Pages

Saturday, March 20, 2010

Teruskan legasi perjuangan - Panglima

Sumber utusan
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my
Gambar Shaifudin Mohd. Nor



TENTERA Darat (TD) kini menjangkau usia 77 tahun dan sesungguhnya pengalaman serta rentetan sejarah yang penuh dengan keunikan, kehebatan dan kebanggaan itu perlu dikecapi dan dimegahkan.

Cogankata Gagah Setia sentiasa menjadi pembakar semangat perwira negara yang membuatkan TD berdiri teguh menjadi tiang seri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendukung hasrat bangsa dan negara.

Sesungguhnya seruan itu tidak pernah luntur di sanubari setiap warga TD dan pasukan itu dilihat semakin matang setelah 77 tahun ia ditubuhkan.

Jika kembali pada sejarahnya, usaha menubuhkan pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak-anak Melayu itu bermula sejak tahun 1902.

Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi merealisasikan impian itu.

Sehubungan itu, selaras dengan sambutan ulang tahun TD yang ke-77, panglimanya, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin mahu seluruh warga pasukan itu meneruskan legasi perjuangan mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.

Menurutnya, legasi perjuangan itu perlu diteruskan kerana ia merupakan titik tolak ke arah kewujudan pasukan tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Bermula dengan sebuah angkatan peperangan insurgensi, TD kini berubah menjadi sebuah angkatan konvensional yang moden dan berkemampuan dalam menangani pelbagai spektrum ancaman," katanya pada sambutan Hari Ulang Tahun TD ke-77 pada 1 Mac lalu.

Beliau berkata, pembangunan aset terancang telah memperlihatkan peningkatan keupayaan TD sebagai sebuah organisasi yang sentiasa bersedia dan berupaya menjadi sebuah ketumbukan yang mampu melaksanakan misi dalam pelbagai dimensi.

Perbarisan Hari Ulang Tahun TD ke-77 kali ini melibatkan 46 pegawai dan 958 anggota lain-lain pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Leftenan Kolonel Saiful Bahri Zainol.

Pada acara tersebut, tiga buah helikopter jenis Augusta milik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) melakukan lintas hormat dengan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim turut terlibat sebagai pemandu juruterbang dalam salah sebuah helikopter itu.

Pemodenan TD

Menyedari keperluan transformasi yang relevan dengan keperluan semasa, warga TD yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu bergabung tenaga, kepakaran, pemikiran strategik dan profesionalisme untuk mencapai misi 'mempertahankan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar dan membantu pihak berkuasa awam'.

Muhammad Ismail berkata, justeru tema 'TD Mendukung Aspirasi Rakyat dan Kedaulatan Negara' masih kekal relevan bagi sambutan Hari Tentera Darat yang ke-77 kali ini.

"Sesungguhnya kejayaan yang kita capai adalah hasil daripada kerjasama seluruh warga TD. Ini bermakna setiap warga TD adalah penyumbang penting dalam menentukan kecemerlangan hala tuju TD sekali gus dapat merealisasikan Pelan ATM Dimensi ke-4 atau 4D MAF," katanya.

Konsep 4D MAF telah diadaptasi sebagai pelan induk ATM. Konsep itu memerlukan TD sentiasa bersiap sedia dalam memenuhi keperluan atur gerak yang tangkas, keupayaan mengekalkan kehadiran serta mempunyai ketahanan dalam mengukuhkan domain daratan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keperluan itu hanya dapat dicapai melalui kecekapan, kebijaksanaan, persefahaman serta kerjasama erat setiap warga TD dalam melaksanakan fungsi dan tugasnya.

"TD akan menterjemahkan 4D MAF kepada pelaksanaan tugas secara strategik dan sistematik. Segala usaha dan tenaga perlu digembleng supaya keupayaan dan keberkesanan TD dapat dipertingkatkan agar kewujudannya kekal relevan," jelasnya.

Kesan kegawatan ekonomi global

Kesan kegawatan ekonomi global dan negara turut memberi kesan langsung terhadap peruntukan belanjawan tahunan TD.

Justeru, pengurusan operasi, latihan, sumber manusia, logistik dalam sumber yang terhad akan diimbangi dan ia merupakan satu cabaran kepada TD.

Sehubungan itu, dalam mengharungi kekangan tersebut, Muhammad Ismail berkata, misi utama TD adalah memastikan gerakan dan latihan dapat dilaksanakan dengan lancar menggunakan peruntukan yang terhad secara optimum.

Dalam hal gerakan, katanya, TD akan meneruskan tugas gerakan mengikut keperluan semasa dan mengekalkan kesiapsiagaan trup sesuai dengan Dasar Pertahanan Negara.

Sehingga kini, TD telah berjaya memastikan tahap keselamatan daratan negara sentiasa terkawal dengan tiada sebarang ancaman luaran yang mengganggu-gugat kedaulatan daratan negara.

"Dari segi latihan, saya berpuas hati dengan pencapaian latihan individu dan kelompok yang dilaksanakan oleh TD. Begitu juga latihan dua hala dengan negara asing juga telah mendapat objektif yang digariskan.

"Justeru, saya menyeru kepada semua warga TD mengekalkan tahap kecekapan dan profesionalisme bagi memenuhi keperluan gerakan," katanya.

TD sokong gagasan 1Malaysia


Sebagai organisasi yang mendukung aspirasi rakyat, TD akan terus menyokong gagasan 1Malaysia yang membawa aspirasi memperkukuhkan hubungan kaum di negara ini dan menjalinkan perpaduan seperti kehendak Rukun Negara.

Muhammad Ismail berkata, gagasan 1Malaysia telah memperkukuhkan usaha TD untuk merealisasikan slogan 'Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada' yang wujud dalam organisasi itu sejak sekian lama.

"Wujudnya TD adalah sebahagian daripada ATM dan ia merupakan keperluan rakyat serta aspirasi mereka. Dalam mendukung aspirasi rakyat dan kedaulatan negara, kita perlu membuat persediaan terbaik dengan mengukuhkan tradisi, nilai, budaya, etos dan norma ketenteraan selaras dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengukuhan tradisi, nilai, budaya, etos dan norma ketenteraan merupakan landasan untuk menjadikan TD sebuah angkatan yang mampu mempertahankan kedaulatan negara dalam apa jua ancaman.

"Amat jelas bahawa, tanggungjawab mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara merupakan sumpah keramat dan amanah rakyat yang kita pikul.

"Kita adalah pembela bangsa dan negara serta menjadi tulang belakang pertahanan negara. Oleh itu, marilah sama-sama menunaikan amanah dan tanggungjawab kita kepada rakyat dan negara tercinta," katanya.

TD terus dihormati dan disanjungi


Sejajar dengan perkembangan dan komitmennya dalam menjalankan tugas, TD bukan sahaja dihormati dan disegani di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Penglibatan mereka dalam pelbagai operasi misi pengaman di luar negara bukan sahaja sebagai anggota perdamaian, malah turut dilantik untuk memimpin operasi itu.

Dalam pasukan pemantau antarabangsa di Mindanao, Filipina yang terbaru ini, Malaysia dipilih mengetuai pasukan pemantau, dikenali sebagai Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) Mindanao.

Selain itu, TD juga terus diiktiraf dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Kontinjen Malaysia (Malcon) bagi misi PBB di Lebanon (Unifil).

Kepercayaan PBB terhadap ATM adalah kerana kemampuan Malaysia menjalankan tanggungjawab secara berkesan, selain memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas diamanahkan.

No comments:

Post a Comment