Pages

Saturday, March 20, 2010

Star APMM setanding pasukan komando terkenal

sumber utusan
Oleh raja syahrir abu bakar
syahrir.bakar@utusan.com.my
Gambar Azli Ahad


PELAYARAN Kapal Maritim (KM) Langkawi milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke perairan Pulau Pintu Gedung dekat Pelabuhan Klang pada pagi 9 Februari lalu berjalan lancar.

Para petugas media yang mengikuti pelayaran itu bagi menyaksikan demonstrasi Eksesais Maritim Perkasa APMM berkenaan pula dilihat seronok sepanjang pelayaran dan teruja untuk menyaksikannya.

Tidak kurang juga, ada petugas media yang tidak menggemari perjalanan di laut serta skeptikal ke atas keupayaan agensi awam itu yang baru beberapa tahun ditubuhkan.

Kehadiran mereka hanya sekadar tuntutan tugas.

Ada rakan yang berbisik kepada penulis: ''Eh, kau rasa bagus ke demonstrasi APMM ini nanti? Atau sama saja macam komando Pasukan Khas Laut (Paskal) dari TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia)."

Pertanyaan itu tidak terus dijawab, sebaliknya hanya senyuman diukir kepada rakan tadi supaya dia terus berteka-teki. Senyuman itu juga bermakna ''aku tidak tahu'' atau; ''mengapa kau tanya begitu?''

Setibanya di perairan dimaksudkan dan setelah ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, demonstrasi yang ditunggu-tunggu akhirnya bermula.

Senario yang dipaparkan ialah seorang mangsa terkapai-kapai di laut setelah terjatuh dan menjerit meminta pertolongan.

Sepantas kilat, helikopter Dauphin AS 365 milik APMM yang telah bertumpu di lokasi mencari dan menyelamat itu tiba menghulurkan bantuan kepada mangsa selepas berupaya melihat riak air di kawasan berkenaan.

Pesawat yang dikhususkan untuk operasi mencari dan menyelamat serta pengawasan itu turut membawa anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (Star) APMM.

Dengan tangkas, salah seorang anggota Star turun dari helikopter itu menggunakan tali untuk menyelamatkan mangsa yang dipercayai turut mengalami kecederaan.

Kemudian, petugas Star tersebut dilihat memberikan isyarat kepada rakan-rakan di dalam Dauphin dan sejurus selepas itu, pengusung (stretcher) pula diturunkan.

Setelah diikat kemas di atas pengusung, mangsa tadi diangkat perlahan-lahan ke dalam pesawat yang 'setia' menanti di atas menggunakan tali.

Pengurusan mangsa yang dinaikkan ke dalam pesawat menggunakan tali atau dikenali sebagai kaedah 'high-line transfer' itu memperlihatkan ketelitian dan kepakaran anggota Star tadi dalam menjaga keselamatan helikopter, rakan-rakan setugas dan mangsa berkenaan.

Pertunjukan seterusnya tidak kurang hebatnya. Ia memperlihatkan bagaimana anggota tim Star menyelamatkan sebuah kapal yang ditawan lanun di laut lepas.

Kemantapan pengawalan bot bagi merapati kapal yang ditawan, kemahiran penggunaan senjata dan keupayaan memanjat kapal dari bot getah bagi mengawal keadaan semuanya dipamerkan dengan baik.

Di saat itu, rakan yang bersikap skeptikal terhadap keupayaan APMM khususnya pasukan komando Star tadi dilihat bertepuk tangan dan menoleh kepada penulis sambil berkata, ''Macam Paskal, Paskau, GGK, tapi masih baru."

Sudah tentu APMM yang menguatkuasakan undang-undang di pesisiran pantai negara tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan TLDM yang mempunyai fungsi berbeza, sementelah ia baru beberapa tahun beroperasi.

Eksesais Maritim Perkasa Siri Pertama 2010 itu membuka mata para petugas media bahawa keupayaan tim komando Star APMM setanding dengan pasukan khas lain dalam negara.

Namun pada usia muda APMM ini, sudah tentu banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki.

No comments:

Post a Comment