About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, December 1, 2019

Rej 513 AW Menerima Komander Baharu

Diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Disember 2019
​
Oleh: Paklang Hamzah/ Foto: PR Mks 2 Div





Pucuk pimpinan pasukan Rejimen 513 Askar Wataniah bertukar tangan dalam upacara yang penuh bersejarah di padang kawad pasukan di mana Komander Rejimen yang telah menerajui pasukan selama lebih 14 tahun iaitu Yang Teramat Mulia Brig Jen Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah secara rasmi menyerahkan tampuk kepimpinan Rejimen kepada Duli Yang Teramat Mulia Brig Jen Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.  YTM Brig Jen Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mula memegang teraju kepimpinan Rejimen semenjak 1 Feb 2005 setelah mengambil alih tugas sebagai Komander yang Kedua daripada Allahyarham Brig Jen Prof Dato’ Dr Ahmad Fawzi bin Basri. 

​Perbarisan Penghargaan dan Serah Terima Tugas Komander Rejimen telah dilaksanakan pada 12 Nov 2019 bertempat di Padang Kawad Rejimen 513 Askar Wataniah, Kem Bukit Pinang, Kedah.  Perbarisan ini disertai oleh 18 pegawai dan 140 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Lt Kol Abdullah bin Omar, Pegawai Memerintah Batalion Kedua selaku Ketua Perbarisan dibantu oleh Mej Mohd Azley bin Azmi selaku Penolong Ketua Perbarisan, Kapt Mazlan bin Ahmad selaku Ajutan Perbarisan dan PW 1 Zuzairi bin Zulkifli sebagai SMR Perbarisan. Pancaragam yang mengiringi perbarisan adalah daripada Platun Brass Band gabungan pasukan 3 KAD dan 4 RS di bawah pimpinan Drum Mejar Sjn Shaifulnizam bin Shariff.  Kemuncak acara perbarisan ini adalah majlis menandatangani Nota Serah Terima Tugas Komander dan juga Serah Terima Tongkat Kuasa Komander Rejimen disaksikan oleh Brig Jen Dato’ Hj Mohd Halim bin Khalid, Panglima 6 Bgd.

​Turut menyaksikan detik-detik bersejarah ini adalah Yang Berhormat Tuan Mohd Firdaus bin Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Mej Jen Dato’ Mardzuki bin Muhammad, Panglima 2 Divisyen, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Halim bin Khalid, Panglima 6 Bgd, Dato’ Syed Shaharuddin bin Syed Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kedah mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Brig Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM, Komandan KTU, semua Pegawai Memerintah dan Pemerintah pasukan-pasukan di bawah naungan 6 Bgd, pegawai-pegawai dan seluruh warga Rejimen 513 Askar Wataniah.  Acara perbarisan ini turut disaksikan oleh seramai 200 orang anggota daripada pasukan-pasukan di bawah naungan 6 Bgd. 

​Sebelum mengakhiri acara, YTM Brig Jen Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah diberi penghormatan oleh seluruh warga Rejimen dengan acara ‘street lining’. YTM Brig Jen Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah juga telah berkenan merasmikan tanda nama jalan yang terdapat di dalam Kem Bukit Pinang iaitu Jalan Tunku Intan Safinaz. 

Saturday, November 30, 2019

Pesawat EC725 Dalam Misi Kemanusiaan Di Pantai Timur

GONG KEDAK, 30 Nov 19 - Pesawat Helikopter EC725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang warga emas yang menghidap sakit tua dan 2 orang ibu mengandung.


Pesakit, Mohd Nor Dam, 80 tahun, Rozana Che Pa, 30 tahun (Sakit hendak bersalin) dan Nuzula Juairi, 24 tahun telah diterbangkan dari Simpang Keruak, Besut Terengganu ke Sekolah Kebangsaan Jerteh menggunakan pesawat EC725 AP daripada No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan. Pesakit kemudiannya telah dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan di Hospital Jerteh.



Pesawat EC725 AP yang ditempatkan sebagai detasmen SAR (Search And Rescue) di Pangkalan Udara Gong Kedak telah terbang pada jam 11.54 pagi untuk mengambil pesakit dan selamat kembali mendarat pada jam 12.48 tengah hari di Gong Kedak.

Penerbangan ihsan ini telah dikendalikan oleh Kapt Mohd Rafiq  bin Rahmad TUDM selaku juruterbang dan pembantu juruterbang, Kapt Mohammad Fais bin Abdul Halim TUDM bersama 4 orang kru pesawat.

Turut sama terlibat dalam misi ini adalah Komander Pangakalan Udara Gong Kedak, Kol Shaiful Azuar bin Ariffin TUDM.

TUDM sangat komited dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam memenuhi keperluan kebajikan masyarakat. Seluruh warga TUDM turut mendoakan agar kesemua pesakit dipermudahkan segala urusan. Tahniah kepada juruterbang serta anak kapal pesawat EC725 AP yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan jayanya.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini