Pages

Tuesday, May 20, 2025

RIBAT- KENDERAAN TAKTIKAL RINGAN MOBILITI TINGGI NEGARA DILANCAR

 


Sumber Teks/Foto : MALDEF


LANGKAWI, 20 MEI 2025 – Malaysia mencatat sejarah baharu dalam landskap pertahanan apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan pelancaran rasmi RIBAT, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle – HMLTV) pertama yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF). 


Pelancaran ini mengesahkan kedudukan MILDEF sebagai peneraju industri pertahanan darat negara, sekaligus menjadikan syarikat ini sebagai pengeluar pertama kenderaan perisai taktikal nasional yang berjaya menembusi pasaran serantau dan antarabangsa. Penamaan “RIBAT” oleh YAB Perdana Menteri membawa nilai simbolik tinggi serta merujuk kepada semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman, patriotisme dan teknologi. 


Pengarah Urusan MILDEF, YBhg. Dato’ Sri Mohd Nizam Kasa berkata, pelancaran RIBAT bukan sahaja mencerminkan keupayaan industri tempatan, malah menjadi manifestasi kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasa ekosistem pertahanan yang berdikari dan berimpak tinggi. RIBAT merupakan hasil inovasi tempatan yang membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pengguna sistem pertahanan, tetapi pencipta teknologi strategik yang diyakini kerajaan dan komuniti global,” katanya. 


Penanda Aras Nasional & Serantau 


RIBAT dibangunkan oleh jurutera tempatan dengan sokongan kemudahan kejuruteraan bertaraf industri di Seremban dan Sepang. Ia dilengkapi sistem perlindungan balistik modular dan direka untuk misi seperti rondaan, konvoi dan operasi khas.  Lebih membanggakan, produk dan usaha MILDEF turut meraih minat dan keyakinan antarabangsa apabila syarikat pertahanan utama Indonesia, PT PINDAD turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan MILDEF pada hari yang sama bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2025). Kerjasama ini membuka peluang ekspot, pemindahan teknologi serta integrasi sistem antara kedua-dua negara serantau.


Kerjasama Strategik Bersama STRIDE


Dalam majlis yang sama, turut berlangsung pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara MILDEF dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) iaitu sebuah agensi penyelidikan utama di bawah Kementerian Pertahanan. MoA ini memfokuskan kepada pembangunan dua lagi platform kenderaan taktikal yang akan direka bentuk sepenuhnya dalam negara.


“Kerjasama erat bersama STRIDE adalah langkah strategik untuk memacu Malaysia menjadi hab R&D pertahanan di rantau ini,” kata Dato’ Sri Nizam.


Menerusi edisi penganjuran LIMA kali ini, MILDEF juga dijangka akan memetrai kontrak bagi pembekalan 136 unit Tarantula kepada Tentera Darat Diraja Malaysia. Ia sekaligus membuktikan kemampuan & kepercayaan Kementerian Pertahanan kepada MILDEF dalam melaksanakan projek berskala besar dengan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan kerajaan.








No comments:

Post a Comment