About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, June 11, 2025

Pesawat A400M Pertama Indonesia Keluar dari Bengkel Cat di Seville

Sumber Teks/foto: Aaron Chong

Asia-Pacific Communications

Jakarta, Indonesia, 11 Jun 2025 – Pesawat pengangkut tentera5 A400M pertama untuk Tentera Udara Indonesia telah keluar dari bengkel cat di Barisan Perhimpunan Akhir (FAL) di Seville, Sepanyol. Ini menandakan satu pencapaian industri utama sebelum penghantarannya yang dijadualkan akhir tahun ini.

Pengeluaran pesawat dari bengkel cat ini menandakan peralihan pesawat ke peringkat akhir pengeluaran sebelum penerbangan sulungnya. Pesawat kini menjalani ujian di darat.

Pesawat kedua untuk Indonesia juga menunjukkan kemajuan yang stabil di barisan pengeluaran. Pesawat tersebut telah mencapai ‘kuasa pertama’ (first ‘power on’) dan kini sedang menjalani ujian sistem hidraulik serta semakan simulasi juruterbang.

Indonesia telah membuat tempahan untuk dua buah A400M pada tahun 2021. Kemasukan A400M ke dalam perkhidmatan akan mempertingkatkan keupayaan operasi negara, menyokong pelbagai misi termasuk pengangkutan udara strategik dan taktikal, pemindahan perubatan, bantuan kemanusiaan dan pengisian bahan api di udara.

Dengan kapasiti muatan sehingga 37 tan, A400M mampu membawa peralatan berat seperti helikopter dan kenderaan tentera merentasi jarak sehingga 2,400 batu nautika, serta beroperasi dari landasan pendek atau yang tidak disediakan (unprepared air strips) – satu keupayaan penting untuk operasi bantuan bencana di kawasan terpencil. 

Tambahan pula, peranannya sebagai tangki pengisian bahan api pelbagai platform turut meningkatkan kecekapan operasi dan ketahanan misi Tentera Udara Indonesia.


Thursday, June 5, 2025

TIGA BUAH KAPAL TLDM DILUCUT TAULIAH


Sumber teks/foto: BKS MPAB


LUMUT 5 Jun - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mencatatkan satu lagi detik bersejarah apabila tiga buah kapal miliknya iaitu Kapal Diraja (KD) LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH dan KD PENDEKAR secara rasmi dilucutkan tauliah dalam satu istiadat penuh tradisi ketenteraan yang berlangsung di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM Lumut. 


Istiadat penuh tradisi tentera laut tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain.


Kemuncak acara adalah ketukan loceng dan penurunan gada-gada bagi KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH dan KD PENDEKAR menjadi simbolik penamatan tauliah dan status aktif kapal-kapal tersebut yang telah banyak berjasa dalam menjaga kedaulatan perairan maritim negara.


Ketiga-tiga kapal yang dilucutkan tauliah hari ini telah menabur bakti dalam pelbagai misi operasi dan eksesais sejak mula memasuki perkhidmatan. Ianya termasuk operasi rondaan perairan tempatan, pelaksanaan eksesais dalam negara dan antarabangsa serta penugasan khas dalam misi bantuan kemanusiaan serta pelbagai tugasan diplomasi pertahanan.


Pelucutan tauliah bagi ketiga-tiga kapal ini adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan armada TLDM, selaras dengan Program Transformasi TLDM 15 ke 5. 


Program ini diwujudkan bagi mendapatkan pulangan pelaburan yang terbaik seiring dengan peningkatan keupayaan TLDM dalam memenuhi keperluan mempertahankan kedaulatan serta integriti wilayah maritim negara.


Turut hadir dalam upacara hari ini adalah barisan pengurusan tertinggi TLDM, mantan Pegawai Memerintah kapal, jemputan khas serta warga terakhir yang berkhidmat di kapal-kapal tersebut.


Sejarah Ringkas Kapal-Kapal Yang Dilucut Tauliah

 


KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL ialah kapal perang kelas korvet dalam Skuadron Kapal Korvet Ke-24. Dibina di Itali pada tahun 1982 untuk Tentera Laut Iraq, kapal ini tidak pernah diserahkan susulan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Perang Teluk 1990. Malaysia, kemudian membeli kapal ini pada tahun 1995 dan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 28 Julai 1997. Sejak itu, kapal ini telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 486,487.1 batu nautika merangkumi pelbagai jenis eksesais dan latihan.



KD LAKSAMANA TAN PUSMAH merupakan kapal korvet dalam Skuadron Kapal Korvet Ke-24 melalui sejarah perolehan yang sama. Ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Julai 1999. Sepanjang perkhidmatannya, kapal ini aktif

 dalam operasi pengawasan maritim, rondaan pengawasan, menjalani latihan di peringkat tempatan dan antarabangsa serta penguatkuasaan undang-undang maritim negara. KD LAKSAMANA TAN PUSMAH telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 315,907.6 batu nautika. 



KD PENDEKAR merupakan kapal dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama (FAC 1) dan antara platform tempur permukaan terawal dalam perkhidmatan TLDM. Dibina di Sweden, kapal ini dilancarkan pada 11 November 1978 dan ditauliahkan pada 21 Ogos 1979. 


Sepanjang lebih empat dekad perkhidmatan, KD PENDEKAR telah melaksanakan pelbagai operasi termasuk rondaan pengawasan, penguatkuasaan maritim serta eksesais bilateral dan multilateral. Kapal ini telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 820,077.64 batu nautika dan menjadikannya antara aset TLDM yang paling banyak beroperasi di lautan.










Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini