Sumber Utusan
Oleh ABD. HALIM HADI
halim.hadi@utusan.com.my
BAGI memenuhi cita rasa pelancong yang semakin sukar untuk dipuaskan, pakej percutian pada masa kini tidak lagi terhad kepada tarikan keindahan di pusat-pusat peranginan semata-mata.
Keupayaan menawarkan pengalaman yang unik dan luar biasa kini adalah antara yang semakin mendapat perhatian walaupun pakejnya jauh lebih mahal.
Malah bagi memenuhi kehendak itu, pelbagai produk pelancongan baru yang selama ini tidak pernah difikirkan mula diperkenalkan untuk menarik pelancong.
Jika kos penerokaan ke angkasa lepas dan ke dasar laut terlalu mahal dan tidak mampu, mungkin boleh mencuba pakej pelancongan ketenteraan yang semakin popular di beberapa negara Barat.
Bagi mereka yang ingin cabaran, pakej ini mungkin boleh dipertimbangkan.
Di Ukraine, syarikat pelancongan Alaris merupakan antara pengendali pakej seumpama itu yang menawarkan pengalaman di medan perang.
Sejak diperkenalkan sedekad lalu, pengalaman menggunakan pelbagai jenis senjata, memandu kenderaan tentera dan menaiki pesawat pejuang itu kini semakin popular, terutama bagi mereka yang dahagakan kejutan.
Menurut laman web syarikat itu, populariti lapang sasar Desna seluas 2,1000 kilometer persegi yang digunakan sebagai 'medan pertempuran' itu kini berjaya menarik kira-kira 1,000 pelancong setiap bulan.
Desna yang terletak kira-kira 70 kilometer daripada Kiev, ibu kota Ukraine menempatkan 11 padang untuk latihan dan tiga buah lapangan terbang.
Ketua Pelancongan Alaris, Hryhory Zhorov berkata, pakej pelancongan ketenteraan itu diwujudkan untuk memberi peluang kepada orang awam merasai pengalaman berperang dan mendalami kehidupan seharian seorang tentera.
"Mereka yang menyertai pakej ini akan dikejutkan seawal pukul 6.30 pagi pada setiap hari untuk menyertai sarapan pagi di kantin tentera bersama anggota sebenar sebelum memulakan 'peperangan' mereka.
"Percampuran tentera pelancong dengan anggota tentera itu adalah sebahagian daripada pendedahan kepada pelancong untuk merasai kehidupan seharian dalam ketenteraan," ujarnya.
Menurut Zhorov, selepas mendengar taklimat keselamatan dan pengendalian peralatan, pelancong akan dibawa ke lapang sasar untuk memilih senjata dan melepaskan geram mereka.
Pakej ketenteraan berharga AS$2000 itu merangkumi pengalaman menggunakan senjata api dan jentera tempur infantri seperti kereta perisai dan kereta kebal.
Antara yang boleh dicuba di situ adalah mesingan AK-47 dan kereta kebal T-72. Harga itu bagaimanapun tidak termasuk pakej kemuncak iaitu pengalaman membelah ruang udara Ukraine dengan menaiki pesawat MIG-29 yang ditawarkan pada harga AS$8,500.
Sebelum diterbangkan, pelancong yang akan berada pada posisi pembantu juruterbang itu akan dipakaikan seragam juruterbang serta dilengkapi alat komunikasi untuk memudahkan perhubungan dengan juruterbang pertama.
Selain berada pada ketinggian beribu-ribu meter dalam MIG-29 dengan pergerakan akrobatik, peluang memandu sendiri kereta kebal adalah antara pengalaman terbaik yang ditawarkan dalam pakej pelancongan tersebut.
Namun pengalaman perang di darat juga tidak murah. Pemanduan kereta kebal T-72 sejauh enam kilometer misalnya ditawarkan kepada mereka yang sanggup membayar AS$400.
Sementara untuk memandu uji seketika kereta kebal BMP-2, bayaran sebanyak AS$250 dikenakan.
Bagi yang lebih berkemampuan, kepuasan menekan butang 'tembak' ketika meneropong dalam dalam kereta kebal mungkin pengalaman yang sukar untuk diceritakan.
Selain menggunakan AK-47, tembakan lebih jauh menggunakan rifel pula ditawarkan pada harga AS$20 untuk sekali tembak.
Lebih puas sekiranya bidikan melalui teropong itu tepat mengenainya sasaran.
Untuk aksi ala Rambo, tembakan menggunakan pelancar grenad iaitu RPG-7 juga disediakan pada harga AS$70.
Selain Alaris yang bekerjasama dengan lebih 50 syarikat pelancongan di seluruh dunia, pelancongan tentera juga boleh dinikmati di negara seperti Republik Czech, Jerman, Rusia, Sepanyol, Switzerland dan Amerika Syarikat.
No comments:
Post a Comment