Pages

Thursday, March 4, 2010

Kekal khidmat MiG-29N

Sumber utusan
Oleh MOHD.ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my




KEPUTUSAN kerajaan menarik balik hasrat untuk menamatkan khidmat pesawat pemintas MiG-29N Fulcrum merupakan satu langkah strategik. Ia bukan sahaja dari segi doktrin pertahanan tetapi juga bertepatan jika dilihat pada faktor kekuatan kewangan negara ketika ini.

Dari segi doktrin pertahanan, keputusan mengekalkan khidmat MiG-29N untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi, akan membolehkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memiliki platform tempur yang pelbagai, tanpa perlu terlalu bergantung pada pesawat pelbagai peranan, F-18D Hornet dan Sukhoi SU-30 MKM bagi mempertahankan ruang udara.

Pada masa yang sama, gandingan pesawat MiG-29N dengan pesawat tempur lain, mampu mengekalkan status TUDM sebagai angkatan udara dominan di rantau ini.

TUDM pada masa yang sama juga mempunyai Su-30MKM yang diakui sebagai antara pesawat generasi keempat terbaik di dunia, F-18D Hornet yang memiliki keupayaan serangan malam yang mantap, pesawat Hawk 108/208 serta F-5E yang telah ditingkat upaya.

Kepelbagaian jenis dan kemampuan pesawat itu memberi TUDM satu platform pertahanan yang mantap serta mampu menggerunkan musuh dan yang lebih penting negara memiliki pertahanan ruang udara berlapis yang sukar untuk ditembusi khususnya oleh penceroboh serantau.

Dalam pada itu, mengambil kira keadaan ekonomi yang baru pulih serta penyusutan bajet pertahanan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tahun 2010 yang hanya berjumlah RM1.9 bilion, keputusan mengekalkan khidmat MiG-29N sebenarnya jauh lebih kos efektif berbanding pembelian aset tempur baru kerana hayat pesawat itu sebenarnya masih berbaki 15 tahun lagi.

Ini bukan bermakna sebarang pembelian aset baru ditentang tetapi dalam keadaan ekonomi sekarang, Kementerian Pertahanan perlu realistik kerana tidak mungkin kerajaan dapat menyediakan sejumlah peruntukan yang besar bagi membeli sehingga 18 pesawat pelbagai peranan untuk menggantikan MiG-29N dan MiG-29NUB.

Malah dijangka jika Kementerian Pertahanan tetap dengan keputusan terdahulu untuk menghentikan operasi MiG-29N, penggantian pesawat baru tidak mungkin dapat direalisasikan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) memandangkan bajet bagi pertahanan difahamkan hanya sekitar RM7 bilion.

Daripada jumlah itu, RM2 bilion dijangka diagihkan untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dengan baki RM5 bilion, pembelian pesawat baru tidak mungkin dilaksanakan kerana ATM masih mempunyai senarai perolehan yang lebih terdesak seperti penggantian peluru berpandu dan bom yang telah luput serta pembelian kenderaan perisai baru untuk kegunaan Tentera Darat (TD).

Benarkah kos penyelenggaraan MiG-29N terlalu tinggi? Alasan Kementerian Pertahanan bahawa kos penyelenggaraan MiG-29N terlalu tinggi iaitu mencecah RM262 juta setahun sehingga menyebabkan pesawat tersebut tidak lagi kos efektif untuk dioperasikan boleh dipersoalkan.

Kenapa kos penyelenggaraan bagi 16 buah MiG-29 itu terlalu tinggi sehingga kelihatan tidak munasabah?

Apakah wujud sindrom syarikat tempatan mengaut keuntungan berlebihan sehingga menyebabkan kos melambung sebegitu tinggi dan akhirnya yang menjadi mangsa adalah TUDM?

Kontrak untuk mengekalkan tahap operasi MiG-29N dilaksanakan secara komersial oleh firma swasta tempatan yang berhubung secara langsung dengan syarikat pengeluar asal (OEM).

Situasi itu berbeza dengan kos selenggara pesawat F-18D Hornet kerana ia dibuat tanpa pihak ketiga.

Justeru, jumlah RM262 juta yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu adalah kos peringkat akhir yang terpaksa ditanggung oleh TUDM selepas 'orang tengah' mengaut keuntungan dan bayangkan jika mereka mengambil sehingga 30 peratus keuntungan daripada kos asal yang dibekalkan oleh pengeluar.

Sebenarnya, langkah kerajaan mewujudkan perkongsian pintar dalam teknologi pertahanan melalui penubuhan syarikat swasta adalah baik tetapi jika harga yang dikenakan kepada pengguna iaitu TUDM dalam kes MiG-29N tidak munasabah, maka Kementerian Pertahanan sepatutnya menilai semula harga tersebut.

Malah jika kita mahukan ketelusan serta akauntabiliti dalam menilai kos selenggara itu, mungkin sudah tiba masanya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terbabit sama.

MiG-29N/NUB yang diperoleh pada tahun 1995 dengan kos AS$ 600 juta (pada masa itu) masih merupakan pesawat pejuang dan pemintas yang menggerunkan kerana ketangkasannya terutama jika membabitkan pertempuran udara jarak dekat (dogfight).

Ketangkasan itu masih gagal ditandingi oleh pesawat yang sekelas dengannya iaitu F-16 yang menjadi tulang belakang pertahanan udara beberapa negara serantau seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Keupayaan itu menjadi semakin menggerunkan pada tahun 1998 apabila TUDM melakukan tingkat upaya dengan pemasangan radar baru yang lebih berkeupayaan iaitu Phazotron NO19ME yang membolehkan pesawat MiG-29 membawa peluru berpandu udara ke udara jarak jauh jenis RVV-AE atau R-77 yang sangat ditakuti oleh Barat.

Walaupun MiG-29N TUDM tidak pernah terbabit dalam konflik bersenjata sepanjang khidmatnya sehingga kini, tetapi dalam siri latihan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), pesawat jenis itu sering kali 'menembak jatuh' pesawat yang lebih moden iaitu F-18A/B milik Australia.

Hal itu diakui sendiri oleh juruterbang Australia yang menyifatkan MiG-29N bukan sahaja lincah dan tangkas dalam peperangan tempur jarak dekat tetapi juruterbangnya juga berani.

Kehebatan juruterbang MiG-29N dalam mengendalikan aset tempur canggih itu turut diiktiraf oleh Rusia yang menganggap juruterbang MiG-29 TUDM sebagai antara yang terbaik di dunia dan dalam beberapa aspek, ia lebih ke hadapan berbanding juruterbang MiG-29 Rusia sendiri.

Selain itu, pengalaman India semasa konflik Kargil di Kashmir, juga membuktikan MiG-29 lebih berkemampuan berbanding F-16 apabila dua pesawat MiG-29 India dari Skuadron No. 47 berjaya 'mengunci' dua buah pesawat F-16 Tentera Udara Pakistan semasa pesawat yang menjadi tulang belakang utama Pakistan itu terbang berhampiran sempadan udara kedua-dua buah negara.

Jika India yang telah mempunyai pengalaman perang sebanyak tiga kali dengan Pakistan yakin dan mempercayai kemampuan MiG-29 sebagai aset barisan hadapan negara, mengapa tidak pendirian yang sama diambil oleh Kementerian Pertahanan?.

Adalah sesuatu yang malang, jika setiap kali kemasukan pesawat baru dalam inventori TUDM, pesawat sedia ada walaupun masih muda usianya dan masih mempunyai prestasi yang menyengat, terpaksa dikorbankan atas alasan yang sebenarnya boleh dipersoalkan.

Oleh itu, sewajarnya kerajaan mengekalkan khidmat MiG-29N kerana dari segi strategik, sebuah angkatan udara yang kecil seperti Malaysia dengan bentuk muka bumi terpisah antara Semenanjung dan Borneo, ketangkasan aset tempur itu masih belum dioptimumkan sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment