Sumber teks/foto: TUDM
LANGKAWI, 20 Mei 2025 – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) membuka tirainya dengan detik bersejarah dan membanggakan apabila Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dengan “callsign” Gunjiz, secara peribadi menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM sebagai permbuka tirai pertunjukkan udara bagi pameran berprestij edisi ke-17.
Lebih membanggakan, pesawat yang diterbangkan ialah Su-30MKM (M52-16) yang menampilkan “livery” ikonik Bendera Malaysia, dikenali sebagai “Toruk Makto”. Penampilan pesawat ini berjaya mencuri tumpuan ribuan penonton di ruang udara Langkawi.
Aksi yang dipersembahkan bukan sahaja menggambarkan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malah mencipta sejarah sepanjang penganjuran edisi LIMA apabila buat pertama kali, Panglima Tentera Udara sendiri mengambil alih kokpit dalam pertunjukan udara.
Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan turut disertai oleh Kolonel Mohd Norazan Othman TUDM, “callsign” Sting, yang juga Komander Pangkalan Udara Gong Kedak.
Dalam penerbangan selama 12 minit, pesawat telah mempersembahkan pelbagai aksi manuver luar biasa yang sebahagiannya tidak mampu dilakukan oleh pesawat pejuang lain, menggamit perhatian para tetamu tempatan dan antarabangsa yang hadir pada hari pembukaan LIMA’25.
Penglibatan langsung Panglima Tentera Udara ini bukan sahaja mencerminkan semangat patriotik tetapi turut memperlihatkan komitmen kepimpinan tertinggi TUDM dalam menjulang profesionalisme, keberanian dan kecemerlangan organisasi.
LIMA’25 sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pameran aeroangkasa dan maritim paling berprestij di rantau ini dan pertunjukan udara hari ini menjadi pembuka tirai yang menyuntik rasa bangga dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.
Pasukan lain yang turut terlibat dalam pertunjukkan udara sepanjang LIMA’25 adalah Russian Knight dari Tentera Udara Russia, Jupiter dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU), Pesawat GB 1 dari Akademi Penerbangan Layang-layang, Extra 300L dari Aerotree Dences and Services. Manakala sebuah lagi pesawat TUDM yang turut terlibat adalah pesawat F/A-18D Hornet.
No comments:
Post a Comment