Pages

Tuesday, March 23, 2010

ATM dilibatkan dalam pergerakan politik satu pembohongan

Sumber utusan
Oleh ZAINI MOHD. SAID

PENDEDAHAN seorang ahli politik bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat mengatakan bahawa beliau pernah mendapat sokongan pihak tentera dalam usaha politiknya merampas teraju pemerintahan negara amat mengejutkan lagi menjijikkan.

Malahan menyebut sahaja idea yang sedemikian pun sudah cukup mengguris perasaan pegawai dan anggota tentera yang profesional dan berkhidmat atas lunas undang-undang berasaskan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Ia juga mencabar maruah dan pengorbanan yang dipegang oleh pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahu pun yang sudah bersara.

Mengaitkan institusi ATM dalam peristiwa 16 September yang dikatakan itu menyerupai apa yang pernah dilakukan oleh ketua Kumpulan Al Maunah dalam peristiwa rampasan senjata di kem tentera dan insiden Bukit Jenalik, Sauk, Perak dalam tahun 2000.

Ketua kumpulan itu, Mohamed Amin Mohamed Razali ada memberitahu pengikutnya bahawa peringkat yang ketujuh dan terakhir dalam perjuangan Kumpulan Al Maunah ada 'rahsia dalam rahsia' iaitu mereka akan dibantu oleh angkatan tentera untuk menjatuhkan kerajaan Yang diPertuan Agong dan menubuh sebuah negara yang berlandaskan peraturan dan undang-undang Islam.

Idea itu sahaja sudah menjijikkan. Apa yang dikatakan oleh ketua kumpulan itu telah pun terbukti tidak benar selepas beliau dan kumpulannya disiasat dan dibicarakan. Akhirnya mereka didapati bersalah oleh mahkamah.

ATM adalah institusi kerajaan yang pada keseluruhannya adalah menjauhi politik. Institusi ATM dan setiap anggotanya dilarang terlibat dalam mana-mana pergerakan atau aktiviti politik tetapi tetap boleh mengundi bagi mereka yang layak berbuat demikian.

ATM ditubuhkan khusus dan hanya untuk mempertahankan negara daripada ancaman luar dan juga membantu pihak berkuasa awam dalam gerakan keselamatan dalam negara serta menangani sebarang bencana alam semula jadi, itu pun apabila mereka diminta untuk membantu. Ia tidak lebih daripada itu.

Penglibatannya dalam memainkan peranan dan tugas-tugas itu pun adalah atas perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah negara ini melalui Perdana Menteri dan ahli Kabinet yang dilantik dan diperkenan oleh baginda.

Kesahihan perintah ini seterusnya akan diteliti dan dipastikan oleh semua panglima dan pemerintah yang ada dalam saluran pemerintahan dan juga anggota-anggota bawahan. Perintah yang demikian sahaja yang akan dipatuhi oleh panglima-panglima, pemerintah-pemerintah dan anggota tentera kerana ia sah dari segi undang-undang atau dalam bahasa Inggerisnya adalah 'lawful '.

Jika pada bila-bila masa sesiapa di antara mereka yang berpendapat bahawa perintah itu didapati tidak sahih atau bukan lawful command atau perintah itu jika sah sekali pun tetapi tidak diberi oleh pegawai atasan mereka sendiri maka mereka tidak boleh mematuhinya.

Mereka yang berbuat demikian juga dikira telah melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut undang-undang tentera dan awam yang sedia ada.

Keseluruhan sistem dan peraturan yang telah dinyatakan ini adalah untuk menentukan ATM tidak disalah guna dan panglima pemerintah yang mengetuai angkatan dan anggota yang bersenjata tidak bertindak mengikut sesuka hati mereka. Ini akan dapat melindungi rakyat daripada sebarang penindasan dan juga memastikan agar sistem demokrasi dan rule of law dapat bertahan dan berkekalan.

Jadi mencadangkan dan mempercayai bahawa ATM boleh dilibatkan dalam usaha dan pergerakan politik adalah tidak betul dan satu pembohongan. Memikirkan bahawa ia boleh dilaksana oleh mana-mana panglima dan anggota-anggota ATM adalah juga satu perkara yang mustahil berlaku kerana sistem pemerintahan dan 'check and balance' yang ada tidak membolehkan ia menjadi kenyataan.

Jika ada pun yang melakukannya seperti yang pernah dibuat oleh pegawai dan anggota tentera negara-negara jiran dan yang lain, maka mereka telah melanggar perlembagaan dan undang-undang dan akan ditentang serta dipatahkan oleh mereka yang profesional dan setia kepada perlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong.

Sebenarnya kemelut dan komedi yang dipersembahkan kepada rakyat oleh ahli-ahli politik boleh mengingatkan semua terhadap kata-kata orang bijaksana bahawa sesiapa yang menggali lubang untuk memerangkap orang lain pasti akan terjatuh juga ke dalamnya nanti.

Datuk Seri Zaini Mohd Said ialah Leftenan Jeneral bersara Tentera Darat Malaysia

No comments:

Post a Comment