About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, November 20, 2011

KENAIKAN PANGKAT POLIS-TIME BASED

Sumber:Majalah Perajurit edisi Nov 2011
Oleh Hamzah Hd.


Mengikut statistik wikipedia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai 111,450 orang pegawai dan anggota keseluruhannya yang bertanggungjawab bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam negara ini. PDRM juga dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri dari Polis Tambahan, Sukarelawan Polis, Polis Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam.
PDRM mempunyai 16 peringkat pangkat mengikut 2 kategori, iaitu kumpulan Pegawai Kanan Polis bermula dari pangkat Inspektor sehingga Inspektor General Polis, dan Kumpulan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel.
Kumpulan Pegawai Kanan Polis terbahagi kepada 2 kelompok di mana pegawai berpangkat Penolong Penguasa Polis ke atas diklasifikasikan sebagai Pegawai Polis Diwartakan manakala Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan Ketua Inspektor pula dikenali sebagai Pegawai Polis Tidak Diwartakan.
Selain itu, Pegawai Kanan Polis juga boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan utama, iaitu Kumpulan Pertengahan (ACP - IGP), Kumpulan Diwartakan (ASP - SUPT) dan Kumpulan Tidak Diwartakan (INSP - C/INSP).
Peringkat Pegawai Rendah Polis dan Konstabel pula bermula dari pangkat Konstabel sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor. Pangkat Koperal sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor juga dikenali sebagai Pegawai Subordinat.
Pangkat setiap anggota polis umumnya dapat dikenali melalui nombor pengenalan polis. Pemegang pangkat IGP sehingga SUPT menggunakan 'G' sebagai pangkal, INSP sehingga C/INSP menggunakan 'I' dan kumpulan rank and file menggunakan 'RF'.
Lans Koperal Naik Pangkat

Bersesuaian dengan tema kemerdekaan tahun ini, Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera telah mencetuskan ilham kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap sumbangan anggota polis berpangkat rendah kepada negara.

Kenaikan pangkat 16,010 anggota polis berpangkat Lans Koperal kepada Koperal secara automatik menerusi kaedah time-based mengikut tempoh perkhidmatan tanpa perlu menjalani proses temu duga. Pengumuman oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini telah mencerminkan satu transformasi yang mensejahterakan sebilangan anggota-anggota PDRM pangkat rendah mengikut pecahan skim perkhidmatan iaitu Skim Anggota Pangkat Rendah (APR) dan Konstabel, Konstabel Sokongan dari Skim APR dan Konstabel Orang Asli. Walaubagaimana pun, perlaksanaannya dibuat secara berperingkat mengikut kekananan perkhidmatan seseorang anggota.

Syarat-syarat asas kenaikan pangkat melalui kaedah time- based ialah semua anggota yang terlibat telah berkhidmat di dalam pasukan tidak kurang dari 8 tahun dan lulus peperiksaan yang telah ditetapkan oleh jabatan. Penilaian juga dibuat berasaskan prestasi kerja dan tiada masalah tatatertib di sepanjang tempoh perkhidmatan.

Kenaikan pangkat ini merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan di atas usaha gigih dan perjuangan Ketua Polis Negara (KPN) dalam menentukan kebajikan serta kemajuan kerjaya dapat dinikmati oleh semua warga PDRM.

Selaras dengan pengumuman itu, peringkat negeri Kedah, seramai 670 orang dalam fasa pertama anggota Polis Kontinjen Kedah yang berpangkat Lans Kopral telah dinaikkan ke pangkat Koperal secara berperingkat di mana baki 174 orang anggota lagi akan dinaikkan pada fasa seterusnya.

Dato’ Ahmad Ibrahim, Ketua Polis Kedah dalam ucapan perasmian Majlis Pemakaian Pangkat PDRM Peringkat Negeri Kedah menyeru kepada semua Pegawai kanan, anggota dan kakitangan awam kontinjen Kedah supaya mempamirkan kualiti kerja yang positif, berintegriti, bertanggung jawab serta ikhlas ketika menjalankan tugas. Proses kenaikan pangkat adalah merupakan suatu usaha berterusan yang mana semua pegawai dan anggota PDRM berpeluang menikmatinya.

Tambah beliau, di dalam arus pemodenan, anggota PDRM seharusnya bertindak secara bijaksana berlandaskan undang-undang dan peruntukan yang sedia ada, sekali gus mengelak daripada kecuaian atau ketidakprofesionalisme semasa menjalankan tugas. Di samping memperkukuhkan tahap prestasi selain bijak melayan kehendak masyarakat dengan menjunjung moto ‘Tegas Adil dan Berhemah’.

Dalam perkembangan lain, Bajet 2012 yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Oktober lalu turut memberi peruntukan khas sebanyak RM200 juta untuk perbelanjaan pembangunan PDRM, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan. Bagi mengenang jasa Polis Khas dan Polis Tambahan pada zaman darurat, kerajaan meluluskan pemberian insentif secara lump-sum sebanyak RM3,000 kepada setiap bekas anggota polis.

Kesimpulan

Untuk seketika, warga PDRM khususnya yang terlibat dengan anjakan pangkat ini boleh menarik nafas lega setelah menunggu sekian lama untuk dinaikan pangkat akhirnya termakbul juga. Dengan desakan persekitaran ekonomi negara yang semakin memerlukan banyak wang untuk meneruskan kehidupan, kenaikan pangkat adalah salah satu punca penambahan pendapatan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga.

Khalayak cukup maklum bahawa warga PDRM menanggung beban tugas yang amat berat bagi menentukan keselamatan dalam negara aman dan tenteram. Ancaman yang datang dari pelbagai dimensi dalam negara kala ini sangat meresahkan masyarakat umum secara langsung menuntut dan bergantung harap campurtangan PDRM. Dari sekecil-kecil masalah sosial dalam masyarakat sehinggalah kepada jenayah-jenayah berat seperti pembunuhan, pengedaran dadah, kongsi gelap dan sebagainya yang semuanya terpikul di bahu warga PDRM.

Warga PDRM bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan penjenayah malah dimensi ancaman juga terbentuk dari budaya baru seperti belia-belia merempit, lambakan imigran, malah juga trend yang dicetus oleh pengamal politik yang cuba memanipulasikan sesuatu isu dalam negara dengan berdemontrasi di jalanan yang sengaja mencari jalan untuk menggambarkan imej buruk PDRM di mata dunia dan menuntut campurtangan asing terhadap geografi politik dalam negara.

Namun begitu PDRM tidak pernah mundur walau setapak dari peranan yang diamanahkan oleh negara walaupun mereka juga berhadapan dengan masalah-masalah peribadi, kekangan ekonomi yang semakin menghimpit sedangkan gaji/imbuhan yang mereka dapat tidak setimpal dengan tanggungjawab yang sangat besar. Natijah kepada fenomena ini, kenaikan pangkat bila tiba masanya adalah alternatif yang mampu mengembalikan semangat juang terutamanya bagi mereka yang berada dalam kumpulan Anggota Pangkat Rendah.
PERAJURIT

Tuesday, November 8, 2011

Pasukan simpanan imbangi ATM

sumber utusan
Oleh SYUKRI SHAARI dan SOFIAN BAHAROM



KEUPAYAAN pertahanan negara tidak seharusnya diletakkan pada bahu angkatan tentera semata-mata, tetapi ia juga merupakan tanggungjawab bersama setiap warganegara sekiranya negara ini diancam musuh.

Struktur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini adalah memadai dengan kekuatan angkatan tetap berskala kecil tetapi mampu diperkukuhkan oleh keseimbangan pasukan simpanan yang mampu dikerah untuk berkhidmat sepenuh masa sekiranya negara menghadapi situasi darurat atau peperangan.

Sejarah telah membuktikan bahawa Pasukan Simpanan ATM telah memainkan peranan yang signifikan dalam menguatkan keupayaan pertahanan negara.

Pasukan simpanan telah berganding bahu dan bekerjasama dengan angkatan tetap untuk memerangi musuh semasa pengisytiharan darurat serta konfrontasi Indonesia dan Malaysia.

Ia telah terbukti apabila hampir 180,000 sukarelawan tampil mempertahankan negara semasa menghadapi konfrontasi tersebut.

Peranan

Seperti pasukan simpanan tentera negara lain di seluruh dunia, peranan yang diamanahkan kepada Pasukan Simpanan ATM termasuklah;

l Membantu-ganti angkatan tetap menggandakan paras kekuatan yang diperlukan untuk mempertahankan kepentingan strategik ketika darurat atau peperangan.

l Membantu angkatan tetap dalam operasi keselamatan dalam negeri dengan bersedia untuk dikerahkan dan diatur gerak apabila keadaan memerlukan.

l Bersedia membantu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menghadapi bencana alam atau lain-lain kecemasan.

Komponen

Pasukan Simpanan ATM terdiri daripada dua komponen iaitu simpanan tetap dan simpanan sukarela.

Pasukan simpanan tetap dikenali sebagai reservists dan terdiri daripada anggota angkatan tetap yang berhenti, meletakkan jawatan, tamat atau bersara daripada perkhidmatan.

Mereka diwajibkan berkhidmat sebagai anggota simpanan di dalam perkhidmatan masing-masing mulai dari tarikh berhenti untuk jangka masa lima tahun bagi pegawai, manakala anggota lain-lain pangkat sehingga mencapai umur 50 tahun atau yang mana terdahulu.

Sementara itu, pasukan simpanan sukarela pula dikenali sebagai volunteers terbuka kepada setiap warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas untuk menyertai secara sukarela setelah memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.

Pasukan simpanan ATM juga dikenali sebagai Askar Wataniah bagi Tentera Darat selain Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tugas untuk membangun, melatih dan menyelenggarakan pasukan simpanan ATM terletak pada bahu perkhidmatan masing-masing. Struktur organisasi pula, diatur mengikut peranan dan keperluan perkhidmatan.

Pembangunan karier individu diurus berdasarkan kepada latar belakang akademik dan profesional sukarelawan. Pada ketika ini, ATM mempunyai seramai 60,000 anggota sukarelawan di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun memberitahu, kementerian menyasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara akan mempunyai kompeni Askar Wataniah (AW) masing-masing sebelum akhir tahun ini.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini