About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, January 19, 2010

ATM tingkat kawalan - Zahid

Sumber: Utusan

KOTA KINABALU 16 Jan. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah ditingkatkan pada tahap kesiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang ancaman yang mungkin berlaku di kawasan perairan pantai timur Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain meningkatkan rondaan, ATM bersama polis akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran bagi membendung segala ancaman yang boleh menganggu keselamatan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta pelancong dan pelawat tidak berasa bimbang kerana keselamatan di negeri ini khususnya di kawasan pelancongan adalah terjamin.

''Saya memberi jaminan keselamatan di negeri ini adalah terkawal dan tidak ada sebab untuk berasa terlalu bimbang.

''Selain meningkatkan rondaan kita akan menggunakan segala aset yang ada seperti radar dan kamera jarak jauh bagi memantau setiap pergerakan di perairan negara,' ' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Sepanggar dekat sini.

Hadir sama Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Pertama Datuk Anuwi Hassan dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Mohammad Rasland Omar.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke negeri ini melawat Kem Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi di sini.

Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur mengeluarkan nasihat perjalanan memberi amaran bahawa kumpulan penjenayah dan pengganas sedang merancang untuk menyerang rakyat asing di pulau-pulau sekitar Sabah.

Sehubungan itu, kedutaan berkenaan menggesa agar langkah berjaga-jaga diutamakan dalam membuat sebarang perjalanan ke kawasan pedalaman di timur Sabah termasuk Semporna, Pulau Mabul dan Sipadan.

Ahmad Zahid berkata, ini bukan kali pertama amaran perjalanan seperti itu dikeluarkan.

Katanya, ATM sentiasa memastikan keselamatan perairan negara di Sabah terkawal menerusi operasi Ops Pasir dan Ops Sinar.

''Kita pun menerima maklumat risikan yang sama dan dengan itu kita meningkatkan kesiagaan kita," katanya.

Mengulas mengenai masalah perumahan anggota di pangkalan berkenaan, beliau berkata, masalah tersebut akan diatasi selewat-lewatnya akhir tahun ini menerusi kerjasama dengan sektor swasta.

''Malah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedia membantu kita mengatasi masalah kediaman ini," katanya.

TLDM tingkat pengambilan anggota wanita

Sumber: Utusan
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

LUMUT 15 Jan. - Bermula tahun ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meningkatkan kuota pengambilan anggota wanitanya daripada empat kepada lapan peratus.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira sumbangan dan kepentingan wanita dalam perkhidmatan TLDM dan ia bakal memberikan peluang kepada anggota wanita untuk memperkembangkan kerjaya mereka.

Katanya, statistik terkini menunjukkan terdapat seramai 1,104 anggota wanita terdiri daripada 147 pegawai dan 957 lain-lain pangkat (LLP) dan ia bersamaan dengan 6.13 peratus kekuatan keseluruhan TLDM.

"TLDM tidak mengamalkan sebarang bentuk pilih kasih atau diskriminasi jantina dalam aspek pengurusan sumber manusia malah kita mengamalkan konsep orang yang tepat untuk pekerjaan yang tepat.

"Saya percaya kehadiran wanita dalam TLDM boleh melengkapkan pasukan dan boleh menyumbang ke arah pembangunan TLDM yang seimbang," katanya semasa berucap merasmikan Kem Wanita TLDM 2010 di pangkalan TLDM di sini hari ini.

Ketika ini pangkat tertinggi disandang oleh wanita dalam TLDM ialah komander dengan tujuh orang memegang pangkat itu.

Kebanyakan anggota wanita berkhidmat di pangkalan TLDM dan setakat ini, hanya empat pegawai iaitu masing-masing dua orang ditugaskan di dalam kapal iaitu KD Pahang dan KD Perak.

Menurut Abdul Aziz, TLDM sentiasa menghargai sumbangan yang dicurahkan oleh anggota wanita dan ia dapat dilihat pada bilangan anggota wanita yang dinaikkan pangkat pada sepanjang 2009.

Walaupun jumlahnya kecil kata beliau, anggota wanita TLDM berani mengorak langkah untuk menjadi cemerlang setaraf dengan anggota lelaki.

"Seramai 13 pegawai wanita dan 106 LLP wanita telah dinaikkan pangkat sepanjang 2009 dan ia merupakan 4.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,430 anggota TLDM yang dinaikkan pangkat pada 2009.

"Pada tahun sama, seramai 190 anggota wanita juga dihantar berkursus di dalam dan luar negara iaitu sebanyak tiga peratus daripada jumlah 6,270 anggota yang dihantar berkursus," ujarnya.

Beliau memberitahu, sejajar dengan peningkatan anggota wanita yang berterusan, TLDM telah menubuhkan Sel Wanita pada 1 Mei 2009 dengan tujuan menjaga kebajikan wanita termasuk pembangunan kerjaya, hala tuju dan membendung isu sosial wanita.

"Banyak kejayaan telah dicapai oleh Sel Wanita TLDM dalam masa yang singkat seperti melantik pegawai penyelaras hal ehwal wanita di semua formasi, penggunaan baju mengandung TLDM serta bakal menggunakan tudung serta kasut kawad baru," katanya.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini