususnya dan pihak awam yang berkhidmat di pangkalan TLDM Langkawi.

Pangkalan ini juga mempunyai sebuah dermaga yang mana akan menempatkan kapal-kapal yang bernaung di bawah Markas Wilayah Laut 3 di samping sebagai persinggahan kapal-kapal TLDM lain yang beroperasi di kawasan ini untuk ulang bekal dan juga senggaraan kecemasan.

Komander Hj Jailani bin Adnan TLDM telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah yang pertama KDSB selepas pentauliahan ini.

RIWAYAT HIDUP AL-MARHUM KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN BADLISHAH


Al-Marhum Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Badlishah Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah diputerakan pada 10 Mac 1894. Baginda merupakan Sultan Kedah yang ke 29. Baginda merupakan seorang Sultan yang telah memerintah Negeri Kedah dengan adil dan bijaksana.

Darah keperwiraan dan cintakan bangsa yang ada dalam diri baginda adalah tinggi. Ini dapat ditunjukan sebaik sahaja menaiki tahta, baginda telah menggantikan semua pegawai daerah bangsa Eropah dengan orang Melayu.

Di samping menentukan pentadbiran Negeri Kedah Darul Aman ditadbir secara mutlak oleh anak tempatan, baginda telah meminda Perlembagaan Negeri Kedah dalam tahun 1948 yang secara langsung telah menghapuskan jawatan Penasihat British.

Dengan semangat patriotisme yang tinggi, baginda turut sama menentang penubuhan Malayan Union yang diusahakan oleh penjajah British pada ketika itu dan mendapat tentangan hebat oleh orang-orang Melayu. Di bawah pemerintahan baginda, Negeri Kedah telah mencapai pembangunan yang pesat dalam pelbagai bidang.

Semasa berlangsungnya Persidangan UMNO di Pulau Pinang, baginda telah diberi penghormatann untuk merasmikan persidangan tersebut dan mengibarkan bendera UMNO buat pertama kalinya. Peristiwa ini merupakan simbolik perjuangan orang-orang Melayu untuk pembebasan tanah air dari dibelenggu oleh penjajah Inggeris sejak tahun 1786 iaitu semasa Kepten Francis Light mengibarkan bendera Inggeris di Pulau Pinang yakni salah sebuah pulau yang pada asalnya milik negeri kedah.

Semangat patriotik yang sangat mendalam dalam diri baginda akhirnya telah menamatkan pengaruh Inggeris terutamanya dibumi Kedah. Baginda telah mangkat pada 13 Julai 1958.

Sempena pengabdian nama Al-Marhum Tuanku Badlishah kepada pasukan ini akan mewarisi dan mencontohi semangat dan perjuangan baginda kepada setiap lapisan navy peoples di dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Keterangan PELAKA KD SULTAN BADLISHAH

1. Lambang Bulan Sabit dan Bintang serta Tulisan Allah dan Muhammad Pada Mahkota. Menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi. Penerapan nilai-nilai Islam diutamakan di kalangan warga unit ini khasnya dan TLDm amnya semasa melaksanakan tugas.

2. Mahkota Berwarna Kuning. Memartabatkan institusi diraja sebagai lambang kedaulatan Negara, di mana DYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong adalah Ketua Tertinggi Angkatan Tentera.

3. Tulisan SULTAN BADLISHAH. Merupakan nama unit iaitu KD SULTAN BADLISHAH.

4. Tali Bersimpul. Perpaduan dalam kalangan warga unit untuk merealisasikan visi dan misi yang ditetapkan.

5. Tengkolok. Merupakan Lambang Rasmi Kesultanan Negeri Kedah.

6. Sauh. Menggambarkan salah satu unit di dalam TLDM.

7. Bunga Padi. Merupakan lambang utama bagi Negeri Kedah yang juga dikenali sebagai Jelapang Padi Negara.

8. Warna Hijau. Negeri yang aman dan salah satu warna pilihan Negeri Kedah.

9. Bunga Raya. Bunga Rasmi Malaysia.

10. Tulisan SEDIA BERKORBAN. Slogan TLDM yang sentiasa menurut arahan demi kepentingan dan kedaulatan Negara.

Natijah kepada kewujudan Pangkalan TLDM Langkawi umumnya dan KDSB khasnya bakal mengukuhkan benteng pertahanan maritim negara di samping menjalin perkongsian dinamik dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain serta masyarakat di wilayah permata negeri Kedah ini ke arah persefahaman keselamatan maritim secara menyeluruh dan konsisten dalam menangani bersama segala bentuk pencerobohan yang boleh menggugat maruah dan kedaulatan serta pertumbuhan ekonomi negara.
PERAJURIT

2 comments:

Anonymous said...

salam cik hamzah,

perkataan allah dan muhammad dalam lambang mewakili keutamaan allah dan muhammad dalam tugas.maknanya 2 perkataan ini dimuliakan.

soalan yang saya nak tanya, lambang itu disemat pada baju bukan?bagaimana kalau hamba allah tersebut ke tandas, jadi apa implikasi yang cik hamzah nak kata kata allah dan muhammad dimuliakan? perkara macam ni juga saya dapat lihat berlaku dalam kalangan unit tentera yang lain di mana semua barangan mereka ada tertera penulisan allah dan muhammad dan barangan harian mereka yang seperti tali pinggang, tshirt, surat dan sebgainya yang akhirnya lempar macam tu ja kalau tak digunakan lagi. kecewa bila 2 kata ni dilayan sewenang2.

hamzah said...

waalaikumusslam Dr Munirah. Bagi anggota TLDM khususnya Kalimah ini cuma ada tersemat pada buckle baret/cap dan buckle tali pinggang. Biasanya buckle2 ini ditinggalkan diluar semasa memasuki tandas. Ada sesetengah anggota tu, diorang kikis kalimah tu sehingga tidak nampak bentuk zahirnya. Allahuallam

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini