Pages

Thursday, March 4, 2010

UPNM legasi kepimpinan tertinggi ATM

Sumber Utusan
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD (nizam)
pengarang@utusan.com.my



DALAM meneruskan usaha melahirkan pemimpin Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkaliber dan memiliki daya intelektual tinggi, penubuhan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dilihat satu keputusan tepat dan pelaburan yang amat berbaloi oleh kerajaan dan pihak tentera khususnya.

Biar pun baru ditubuhkan, rekod kecemerlangan institusi tersebut dalam melahirkan warisan pemimpin ATM terbilang tidak pernah dinafikan.

Imej UPNM kini bukan sahaja melonjak naik malah ia menjadi pilihan utama para pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dan dalam masa yang sama memiliki ilmu ketenteraan seterusnya bergelar pegawai tentera.

UPNM yang dulunya dikenali sebagai Akademi Tentera Malaysia (Atma) ditubuhkan ada 1 Jun 1995 sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjalankan program pengajian peringkat sarjana muda dan latihan ketenteraan untuk pegawai kadet ATM.

Peranan Atma kemudiannya diperluaskan apabila dinaik taraf menjadi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang diwartakan pada 10 November 2006.

Pada peringkat awal penubuhannya, UPNM turut menerima pelajar awam pada kadar nisbah 20 peratus daripada keseluruhan pelajar yang diambil pada satu-satu sesi.

Walaupun UPNM memulakan pengambilan kumpulan pertama pelajarnya pada sesi 2007/2008, sebenarnya ia telah mempunyai pengalaman mengendalikan program pengajian di peringkat sarjana muda selama 11 tahun iaitu dari tahun 1995 hingga 2006.

UPNM yang pada ketika itu dikenali sebagai Atma merupakan program kerjasama antara Kementerian Pertahanan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan telah melahirkan kira-kira 1,017 graduan dalam tiga bidang yang merangkumi kejuruteraan, sains dan pengurusan.

Selain memperoleh kelayakan profesional, siswazahnya juga ditauliahkan sebagai Pegawai ATM dan berkhidmat di pelbagai unit dalam Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sesi pertama UPNM


Perintah perbadanan UPNM telah dikeluarkan pada 6 November 2006 untuk memulakan pengajian akademik sesi 2007/2008 dan pada sesi tersebut seramai 550 siswa telah diambil bagi Program Asasi Pertahanan yang terdiri daripada 121 siswa awam dan 350 siswa tentera.

Sementara itu, untuk program sarjana muda seramai 130 siswa awam dan 297 siswa Asasi Pertahanan akan mengikuti program sarjana muda di bidang kejuruteraan, sains dan teknologi serta pengurusan dan pengajian pertahanan.

Bagi melancarkan pengurusan program yang ditawarkan di universiti berkenaan, sebanyak tiga fakulti dan sebuah Pusat Asasi Pertahanan iaitu Fakulti Kejuruteraan Pertahanan, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan serta Fakulti Pengurusan dan Pengajian Pertahanan telah ditubuhkan.

Program akademik yang ditawarkan di fakulti adalah setanding dengan IPTA dalam dan luar negara serta dilihat mampu menarik minat para pelajar kerana ia menyediakan kurikulum yang merangkumi bidang sains dan teknologi pertahanan.

Pengetahuan yang diperoleh boleh diaplikasi kepada aset pertahanan negara seperti kapal tentera laut, pesawat udara dan peralatan ketenteraan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, ia juga dapat diaplikasikan dalam sektor perindustrian yang berteraskan sains dan teknologi terkini.

UPNM kini

UPNM komited dalam mencapai kecemerlangan perkhidmatan sebagai sebuah universiti pertahanan premier dalam kepimpinan dan pembangunan profesional, penciptaan ilmu, penyebaran ilmu pengetahuan dan aplikasi sains pertahanan dan teknologi serta penyelidikan polisi.

Selain itu, UPNM juga berpegang teguh pada objektif penubuhannya iaitu:

Menyediakan asas pengetahuan yang kukuh dan seimbang dalam bidang kemanusiaan, pengurusan, sains dan teknologi serta menerap daya usaha intelektual melalui pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan usaha kesarjanaan yang bertaraf antarabangsa.

Menanam semangat kesetiaan dan patriotisme yang tinggi untuk berbakti kepada negara dengan berbekalkan ilmu, kemahiran serta kecekapan asas ketenteraan.

Membangunkan warga yang mempunyai tanggungjawab sosial dengan berteraskan pada unsur-unsur kerohanian, etika budaya dan moral yang terpuji.

Membentuk pemimpin masa depan yang memahami, menghayati dan mempunyai sikap toleransi terhadap kepelbagaian etnik, budaya dan agama.

Membekalkan pemimpin masa depan dengan kebolehan berkomunikasi.

Menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang Teknologi Pertahanan, Ekonomi dan Diplomasi, Hal Ehwal Ketenteraan serta Pengajian Keselamatan.

Warisan pemimpin ATM


Setelah empat tahun institusi berkenaan ditubuhkan, kini ia telah melahirkan empat generasi pegawai muda yang berkhidmat dalam ketiga-tiga cabang ATM.

Baru-baru ini, UPNM turut meraikan pegawai kadet yang berjaya ditauliahkan sebagai pegawai muda yang diserapkan ke dalam kor atau perkhidmatan masing-masing.

Seramai 381 pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai muda dengan pecahan jantina 320 lelaki dan 61 wanita yang terdiri daripada sesi 2003, 2004 dan 2005.

Istiadat tersebut turut mencatatkan sejarah kerana para pegawai wanita yang berjaya ditauliahkan merupakan antara yang teramai jika dibandingkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut seramai 190 pegawai kadet ditauliahkan ke dalam Perkhidmatan Tentera Darat (TD), 151 ke perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan selebihnya iaitu seramai 40 orang ditauliahkan ke perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sesi Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah pada tahun ini telah disempurnakan oleh Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Sultan Badlishah.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika bertitah pada majlis itu berkata, graduan UPNM adalah berbeza kerana mereka menerima latihan ketenteraan serta ilmu keperwiraan yang mendalam di institusi tersebut.

"Berbekalkan ilmu dan kemahiran untuk bergelar pegawai tentera sudah tentu mahasiswa lepasan UPNM adalah berbeza berbanding institusi pengajian tinggi awam yang lain," titah baginda.

Baginda menggesa para pegawai tentera yang baru ditauliahkan memberikan khidmat bakti kepada negara dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

"Dengan minda terbuka serta ilmu yang penuh di dada, beta percaya segala cabaran dan rintangan dapat dihadapi dengan mudah dan diatasi secara bijaksana," ujar baginda.

Hanya yang terbaik dilahirkan

Pada pentauliahan kali ini, Kapten Mohd. Faiz Mohammed telah dinobatkan sebagai pegawai kadet terbaik keseluruhan yang melayakkannya dianugerahkan sebilah pedang dan Piala Seri Perkasa.

Menurut Mohd. Faiz, tiada petua yang khusus beliau amalkan selain menanamkan keazaman yang tinggi dalam diri untuk berjaya.

"Saya sendiri tidak menjangka terpilih sebagai pegawai kadet terbaik keseluruhan kerana rakan-rakan yang lain juga menunjukkan usaha yang cemerlang," katanya.

Beliau yang ditauliahkan ke Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Johor Bahru berkata, dia amat meminati bidang ketenteraan dan berkat keazaman, kejituan usaha serta semangat tinggi mendorongnya berusaha menjadi yang terbaik.

Sementara itu, penerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik TD diterima oleh Kapten Ahmad Muadz Ahmad Shuhaili yang kini ditauliahkan ke Batalion Kelima RAMD, Kluang.

Jelasnya, corak kehidupan yang berbeza dan mencabar di UPNM menyemarakkan semangat beliau untuk bergiat aktif dalam aktiviti lasak yang dianjurkan seperti pertandingan tinju, ujian kemahiran menembak, pertandingan merentas halangan dan kawad serta bola sepak.

Ahmad Muaz yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Manjung, Perak berkata, keputusannya melanjutkan pelajaran ke UPNM turut disokong sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapanya.

Manakala anugerah Pegawai Kadet Terbaik TLDM pula diterima oleh Leftenan TLDM Muhamad Sarmizi Abdul Halim yang telah ditauliahkan ke Kapal Diraja (KD) Sultan Idris 1 di Lumut, Perak.

Muhammad Sarmizi yang memilih Ijazah Sarjana Muda Sains (Nautika) berkata, dia sedikit pun tidak berasa latihan ketenteraan yang diikuti boleh menjejaskan mutu akademik penuntutnya.

Malah katanya, melalui latihan ketenteraan yang diterimanya, ia telah membentuk disiplin yang tinggi di dalam diri dan membolehkan dia berjaya dalam kedua-dua bidang sekali gus.

Anugerah Pegawai Kadet Terbaik TUDM pula diterima oleh Kapten TUDM Ashraf Muhammad Radzi dan beliau telah ditauliahkan sebagai pegawai kejuruteraan di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Kedah.

Ashraf bercita-cita melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi dan berazam mahu menjadi salah seorang pemandu pesawat tempur negara.

Katanya, buat masa ini dia hanya ditugaskan di Cawangan Kejuruteraan TUDM namun beliau tetap bertekad mahu menjadi juruterbang pesawat tempur sekiranya diberikan peluang.

Jelas Ashraf, tiada apa yang mustahil dilakukan sekiranya seseorang itu benar-benar mahu berusaha dan bersungguh-sungguh.

Sejajar dengan hasrat UPNM yang ingin melahirkan Pemimpin Berkarektor Cemerlang (Leaders of Character), para pegawai kadet yang ditauliahkan tersebut merupakan legasi UPNM yang akan berkhidmat dalam ATM dengan mengamalkan semangat universiti iaitu kewajipan, maruah dan integriti.

No comments:

Post a Comment