About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 4, 2008

PROJEK POLAND – MENGULANGI KEJAYAAN MALAYSIA

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jun 2008
Oleh: Hamzah h.d

Sejarah manusia di dalam misi mengelilingi dunia telah mencatat banyak peristiwa samada melalui jalan darat, laut maupun udara dengan cara dan kemampuan yang tersendiri samada perseorangan maupun berkumpulan.

Di dalam usaha tersebut, ada yang berjaya dan tak kurang juga yang menemui kegagalan samada terkandas atau ada yang mengakibatkan kematian. Usaha yang sukar ini bukan mudah untuk direalisasikan jika tidak disertai dengan persiapan, koordinasi, sokongan dan dorongan dari luar dan yang paling penting ialah keyakinan, komitmen dan nyala rasa di dalam diri seseorang.

Sejarah ketamadunan bangsa melayu, mengelilingi dunia dengan melalui jalan laut telah mencatat rekod cemerlang dunia pelayaran. Dalam konteks Malaysia moden, Datuk Azhar Mansur adalah pelayar melayu yang telah menjulang nama negara di persada antarabangsa dengan misi pelayaran solonya yang sangat mencabar dan merbahaya. Akhirnya beliau berjaya membuktikan kepada dunia bahawa semangat ‘Malaysia Boleh’ hampir melepasi masa yang telah ditetapkan oleh World Speed Sailing Record Council (WSSRC) dan kembali dengan selamat walaupun terpaksa menempuh halangan, kepayahan dan keperitan ketika mengemudi Jalur Gemilang secara solo selama 104 hari pada tahun 1999. Kejayaan beliau telah meletakkan nama Malaysia di dalam peta maritim dunia.

Untuk meletakkan martabat bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia umumnya berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju di dunia di dalam bidang pelayaran, darjat dan keturunan bukan suatu syarat penting. Baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah misalnya, turut mencemar duli bersama kapal S.Y.JUGRA juga telah berjaya mengelilingi dunia. Penglibatan Baginda di dalam aktiviti maritim mendapat pengiktirafan dunia dan menjadi kebanggaan negara dan idola rakyat jelata.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah sebuah organisasi maritim bertanggongjawab sebagai benteng pertahanan Maritim Negara. Pada masa aman, KLD TUNAS SAMUDERA (KLDTS) diberi peranan dalam usaha membina jati diri modal insan melalui variasi latihan secara kolektif termasuk dalam aspek pengendalian layar, navigasi dan ilmu kelautan. Program sebegini merupakan usaha mencungkil dan mendedah bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan untuk menentukan kesinambungan warisan maritim ini menjadi budaya negara dan mampu bersaing di persada antarabangsa.

Peluang dan pendedahan ini bukan sahaja dinikmati oleh anggota TLDM tetapi sebenarnya ada agensi-agensi kerajaan dan swasta lain turut menikmati kemudahan ini seperti May Bank Berhad, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelajaran dengan menghantar pelatih-pelatih tajaan mereka mengikuti program yang dianggap mencabar. Sepanjang tahun program voyage diatur untuk memenuhi keperluan dengan memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan budaya maritim di samping membina ketahanan jati diri dan menerapkan nilai kerjasama dan semangat kerja berpasukan.

Projek Poland (Krew Pertama)

Seramai 89 orang pegawai dan anggota yang telah dibahagikan kepada 2 kumpulan krew. Krew pertama seramai 47 orang yang dinahkhodai oleh 2 orang Pegawai Memerintah iaitu Kepten Rusli bin Haji Idrus dan Komander Amier Azmi bin Kamalul Ariffin. Turut menyertai kumpulan pertama ialah 2 orang pegawai Tentera Darat dari Kor Agama untuk pengisian aktiviti keagamaan di sepanjang pelayaran dan Pegawai Perubatan. Dalam kalangan krew pertama ini 2 orang pegawai wanita turut mengambil bahagian.

Mereka meninggalkan tanahair pada 12 Mac 2007 dan merapat di pelabuhan Cherbourg Perancis pada akhir bulan Jun 2007. Sebelum itu kumpulan ini telah merapat di sebelas buah pelabuhan iaitu Colombo (Sri Langka), Mumbai (India), Aden (Yemen), Jeddah (Arab Saudi), Port Fouad (Egypt), Cartagena (Sepanyol), Brest (Perancis), Stockholm (Sweden), Szczecin (Poland), Rotterdam (Netherland), dan Pelabuhan Cherbourg (Perancis). Pelayaran dari Port Klang ke Port Fouad (Egypt) telah dinahkhodai oleh Komander Amier Azmi manakala Kepten Rusli mengetuai misi dari Port Fouad (Egypt) ke Long Beach (Amerika Syarikat). Mereka telah membelah lautan Hindi dan Lautan Atlantik dan melalui Terusan Suez dan Terusan Kiel.

Projek Poland (Krew Kedua)

Krew kedua seramai 32 orang pegawai termasuk dua orang pegawai Agama dan Pegawai Perubatan Tentera Darat yang diketuai oleh Kdr Kamaruddin. Dua orang pegawai wanita juga menjadi penyeri kumpulan ini yang diberi tugas dan peranan yang serupa seperti pegawai lelaki. Manakala 9 orang lagi terdiri daripada krew tetap Lain-lain Pangkat (LLP) yang mewakili kepakaran masing-masing sebagai pelengkap kepada kefungsian tugas sokongan Teknikal, Kelasi, Komunikasi dan Bekalan.

Kumpulan kedua ini telah melengkapkan pelayaran dari Cherbourg (Perancis) dan merapat di Pelabuhan 14 buah negara seperti Casablanca (Morocco), Dakar (Senegal), Fortaleza (Brazil), Port of Spain (Trinidad & Tobbago), Port of Balboa (Panama), Acapulco (Mexico), Long Beach (USA), Port of London (Kiribati), Suva (Fiji), Port Vila (Vanuatu), Port Moresby (Papua New Guinea), Darwin (Australia), Surabaya (Indonesia).

Mereka telah melintasi garisan Khatulistiwa (00.00.0N) sebayak empat kali iaitu semasa pelayaran dari Dakar ke Fortaleza, Fortaleza ke Port of Spain, Cristmas Island ke Suva dan dari Surabaya ke Pelabuhan Klang.

Sesuatu yang menarik untuk dikongsi dengan pembaca ialah suatu upacara simbolik tradisi Tentera Laut semasa melintasi garisan Khatulistiwa kapal [secara mitos] telah memasuki ke alam Raja Neptunus Rex. Semua kelasi yang tidak pernah menyeberangi khalistiwa perlu menjalani upacara pengesahan di mana secara simboliknya pengesahan dilakukan oleh kelasi-kelasi yang pernah membuat perjalanan itu.

Selepas upacara ini, kelasi-kelasi itu dikenali sebagai trusty Shellback (Cangkerang Setia). Jika penyeberangan khatulistiwa dibuat pada garisan meridian ke 180°, gelaran Golden Shellback (Cangkerang Emas) akan dianugerahkan untuk mengakui kemasukan serentak ke dalam alam Naga Emas (Golden Dragon). Selain itu, jika penyeberangan dibuat pada Greenwich (Long 000° 00.0E) iaitu, kelasi itu akan digelarkan Emerald Shellback (Cangkerang Zamrud).

Walaubagaimanapun bagi kelasi TLDM, upacara sebegini jika ada pun dibuat, ianya merupakan pengisian sekadar suka-suka tanpa mengaitkan dengan ketahyulan yang dicipta oleh pedagang Scandinavia pada zaman pertengahan (zaman kedua dalam pembahagian tradisional sejarah Eropah) yang sangat bertentangan dengan syariat Islam.

Biasanya bagi pelaut yang melintasi garisan ini akan dikurniakan dengan sekeping sijil sebagai pengistiharan ‘keizinan memasuki wilayah Neptunus Rex’.

Mereka tiba di Port Klang pada 26 Apr 2008 dengan disambut oleh Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafudin yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM dalam satu istiadat gilang gemilang mengikut tradisi TLDM. Mereka sekali lagi disambut dengan istiadat yang serupa di Jeti TLDM Lumut bersempena perayaan ulang tahun ke 74 TLDM bersama ribuan pengunjung dan sanak saudara mereka.

Pulangan Pelaburan

The Tall Ship’s Races (TSR) adalah acara perlumbaan kapal layar antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun sejak 1956. Untuk perlumbaan yang kali ke-56 pada tahun 2007, bandar Szczecin Poland telah dipilih sebagai tuan rumah. TLDM telah memanfaatkan peluang keemasan ini apabila buat kali pertama kali telah sama-sama mengambil bahagian dalam perlumbaan bertaraf dunia ini.

Sirkit perlumbaan yang telah memakan masa selama 22 hari, KLDTS memulakan perlumbaan merentasi Lautan Baltik di mana ia telah melalui beberapa buah pelabuhan sebagai destinasi perhentian. Bermula dari Pelabuhan Arhus (Denmark) terus menuju ke Kotka (Finland). Setibanya di Kotka, mereka meneruskan pelayaran merentasi lautan ke Stockholm (Sweden). Walaubagaimanapun pelayaran dari Kotka ke Stockholm adalah tidak termasuk dalam laluan perlumbaan. Perlumbaan disambung dari Stockholm menuju ke pelabuhan terakhir di Szczecin, Poland.

Penyertaan KLDTS dalam TSR Baltik 2007 telah diiktiraf oleh Sail Training International (STI) United Kindom iaitu penganjur perlumbaan kapal layar antarabangsa sebagai The Best New Comer dan Seamen Come From Afar.

Rakyat Malaysia amnya warga TLDM khususnya amat berbangga dengan kejayaan KLDTS menduduki tangga ke 65 daripada 115 peserta berpengalaman yang telah mengambil bahagian di dalam pertandingan tersebut.

Projek Permulaan ini menjadi perintis kepada rakyat Malaysia menyertai pertandingan yang seumpama di seluruh dunia. Sekali gus dapat merekod pengalaman dan cabaran untuk rujukan generasi mendatang. Menyemai budaya maritim dalam kalangan generasi muda di dalam bidang pelayaran dan berani menempuh cabaran di lautan luas. Berkongsi pengalaman baru khusus di dalam ilmu kelautan dan ketabahan mengharungi samudera dengan menggunakan layar.

Krew yang terlibat kebanyakannya berusia remaja dan mereka merupakan perintis kepada negara berkaitan tatacara penganjuran perlumbaan Tall Ship dan aktiviti di sepanjang pelayaran. Komitmen ini telah mempromosikan Malaysia di 25 pelabuhan yang disinggahi dengan memperkenalkan budaya Malaysia semasa mengadakan aktiviti sosial dan sukan dan telah memberi peluang kepada mereka-mereka yang terlibat berintraksi dengan masyarakat dan memahami adat resam bangsa-bangsa lain di dunia.

Kejayaan ini telah meletakkan TLDM sebagai salah sebuah organisasi yang mampu berperanan sebagai global player di dalam acara-acara pelayaran antarabangsa walaupun menghadapi banyak kekangan oleh tugas-tugas hakiki mempertahankan benteng negara. Walaupun aktiviti ini dilihat sebagai tugas skunder, tetapi sebenarnya semua krew yang terlibat adalah mempunyai kemahiran tertentu dan mereka berupaya melakukan tugas-tugas kombat pada bila-bila masa sahaja.

Projek ini turut menguji dan mengukur keberkesanan sistem logistik TLDM dalam memberi bantuan kepada kapal-kapal TLDM yang sedang beroperasi terutamanya di luar negara.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini