About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, June 5, 2025

TIGA BUAH KAPAL TLDM DILUCUT TAULIAH


Sumber teks/foto: BKS MPAB


LUMUT 5 Jun - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mencatatkan satu lagi detik bersejarah apabila tiga buah kapal miliknya iaitu Kapal Diraja (KD) LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH dan KD PENDEKAR secara rasmi dilucutkan tauliah dalam satu istiadat penuh tradisi ketenteraan yang berlangsung di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM Lumut. 


Istiadat penuh tradisi tentera laut tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain.


Kemuncak acara adalah ketukan loceng dan penurunan gada-gada bagi KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH dan KD PENDEKAR menjadi simbolik penamatan tauliah dan status aktif kapal-kapal tersebut yang telah banyak berjasa dalam menjaga kedaulatan perairan maritim negara.


Ketiga-tiga kapal yang dilucutkan tauliah hari ini telah menabur bakti dalam pelbagai misi operasi dan eksesais sejak mula memasuki perkhidmatan. Ianya termasuk operasi rondaan perairan tempatan, pelaksanaan eksesais dalam negara dan antarabangsa serta penugasan khas dalam misi bantuan kemanusiaan serta pelbagai tugasan diplomasi pertahanan.


Pelucutan tauliah bagi ketiga-tiga kapal ini adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan armada TLDM, selaras dengan Program Transformasi TLDM 15 ke 5. 


Program ini diwujudkan bagi mendapatkan pulangan pelaburan yang terbaik seiring dengan peningkatan keupayaan TLDM dalam memenuhi keperluan mempertahankan kedaulatan serta integriti wilayah maritim negara.


Turut hadir dalam upacara hari ini adalah barisan pengurusan tertinggi TLDM, mantan Pegawai Memerintah kapal, jemputan khas serta warga terakhir yang berkhidmat di kapal-kapal tersebut.


Sejarah Ringkas Kapal-Kapal Yang Dilucut Tauliah

 


KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL ialah kapal perang kelas korvet dalam Skuadron Kapal Korvet Ke-24. Dibina di Itali pada tahun 1982 untuk Tentera Laut Iraq, kapal ini tidak pernah diserahkan susulan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Perang Teluk 1990. Malaysia, kemudian membeli kapal ini pada tahun 1995 dan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 28 Julai 1997. Sejak itu, kapal ini telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 486,487.1 batu nautika merangkumi pelbagai jenis eksesais dan latihan.



KD LAKSAMANA TAN PUSMAH merupakan kapal korvet dalam Skuadron Kapal Korvet Ke-24 melalui sejarah perolehan yang sama. Ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Julai 1999. Sepanjang perkhidmatannya, kapal ini aktif

 dalam operasi pengawasan maritim, rondaan pengawasan, menjalani latihan di peringkat tempatan dan antarabangsa serta penguatkuasaan undang-undang maritim negara. KD LAKSAMANA TAN PUSMAH telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 315,907.6 batu nautika. 



KD PENDEKAR merupakan kapal dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama (FAC 1) dan antara platform tempur permukaan terawal dalam perkhidmatan TLDM. Dibina di Sweden, kapal ini dilancarkan pada 11 November 1978 dan ditauliahkan pada 21 Ogos 1979. 


Sepanjang lebih empat dekad perkhidmatan, KD PENDEKAR telah melaksanakan pelbagai operasi termasuk rondaan pengawasan, penguatkuasaan maritim serta eksesais bilateral dan multilateral. Kapal ini telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 820,077.64 batu nautika dan menjadikannya antara aset TLDM yang paling banyak beroperasi di lautan.










Saturday, May 24, 2025

PAMERAN ANTARABANGSA MARITIM DAN AEROANGKASA LANGKAWI 2025 (LIMA’25) CATAT KEJAYAAN GEMILANG




Sumber Teks/Foto: UKS ATM


LANGKAWI, 24 Mei 2025 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan majlis Penutup Pameran Antarabangsa Maritim Dan Aeroangkasa Langkawi Tahun 2025 (LIMA2025) di A.T.M.O.S Sphere Dome,MIEC, hari ini.


Sepanjang lima hari penganjuran, LIMA’25 telah berjaya menghimpunkan pemain-pemain industri pertahanan, keselamatan, komersial, serta teknologi maritim dan aeroangkasa dari dalam dan luar negara. Penganjuran pada kali ini telah menerima sebanyak [860] penyertaan pempamer dari [24] negara, sekali gus mencerminkan kedudukan LIMA sebagai antara pameran pertahanan dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.


Edisi ke-17 kali ini menyaksikan Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL) menerima seramai 450,000 kehadiran pengunjung. Sebanyak 43 pesawat udara dan 31 kapal dari dalam dan luar negara terlibat sepanjang lima (5) hari LIMA’25 berlangsung. Turut berlangsung adalah Majlis Menandatangani Kontrak, MoU dan LOI bernilai RM 11 Billion, selain pertunjukan udara dan maritim, forum industri dan sesi padanan perniagaan.


LIMA’25 bukan sahaja pentas mempromosi keamanan sejagat dan keselamatan serantau tetapi turut memberi peluang kepada negara terlibat untuk bekerja sama dan bertukar pandangan dalam bidang pertahanan khususnya dalam mendepani cabaran geopolitik. Selaras dengan Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 6 – Pengukuhan Kerjasama Antarabangsa dalam Menjamin Pertahanan Negara, iaitu mengekalkan kestabilan serantau melalui hubungan pertahanan dua hala dan pelbagai hala serta meningkatkan keupayaan ATM dan industri pertahanan tempatan melalui kerjasama luar rantau.


Turut hadir di dalam majlis ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan; YB Adly bin Zahari, Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam Bin Hj Jaffar, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Setiausaha MINDEF; YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Bin Ithnain TLDM; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar); YBrs. Tuan Mohd Yani bin Daud serta delegasi- delegasi Kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia.











Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini