Pages

Saturday, May 2, 2015

EKS PELBAGAI NEGARA MELAWAN PENGGANAS

Telah diterbitkan di dalam majalah Perajurit edisi Mei 2015

Aksi gabungan partisipasi yang memukau


Istilah keganasan telah berkembang dengan ketara pada era 1970an hingga 1980an yang mana dunia dikejutkan oleh gerakan puak Tentera Merah Rakyat Jepun dan  The Baader Meinhof yakni kumpulan  militan Jerman Barat.  Kemudian berakhirnya era perang dingin menyaksikan kemunculan ancaman asimetrik atau perang non militer yang cirinya lebih lembut dan lebih murah dari segi kerugian dan kemusnahan berbanding perang konvensional.

Namun begitu perang asimetrik juga menyaksikan perubahan mendadak dan tindak tanduk kemasyarakatan  telah mencetus peningkatan suasana ancaman global yang tidak dapat dijangka.  Keadaan ancaman-ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional telah berkembang dengan pesat sehinggakan mengatasi keupayaan sesebuah negara dalam mencari jalan yang sesuai bagi mengatasinya. 

Sesetengah penganalisis berpendapat punca merebaknya aktiviti-aktiviti keganasan ini adalah berpunca dari ketidakpuasan hati sesetengah golongan di negara-negara tertentu terhadap campurtangan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya dengan mencabuli hak asasi manusia dan  menghalalkan peperangan atas dasar kononnya untuk memerangi keganasan dalam sesebuah negara.

Ancaman terbesar dalam sesebuah negara hari ini ialah ancaman dari rangkaian entiti antarabangsa yang datang dalam pelbagai bentuk dari ektremis agama hingalah kepada keganasan siber.  Untuk menanganinya semestinya memerlukan pengetahuan, informasi dan kualiti berita yang berbeza-beza dari pelbagai medium menjadi sebahagian komponen yang sangat penting dalam membentuk politikal, ekonomi, budaya dan keselamatan. Penyebaran maklumat yang begitu pantas boleh menghubungkan dunia dan sampai dengan begitu cepat dan mudah daripada kaedah sebelumnya.

Lebih dinamik lagi bila mana ancaman dunia hari ini datang dari pelaku yang tidak mempunyai negara sendiri seperti IS yang diasas di Iraq atau kelumpok kaum dari sesebuah negara seperti puak Kiram dari selatan Filipina yang datang membuat onar secara tidak langsung telah memberi cabaran yang serius bagi sesebuah negara yang berdaulat mempertahankan kedaulatan mereka. Sebaran maklumat melalui komunikasi media sosial menjadi pelantar yang lengkap dan dinamik dalam menyalurkan propaganda bagi mempengaruhi dan merekrut anggota-anggota baharu dengan format jihad dan sebagainya. 

Justeru lanskap pertahanan masakini memerlukan tentera dan lain-lain agensi keselamatan bergabung tenaga bagi menangani isu dan cabaran.  Tambah merumitkan lagi keadaan bila mana kumpulan ini sudah mempunyai talibarut yang sudah bertapak dalam negara yang menjadi mata telinga penceroboh yang mampu mencetus pengaplikasian taktikal yang berkesan oleh pihak musuh. 

Ini adalah kerana ancaman keganasan hari ini telah dikuatkan oleh rangkaian antarabangsa yang mana sesuatu kejadian di salah satu penjuru dunia boleh merebak  secara pantas dan mendapat reaksi ribuan batu dari tempat kejadian.  Kecanggihan teknologi masakini membenarkan seorang pengganas melancarkan serangan hanya melalui talian tanpa meninggalkan keselesaan bersama keluarga di rumah sendiri.

Pendekatan Melawan Keganasan

Kempen gerakan anti keganasan mula diberi perhatian oleh Amerika Syarikat setelah berlakunya serangan 11 September 2001 yang telah meranapkan bangunan Menara  Berkembar World Trade Centre yang kononnya didalangi oleh  Al-Qaeda iaitu sebuah pertubuhan fundalmental Islam Sunni yang diasaskan oleh Osama Bin Laden.  

Dalam kempen ini perang anti keganasan telah di benarkan oleh Kongres  Amerika Syarikat dengan tindakan ketenteraan, politik, undang-undang malah juga keagamaan. Kempen yang mula diketengahkan oleh Presiden A.S. George W. Bush menjadi titik mula kepada tindak balas daripada pertubuhan-pertubuhan yang tidak sehaluan dengan dengan menjadikan sekutu-sekutu Amerika sebagai sasaran.

Di Malaysia, Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA 2015) baharu sahaja diluluskan tanpa sebarang pindaan di Dewan Rakyat pada 7 April 2015 yang lalu dalam usaha mengekang aktiviti-aktiviti militan yang kian menular mengancam keselamatan rakyat dan negara.  Mengikut undang-undang berkenaan, pihak kerajaan boleh menahan selama tidak lebih dari dua tahun sebelum melanjutkan tempoh tahanan jika perlu ke atas mereka yang disyaki terbabit dalam kegiatan keganasan sebagai pencegahan.

Dari masa ke semasa keadaan ini semakin jelas bahawa tiada negara mampu bersendirian menghadapi pencerobohan seperti ini.  Walau bagaimanapun pada tahun 2006 komuniti antarabangsa mula bersatu untuk menghadapi ancaman yang sama dan bersetuju dengan strategi melawan keganasan bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Oleh itu pembentukan strategi ini menjadi mercu tanda kepada dasar organisasi serantau  melalui Asean Convention on Counter Terrorism of 2007.

Perjuangan menentang keganasan tidak hanya sekadar peneutralan ancaman yang melanda tetapi ianya mendambakan pendekatan keseluruhan kerajaan yang mana tidak terhad kepada sesuatu agensi tetapi penyertaan pelbagai hala serta penglibatan banyak negara untuk menghapus atau mengurangkan kemungkinan organisasi pengganas bertapak di sempadan.

Multinational Counter Terrorism Exercise 2015 (MNCTX 2015)

Atas kesedaran ini Eks-MNCTX 2015 adalah sangat penting ke arah pengistiharan dan berkongsi kesedaran dalam menjalankan operasi bersama bukan sahaja dalam kalangan organisasi melawan keganasan tetapi meliputi lain-lain agensi yang wujud dalam atmosfera melawan keganasan. 

Julung kalinya Eks-MNCTX dianjurkan oleh Markas Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia  (MAB-ATM) bersama Pasukan Gerakan Khas (PGK) PDRM dengan kolaborasi anggota Anti Keganasan Pasukan Khusus ATM dan PDRM melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Eks ini menjadi sangat signifikan dan memenuhi kehendak semasa keselamatan serantau dengan  penyertaan 173 orang anggota Anti Keganasan pelbagai negara  seperti Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Philipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu.

Sempena Pameran Udara dan Maritim Langkawi 2015 (LIMA’15), unit-unit ini berkumpul di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (LISRAM). Bermula dari 13 Mac dan berakhir 19 Mac 2015, para peserta menjalani proses Table Top, Ceramah Melawan Keganasan dan Latihan Medan bagi meningkatkan kebolehan, bertukar-tukar pandangan dan pengalaman serta menguatkan keyakinan diri mereka di dalam perjuangan menentang keganasan global.

MNCTX bukan sahaja sebagai platform bagi membina kekuatan untuk bertindak balas kepada ancaman tetapi ianya juga mempamerkan keupayaan pasukan ini membenteras keganasan hingga ke akar umbi bagi melindungi keselamatan manusia. 

Pencapaian MNCTX 2015 tidak boleh disangsikan lagi kejayaannya dan telah memberi petanda untuk meneruskan penganjuran eksesais dengan menggalakkan penglibatan lebih banyak negara dan agensi di masa-masa akan datang serta mempertingkatkan keyakinan dan daya usaha untuk mengatasi ancaman terbesar kepada keselamatan global  dan kemakmuran manusia di abad ke 21 ini. 

Di hari kemuncak eksesais, penonton dari kalangan Belia-belia Asean dan Media dipertontonkan dengan aksi-aksi  medan dari Pasukan Khusus ATM dan PDRM yang mempamerkan kehebatan, kecekapan dan keyakinan yang sangat tinggi dalam pengendalian senjata kecil dan senjata kegunaan am.

Di antara aksi-aksi  yang dipertontonkan ialah Basic Shooting, Rapid Shooting, Confidence Shooting, Face to Face Shooting, Shoot on Wheels.  Seterusnya demonstrasi oleh anggota sniper mempamerkan kebolehan individu, kebolehan tembakan spontan, Barret Calibre 12.7mm dan Anti material Rifle 20mm.

Demonstrasi kemuncak ialah latihan ketangkasan dalam senario menyelamat tebusan oleh gabungan Pasukan Khusus PDRM dan ATM di mana pasukan ini telah membuat operasi serangan taktikal terhadap sekumpulan pengganas bersenjata dan membawa bahan letupan yang telah menawan sebuah bas bersama penumpang yang dijadikan tebusan.

Tim Alpha yang mengandungi kumpulan serangan, kumpulan keselamatan, dan kumpulan sokongan termasuk Unit K9.  Mine Resistant Ambush Protected (MRAP) TYPHOON digunakan sebagai kenderaan penghalang, dua buah VAMTAC, tiga buah Rapid Intervention Vehicle digunakan oleh kumpulan serangan dan kumpulan sokongan.  Sebagai tambahan sebuah Van yang diiringai oleh PDRM dan VAMTAC untuk membawa tebusan ke tempat selamat. Operasi ini juga turut dibantu oleh dua buah helikopter Agusta LOH A109 dari Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Aksi kedua yang dipersembahkan ialah aksi menyelamat tebusan di dalam bangunan di mana Tim Alpha dan Tim Bravo telah ditugaskan untuk melaksanakan operasi menyelamat tebusan yang sedang ditawan di sebuah resort oleh penjenayah bersenjata. Tim Alpha  menyerang di tingkat bawah dan Tim Bravo telah menyerang di tingkat atas resort.  Aset-aset yang terlibat dalam aksi ini ialah dua buah Condo APC, dua buah VAMTAC, empat buah Rapid Intervention Vehicle, MRAP TYPHOON, dua buah pesawat helikopter Agusta LOH A109 dan pesawat EC725 TUDM.

Fasa pertama serangan adalah fasa persediaan diri dan peralatan kedua-dua tim.  Fasa kedua mereka meletupkan lokasi sasaran dengan aksi pantas kedua-dua tim.  Helikopter EC725 memulakan membuat penerbangan lintas lalu bagi mengalih perhatian pihak musuh kemudian diikuti oleh Agusta LOH A109 membantu kawasan operasi dengan penembak tepat dari udara.  Kemudian Agusta LOH A109 kedua membuat pergerakan bagi menurunkan ahli anggota penyerang tambahan dengan kaedah fast roping. Kemudian helikopter EC725 kembali sekali lagi melaksanakan teknik spie rig bagi membawa keluar tebusan sebelum keseluruhan bangunan resort diletupkan sepenuhnya.

 Natijah 

Bila menyebut memerangi, maka semua akan faham sesebuah organisasi atau negara  akan berhadapan dengan keperluan, kelengkapan dan sumber manusia. Semakin besar ancaman yang datang maka semakin banyak lah keperluan, kelengkapan dan sumber manusia yang diperlukan.  Kelengkapan yang sesuai samada untuk kesiagaan di darat maupun di laut serta angkatan dari pasukan khusus  ATM dan PDRM yang terlatih untuk tujuan tersebut.

Dalam konteks Malaysia, ancaman keganasan masih lagi kelihatan seperti sesuatu yang terpencil tetapi persiapan untuk berhadapan dengan puak pengganas telah melibatkan penglibatan modal insan, aset laut dan darat dari Pasukan Keselamatan yang berlipat kali ganda banyaknya.  Bukan kerana kekuatan pengganas itu besar tetapi kita tidak tahu dari sudut mana dan bila pengganas itu akan muncul yang mengakibatkan persediaan negara untuk kesiapsiagaan hampir meliputi sepanjang pantai negeri Sabah selama 24 jam berterusan sehingga disahkan tiada ancaman dilapurkan.

Jika persempadanan laut semenanjong turut terancam dengan ancaman keganasan seumpama Sabah maka persiapan sedemikian juga harus dipersiapkan di sepanjang Selat Melaka sebagaimana yang dilakukan di Sabah yang tentunya memerlukan penambahan segala bentuk keperluan keselamatan dan pertahanan.

Persediaan ini tentunya memerlukan gabungan aset negara dari Tentera Laut, Maritim Malaysia dan Polis marin yang dikehendaki berkawal dari pesisir laut serta gabungan dari Tentera Darat dan PDRM yang berkawal di bahagian daratan  serta Tentera Udara yang membuat pemantauan udara.

Maka di sini timbullah cakap-cakap tentang aset-aset dalam negara yang serba kekurangan baik dari pihak ATM dan juga PDRM. Dalam konteks Malaysia, ketaatan dan kecekapan Pasukan Khusus tidak boleh dinafikan.  Mereka menjunjung segala perintah tanpa ragu dan gentar tetapi adalah sangat tidak adil jika segala keperluan yang mereka perlukan untuk keselesaan dan yang lebih penting lagi keperluan yang boleh mengoptimumkan keselamatan, keupayaan, mobiliti, daya tempur dan daya tahan mereka semasa mereka melaksanakan tugas-tugas operasi. 

Justeru, benarlah seperti yang digambarkan bahawa Eks MNCT ini sangat relevan untuk diperkasakan kolaborasi keupayaan Pasukan Khusus pelbagai negara dari masa ke semasa bukan hanya dalam konteks taktikal modal insan tetapi kerjasama perisikan, pencegahan, pengawalan persempadanan dan penglibatan aset secara bersama bagi memenuhi apa jua bentuk kekurangan.
 




No comments:

Post a Comment