About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, September 12, 2008

MUZIK TLDM-PANCARAGAM PUSAT TLDM MEREALISASIKAN AMANAH

Oleh : Hamzah Hd.

Pancaragam secara definisinya ialah gabungan alat-alat muzik yang dimainkan secara berkumpulan yang mengeluarkan bunyi dan berbagai jenis irama. Keperluan muzik atau lagu dalam kehidupan seseorang manusia adalah sangat besar samada sebagai hiburan atau elemen pembakar semangat. Muzik kontemporari yang bersendikan lagu dan irama sememangnya tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan manusia kerana jalinan irama dan lagu sebagai penenang jiwa kepada sesetengah orang.

Muzik dalam konteks pasukan keselamatan juga tidak dapat dipisahkan kerana keperluannya amat tinggi dan mendesak. Hampir keseluruhan organisasi besar seperti ATM, PDRM, Dewan Bandaraya sehingga sekolah rendah dan menengah pun masing-masing mempunyai kumpulan pancaragam mereka sendiri. Namun peranannya adalah tertakluk kepada visi penubuhan mereka yang tersendiri.

Corp Of Drum

Pancaragam TLDM juga mempunyai sejarah penubuhan dan mengalami revolusi peningkatan yang tersendiri sejajar dengan perkembangan dan pengukuhan angkatan lautnya. Memikirkan untuk memberi perkhidmatan muzik dalam sesuatu acara atau perbarisan, maka lahirlah Corp Of Drum yang berpusat di HMS MALAYA Woodland pada tahun 1964 yang telah diidealisasikan oleh seorang pegawai Tentera Laut British.

Pada peringkat awal penubuhan, pemilihan anggota pancaragam adalah dari kalangan kelasi yang mempunyai minat dan berbakat dalam bidang muzik dan mereka belajar secara bersendirian. Seramai 28 orang anggota telah diberi latihan dengan instrumen muzik asas pancaragam. Bermula dengan aktiviti-aktiviti sekitar pangkalan seperti mengiringi perbarisan di padang-padang kawad dan persembahan pertunjukan kepada ahli-ahli keluarga TLDM.

Pengiktirafan

Sejajar dengan perkembangan, kemampuan dan keperluan TLDM itu sendiri, Pasokan Pancaragam telah dinaik taraf sebagai Pancaragam Pusat TLDM pada tahun 1976 dan diiktiraf penubuhannya pada tahu 1984 dengan mewujudkan perjawatan baru seramai lebih kurang 40 orang anggota yang dilatih secara berperingkat-peringkat dengan kepakaran khusus Pancaragam (PGM). Pemuzik-pemuzik mula diajar secara formal adalah sejak penubuhan sekolah muzik di KD PELANDOK pada tahun 1992.

Sesuai dengan pengiktirafan yang diberi, seorang pegawai dari tentera darat telah dipinjamkan sebagai pengarah muzik yang pertama untuk cawangan Pancaragam TLDM. Pada 1982, Lt Kdr Mohamad Nor bin Othman TLDM telah mengambil alih. Beliau telah menamatkan perkhidmatan dan diganti oleh Lt Kdr Khairel bin Harun TLDM hingga ke hari ini.

Penglibatan

Pancaragam Pusat TLDM kini mempunyai jadual kerja yang amat padat sepanjang tahun. Acara-acara dalam negara seperti perarakan Panji-panji Diraja, Kawalan Kehormatan menyambut tetamu-tetamu kerajaan dari luar negara, pembukaan/penutupan kejohanan sukan, majlis-majlis makan malam pembesar-pembesar negara, perbarisan istiadat pasokan-pasokan intra TLDM khususnya dan membantu keperluan cabang ATM yang lain memenuhi kalendar tahunan.

Jika rakan sepasokan yang lain meninggalkan anak isteri keluar ke perbatasan perairan, mereka juga tidak lekat di rumah memenuhi undangan di serata pelosok tanah air. Semangat sedia berkorban turut digengam sama seperti pasokan-pasokan lain. Misi dan Visi TLDM juga dijiwai dan diserlahkan dengan alunan irama muzik mengiringi derap langkah patriotik. Tanpa mereka, langkah perajurit menjadi sumbang dan tidak seragam. Keseragaman adalah asas ketenteraan.

Penglibatan Pasokan Pancaragam Pusat TLDM bukan sahaja berkisar di dalam acara-acara dalam negara malah paluan mereka telah bergema dalam acara city march di Yokohama Jepun semasa sambutan 50 tahun Japan Self Defence Forces pada 2002. Menjadi duta pelancongan Tourism Board of Malaysia dengan persembahan menarik An Evening Malaysia Truly Asia di Tokyo di samping membuat persembahan di dalam majlis koktel anjuran kapal-kapal TLDM di Republic of Korean Navy dan Manila. Pada tahun 2006 sebahagian daripada anggota terlibat dalam pertunjukan di Brunei Darussalam.

Gubahan

Pada dasarnya peranan Pasokan Pancaragam 
Pusat TLDM dan lain-lain adalah memberi perkhidmatan muzik untuk mengiringi perjalanan atau kawad pasokan kawalan kehormatan atau ketumbukan dalam perbarisan supaya menaikkan semangat anggota dan bertindak untuk menyeragamkan langkah ketika berkawad.

Kebanyakan lagu-lagu patriotik pada asalnya digubah oleh penggubah-penggubah lagu tanahair dan masih diguna pakai hingga ke hari ini. Lagu-lagu berentak march pengenalan khusus untuk sesuatu pasokan seperti lagu ‘Samudera Raya’ ( TLDM), Perwira Angkasa TUDM), Gagah Setia (TDM) dan lain-lain kor masing-masing mempunyai lagu-lagu pengenalan di samping lagu-lagu patriotik ATM seperti ‘Perajurit Tanahair’ dan Tentera Benteng Pertahanan Negara’. Iramanya bukan sahaja boleh menaikkan semangat sewaktu berjalan malah senikatanya juga adalah pembakar semangat supaya tidak gentar untuk mempertahankan tanah air. Walaupun begitu, lagu-lagu pop dan asli dari pelbagai rentak turut digubah semula mengikut kesesuaian sesuatu majlis atau acara.

Cadangan Pembangunan

Keberkesanan sesebuah pancaragam adalah selain dari kemahiran pemainnya, kombinasi instrumen yang mencukupi adalah sangat penting untuk menghasilkan bunyi lagu yang menarik. Sehingga kini boleh dikatakan semua keperluan instrumen muzik mencukupi setelah dibuat 
penambahan dari masa ke semasa sejak pancaragam TLDM berpindah disebabkan penutupan secara berperingkat-peringkat dari Pangkalan TLDM Woodland.

Apa yang penulis perhatikan ialah bangunan penempatan Pasokan Pancaragam Pusat TLDM sekarang adalah tidak sesuai kerana berkongsi bangunan dengan domestik anggota bujang yang mana sudah tentu mengganggu keselesaan mereka. Sebagai sebuah penempatan pasokan pancaragam, bangunan berasingan perlu dibina dengan mengambil kira aspek yang menjurus khusus dengan kesesuaian tempat latihan muzik seperti:

a. Bilik kedap bunyi untuk mengenal pasti keunggulan bunyi yang terbaik terhasil semasa latihan.

b. Bilik latihan individu bertujuan untuk pengasingan kumpulan-kumpulan pemuzik berlatih.

c. Bilik latihan khas untuk pemuzik yang kurang cekap.

Penambahan instrumen seperti Violin, Viola, Cello juga sangat perlu untuk menambah kepelbagaian bunyi semasa bermain untuk majlis-majlis makan malam.

Trend mutakhir, keperluan perkhidmatan muzik sudah menjadi satu kewajipan. Justeru itu dua pasokan Brass Band telah diwujudkan iaitu di KD SULTAN IDRIS (Pusat Latihan Rekrut Tanjong Pengelih) dan KD PELANDOK (Lumut) untuk menangani keperluan semasa di pusat latihan.
Bagi memenuhi keperluan semasa samada dalam acara intra TLDM atau memenuhi acara-acara kebangsaan, Pancaragam TLDM ternyata memerlukan penambahan anggota bagi melicinkan penugasan dan menangani kekangan permintaan semasa.

Penutup

Walau bagaimana pun, atas nama tentera laut, semangat SEDIA BERKORBAN sentiasa dihayati bukan sahaja dengan alunan muzik march tetapi persediaan jati diri, pengisian dan kesedaran setiap anggota PGM adalah sama seperti anggota-anggota lain. Mereka tidak gentar untuk sama-sama memikul senjata untuk menentukan setiap inci bumi tanahair terbela dari diancam atau diganggu gugat oleh penceroboh jika keadaan memerlukan. Mereka bukan sahaja pandai meniup trompet panggilan perang malah mereka juga bersedia untuk berperang.

1 comment:

Anonymous said...

Saya amat meminati rentak muzik ketenteraan (marching band). Saya ingin bertanya di mana saya boleh mendapatkan koleksi lagu-lagu patriotik dari tahun 80an hinggalah sekarang.
Terima Kasih.

*email saya: man_niac@yahoo.com.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini