About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, November 8, 2011

ATM perlu tingkatkan profesionalisme

sumber utusan

Oleh SYUKRI SHAARI dan SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my



WARGA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diseru meningkatkan tahap profesionalisme mereka dan meletakkan kepentingan perkhidmatan sebagai perisai negara mengatasi segalanya demi masa depan rakyat serta negara.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika berucap pada Perbarisan Hari ATM ke-78 baru-baru ini menekankan kepentingan warga ATM memperkukuhkan institusi bermaruah itu.

Beliau juga menggesa anggotanya meningkatkan lagi tahap profesionalisme mereka serta menyuburkan iltizam untuk memacu kemajuan organisasi ke satu tahap yang lebih tinggi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan anggota ATM supaya tidak leka dengan suasana aman yang dikecapi negara ketika ini, sebaliknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan dan cabaran yang mungkin berlaku.

"Isu-isu semasa yang wujud, walau sekecil zarah pun boleh meledak sekiranya tidak ditangani dengan baik. Sebagai sebuah ketumbukan yang berwibawa, setiap anggota juga perlu sentiasa peka kepada perkembangan geostrategik serantau dan global.

"Sebarang perubahan dan perkembangan hendaklah dipantau dengan teliti supaya kita sentiasa mendapat maklumat terkini serta berada di hadapan dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan," katanya.

Menurut Zulkifeli, ATM tidak akan sesekali berkompromi dalam soal kedaulatan dan keselamatan negara.

Justeru, katanya, ATM akan terus mempertingkatkan keupayaan anggotanya demi merealisasikan pelaksanaan pelan pembangunan strategik ke arah mengekalkan kedaulatan serta keselamatan negara.

"Saya menyeru supaya semua jabatan, perkhidmatan dan anggota dalam ATM mempertingkatkan tahap pengoperasian modal insan, aset serta doktrin mereka supaya segalanya berada pada tahap kesiapsiagaan yang tertinggi.

"Ini membolehkan setiap anggota melaksanakan tugas serta fungsi mereka dengan sebaiknya ketika diperlukan nanti," jelasnya.

Dalam ucapannya, Zulkifeli juga menekankan kepentingan ATM melipat gandakan sumbangan mereka terhadap usaha kerajaan untuk membangunkan negara bangsa.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial organisasi tersebut yang perlu dilunaskan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

"Ketika ini, ATM sedang giat melaksanakan agenda negara menerusi inisiatif-inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru (NBOS) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan yang lain.

"Sebagai contoh, ATM telah membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak semula anggotanya supaya mereka dapat melaksanakan tugas memerangi jenayah dan seterusnya dapat mengurangkan kadar berlakunya jenayah.

"Selain itu, ATM juga menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penjara melalui inisiatif pusat pemulihan pemasyarakatan dalam usaha pemulihan komuniti yang memberi manfaat kepada negara. ATM turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah untuk menyediakan bekalan air, membaiki dan membina rumah untuk masyarakat di kawasan luar bandar," ujarnya.

Bagaimanapun, penglibatan ATM dalam inisiatif-inisiatif tersebut yang bertujuan membangunkan negara, organisasi berkenaan tidak pernah mengabaikan tugasan hakiki mereka iaitu mempertahankan kedaulatan negara.

Bahkan menurut Zulkifeli, menerusi inisiatif-inisiatif di bawah NBOS, ATM dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan agensi kerajaan yang lain seterusnya memberi manfaat kepada rakyat serta negara.

"ATM akan terus dibangunkan menjadi sebuah ketumbukan perang yang efektif. Ia akan dilaksanakan secara berterusan walaupun menuntut penggunaan tenaga, masa serta kos yang agak besar.

"Di samping itu, ATM juga akan terus meningkatkan kerjasama serantau menerusi mekanisme yang sedia wujud dan yang akan diwujudkan bagi mengatasi ancaman bukan tradisional seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan wang dan aktiviti pelanunan yang mempengaruhi tahap keselamatan rantau ini," katanya.

Penglibatan ATM pada peringkat global pula tidak perlu dipertikaikan lagi berdasarkan pada penyertaan mereka dalam pelbagai misi kemanusiaan dan keamanan sama ada di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau peraturan bilateral dan multilateral yang lain.

Zulkifeli berkata, setakat ini, terdapat hampir 1,000 anggota ATM sedang berkhidmat dalam misi di peringkat antarabangsa.

Katanya, penglibatan ATM dalam beberapa misi seperti di Lebanon amat disanjung tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

PDRM mahu kerjasama lebih luas dengan ATM

sumber utusan

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang memperluaskan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dalam bidang latihan dan kepakaran seperti komunikasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin untuk mendapat persetujuan bersama.

"Kerjasama ini (dalam bidang komunikasi) juga untuk melihat pegawai kita disempadan contohnya mempunyai kemahiran yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 61 anggota dan pegawai ATM dan PDRM yang merupakan kumpulan pertama yang menyertai Strategi Lautan Biru Kebangsaan 2 (NBOS2) di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) selaku pemangku Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd. Rahim Hanafi.

Ismail berkata, selain meningkatkan kemahiran berkomunikasi, kerjasama dengan ATM juga dilihat dapat memperlihatkan peningkatan semangat terhadap kedua-dua unit beruniform tersebut.

Beliau berkata, kerjasama itu dijangka dapat menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM639 juta untuk tempoh lima tahun.

Sementara itu Mohd. Bakri berkata, pihaknya akan mengkaji kelemahan prosedur syarikat keselamatan yang menyebabkan kira-kira RM1.9 juta yang dibawa dengan van keselamatan syarikat itu dilarikan pada 6 Oktober lalu.

Wang tersebut dilaporkan dilarikan oleh lima lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol di sebuah stesen minyak di pekan Ijok, Kuala Selangor. — BERNAMA

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini