About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, December 5, 2009

Konsep 'Hanruh' melalui BTN

Sumber utusan
Oleh AZMI HASSAN

SEMEMANGNYA tidak adil untuk membandingkan kelengkapan sistem pertahanan di antara dua jiran iaitu Malaysia dan Singapura kerana kedua-dua negara mempunyai doktrin pertahanan yang agak berbeza.

Bukan sahaja doktrin yang tidak sama, tetapi peruntukkan perbelanjaan pertahanan juga jauh sekali ketara berbeza.

Tidak dapat dinafikan aset ketenteraan yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Singapura (SAF) menjadi idaman bukan sahaja negara seperti Malaysia tetapi juga untuk negara yang lebih maju dan kaya daripada Singapura.

Apa yang dipamerkan oleh SAF dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (LIMA'09) adalah manifestasi jelas mengenai perbezaan doktrin dan peruntukkan pertahanan di antara Singapura dan Malaysia.

Tetapi apa yang lebih penting adalah kerajaan Singapura dibenarkan memperuntukkan sehingga 6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk perbelanjaan pertahanan dan tidak menghairankan saban tahun SAF mendapat peruntukan pembangunan yang agak lumayan.

Berbeza dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), apa yang diperolehi hanyalah peratusan kecil daripada peruntukan SAF.

Sebab itu tidak memeranjatkan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan melihat kemampuan kewangan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membeli aset baru bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara termasuk helikopter bagi menggantikan perkhidmatan Nuri.

Tidak memeranjatkan kerana peruntukkan pertahanan ATM seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, perlu selaras dengan pembangunan seimbang antara sektor pertahanan dan sosio ekonomi.

Rata-rata rakyat Singapura begitu yakin dan selesa mengenai keselamatan, pertahanan dan kedaulatan negara mereka dan jika hendak diterjemahkan dalam persepsi yang lain, jati diri rakyat Singapura adalah begitu utuh dan kental sekali untuk sebuah negara berkeluasan 648 km persegi yang dikelilingi oleh jiran-jiran yang lebih besar.

Berbeza dengan kepercayaan umum, kekentalan jati diri rakyat republik tersebut tidak bergantung semata-mata kepada kehebatan sistem pertahanan SAF, tetapi lebih menjerumus kepada penglibatan secara menyeluruh rakyat Singapura dalam hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi, sosial, politik, keselamatan atau pertahanan.

Satu perkara yang begitu menarik mengenai konsep pertahanan yang diamalkan oleh Singapura ialah bagaimana setiap isu yang mereka hadapi diserapkan ke pemikiran rakyat mereka sebagai isu dan cabaran pertahanan dan kedaulatan.

Konsep yang diamalkan sebegini rupa nampaknya begitu berjaya, kerana isyarat yang hendak disampaikan kepada rakyat mereka supaya sentiasa berwaspada amat berkesan sekali.

Strategi sebegini yang diamalkan oleh Singapura sejak tahun 1984 lagi terkandung dalam konsep pertahanan yang dinamakan Pertahanan Menyeluruh.

Malah pada 15 Februari setiap tahun hari Pertahanan Menyeluruh diadakan untuk memberi peringatan kepada rakyat mereka supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran.

Tidak menghairankan apabila rakyat Singapura menganggap isu harga bekalan air dengan Malaysia sebagai isu pertahanan dan kedaulatan negara mereka kerana itulah strategi yang diamalkan oleh Pertahanan Menyeluruh. Berbeza dengan rakyat Malaysia yang menilai isu air ini pada landasan komersial, iaitu untuk mendapatkan keadilan dalam penetapan kadar harga air.

Malah tidak keterlaluan jika dibuat andaian bahawa jika timbul setiap isu yang melibatkan Malaysia atau jiran yang lain, maka persepsi rakyat Singapura adalah semua ini berkaitan dengan masalah pertahanan dan kedaulatan negara mereka. Begitulah hebatnya kesan dan peranan yang dipikul oleh Pertahanan Menyeluruh Singapura.

Malaysia juga mempunyai konsep Pertahanan Menyeluruh yang lebih dikenali dengan nama singkatan Hanruh yang mula diperkenalkan semenjak tahun 1986 lagi. Walaupun sudah lebih dua dekad diperkenalkan, majoriti rakyat Malaysia masih asing dengan ungkapan Hanruh kerana strategi ini tidak pernah dipraktiskan.

Secara dasarnya Hanruh Malaysia terdiri daripada lima komponen iaitu Keutuhan Masyarakat, Daya Tahan Ekonomi, Ketahanan Psikologi, Kesiagaan Awam dan Kesiagaan Keselamatan.

Walaupun strategi Hanruh tidak dipraktiskan secara tersurat terhadap rakyat Malaysia, tetapi secara tersiratnya konsep tersebut terdapat dalam kursus yang dianjurkan oleh Biro Tata Negara (BTN).

Tetapi begitu sedih sekali sejak kebelakangan ini terdapat tuduhan yang mengatakan kursus BTN boleh memecah-belahkan perpaduan kaum rakyat Malaysia.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menuntut supaya BTN ditutup terus atas alasan kononnya ia adalah salah satu punca kegagalan pembinaan negara bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Dalam hal ini adalah melegakan apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, Kabinet memutuskan untuk merombak kurikulum kursus BTN supaya bersifat lebih merangkumi semua pihak dan tidak membelah bahagikan rakyat Malaysia.

Tidak penting sama ada keputusan kabinet tersebut dibuat lebih awal dan bukan kerana desakan pihak tertentu. Tetapi kritikal kurikulum kursus BTN dirombak untuk menggambarkan konsep 1Malaysia Perdana Menteri.

Tetapi mungkin akan timbul masalah baru kerana pihak yang sama akan menuduh kurikulum baru tersebut tidak lebih merupakan propaganda kerajaan Barisan Nasional kerana terdapat kalangan tertentu yang sengaja tidak mahu memahami konsep 1Malaysia.

Adalah lebih elok jika rombakan tersebut merangkumi konsep kelima-lima komponen Hanruh kerana tidak akan ada lagi tuduhan bahawa kursus BTN merupakan alat promosi agenda politik Barisan Nasional.

BTN yang mempunyai struktur organisasi dan pengalaman yang matang kerana telah ditubuhkan semenjak 1974 lagi dilihat sebagai kaedah terbaik untuk menyerapkan konsep Pertahanan Menyeluruh bukan sahaja kepada penjawat awam dan pelajar universiti tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Tambahan pula dengan peruntukan BTN yang agak besar (RM74 juta untuk 2010), sudah pasti program pensebatian kelima-lima komponen Hanruh untuk rakyat Malaysia mampu dilaksanakan tanpa rintangan lagi.

Komponen BTN yang baru tidak semestinya mengikut acuan Pertahanan Menyeluruh Singapura kerana republik tersebut mempunyai agenda yang agak berbeza dengan Malaysia. Walaupun Malaysia tidak menghadapai masalah keselamatan atau pertahanan yang dianggap kritikal, tetapi konsep ini sebenarnya adalah lebih efektif diamalkan ketika masa aman berbanding dengan waktu darurat.

Masanya telah tiba untuk negara melaksanakan Hanruh melalui BTN kerana setiap waktu yang berlalu tanpa penerapan konsep tersebut akan merugikan negara.

Penulis ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Pelawat ISIS Malaysia.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini