About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, January 10, 2011

Cessna berundur daripada TUDM

sumber utusan
oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR




TARIKH 3 Disember 2010 mencatatkan satu lagi memori bermakna buat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila lapan pesawat Cessna 402B ditamatkan daripada perkhidmatan angkatan itu secara rasmi.

Manakan tidak, selepas 35 tahun menerjah awan bersama barisan juruterbang TUDM, pesawat yang salah satunya pernah diterbangkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu pasti menyimpan pelbagai kisah suka dan duka bersama pasukan.

Pesawat yang mula-mula memasuki perkhidmatan TUDM sejak 1975 itu pada awalnya diserapkan ke Pusat Latihan Penerbangan Satu (Pulatibang 1) TUDM di Alor Setar, Kedah.

Sebanyak 12 buah pesawat jenis itu telah diperoleh kerajaan dengan 10 daripadanya digunakan dalam latihan lanjutan para pelatih juruterbang TUDM sewaktu itu, sementara dua lagi dibeli bagi tugas pemetaan dari udara oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Negara.

Bagaimanapun, kesemua Cessna itu dipindahkan ke Nombor (No.) 2 Skuadron di Pangkalan Udara TUDM Kuala Lumpur pada 1983, setelah pesawat Pilatus PC-7 memasuki inventori TUDM bagi tugas latihan juruterbang.

Pada waktu itu, kegunaan pesawat Cessna telah dipelbagaikan TUDM antaranya untuk membantu para juruterbang perkhidmatan dalam latihan peralihan pesawat pelbagai enjin (MECU).

Rentetan dari itu, pesawat berkenaan kemudiannya diserapkan ke No. 20 Skuadron di Pangkalan TUDM Subang mulai 1997 bagi mempelbagaikan lagi peranannya.

Cabaran Cessna

Selain cerita gembira dalam perkhidmatan, para peminat avionik dan ketenteraan tempatan juga tidak dapat melupakan tentang tragedi yang melibatkan pesawat itu.

Difahamkan, sebanyak tiga daripada pesawat Cessna dalam inventori TUDM pernah terlibat dalam kemalangan atau terhempas.

Selain itu, TUDM juga perlu akur bahawa pesawat Cessna 402B yang pada 1975 dianggap sebagai antara yang tercanggih dalam bidang penerbangan kini boleh dikategorikan sebagai usang.

Dengan perkembangan teknologi semasa, penyenggaraan Cessna yang menggabungkan teknologi lama serta penggunaan minyak pesawat dengan oktana tinggi atau AVGAS dirasakan semakin membebankan TUDM dan negara.

Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, penamatan tauliah pesawat itu dipersetujui oleh Jemaah Menteri mulai bulan ini selepas mendapat pandangan TUDM mengenai status kapal terbang berkenaan.

“Kita bermula dengan 10 unit Cessna dan kini sebanyak lapan buah yang masih beroperasi.

“Dua daripada pesawat itu akan diserahkan kepada Muzium TUDM dan untuk latihan mekanikal di Kolej Tentera Udara (KTU) manakala enam lagi akan dibuat penilaian seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penamatan tauliah Cessna 402B daripada TUDM di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 3 Disember lalu.

Jelas di sini bahawa pesawat Cessna telah mewarnai arena penerbangan ketenteraan negara, walaupun ia ‘dilahirkan’ pada penghujung 1960an dengan keupayaan yang terhad.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini