About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 4, 2008

PUSAKA UNTUK ANAK CUCU

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jul 2007
Oleh : Hamzah h.d

Tiada apa yang indah untuk diceritakan kepada anak cucu selain dari pengalaman masa silam yang dipenuhi suka dan duka. Tahun ini negara akan menyambut 50 tahun merdeka. Persiapan sambutan sedari awal sudah diuar-uarkan yang mempamirkan kejayaan dan kesejahteraan negara dan rakyat umumnya. Pembangunan infrastruktur dan sahsiah rakyat jelata berada di tahap terbaik walaupun masih ada kepincangan yang terpinggir dan mendapat perhatian masyarakat maupun kerajaan.

Negara Malaysia terbina dari rentetan azam dan perjuangan roh dan jasad pejuang-pejuang masa lalu. Gagasan Malaysia maju 2020 adalah kesinambungan perjuangan yang belum selesai yang harus dipikul dan disambung oleh generasi masa kini walaupun tiada lagi kedengaran letupan dan tembakan yang mengiringi namun pelbagai bentuk ancaman kini dan mendatang sedang menerjah jati diri anak muda Malaysia. Dalam kemeriahan sambutan kemerdekaan Malaysia ke 50 tahun, penulis telah bertemu dengan satu kelumpok manusia yang boleh dipanggil pejuang kemerdekaan kerana rata-rata umur mereka melebihi 70 tahun yang datang berpapah oleh anak cucu juga berwakilkan balu dalam pertemuan tahunan mereka dalam Koperasi Bekas Polis Negeri Kedah yang diadakan baru-baru ini.

Menyingkap kisah perjuangan seorang insan yang beliau sendiri sudah banyak lupa tentang perjuangan yang turut mendewasakan masa muda beliau. Wahab bin Salleh yang dilahirkan pada 1 Ogos 1932 di Kampong Lebai Saman Mukim Tekai Kiri, Naka Alor Star Kedah. Hidup dan membesar dalam suasana kampong yang bersempadan dengan Thailand, jauh dari igauan kemajuan seperti hari ini. Namun begitu generasi Pak Wahab sudah sedar kepentingan ilmu walaupun pada masa itu peluang yang amat terhad. Di atas kesedaran itu, Pak wahab sempat menghabiskan pelajaran beliau sehingga darjah empat di Kampong Buka Luas Naka.

Pada tahun 1952, Pak Wahab yang sudah berumur 20 tahun menyertai Pasukan Home Guard. Waktu itu negara sedang diancam pengganas komunis. Atas rasa tanggungjawab terhadap keselamatan kampong di samping sosio ekonomi di kampong yang bersumberkan hasil getah dan hasil pertanian tradisional turut menjadi sebab yang mengheret Pak Wahab untuk menyertai Pasukan Home Guard. Home Guard pada awalnya untuk mengawal ketenteraman dan keharmonian kampong ditubuhkan pada bulan Jun 1952 yang diarahkan oleh Inspektor General Blackmore dan Timbalannya Kolonel Yeop Maidin Mohd Sharif. Lanjutan daripada penubuhan Home Guard, selain dari Pusat Latihan diwujudkan di Ipoh dan negeri-negeri lain turut dijadikan tempat latihan. Oleh kerana suasana negara pada masa itu mengalami zaman darurat, pasukan ini juga diheret sama untuk memberi bantuan dibarisan hadapan. Mereka dibayar elaun dan diberi latihan kawad dan senjata. Senjata yang digunakan pada masa itu ialah senapang patah dan SLR dengan berpakaian seragam jungle green.

Pak Wahab menerima latihan pasokan Home Guard di Sik Kedah selama tiga bulan. Tamat latihan, Pak Wahab bersama anak-anak muda yang lain ditugaskan di kawasan kampong masing-masing. Naka, Nami, Baling dan lain penempatan adalah jajaran yang bersempadan dengan Thailand yang mana sekarang ini membangun dan mempunyai jalan perhubungan dari pekan Pokok Sena ke Pantai Timur melalui Gerik dan menyelusur Banjaran Titiwangsa iaitu Lebuhraya Timur Barat yang menyimpan khazanah perjuangan anak watan menentang anasir pengganas komunis. Jajaran sempadan negara ini dalam sejarah pertahanan Malaysia telah menyimbah banyak darah pejuang-pejuang tanahair semasa mengekang kemaraan komunis. Polis Hutan banyak ditempatkan di kawasan sempadan kerana kelebihan mereka ialah dapat meyusup beberapa batu ke dalam negara jiran.

Bertempur dengan komunis di Bergia Teh

Pengalaman Pak Wahab bertempur dengan pengganas komunis semasa beliau menjadi anggota Home Guard tidak dapat dilupakan hingga ke hari ini. Walaupun peristiwa bersejarah itu secara umum masih boleh diingat tentang tentang kejadiannya namun urutan peristiwa banyak sudah hilang dari ingatan kerana sejarah ini tidak pernah dikenang dan diceritakan kepada mana-mana generasi selepas itu. Beliau bukan hero seperti Leftenan Adnan dan lain-lain pahlawan yang mempunyai jasa yang sangat besar kepada negara. Itulah hakikat yang pernah terfikir di benak Pak Wahab dan kawan-kawan seperjuangannya satu ketika dahulu. Walupun pun begitu hukum sejarah tidak boleh menidakkan jasa beliau dan kawan-kawan yang jika diperamati peristiwa demi peristiwa yang telah diceritakan oleh Pak Wahab kepada penulis, beliau dan kawan-kawannya yang masih hidup juga patut disanjung kerana jasa-jasa mereka kepada negara juga sangat besar.

Inilah hakikatnya, seseorang akan diangkat sebagai pahlawan jika gugur atau tercedera dalam pertempuran tetapi yang hidup dari rentetan pertempuran tidak ramai diketahui orang kerana mereka malu untuk bercerita atau kerana mungkin berkecil hati dengan masyarakat yang menganggap mereka adalah sebagai pelakun tambahan. Generasi hari ini sudah menganggap generasi pejuang kemerdekaan sudah tiada lagi cuma yang tinggal ialah cacakan batu nisan yang tak bernama dan dilupai sejarah perjuangan meski pun anak cucu sendiri.

Sepanjang dua tahun sebagai anggota Home Guard, Pak Wahab pernah tiga kali bertempur dengan pengganas komunis. Satu ketika (tarikh yang tepat beliau sudah lupa) di suatu tempat di atas bukit Bergia Teh, Naka seramai 38 anggota Home Guard yang sedang membuat operasi telah terserempak dengan segerombolan pengganas komunis. Pada masa itu anggota komunis sangat ramai di sempadan Thailand. “Di mana saja ada maklumat tentang komunis, kami akan diarahkan untuk membuat tinjauan” kata Pak Wahab. Sehinggakan pada suatu waktu, beliau dan pasukannya yang sudah empat hari membuat rondaan diserang hendap oleh pengganas komunis. Dalam kegelapan malam yang baru menunjukkan jam 8.00 malam, Pak Wahab bersama enam anggota lain dalam platunnya yang diketuai oleh sarjan Che Mat telah disergah oleh tembakan komunis. Pak Wahab yang dibekalkan dengan senjata kecil carbine memberi tentangan tanpa memikirkan apa yang akan terjadi selepas itu. Yang ada dalam benak mereka ialah amanah ini harus dilunaskan walau nyawa bergalang ganti.

Walaupun beliau dan kawan-kawannya tidak begitu terlatih namun pertempuran yang berlarutan sehingga jam 2.00 pagi belum menunjukkan tanda-tanda akan tamat. Tiada gerak rasa kedua-dua pasukan akan berundur samada tewas atau kepenatan. Namun begitu Pak Wahab merasakan tindakan mereka agak tidak tentu arah kerana pengalaman mereka yang kurang matang di samping skim latihan yang mereka terima sebelum ini tidak begitu kemas. Pak Wahab mengakui ada di kalangan mereka yang gementar kerana pertama kali bertarung dengan maut jika silap perkiraan. Namun latihan membina semangat berpasukan yang diterap sebelum ini menuntut diamalikan dalam suasana sebenar. Mereka tidak lupa untuk membangkitkan semangat di antara satu sama lain dalam suasana yang amat genting dan tentangan mesti dilaksanakan kepada setiap serangan yang mendatang. Pak Wahab mengakui hatinya pada masa itu juga turut berbisik. “Menyesal aku minta kerja ni, semua nak cari mampus”. Cerita Pak Wahab sambil ketawa bila mengenangkan cerita yang sudah berlalu 56 tahun lalu.

Setelah bertempur hampir enam jam, bekalan peluru sudah tidak begitu banyak, demikian juga di pihak komunis. Ini dapat dirasakan dengan perubahan taktik komunis yang membalas tembakan bila ada tembakan dari Home Guard. Mereka tidak menembak bertalu-talu tanpa arah seperti yang telah dilakukan sebelum ini. Di kalangan kawan-kawan Pak Wahab, masing-masing sudah kepenatan dan mengantuk. Kedua-dua pihak tidak berani bergerak bebas kerana dalam kegelapan macam-macam perkara boleh berlaku. Sekilas bayang pun peluru boleh merobek mangsa. Tembakan rambang demi tembakan nampaknya tidak membuahkan hasil.

Dalam kebuntuan suasana, Pak Wahab mendapat satu idea. Untuk mencari posisi musuh yang tepat ialah dengan mendapatkan cross fix berdasarkan cahaya semburan tembakan. Setelah berbincang dengan ketua platun, mereka menjarakkan kedudukan dalam tiga kedudukan. Dengan arahan tembakan serentak dari tiga sudut tersebut berjaya ‘memikat’ musuh membalas tembakan serentak. Seperti yang dirancang satu anggaran kedudukan telah diperolehi (berdasarkan cross fix cahaya semburan peluru musuh). Dengan arahan ketua platun, mereka terus membuat pemusatan tembakan bertubi-tubi secara serentak ke arah posisi komunis yang baru diperolehi. “Hasilnya positif”. kata Pak Wahab.
Selepas itu tiada lagi balasan tembakan oleh pihak komunis. Pada anggapan mereka, samada pihak musuh sudah tertembak atau berundur.

Di awal pagi, penggeledahan dibuat namun tiada apa-apa kesan diperolehi melainkan kesan penempatan komunis yang agak lama. Tiada mayat ditemui meskipun kesan darah. Ini juga satu taktikal komunis. Dalam kesempatan yang ada, mereka cuba menghilangkan segala kesan-kesan darah dan sebagainya untuk mengabui mata pihak keselamatan dari mengetahui kematian mau pun kecederaan di pihak mereka sekali gus menyukarkan anggota keselamatan membuat penjejakan.

Dalam peristiwa lain, di Padang Panjang Jitra Kedah pada tahun 1952, Pak Wahab pernah juga bertempur dengan komunis. Dalam satu tahun pernah sampai 3 kali Pak Wahab bertempur dengan komunis. Di mana ada laporan terdapat komunis, mereka akan dikerah. Pada masa dulu anggota pasukan keselamatan tidaklah begitu ramai ditempatkan di sesuatu kawasan. Bila ada laporan, tiada lagi pilihan untuk penugasan. Mereka sedar dan akur.

Polis Hutan

Sebagaimana hati anak muda lain, soal kepuasan menjadi perkiraan Pak Wahab. Pada tahun 1953, Pak Wahab telah memohon untuk jawatan konstabel Polis Hutan. Beliau menyertai latihan selama dua bulan di Dusun Tua Selangor. Setamat latihan, beliau ditukarkan ke Kajang. Pada tahun 1955 beliau ditukar lagi ke Ulu Langat. Yang menariknya pada masa itu, jika seseorang anggota tidak mendapat apa-apa kes semasa bertugas dalam masa tiga bulan, mereka akan ditukarkan ke tempat lain.

Naik Pangkat

Di Ulu Langat Pak Wahab mendapat satu kes yang membawa beliau dinaikkan ke pangkat lans koperal. Beliau telah menahan seorang pemuda yang berbangsa Cina dalam satu sekatan rambang semasa bertugas. Pak Wahab secara rambang memeriksa kandungan kotak rokok dan menjumpai satu kertas kecil yang disembunyikan dalam salah satu puntung (filter) rokok tersebut. Kertas tersebut membawa mesej dari seorang ‘tauke besar’ nak berjumpa dengan ketua komunis. Pak Wahab terus menahan dan membawa pemuda tersebut ke Balai Polis untuk siasatan. Didapati pemuda tersebut adalah tali barut komunis yang menjadi penghubung dan pemberi maklumat kepada gerakan subversive. Mereka-mereka ini kadangkala terpaksa ‘dipergunakan’ supaya kehidupan mereka dan keluarga tidak diganggu. Kaum Cina yang bergiat dalam perniagaan runcit dan berkebun sayur menjadi sasaran pihak komunis untuk memeras dan mengancam jika tidak memberi kerjasama. Mereka tidak teragak-agak untuk menyiksa dan membunuh dan jelas memberi impak logistik yang lumayan dalam memperkasakan perjuangan mereka. Di atas usaha tersebut, Pak Wahab dinaikkan ke pangkat lans koperal.

Namun doktrin dan strategi kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Mulia Tungku Abdul Rahman melalui PDRM dan ATM telah menyukar dan melumpuhkan pergerakan haram ini dari terus bertapak di Malaysia dan terus berkubur di awal era 80an walaupun pergerakan ini disokong kuat oleh negara-negara yang mempelopori fahaman ini. Rentetan sejarah yang harus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia yang menzahirkan kemampuan pemimpin berbangsa Melayu yang mampu mengekang dan menghapuskan ancaman, membina dan memartabat bangsa dan agama bukan sahaja menonjol malah mengungguli kedamaian di nusantara di samping kepercayaan global terhadap kepimpinan Melayu.

Pada tahun 1959, semasa bertugas di Kem Ulu Langat, Pak Wahab menamatkan perkhidmatan dalam pasukan Polis dan balik menetap di kampong kelahiran beliau di Naka. Beliau di beri sagu hati sebanyak RM 1000.00 dan menjadi ahli Koperasi Polis Negeri Kedah sebagai ahli seumur hidup dan juga ahli persatuan Bekas Polis Cawangan Kubang Pasu.

Tahun 1959 juga pasukan Home Guard telah dibubarkan dan menjadi pencetus kepada penubuhan Rejimen Askar Wataniah. Bekas-bekas anggota Home Guard ramai juga diserap kepada RAW dan juga PDRM.
Bila ditanya apa harapan Pak Wahab kepada kerajaan untuk kebajikan anggota-anggota yang seangkatan dengan Pak Wahab yang masih hidup? “Tak ada apa. Sumbangan kami kepada negara terlalu kecil. Saya redha hidup di bumi bertuah ini. Susah senang kami di penghujung senja kehidupan adalah akan menjadi satu takdir”.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini