About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, June 23, 2010

ISTIADAT PERBARISAN HARI TLDM KE 76

Sumber Majalah Perajurit Jun 2010
Oleh Hamzah Haji Dollah

Setiap tanggal 27 April setiap tahun, sebagai menyempurnakan amalan tradisi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seperti biasa telah melaksanakan satu Perbarisan Istiadat sempena menyambut hari ulangtahun TLDM ke 76 bertempat di Padang Kawad KD PELANDOK dalam suasana cuaca buruk.


Perbarisan kali ini telah melibatkan perarakan 4 panji-panji yang telah dianugerahkan kepada KD PELANDOK, KD MALAYA, KD PANGLIMA HITAM dan KD RAJAWALI. Perbarisan diketuai oleh Komander Mohamad Norizal bin Fahruddin TLDM dengan dibantu oleh Leftenan Komander Wong Hon Luen TLDM dan PW1 KOM Sapiah binti Pilus.

Sebanyak 7 kontijen terlibat termasuk 1 kontijen wanita yang terdiri dari 86 orang pegawai dan 528 anggota lain-lain pangkat (LLP) dengan diiringi oleh Pancaragam Pusat TLDM.

Tema sambutan pada kali ini adalah “Warga Didahulukan, Kesiagaan Diutamakan”. Bertepatan dengan tema, istiadat pada kali ini telah menzahirkan penghargaan TLDM kepada beberapa organisasi dan warganya yang telah berjaya mencapai tahap kecemerlangan dalam beberapa kategori seperti berikut:

Anugerah khas kepada individu pegawai dan anggota LLP yang telah menyumbang bakti dan mengharumkan nama TLDM di peringkat Negara. Pegawai dan anggota yang telah dipilih untuk menerima anugerah ini ialah:

Panglima Pendidikan dan Latihan, Laksamana Muda (Laksda) Dato’ Musa bin Omar. Di sepanjang perkhidmatan, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan penting sebagai staf dan Pegawai Memerintah di kapal-kapal dan unit-unit Pangkalan TLDM. Mewakili TLDM, ATM dan Negara dalam sukan menembak dan kemuncak kegemilangan beliau ialah telah dipilih menjadi Pengurus Pasukan Menembak Malaysia pada Kejohanan Sukan Komanwel 1998 di Langkawi, South East Asia Shooting Association (SEASA) 2007 di Kuala Lumpur dan Sukan Sea 2009 di Laos.

822349 BINTARA MUDA PAP (PKL) Khalel bin Abdullah. Aktif dan mewakili TLDM, ATM dan Negara dalam sukan menembak di kejohanan dalam dan luar negara. Kemuncak kegemilangan beliau apabila dipilih sebagai Olahragawan ATM 2008 dan memenangi beberapa Pingat Emas dalam sukan ini sekali gus telah mengharumkan nama TLDM ke Peringkat Antarabangsa.

5500748 LASKAR KANAN KOM Hasbudiana binti Burhanuddin. Aktif dan mewakili TLDM, ATM dan Negara dalam Sukan Memanah.

825743 LASKAR KELAS 1 TNL Mohad Suhaimi bin Mat Hesa. Aktif dan mewakili TLDM, ATM dan Negara dalam Sukan Memanah.

Anugerah Inovasi Panglima Tentera Laut telah dimenangi oleh KD MALAYA dengan projek inovasinya iaitu “Emergency Water Supply Point” yang bertindak membekalkan air ke Blok Kelas F, Blok G dan Blok A ketika gangguan bekalan air berlaku.

Anugerah Piala Agong 2009/2010 dimenangi oleh KD LEKIR. Piala ini dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kepada kapal TLDM yang mencapai tahap operasi tertinggi mulai Mac 2009 hingga Feb 2010. KD LEKIR telah mencapai tahap operasi tertinggi sebanyak 2061.7 jam di laut.

Piala Gonzales dianugerahkan oleh Mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) Jeneral Tan Seri Mohd Ghazali bin Mohd Seth kepada kapal TLDM yang memperolehi markah tertinggi di dalam Pemeriksaan Tahunan mulai Mac 2009 hingga Feb 2010.

Piala ini dimenangi oleh KD LAKSAMANA TAN PUSMAH dengan memperolehi 71.5 markah.
KD PERDANA telah memenangi Piala SAAB yang dianugerahkan kepada kapal yang mencapai tahap operasi tertinggi di dalam sistem persenjataan dan kawalan mulai Mac 2009 hingga Feb 2010.

Anugerah Bintara dan Laskar terbaik telah dianugerahkan kepada Bintara dan Laskar kanan ke bawah berdasarkan beberapa penilaian seperti ketrampilan, kepimpinan, prestasi kerjaya, penglibatan dalam sukan dan sosial. Anggota yang terpilih ialah:

817080 BINTARA KANAN BDI Mohd Syafie bin Mahmood. Beliau mula berkhidmat pada 8 Jul 1990 dan diserapkan ke kepakaran Bendari. Mewakili ATM dalam sukan Badminton sejak 1993. Banyak menghadiri kursus-kursus anjuran TLDM dan agensi luar hingga memperolehi sijil MLVK tahap 3. Memiliki Sijil Kejurulatihan Badminton Tahap 3 dan Sains Sukan Tahap 1.

829916 LASKAR KANAN TME(P) Salrizam bin Hassan. Berasal dari Kelantan, bergiat aktif dan mewakili TLDM dalam sukan Bola Keranjang. Merupakan anggota TLDM pertama yang menerima anugerah IMMERES dari Royal Institution of Naval Architecture.

Peyampaian anugerah dan cenderamata telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Jaafar. Turut hadir dalam istiadat tersebut ialah Panglima Armada, Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman bin Ahmad Badarudin, Panglima-panglima Formasi dan Pegawai-pegawai Kanan TLDM.

Sempena ulangtahun TLDM ini juga pelbagai program telah diatur bagi menyemarakkan sambutan yang di antaranya ialahPameran Maritim dan Pertunjukan Seni di Bandar Tentera Laut, Program Jiwa Murni, Program Gotong Royong, Derma Darah, Pelancaran Buku-buku TLDM, Resepsi Kapal dan Pelayaran TLDM Bersama Media. PERAJURIT

Wednesday, June 9, 2010

Ke arah TUDM generasi baru

sumber utusan

Oleh MOHD. ASRON
Gambar MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


MENGINJAK usia 52 tahun, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaku pasukan pertahanan barisan hadapan utama negara, kini dilihat telah cukup matang untuk mendepani apa jua ancaman mendatang.

Apatah lagi dengan pegangan pelbagai aset tempur canggih seperti pesawat Hawk, pesawat pemintas MiG-29N, pesawat tempur pelbagai peranan F-18D Hornet dan Sukhoi 30-MKM bagi mengawal ruang udara negara.

Selain itu menjelang 2015 pula, TUDM akan menerima pesawat pertama daripada empat buah pesawat pengangkut strategik, Airbus A400M.

Pada masa yang sama, pasukan itu juga bakal menerima helikopter moden berdasarkan komitmen kerajaan yang bersetuju untuk mendapatkan 12 buah helikopter Eurocopter EC725 pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 lalu bagi tujuan mencari dan menyelamat tempur (CSAR).

Semua aset berkenaan bukan sahaja berjaya meletakkan TUDM sebagai sebuah pasukan udara yang setanding dengan negara serantau tetapi dalam beberapa aspek terutamanya dalam penguasaan udara secara dominan, negara lebih terkehadapan.

Namun, itu bukan satu alasan bagi TUDM untuk mudah berpuas hati kerana organisasi berkenaan sedar, ancaman keselamatan khususnya dalam usaha untuk mempertahankan ruang udara negara yang semakin kompleks ekoran kepesatan teknologi.

Sehubungan itu, sempena sambutan ulang tahun penubuhannya kali ke-52 minggu lalu, organisasi tersebut melancarkan visi strategik barunya iaitu 'TUDM-Generasi Masa Depan' dalam usaha memastikan TUDM sentiasa digeruni lawan dan dihormati rakan.

Pelan jangka panjang itu dirangka bukan sahaja untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan TUDM, tetapi pada masa yang sama ingin mengekalkan status quonya sebagai tentera udara dominan di rantau ini.

Pelancaran visi strategik dengan meletakkan harapan kepada sumber manusianya sebagai generasi masa depan dilihat tepat pada masanya selepas imej TUDM tercalar teruk ekoran kes kehilangan enjin pesawat F-5E yang didalangi oleh anggotanya sendiri.

Kejadian tersebut walaupun kes terpencil tetapi menjadi pengajaran yang sangat berguna kepada pasukan itu.

Atas kesedaran itu, TUDM melalui Panglimanya, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud merangka dan memberi penekanan utama pada aspek kekuatan, organisasi, doktrin dan modal insan dalam pembangunan visi strategiknya agar kejadian seumpama tidak berulang dan TUDM terus 'diangkasarayakan'.

Menurutnya, penekanan kepada empat teras transformasi itu bertujuan membolehkan pasukan itu bukan sahaja memiliki aset tercanggih tetapi turut mempunyai modal insan berkualiti serta mempunyai tahap disiplin yang tinggi.

"TUDM perlu lebih dinamik dan fleksibel agar berupaya menyesuaikan diri bagi menghadapi sebarang perubahan pantas dalam aspek ketenteraan. Melalui pelan ini, TUDM akan muncul sebagai sebuah pasukan udara yang mempunyai spektrum menyeluruh.

"Ia penting kerana TUDM perlu sentiasa dipastikan berupaya melaksanakan misi dalam segala bentuk bidang operasi secara berkesan," katanya dalam perutusan khas sempena sambutan ulang tahun ke-52 pasukan itu di Pangkalan Udara Sungai Besi, baru-baru ini.

Tambahnya, bagi memastikan hasrat itu tercapai, TUDM akan terus mendapatkan sistem-sistem berteknologi tinggi, memanfaatkan teknologi masa hadapan dan mengintegrasikannya secara bersama dengan sumber manusia.

Tegas beliau, visi strategik itu tidak hanya bersandar pada kecanggihan aset tempur semata-mata, sebaliknya tumpuan lebih khusus diberikan kepada sumber manusia kerana TUDM tidak mungkin digeruni lawan jika anggotanya gagal menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan mempunyai moral yang rendah.

perkembangan teknologi

Oleh itu, Rodzali berkata, setiap anggota TUDM harus melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kecekapan agar sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini terutamanya yang berkait dengan bidang aeroangkasa, di samping mengelak daripada melakukan sebarang pelanggaran prosedur dan arahan.

Namun, pada masa yang sama beliau mengakui masih terdapat banyak keperluan aset tempur yang perlu dimiliki oleh TUDM bagi memastikan pasukan itu benar-benar mantap dalam mempertahankan ruang udara negara daripada dicerobohi.

Mengenai perolehan baru, beliau memberitahu, TUDM merancang untuk memiliki beberapa jenis pesawat tempur baru bagi mengukuhkan lagi pasukan itu sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Bagi tujuan itu katanya, satu pasukan penilaian telah ditubuhkan untuk mengkaji beberapa jenis pesawat yang telah dikenal pasti terutamanya pesawat pelbagai peranan F-18F Super Hornet buatan Amerika Syarikat (AS).

"TUDM mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pesawat F-18D Hornet dan kita sedang mengkaji faktor keupayaan pesawat F-18F Super Hornet yang lebih canggih daripada pesawat berkenaan," katanya.

Rodzali menambah, pada masa yang sama, TUDM turut meneliti beberapa pesawat lain seperti Gripen dan Eurofighter yang dianggap pesawat berteknologi tinggi dalam kelasnya.

Minat TUDM terhadap F-18F Super Hornet itu terserlah kerana pesawat berkenaan mempunyai kemampuan yang tinggi sama ada untuk serangan darat, maritim dan udara selain telah terbukti keampuhannya dalam beberapa konflik sebelum ini.

Malah, jika ia menjadi kenyataan, Super Hornet akan menjadi gandingan mantap kepada pesawat strategik sedia ada, Sukhoi Su-30MKM, khususnya bagi tujuan memusnahkan kapal perang dan pesawat musuh.

Dalam pada itu, TUDM kini juga sedang berusaha untuk memperoleh pesawat Sistem Amaran Awal dan Kawalan Udara (AWACS) melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi memperkukuhkan lagi pertahanan negara.

Ini kerana dengan keupayaan memantau ruang angkasa dan daratan pada jarak kira-kira 350 kilometer, pesawat berkenaan adalah sistem pertahanan masa kini yang perlu dimiliki untuk bertindak sebagai 'mata dan telinga' di udara.

Rancangan perolehan ini telah dipertimbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 10 tahun lalu dan beberapa pesawat AWACS generasi terkini antaranya dari Sweden, Brazil dan AS telah diuji oleh TUDM.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini