Pages

Tuesday, May 20, 2025

PMX SEMPURNAKAN FLEET REVIEW LIMA’25

 

Sumber Teks/foto: TLDM

Acara Fleet Review Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA ’25) telah berlangsung hari ini melibatkan 31 buah kapal yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Diraja Anwar bin Ibrahim.


Ketibaan YAB Perdana Menteri dan tetamu jemputan yang lain disambut Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain di atas Kapal Diraja (KD) PERANTAU sebagai platform utama acara tradisi tentera laut tersebut.


Dato’ Seri Diraja Anwar menerima tabik hormat daripada setiap kapal yang mengambil bahagian dengan 14 kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan lima (5) dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 12 buah kapal lagi adalah dari angkatan laut 10 negara termasuk Bangladesh, India, Indonesia, Italy, Jepun, Türkiye, Rusia, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.


Tetamu jemputan turut menyaksikan acara terbang lintas hormat atau lebih dikenali sebagai fly-past yang melibatkan lima (5) aset udara TLDM (2 AW139, 1 Super Lynx Mk 100, 2 AS55 Fennec), sebuah pesawat AW139 milik APMM dan pesawat AW189 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum Fleet Review berakhir.















GRACING CEREMONY SEGMEN MARITIM LIMA ‘25

 


Sumber Teks/foto: TLDM

LANGKAWI, 20 Mei 2025- Acara Gracing Ceremony di Segmen Maritim Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA ‘25) telah diadakan di Resorts World Langkawi dan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Diraja Anwar bin Ibrahim. 


Ketibaan YAB Perdana Menteri dan dif-dif kehormat disambut Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Segmen Maritim LIMA ‘25. Turut hadir adalah Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Darat; Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan


Acara diserikan lagi dengan kehadiran jemputan khas termasuk Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor; Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan; Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi bin Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain. Barisan kepimpinan agensi tempatan serta kepimpinan tentera laut asing yang menyertai LIMA ’25 juga hadir menyaksikan acara tersebut.


Gimik perasmian kali ini menyaksikan penyusupan oleh anggota penyelam taktikal dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terjun dari pesawat dan tiba di hadapan pentas dengan membawa kotak hitam yang berisi kad slot untuk diaktifkan oleh Perdana Menteri.


Demonstrasi seterusnya pula mempamerkan keupayaan bot-bot dan jet ski dari pelbagai agensi maritim melakukan pergerakan atau manuvra taktikal. Antara agensi yang terlibat adalah dari TLDM, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Jabatan Perikanan Malaysia. 


Sebuah lagi demonstrasi keupayaan maritim turut diperlihatkan dengan konsep Inter-Agency Coordinated Rescue Mission (demonstrasi menyelamatkan tebusan) yang mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM, Unit Gempur Marin PDRM, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) APMM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset permukaan dan udara.

 

Adegan terakhir adalah Fly-Past atau terbang lintas hormat dan Sail-Past yang melibatkan aset udara dan permukaan yang terlibat sepanjang sesi demonstrasi sebagai penghormatan kepada para tetamu yang hadir di pentas utama. 


Penganjuran pameran LIMA ini merupakan agenda nasional yang menjadi keutamaan kerajaan dalam merealisasikan iltizam strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai satu hab global bagi perkembangan industri maritim dan aeroangkasa. 


Pada edisi ke-17 kali ini, TLDM sebagai agensi utama Segmen Maritim LIMA ’25 memberi penekanan terhadap ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara maritim, di mana aktiviti maritim menjadi penyumbang utama dalam sektor ekonomi negara. Penganjuran LIMA ’25 ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat awam betapa pentingnya keselamatan dan kestabilan maritim sebagai asas kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sesebuah negara.




















PTU MENERBANGKAN SUKHOI DALAM PERTUNJUKAN UDARA PEMBUKA TIRAI LIMA’25




Sumber teks/foto: TUDM 

 

LANGKAWI, 20 Mei 2025 – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) membuka tirainya dengan detik bersejarah dan membanggakan apabila Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dengan “callsign” Gunjiz, secara peribadi menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM sebagai permbuka tirai pertunjukkan udara bagi pameran berprestij edisi ke-17.


Lebih membanggakan, pesawat yang diterbangkan ialah Su-30MKM (M52-16) yang menampilkan “livery” ikonik Bendera Malaysia, dikenali sebagai “Toruk Makto”. Penampilan pesawat ini berjaya mencuri tumpuan ribuan penonton di ruang udara Langkawi.


Aksi yang dipersembahkan bukan sahaja menggambarkan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malah mencipta sejarah sepanjang penganjuran edisi LIMA apabila buat pertama kali, Panglima Tentera Udara sendiri mengambil alih kokpit dalam pertunjukan udara.


Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan turut disertai oleh Kolonel Mohd Norazan Othman TUDM, “callsign” Sting, yang juga Komander Pangkalan Udara Gong Kedak.


Dalam penerbangan selama 12 minit, pesawat telah mempersembahkan pelbagai aksi manuver luar biasa yang sebahagiannya tidak mampu dilakukan oleh pesawat pejuang lain, menggamit perhatian para tetamu tempatan dan antarabangsa yang hadir pada hari pembukaan LIMA’25.


Penglibatan langsung Panglima Tentera Udara ini bukan sahaja mencerminkan semangat patriotik tetapi turut memperlihatkan komitmen kepimpinan tertinggi TUDM dalam menjulang profesionalisme, keberanian dan kecemerlangan organisasi.


LIMA’25 sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pameran aeroangkasa dan maritim paling berprestij di rantau ini dan pertunjukan udara hari ini menjadi pembuka tirai yang menyuntik rasa bangga dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.


Pasukan lain yang turut terlibat dalam pertunjukkan udara sepanjang LIMA’25 adalah Russian Knight dari Tentera Udara Russia, Jupiter dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU), Pesawat GB 1 dari Akademi Penerbangan Layang-layang, Extra 300L dari Aerotree Dences and Services. Manakala sebuah lagi pesawat TUDM yang turut terlibat adalah pesawat F/A-18D Hornet.











RIBAT- KENDERAAN TAKTIKAL RINGAN MOBILITI TINGGI NEGARA DILANCAR

 


Sumber Teks/Foto : MALDEF


LANGKAWI, 20 MEI 2025 – Malaysia mencatat sejarah baharu dalam landskap pertahanan apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan pelancaran rasmi RIBAT, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle – HMLTV) pertama yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF). 


Pelancaran ini mengesahkan kedudukan MILDEF sebagai peneraju industri pertahanan darat negara, sekaligus menjadikan syarikat ini sebagai pengeluar pertama kenderaan perisai taktikal nasional yang berjaya menembusi pasaran serantau dan antarabangsa. Penamaan “RIBAT” oleh YAB Perdana Menteri membawa nilai simbolik tinggi serta merujuk kepada semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman, patriotisme dan teknologi. 


Pengarah Urusan MILDEF, YBhg. Dato’ Sri Mohd Nizam Kasa berkata, pelancaran RIBAT bukan sahaja mencerminkan keupayaan industri tempatan, malah menjadi manifestasi kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasa ekosistem pertahanan yang berdikari dan berimpak tinggi. RIBAT merupakan hasil inovasi tempatan yang membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pengguna sistem pertahanan, tetapi pencipta teknologi strategik yang diyakini kerajaan dan komuniti global,” katanya. 


Penanda Aras Nasional & Serantau 


RIBAT dibangunkan oleh jurutera tempatan dengan sokongan kemudahan kejuruteraan bertaraf industri di Seremban dan Sepang. Ia dilengkapi sistem perlindungan balistik modular dan direka untuk misi seperti rondaan, konvoi dan operasi khas.  Lebih membanggakan, produk dan usaha MILDEF turut meraih minat dan keyakinan antarabangsa apabila syarikat pertahanan utama Indonesia, PT PINDAD turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan MILDEF pada hari yang sama bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2025). Kerjasama ini membuka peluang ekspot, pemindahan teknologi serta integrasi sistem antara kedua-dua negara serantau.


Kerjasama Strategik Bersama STRIDE


Dalam majlis yang sama, turut berlangsung pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara MILDEF dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) iaitu sebuah agensi penyelidikan utama di bawah Kementerian Pertahanan. MoA ini memfokuskan kepada pembangunan dua lagi platform kenderaan taktikal yang akan direka bentuk sepenuhnya dalam negara.


“Kerjasama erat bersama STRIDE adalah langkah strategik untuk memacu Malaysia menjadi hab R&D pertahanan di rantau ini,” kata Dato’ Sri Nizam.


Menerusi edisi penganjuran LIMA kali ini, MILDEF juga dijangka akan memetrai kontrak bagi pembekalan 136 unit Tarantula kepada Tentera Darat Diraja Malaysia. Ia sekaligus membuktikan kemampuan & kepercayaan Kementerian Pertahanan kepada MILDEF dalam melaksanakan projek berskala besar dengan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan kerajaan.








Sunday, April 27, 2025

TLDM PERKASA, KEDAULATAN TERPELIHARA TEMA HUT TLDM KE-91

 


Oleh: Paklang Hamzah

Foto: TLDM


Lumut 27 Apr - Sebahagian warga Navy People kembali berkampung di Pangkalan TLDM Lumut Perak bagi menyempurnakan acara kemuncak  Perbarisan sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 yang telah berlangsung di Padang Kawad

Kapal Diraja (KD) PELANDOK.


Upacara yang penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain. Bertemakan “TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara” membariskan enam (6) kontinjen yang melibatkan 23 Pegawai dan 621 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Komander Zakirunizam bin Ismail TLDM dan dibantu oleh Pegawai Waran I TMK (JP) Mohd Izzat Amir bin Abd Aziz sebagai Pegawai Waran Perbarisan.


Upacara perbarisan hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin bin Hj. Ludin; barisan Jawatankuasa Laksamana, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Laut, Datin Zamzelina binti Ahmad, warga Navy People dan veteran TLDM.


Anugerah Kecemerlangan Unit Dan Individu


Seperti kelaziman, acara kemuncak perbarisan adalah penyampaian Piala dan Anugerah kepada para pemenang. Markas Pemerintahan Armada Timur telah menerima Anugerah Markas Terbaik bagi tahun 2024. 


KD LEKIU telah dinobatkan sebagai Pemenang Piala Agong.  Piala Agong melambangkan pengiktirafan tertinggi daripada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia kepada unit TLDM yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dan menyeluruh.  Untuk memenangi Piala Agong, sesebuah unit akan dinilai berdasarkan pelbagai aspek termasuk kecekapan operasi, kesiagaan, disiplin, pentadbiran yang baik, penjagaan aset, dan sumbangan keseluruhan kepada TLDM.


Manakala KD LEKIR pula dianugerahkan Piala Gonzales dan Piala Panglima Tentera Laut. Piala Gonzales TLDM adalah lambang pengiktirafan atas prestasi cemerlang kapal TLDM yang memenuhi kriteria yang digariskan sebagai motivasi untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan.


Turut disampaikan adalah Pingat Pujian Panglima Tentera Laut serta Anugerah Bintara dan Laskar Terbaik TLDM. Penerima Pingat Pujian PTL disandang oleh Leftenan Komander Teknologis (Ts.) Chan Jun Shen TLDM.  Pegawai telah mengharumkan nama TLDM sehingga ke peringkat antarabangsa dalam bidang inovasi dan sukan di mana beliau telah diiktiraf sebagai Ironman termuda Malaysia sehingga kini.


Seorang lagi penerima Pingat Pujian PTL ialah Pegawai Waran I PAP (PKL) Gilbert Anak Bernabas.  Bintara telah bertindak berani mengawal situasi dalam satu insiden kebakaran dan mempamerkan keberanian bagi mengelakkan risiko kehilangan nyawa dan mengurangkan kerosakan harta benda.


Kategori Bintara Terbaik telah disandang oleh Bintara Kanan TMK (Tc.) Noorhailie Helmi Afifi bin Jafri dari Markas Udara Kota Kinabalu.  Manakala kategori Laskar Terbaik dimenangi oleh Laskar Kelas I BDI Muhammad Firdaus bin Mohd Fauzi dari KD GAGAH SAMUDERA.


Sambutan Di seluruh Pangkalan TLDM


Upacara Perbarisan bukan sahaja diadakan di Pangkalan TLDM Lumut, malahan turut dilaksanakan serentak di semua markas formasi dan unit TLDM di seluruh Malaysia selain acara kerohanian seperti Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Khutbah Khas Jumaat. Majlis tahlil juga diadakan sempena memperingati wira yang terkorban dalam insiden helikopter terhempas tahun lalu serta semua warga TLDM yang telah tiada.


Terdahulu, satu forum Panglima Tentera Laut bersama warga Navy People iaitu Program Wacana PTL telah diadakan di Auditorium Venus, Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin. Dalam program tersebut, pengurusan tertinggi TLDM telah menekankan tentang fokus perancangan masa hadapan perkhidmatan, termasuk aspek kesiagaan operasi, pengukuhan integrasi bersama angkatan lain serta pembentukan modal insan yang berwibawa. 


Aspek kebajikan keluarga turut menjadi tumpuan utama TLDM bagi menjamin kesejahteraan warga Navy People. Sehubungan itu, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) telah menganjurkan lawatan kebajikan ke wad 96 HAT Lumut, rumah balu, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) bagi menzahirkan keprihatinan dan menyampaikan sumbangan mengikut keperluan semasa.


Menurut Pegawai Perhubungan Komunikasi Strategik TLDM, sambutan kali ini diadakan secara sederhana dan berhemah, mengambil kira insiden yang berlaku pada 2024 yang masih meninggalkan kesan mendalam. Namun begitu, masyarakat masih berpeluang mendekati warga TLDM melalui Hari Terbuka Armada (HTA) yang akan berlangsung di beberapa pangkalan utama seperti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Tanjung Gelang di Kuantan, Sandakan dan Langkawi. Akan diadakan juga adalah Sambutan Lumut Bandar Tentera Laut di Lumut, Perak. Maklumat terkini mengenai program sambutan boleh didapati melalui saluran media sosial rasmi TLDM.





Thursday, March 13, 2025

MAHAMIRU SELAMATKAN KAPAL LAYAR

 Oleh: Paklang Hamzah/Foto:TLDM


Lumut 12 Mac - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan sebuah kapal layar, Meridian of Sydney, yang mengalami masalah kerosakan jentera utama di perairan barat laut Pulau Perak.

Dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut KD MAHAMIRU tiba di lokasi pada jam 13.15 tengah hari dan mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar, menyebabkan ia tidak dapat meneruskan pelayaran. 

Seorang individu, Kepten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di atas kapal tersebut sejak 8 Mac 2025 ketika dalam pelayaran dari Krabi ke Langkawi.


Wednesday, March 12, 2025

DYMM AGONG KURNIA BOT LAJU KEPADA TLDM DAN MARITIM

Oleh: Paklang Hamzah/Foto: TLDM

Bot Ibrahim Class IC 1170cc direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi yang mampu beroperasi dalam perairan tropika. 

Dibangunkan oleh Royal Boat Hangar Johor, bot ini diperbuat daripada aluminium marin berkualiti tinggi dan mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang menekankan ketahanan serta kestabilan. 

Dengan panjang keseluruhan 12.60 meter dan lebar maksimum 3.50 meter, bot ini dikuasakan oleh tiga enjin Mercury OBM berkapasiti 400 kuasa kuda setiap satu, 

membolehkannya mencapai kelajuan maksimum sehingga 65 batu nautika sejam (knot)

manakala kelajuan pelayaran optimum adalah 45 knot. 

Bot ini turut dilengkapi dengan sistem navigasi yang komprehensif, komunikasi moden serta sistem radio yang canggih bagi memastikan pengendalian bot adalah mudah dan efektif dalam melaksanakan operasi.

Bot kurniaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini akan ditempatkan di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Barat dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh TLDM untuk mempertingkatkan keupayaan rondaan persisiran dan sebagainya. 

Selain TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menerima bot yang sama, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara.