About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, November 30, 2009

Peralatan tentera lebih canggih awasi sempadan

sumber utusan

GERIK 27 Nov. - Kementerian Pertahanan bercadang mempertingkatkan peralatan individu yang lebih canggih dan terkini untuk memudahkan penugasan anggota tentera darat (TD) mengawasi sempadan negara, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abd. Latiff Ahmad.

Abd. Latiff berkata, kerajaan akan mendapatkan maklum balas daripada panglima medan, para pegawai dan anggota lain pangkat bagi memberikan mengenai cadangan peralatan yang perlu diperuntukkan itu.

"Walaupun ancaman komunis tidak lagi wujud di negara ini, namun kita masih berhadapan dengan masalah pendatang tanpa izin dan kes penyeludupan (seperti dadah dan barang keperluan), oleh itu kita perlukan peralatan yang lebih canggih untuk mengawasi sempadan negara secara lebih terurus," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidiladha bersama warga Markas Taktikal 749 di Banding dekat sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Panglima Medan TD, Left. Jeneral Datuk Wira Hasbullah Ahmad Nawawi, Panglima 2 Divisyen Mej. Jen. Datuk Md. Noor Daud dan Panglima Briged Sempadan, Brig. Jen Azmy Yahya.

Beliau berkata, dengan adanya peralatan yang canggih itu, tentera darat tidak perlu lagi menempatkan anggota yang ramai di sempadan bagi menjaga keselamatan negara.

Katanya, kecanggihan peralatan ketenteraan itu dilihat dapat meningkatkan keyakinan dan kemahiran anggota secara berkesan termasuk disegani oleh negara serantau.

Bagaimanapun, peruntukan untuk meningkatkan peralatan itu bergantung kepada kedudukan ekonomi negara pada masa akan datang.

Katanya, walaupun peralatan sedia ada tidak setanding dengan negara maju namun anggota keselamatan negara mampu menunjukkan prestasi cemerlang kerana semangat juang dan disiplin tinggi.

"Kita (kerajaan) tidak pernah sangsi keupayaan anggota tentera. Walaupun tidak ramai, peralatan tidak canggih tetapi semangat berkorban mereka amat patut sentiasa dipupuk, sekiranya ada peperangan saya yakin kita boleh berjaya," katanya.

Abd. Latiff berkata, sekiranya ekonomi negara kembali pulih dalam masa terdekat ini, kementerian akan berunding dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menimbangkan pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 kepada setiap Anggota Tentera Malaysia (ATM).

"Kita ada seramai 120,000 anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan yang mana 80,000 adalah terdiri daripada TD sekali gus merupakan anggota yang paling ramai berkhidmat.

"Pada bajet lepas, anggota polis menikmati elaun kritikal itu. Menteri Pertahanan telah mengarahkan saya membuat perundingan itu (dengan JPA) yang akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

Mengenai majlis sambutan Aidiladha bersama warga tentera yang bertugas di sempadan, beliau melahirkan rasa bangga kerana ia merupakan kali pertama meraikannya sejak mengambil alih jawatan Timbalan Menteri Pertahanan.

Abd. Latiff meraikan anggota tentera yang bertugas di sempadan sempena sambutan Aidiladha sepanjang rangka lawatannya ke kawasan operasi, Kem Marker November dan Kem Gubir. - BERNAMA

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini