Pages

Tuesday, March 19, 2013

Misi berdarah demi kedaulatan negara

sumber: utusan online

SEMPORNA 17 Mac - Suasana malam Sabtu itu (2 Mac) begitu mencengkam bagi sekumpulan 57 anggota polis. Misi yang mereka galas kali ini sangat berbahaya dan berbeza. Musuh yang mereka buru bukan kepalang; gerila bersenjata dan terlatih.

Tetapi berbekalkan keberanian dan maklumat risikan, malam pekat di perkampungan atas air di Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna mereka redah. Mereka tahu risiko bakal ditempuh. Berkali-kali mereka diingatkan bahawa dalam misi kali ini mungkin ada yang tidak pulang dengan selamat.

Apatah lagi dua rakan setugas dari pasukan komando VAT 69 gugur di Lahad Datu sehari sebelumnya. Tetapi demi kedaulatan negara, misi ini perlu mereka jayakan.

Dalam fikiran mereka hanya satu, menjayakan misi khas menangkap 'Imam Tua' dan 'Romy', dua pengganas Sulu yang dipercayai bersembunyi di perkampungan atas air itu.

Imam tua penting untuk ditangkap kerana dikatakan tahu siapa pihak ketiga di sebalik pencerobohan itu. Romy pula dipercayai bertanggungjawab membawa masuk senjata dan kira-kira 10 lelaki terlatih dalam perang gerila yang bersembunyi di kampung itu.

Operasi itu bermula pada pukul 4.30 petang, walau bagaimanapun gagal menemukan Imam Tua dan Romy. Setelah hari merangkak malam, mereka berkumpul di gelanggang bola keranjang berdekatan kampung itu untuk menyelaraskan semula gerakan.

Diketuai oleh Pegawai Unit Cawangan Khas Bukit Aman, Supritendan Ibrahim Lebar, mereka bertekad agar misi diteruskan pada malam itu juga.

Kesemua anggota polis diberi taklimat mengenai situasi yang bakal dihadapi. Mereka dimaklumkan tentang ancaman bakal dihadapi. Ibrahim dalam misi itu dibantu Ketua Cawangan Khas Daerah Semporna, Asisten Supritendan Micheal Padel.

Mereka tahu Semporna berada dalam keadaan bahaya. Daripada maklumat risikan diterima, pengganas Sulu merancang melakukan sabotaj dengan membakar rumah penduduk, membuat tembakan secara rambang dan menyerang balai polis.

Kini, keselamatan Semporna benar-benar di tangan mereka. Jika misi itu gagal, mungkin sahaja kemusnahan besar bakal berlaku.

Kira-kira pukul 7.30 malam, Ibrahim yang mengetuai 56 pegawai dan anggota bergerak secara strategik ke Kampung Sri Jaya. Mereka menggeledah beberapa buah rumah yang dikenal pasti menjadi lokasi persembunyian pengganas Sulu.

Tetapi tanpa mereka ketahui dan duga, rupa-rupanya operasi sulit tersebut sudah diketahui musuh kerana terdapat 'orang tertentu' yang membocorkan maklumat.

Ibrahim hanya menyedari perkara itu apabila serbuan ke atas beberapa buah rumah disahkan lokasi persembunyian musuh didapati langsung tidak berpenghuni.

Dan ketika melalui titi kayu di lorong lima Kampung Sri Jaya, alat pengesan mengesan kedudukan musuh dalam sebuah rumah. Inspektor Mohd. Hasnal Jamil dari Cawangan Khas Bukit Aman ketika itu berada dalam kedudukan paling depan diikuti Ibrahim dan Micheal.

Begitupun belum sempat pasukan keselamatan bertindak, mereka dihujani ratusan peluru raifal M-16 dan AK-47 oleh sekumpulan pengganas Sulu dari segenap sudut.

Tembakan bertalu-talu termasuk dari sampan di kawasan bawah rumah air. Sasaran tentulah ditujukan kepada Ibrahim, Micheal dan Mohd. Hasnal yang berada di barisan depan.
Kumpulan pengganas ini telah memasang 'perangkap' lebih awal untuk menyerang pasukan keselamatan. Kumpulan pengganas Sulu itu kemudiannya tanpa rasa perikemanusiaan bertindak zalim ke atas anggota keselamatan termasuk yang tercedera.
Seperti dirasuk syaitan mereka memenggal leher dan menetak kepala dengan parang barong, mencungkil mata malah sanggup mengeluarkan otak, membelah perut serta dada sebelum dikeluarkan organ dalaman.
Hanya mayat Ibrahim tidak sempat diapa-apakah kerana Allahyarham ditarik oleh anggotanya masuk ke dalam sebuah rumah. Mayat yang anggota polis lainnnya semua dizalimi.

Melihat ketua operasi dan rakan sepasukan diperlakukan sedemikian, anggota yang terselamat mengatur strategi susulan untuk melakukan serangan balas.
Strategi mereka berhasil. Dua musuh termasuk Imam Tua ditembak mati. Baki empat lagi pengganas ditembak mati keesokan harinya.

Selain Ibrahim dan Micheal, wira negara yang turut gugur dalam serangan itu ialah Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Abdul Aziz Sakirun, Koperal Salam Togiran dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran.
Selain meragut enam nyawa, serangan tak terduga dipercayai akibat pengkhianatan orang tertentu itu turut menyebabkan 17 anggota polis terperangkap sementara dua yang lain termasuk Mohd. Hasnal cedera parah.
Mereka kemudiannya berjaya dibawa keluar dari lokasi 'serang hendap' oleh anggota pasukan Komando VAT 69 yang memulakan operasi menyelamat bermula pukul 2.30 petang Ahad.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130318/dn_24/Misi-berdarah-demi-kedaulatan-negara#ixzz2NyFzqBHx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment