Pages

Wednesday, August 29, 2012

PAHLAWANKU - NUBARI YANG TERLUKA

Oleh Hamzah hd.

Mukaddimah
Program pengkisahan sejarah yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Negeri Perlis pada 28 Ogos 2012 yang lalu adalah manifestasi penghargaan kepada pahlawan-pahlawan negara era insurgensi yang telah berkorban jiwa dan raga mereka di dalam membenteras kemaraan dan pendominasian Parti Komunis Malaya (PKM) di hutan belantara Malaysia pada suatu ketika dahulu khususnya dan pengorbanan warga pasukan keselamatan sepanjang zaman secara keseluruhannya.

Program ini adalah satu usaha untuk mencungkil bahan-bahan sejarah lisan dari masyarakat setempat yang dirakam secara formal dan tidak formal daripada beberapa individu-individu terpilih bertujuan untuk menghasilkan bahan-bahan sejarah lisan untuk dijadikan rujukan dan kajian di Unit Koleksi Negeri Perlis.  Mengimbau kembali sejarah dan nostalgia penting yang pernah berlaku di Malaysia secara umumnya dan kawasan-kawasan sekitar Negeri Perlis secara khusus bagi memastikan kesinambungan sejarah silam tidak luput ditelan zaman.

 ‘Nubari  Yang Terluka’ cuba mengimbau kisah-kisah perjuangan pejuang-pejuang dan pahlawan yang telah terkorban dalam usaha menuntut pembelaan dan pembebasan tanahair melalui beberapa orang individu yang terpilih yang mana dalam konteks ini adalah mereka yang terdiri dari bekas pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat secara langsung menentang pengganas komunis.  Dengan hasrat, sumbang bakti, keringat  dan darah merah mereka yang mengalir semasa mempertahankan maruah bangsa sentiasa dikenang dan mendapat pengiktirafan dari semua rakyat Malaysia.

Keperitan dan kesengsaraan sepanjang menjalankan tugas di perbatasan memerlukan nilai kesabaran yang tinggi.  Keluarga dan kampong halaman ditinggalkan demi negara.  Perjuangan mereka samada sebelum merdeka atau pasca merdeka dikenang dan tidak dinafikan hingga kini oleh majoriti rakyat Malaysia terutamanya pihak pemerintah yang mengiktiraf 31 Julai sebagai Hari Pahlawan dan merencanakan sesuatu saban tahun.

Banyak peristiwa penting telah berlaku dalam lipatan sejarah Malaysia yang mana paling meninggalkan kesan ialah pendudukan Jepun di Tanah Melayu dari 15 Feb 1942 hingga 12 sep 1945 yang telah menyemarakkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Malaya.  Ini terbukti dengan kemunculan beberapa gerakan anti Tentera Jepun yang merupakan reaksi penduduk terhadap kekejaman Tentera Jepun.  Rentetan penjajahan Inggeris dan Jepun di Tanah Melayu menjadikan dimensi penentangan bertambah rumit dan berpanjangan walaupun penjajah sudah berjaya diusir keluar. 

Parti Komunis Malaya (PKM) yang pada mulanya membentuk Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai Bintang Tiga bersama British telah berpatah arang berkerat rotan setelah Jepun meninggalkan Tanah Melayu dengan membubarkan MPAJA dan mengambil jalan sendiri kembali menentang British dan anggota keselamatan iaitu Askar Melayu dan Polis yang pada masa itu dikelolakan oleh pihak British.

Peristiwa Bukit Kepong pada 23 feb 1950 telah menyebabkan 17 anggota polis terkorban dalam mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong.  Lt. Adnan Saidi dan Sarjan Jamil Mohd Shah telah memahatkan nama mereka sebagai pejuang negara yang gugur di medan peperangan.  Wira-wira ini bertempur hingga ke titisan darah yang terakhir demi makna sebuah keamanan.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu.  Pihak British telah membenarkan Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya.  Perpaduan  antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India telah membuahkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Feb 1956 telah memberi petanda bahawa Tanah melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957.  Justeru pada 31 Ogos 1957, kalimat Merdeka telah dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman di hadapan ribuan penduduk Tanah Melayu menandakan Malaya sudah dari belenggu penjajahan.

Peristiwa Kalabakan era konfrontasi Malaysia-Indonesia telah merakam satu tragedi berdarah berlaku pada tanggal 29 Disember 1963 yang telah mengorbankan seorang pegawai dan tujuh anggota Batalion ke-3 RAMD, manakala 18 orang anggota lagi tercedera setelah diserang oleh 130 orang tentera Indonesia.  Peristiwa berdarah yang menimpa Kompeni ‘C’ Batalion ke-3 RAMD itu terletak tidak jauh dari tebing Sungai Kalabakan.  Pos sementara ini terletak  kira-kira 30 batu ke utara Tawau dan 12 batu ke utara sempadan Kalimantan, Indonesia. Walaupun dalam keadaan tidak bersedia, anggota-anggota platun telah menentang musuh yang berlipat ganda ramainya dan memaksanya berundur.

Kekacauan dalam negara tidak tamat begitu saja malah senario pasca merdeka menyaksikan ancaman PKM begitu agresif dan mencabar ketahanan dan kesabaran rakan-rakan dalam pasukan keselamatan.  Berkat kesungguhan dan perencanaan yang betul pemerintah telah membawa kepada perletakan senjata PKM pada tahun 1989 tetapi pemantauan berterusan diberi sehingga kini terhadap ideologi ini yang mana kebanyakan penganalisis pertahanan mengatakan ideologi PKM tidak turut terpadam atau dibubarkan ketika perjanjian tersebut dan ia kemungkinan boleh dihidupkan semula bila keadaan memerlukan.

Sebenarnya banyak lagi peristiwa-peristiwa berdarah yang terakam dalam sejarah negara yang melibatkan pasukan keselamatan Malaysia yang telah berkorban nyawa demi kedaulatan negara.  Dalam ratusan peristiwa sejarah perjuangan ini tercatat cuma beberapa peristiwa sahaja yang masyarakat boleh akses melalui pengkisahan seperti ini yang mana segar dari mulut mereka-mereka yang terlibat secara langsung.

Ahli Panel 1

Lt Kol PGB Basri (Bersara)

Leftenan Kolonel (Lt Kol) Basri bin Haji Omar PGB (Bersara) dilahirkan pada 22 Mei 1952 di Merbok Kedah mendapat pendidikan awal di negeri Kedah dan bersekolah menengah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh pada tahun 1970.  Melanjutkan pelajaran di Royal Military College (RMC) dan seterusnya ditauliahkan di dalam perkhidmatan ATM pada 14 April 1972.  Membuat pengkhususan dalam bidang kejuruteraan di Pune India pada tahun 1981 dan beliau merupakan Pegawai Kejuruteraan di dalam Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Selaku pegawai Askar Jurutera beliau banyak terbabit di dalam operasi melibatkan penanaman, pembersihan dan pemusnahan bom dan jerangkap samar.  Pernah pada musim hujan bulan Nov dan Dis 1975, beliau dan pasukannya terlibat di dalam penanaman jerangkap samar di perbatasan Malaysia Thai iaitu sepanjang 5 km tanpa henti.  Dalam suasana hutan tropika yang tebal dan hujan lebat berterusan menjadikan tugas tersebut sangat mencabar.

Satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan sampai akhir hayat beliau ialah semasa beliau mengetuai Pasukan Jurutera membersih jerangkap samar di dalam sebuah terowong yang ditinggalkan oleh pengganas komunis setelah diasak oleh Pasukan Komando Tentera Darat (TD) di sempadan Malaysia-Thai iaitu dalam kawasan Gubir dalam negeri Kedah. 

Kisah ini berlaku pada tahun 1976 dalam satu operasi yang dinamakan OPS GUBIR 2 iaitu operasi mencari dan memusnah jerangkap samar kerana sebelum ini pasukan keselamatan selalu terkena jerangkap samar dan telah ramai yang terkorban justeru Dato Mahmud, Panglima 2 Divisyen pada masa itu mahukan supaya tempat persembunyian pengganas komunis pula diserang ekoran dari informasi yang diperolehi daripada anggota musuh yang menyerah diri berkenaan kewujudan terowong bawah tanah.

Dalam gerakan ini tidak dilibatkan askar Infantri biasa tetapi Pasukan Khas (Komando) telah diaturgerakkan.  Dari kem Gubir ke kawasan operasi adalah dengan menggunakan helikopter NURI dengan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk tiba ke kawasan sempadan dan semua anggota terlibat didaratkan dengan kaedah repelling dan winching kerana kawasan itu tiada tempat pendaratan heli (Landing pad).  Komando yang terlibat seramai lebih kurang 60 orang manakala Tim Jurutera turut diaturgerakkan sebagai pembantu untuk membersih jerangkap samar dan membuat landing pad untuk pendaratan heli.

Pada 20 Apr 1976, hanya Lt. M Meor dan pasukannya saja yang masuk bersama Komando dengan menggunakan 5 buah NURI untuk menyerang namun cubaan pertama kemasukan gagal kerana mereka terlebih dahulu diserang oleh pengganas komunis.  Percubaan kedua berjaya kerana NURI diiringi oleh Allouette sebagai gunships.  Semasa winching down, pengganas komunis menyambut kedatangan dari bawah menyebabkan Komando turun bertempiaran mencari perlindungan untuk bertindak balas. Semasa pihak Komando memberi tentangan, tiba-tiba saja musuh didapati ‘hilang’.  

Pada masa itu lah Sarjan Husin dan Sarjan Jantan telah terpijak jerangkap samar dan putus kaki.  Selepas itu Tim Jurutera pula didaratkan  untuk membuat pembersihan dan lain-lain tugas yang berkaitan.  Lt M Mior membuat anggaran bahawa kawasan itu mempunyai lebih kurang 3,600 jerangkap samar yang tertanam.  Oleh kerana jerangkap samar terlalu banyak, Tim Jurutera terpaksa membuat lorong selamat terlebih dahulu untuk membolehkan askar berjalan dan tidur/berehat dengan selamat.  Makanan dihantar dari Kem Gubir melalui udara, cuma minuman sahaja yang dibawa oleh setiap individu yang terlibat.

Mengimbau kembali peristiwa yang bermula pada 22 Apr 1976 itu, Lt Muda Basri tiba di Kem Gubir dan pada 23 Apr beliau digerakkan dengan helikopter ke kawasan operasi.  Pada petang 24 Apr mereka memperolehi satu peta yang menunjukkan satu sistem terowong di bawah kem pengganas tersebut sekali gus terjawab persoalan pengganas ‘hilang’ dengan tiba-tiba semasa bertempur dengan Komando pada hari pertama.  Difahamkan bahawa terowong tersebut bersambung terus ke negara Thailand.  Oleh kerana penemuan sistem terowong yang agak sistematik binaannya dan juga merupakan penemuan pertama dalam sejarah TDM, maka menjadi satu tugas Tim Jurutera untuk membuat penyiasatan dan kajian lanjut.  

Hari pertama membuat proses pembersihan semuanya berjalan lancar dan hari kedua, selaku ketua tim, Lt Muda Basri ingin melihat sendiri bagaimana anak-anak buahnya sedang membuat pembersihan jerangkap samar.  Satu lagi Tim Jurutera yang diketuai oleh Lt Meor berada jauh di bahagian hadapan.

Dengan ditemani oleh L/Kpl Abdullah, mereka menuruni sehingga 31 anak tangga di dalam terowong tersebut.  Waktu itu Lt Basri terlihat satu guni beras yang dilipat dan diletakkan di sebelah kiri.  Terdetik di hatinya mengesyaki kemungkinan di situ ada suis jerangkap samar di mana jika terpijak pasti akan menghasilkan letupan.  Justeru beliau telah memberi arahan supaya L/kpl Abdullah dan yang lain-lain mengikuti rapat di sebelah kanan.  Dalam suasana gelap di tempat itu mereka terpaksa menggunakan lampu suluh untuk bergerak. 

Sebaik saja Lt Muda Basri melangkah kaki ke sebelah kanan, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku.  Dirinya rebah dan senjata yang dibawanya juga terpelanting.  L/kpl Abdullah menjerit mengatakan bahawa dia sudah terkena jerangkap samar.  Lt Muda Basri luka di bahagian punggung, walaupun kelihatan tidak begitu serius, kesakitannya amat terasa dan beliau diberi suntikan morfin untuk meredakan kesakitannya. Pakaiannya koyak rabak dimamah serpihan bahan letupan jerangkap samar.

L/Kpl Abdullah terkena di bahagian dada yang sememangnya instalasi jerangkap samar dibuat begitu untuk mendapat impak maksima dengan mensasarkan organ jantung manusia.  Dalam keadaan gawat itu semua tertumpu untuk menyelamatkannya.  Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah.  Setiba di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir. 

Apa yang diceritakan oleh  Lt Kol Basri, Allahyarham  Abdullah adalah seorang anggota yang baik, patuh kepada perintah dan komited dalam tugas.  Apa yang sangat menyedihkan ialah semasa ‘pemergian’ beliau, isterinya sedang mengandung.  Jenazah L/kpl Abdullah dibawa ke Taiping untuk diuruskan sebelum dibawa ke kampong halamannya di Melaka.

Dalam peristiwa lain pada hari yang sama iaitu 22 Apr 1976 juga secara kebetulannya Trooper Yaacob dari yunit Komando telah terkena jerangkap samar dan putus kakinya.  Trooper Yaacob merupakan rakan sedarjah LtM Basri semasa persekolahan di Kedah.  Beliau di wadkan di hospital Alor Setar.  Pak Omar, bapa kepada LtM Basri datang melawat Yaacob bersama bapanya Pak Hasan. 

Beliau tidak tahu yang anaknya juga telah terkena jerangkap samar kerana berita kemalangan Ltm Basri dimaklumkan pada keluarga di rumah.  Sungguh terkejut bila dimaklumkan bahawa anaknya Basri juga diwadkan di Hospital tersebut.

Di Hospital Alor Setar 25 Apr, LtM Basri dikunjungi oleh Mej Haris Rejab, pegawai TD yang bertugas di RBCO Songkhla semasa beliau dalam perjalanan balik ke Sungai Petani.  Surat khabar 27 dan 28 Apr melaporkan tentang NURI kemalangan di kawasan operasi Gubir ditembak Komunis.  Semua krew dan penumpang terkorban termasuk Mej Haris dan Lt Wan Munsif. Lt Wan Munsif asalnya beliau juga seorang Pegawai Jurutera yang telah mengambil alih projek LtM Basri di Kelantan yang selepas itu telah beralih angin menjadi seorang juruterbang TUDM. 

LtM Basri telah dikurniakan Pingat Keberanian PGB ialah pada 2 Jun 1976 di atas jasa dan keberanian beliau semasa menjalankan tugas.  Satu perkara yang beliau ingin kongsi dengan generasi  sekarang yang masih dalam perkhidmatan khususnya atau semua umat Islam umumnya ialah adanya ayat-ayat Al-quran yang tertentu jika diamalkan dengan betul ianya boleh ‘penyelamat’ kepada kita dari ditimpa kecelakaan yang lebih besar dalam sesuatu kejadian.  Dengan izin Allah.

Ahli Panel 2


Mej Ishak  (bersara) bermastautin di Perlis

Mej Ishak bin Mohd Isa KPK (Bersara) lahir di Bukit Mertajam Pulau Pinang pada 1 Feb 1955.  Mendapat pendidikan awal di Pahang dan Perlis seterusnya melanjutkan pelajaran menengah di Technical Institute Tunku Abdul Rahman Pulau Pinang.

Beliau memulakan latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson pada 15 Sep 1973 selama 3 bulan dan meneruskan latihan Bakal Pegawai Kadet, Sebatang Karah Port Dickson sehingga April 1974 dan meneruskan pengajian ketenteraan di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi sehingga Okt 1974.  Beliau bersara dari perkhidmatan tentera pada 15 Sep 1996.  Beliau menerima anugerah Pingat Keputusan Perutusan Keberanian (KPK) pada tahun 1980 berpaksikan pengorbanan dan keberanian yang ditunjukan semasa menyertai operasi-operasi penting menentang pengganas komunis.

Antara peristiwa-peristiwa yang sukar untuk Mej Ishak lupakan sepanjang perkhidmatan ialah semasa menjalani kursus Taktik Pegawai Muda di Kem Komando Sungai Udang Melaka, Ops Sedar Gubir dan Ops 792 Alpha di Selatan Thai.

Mengenang kembali peristiwa yang membawa tragedi rakan sekursusnya iaitu LtM Razak yang putus kakinya terkena rotor blade NURI yang tiba-tiba terhempas semasa siri latihan abseiling sedang dilakukan di hutan Kem Trendak.  Sebagai ketua dalam kumpulan kedua, LtM Ishak menjadi orang pertama yang turun dengan selamat diikuti oleh LtM Azman dan LtM Razak.  Semasa LtM Razak diturunkan dari NURI tiba-tiba helikopter tersebut  terhempas.  Walaubagaimana pun rakan-rakan yang semua selamat kecuali buddynya yang paling rapat telah kehilangan kaki dalam sekelip mata.

Semasa bertugas dengan Unit 14 Malaysian Teritorrial Army(MTA)/9 Renjer sekitar tahun 1977, LtM Ishak yang merupakan Ketua Platun No 4 terlibat dengan Ops Sedar Gubir yang mereka menganggap sebagai operasi balas dendam kerana sebelum ini ramai rakan-rakan dari pasukan keselamatan telah tercedera dan terkorban di kawasan ini.  Sebelum bertempur dalam operasi itu, mereka telah menyerang satu penempatan komunis di Sintok iaitu di kawasan sempadan namun pihak musuh baru saja mengosongkan tempat itu.

Di kawasan tersebut terdapat 3 lubang seluas lubang kubur yang dibina oleh komunis untuk dijadikan perangkap binatang liar sebagai sumber makanan.  Terdapat seekor Tapir yang terperangkap di dalam salah satu lubang tersebut.  Selama 6 hari 5 malam mereka bersembunyi di kawasan itu menunggu kehadiran musuh yang kemungkinan akan datang untuk melihat perangkap mereka.  Oleh kerana musuh juga tidak muncul-muncul, mereka mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan. 

Tapir yang terperangkap juga disembelih untuk dijadikan ransum. Dalam pergerakan balik ke Markas Medan setelah gagal membuat serang hendap,  LtM Ishak tiba-tiba terjatuh dalam salah satu lubang perangkap tersebut.  Selepas beberapa hari setelah pulih dari kesakitan akibat terjatuh dalam lubang perangkap dan beliau juga megalami demam selepas itu, beliau mengambil keputusan untuk kembali membuat serangan hendap tempat Tapir ditemui kerana beliau menjangkakan musuh akan kembali datang untuk melihat perangkap namun sekali lagi gagal kerana musuh tidak juga datang.

Pada 24 Mei, Platun No 4 yang sedang berada di sektor  Sungai Kawi diarahkan untuk membantu platun no 5 yang berada di sektor Sungai Seraya.  Pada 25 Mei 1977 LtM Ishak dibantu oleh anak-anak buahnya melakukan rondaan dan terpaksa menyeberangi 2 batang sungai dan 2 buah gunung untuk sampai ke lokasi.  Sepanjang perjalanan mereka telah terjumpa banyak kesan-kesan pendudukan pengganas komunis yang baharu ditinggalkan.  Tiba di satu permatang yang berada betul-betul di garisan sempadan Malaysia-Thai pada pukul 5.00 petang dalam keadaan hujan panas tetapi agak lebat.  Mereka cuma berteduh di bawah pohon palas gajah yang banyak kedapatan di kawasan itu.  Di atas permatang itu juga terdapat kesan-kesan serang hendap yang pernah berlaku sebelum ini.

Arahan diberi kepada anak-anak buah supaya terus menembak jika ternampak orang yang tidak dikenali masuk ke kawasan itu  pada waktu malam kerana mereka yakin tiada orang lain akan masuk ke kawasan itu melainkan musuh.  Lokasi ini tiada kubu dibuat melainkan mereka hanya mengambil perlindungan di celah-celah pokok palas sahaja.  Lebih kurang jam 6.45 petang, kelihatan kelibat musuh telah memasuki kawasan serang hendap mereka maka pertempuran bermula dalam keadaan masing-masing tidak nampak di antara satu sama lain cuaca gelap dilitupi hutan tebal. 

Dalam pertempuran yang tak sampai 20 minit itu, LtM Ishak dimaklumkan seorang anak buahnya Renjer Badrul telah terkena tembakan di siku.  Darah keluar dengan banyaknya, kemudian diberi rawatan kecemasan untuk meredakannya.  Siang keesokan harinya baru mereka membuat search di kawasan tersebut dan menjumpai satu mayat musuh dalam keadaan tertiarap.  Bersamanya sepucuk senapang M16 dan barang-barang persendirian.  Didapati kesan-kesan darah menuju ke Thailand dan dianggarkan 3-5 orang musuh telah cedera atau terbunuh dalam pertempuraan ini  tetapi mereka sempat melarikan diri ke sempadan.

Untuk membolehkan mayat dan anggota yang sakit dikeluarkan dari hutan belantara tersebut, NURI dipanggil untuk  casevac dan bodevac. Keadaan hutan tebal dan pokok-pokok yang tinggi di kawasan itu adalah mustahil untuk membuat landing pad.  Sebagai alternatif. mereka dikehendaki mencari satu kawasan yang sesuai untuk winching point.  Untuk membuat winching point, mereka terpaksa meredah belantara dari jam 11 pagi hingga jam 4.30 petang baru berjumpa satu kawasan yang sesuai untuk winching.  Setelah mayat pengganas dan Rjr Badrul dikeluarkan dari kawasan operasi, mereka bermalam di situ dan keesokan harinya  barulah mereka bergerak balik ke Pangkalan hadapan dan pada 30 Mei mereka diterbangkan ke Kem Gubir.  Keesokannya pula baru mereka balik menemui keluarga di Kem Batu Uban Pulau Pinang.

Semasa melaksanakan Ops 792 Alpha (Selamat Sawadee) di Sadao selatan Thailand, satu peristiwa yang tak dapat dilupakan oleh Mej Ishak di mana heli yang mereka naiki telah ditembak oleh pengganas semasa sedang menuju ke Landing Point.  Kejadian ini memaksa mereka terjun keluar dari helikopter dalam ketinggian 10 kaki dari bumi.  Sebagai tentera kadang kala kami terpaksa mengambil tindakan drastik dan membelakangkan keselamatan bila berhadapan dengan situasi bahaya yang datang di luar jangkaan.  Pilihan hanya satu samada memilih mendapat risiko yang lebih kecil semasa terjun dari heli yang sedang hover atau terpaksa menggadai nyawa jika heli diletupkan jika kami lambat bertindak.
Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang berlaku keatas beliau dan rakan-rakan sepanjang perkhidmatan yang mana tidak ada kesempatan untuk beliau menceritakan kesemuanya dalam satu masa.  Pesan beliau kepada anak-anak bangsa Malaysia hari ini, hargailah keamanan yang telah dicipta oleh generasi terdahulu dengan air mata dan darah demi kesejahteraan dan keharmonian hidup generasi hari ini.

Ahli Panel ke 3


Mej Nor Ibrahim aktif  sebagai blogger
Mejar Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU (Bersara) dilahirkan pada 9 April 1949 di Kuala Kangsar.  Beliau mendapat pendidikan awal di Lumut, Perak dan meneruskan pengajian peringkat menengah di Sekolah King Edward VII, Taiping. Selepas tamat pengajian di Maktab Tentera Diraja ( MTD), Sungai Besi selama dua tahun (1967-1969), beliau memasuki perkhidmatan TD pengambilan ke 11 Tauliah Tetap (regular) dan ditauliahkan sebagai second lieutenant pada 14 April 1969.

Pada tahun 1973, beliau memulakan kerjaya sebagai juruterbang helikopter TUDM setelah mendapat pendedahan di sebuah syarikat penerbangan milik rakyat Amerika, iaitu SEA Helicopters (Malaysia), di Kuala Lumpur.  Semasa latihan, beliau dilatih dengan pesawat Bell 47G, Bell Jet Ranger dan Allouette 111 selama setahun sebelum di tugaskan di No 10 Skuadron, TUDM Kuantan. 

Sepanjang menjalankan tugas sebagai juruterbang NURI, beliau banyak terlibat secara langsung dalam operasi menentang pengganas komunis di Semenanjung Malaysia.  Bukan sahaja kehilangan ramai rakan seperjuangan malah bergelumang darah dengan warga TD yang cedera parah dan terkorban.  NURI  turut menjadi sasaran pengganas komunis dan beliau sendiri pernah ditembak oleh mereka.

Dalam pemikiran pengganas komunis, helikopter adalah di antara elemen kapabiliti kritikal yang merupakan kunci utama kepada pasukan yang mana jika dimusnahkan atau ditawan ia akan melemahkan keupayaan tempur sesuatu pasukan. Tanpa helikopter akan menjejaskan mobiliti operasi TD di hutan belantara.

Ini bermakna peranan juruterbang NURI  juga kritikal dan nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk kerana mereka juga menjadi sasaran utama pengganas komunis. Tidak hairanlah jika nyawa juruterbang-juruterbang NURI sebenarnya turut menjadi ‘idaman’ pengganas komunis sehinggakan mereka menyebarkan risalah dengan menawarkan RM 3000.00 untuk satu nyawa mereka. Anggota perisikan pernah menjumpai lakaran taktikal pengganas komunis supaya menjadikan juruterbang sebagai sasaran utama untuk ditembak dalam usaha mereka melumpuhkan mobiliti TD di belantara.

Pada 27 April tahun 1976 negara telah dikejutkan dengan berita sebuah helikopter NURI ditembak jatuh oleh pengganas komunis.  Semua krew dan penumpang terkorban di kawasan operasi di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah. Helikopter tersebut dalam fasa penerbangan dari landing pad (LP) ke Kem Gubir semasa ditembak. 

Semasa kejadian itu, Mej Nor Ibrahim sedang mengikuti kursus peralihan ‘Kapten’ helikopter NURI di No.10 Skuadron, TUDM Kuantan. Beliau menceritakan semua juruterbang-juruterbang yang terlibat merupakan rakan-rakan seperjuangan yang sangat dikenali. Beliau telah ditugaskan untuk mengiringi jenazah Lt. (U) Wan Munsif ke Kangar untuk dikebumikan dan membantu keluarga arwah mengurus perpindahan isterinya ke Kangar. 

Sudah 36 tahun peristiwa ini berlalu.  Seorang insan yang mengikuti rapat segala peristiwa dan perkembangan berkaitan ialah Puan Khadizah Khalid, isteri kepada Allahyarham Lt Wan Munsif yang juga ada bersama dalam program ini.


Cikgu Khadizah
Dalam satu peristiwa lain, Mej Nor menceritakan satu peristiwa semasa trup TD sedang menaiki NURI Alpha di Kroh, Kapten NURI Charlie dalam penerbangan balik ke Kroh dari landing pad, telah memberitahu bahawa NURI Bravo telah ditembak oleh pengganas komunis semasa hovering.  Selepas melepaskan beban (underslung load), Kapten NURI tersebut terus beredar.

Mej Nor Ibrahim pada masa itu berpangkat Kapten telah mengarahkan Charlie mengiringi Bravo untuk mendarat di landing strip di Banchatharat. Gunship juga diarah berlegar di ruang udara sementara menunggu ketibaan beliau. 

Setiba di landing strip, trup ditugaskan untuk memberi perlindungan keselamatan.  NURI Bravo diarah untuk shutdown dan beliau mengarahkan krew NURI Bravo mengambilalih NURI Alpha tanpa mematikan enjin sementara beliau sendiri memeriksa keseluruhan NURI Bravo. Selain fuselage berlubang-lubang, satu janakuasa tidak berfungsi akibat terkena tembakan. Seterusnya trup diarahkan menaiki semula NURI Alpha dan mengarah kapten NURI Bravo membawa balik trup ke Kroh.  Mej Nor Ibrahim pula mengambilalih NURI Bravo dan mengarahkan kapten NURI Charlie mengekorinya dengan diiringi oleh gunship dengan pesanan kepada kapten NURI Charlie supaya mengambil beliau dan krew sekiranya beliau terpaksa membuat pendaratan kecemasan. 

Beliau selamat mendarat di Kroh.  Ketua Staf di Butterworth bertanyakan tindakan beliau selanjutnya, samada beliau memerlukan recovery team atau tidak. Mej Nor memaklum kepada Ketua Staf yang dia akan terbang balik ke PangkalanTUDM Butterworth dan memerlukan sebuah NURI lain untuk dia meneruskan tugas.  

Sebuah NURI tersedia untuknya dan beliau terbang semula ke Kroh, dan menyelesaikan misi dengan jayanya.  Namun disebalik kejayaan itu Trup yang berada di landing pad ketika itu memberitahu apa sebenarnya yang berlaku semasa Mej Nor sedang hovering NURI Bravo di landing pad. Mereka ternampak varey light di udara. Tiba-tiba, pengganas komunis telah menembak NURI Bravo yang dipandunya dari semua arah. Pengganas telah mengelilingi landing pad dan hanya menunggu waktu untuk menembak NURI Bravo.  Nasib masih menyebelahi beliau.

Demi menyempurnakan sesuatu tugas dalam kalangan intra ATM, Mej Nor banyak menggunakanbudi bicara di samping mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan. Sebagai contoh, walaupun ketiadaan gunship untuk penerbangan malam, jika NURI diperlukan untuk penerbangan casevac maupun ulang bekal (resupply) yang melibatkan hidup mati anggota di perbatasan akan menjadi keutamaan kepada beliau. Prinsip tidak mementingkan diri sendiri dan tidak prejudis di antara perkhidmatan menjadi pegangan beliau.


Di suatu senja semasa detachment di Kroh, Pegawai Risik 6 RAMD telah memohon kepada Brigade Air Support Officer (BASO) bagi pihak Markas Udara, supaya NURI mengambil satu casevac di landing pad.  Anggota tersebut telah ditembak di kepala dan masih hidup. Pada dasarnya BASO meluluskan permohonan tersebut tetapi konsiderasi terpulang kepada juruterbang samada bersetuju atau tidak untuk membuat penerbangan memandangkan hari sudah beransur gelap. 

BASO sedia maklum NURI tidak dilengkapi dengan peralatan untuk penerbangan malam. Semata-mata mengharapkan kebolehan pancaindera sahaja. Mej Nor Ibrahim sememangnya pernah membuat penerbangan malam tetapi melibatkan penerbangan dari ‘airfield to airfield’ sahaja kerana banyak objek-objek yang boleh dijadikan panduan. Terbang malam ke Landing Pad ‘kawasan panas’ mengundang kecelakaan walaupun diiringi oleh gunship.
Dalam keadaan serba salah setelah Pegawai Risik merayu dan BASO menyerahkan tanggungjawab kepada juruterbang untuk membuat keputusan, Mej Nor Ibrahim akhirnya bersetuju untuk mengambil anggota yang sedang bertarung dengan maut setelah juruterbang Alouette Gunship bersedia untuk mengiringi.

Sebenarnya apa yang sedang digambarkan oleh beliau pada masa itu ialah ketika sebuah NURI terapung (hover) untuk menaikkan casevac dengan limpahan lampu yang terang benderang yang terpaksa dinyalakan untuk membantu Kuarter Master menaikkan casevac adalah kemungkinan boleh menarik perhatian pengganas komunis yang berada di sekitar lokasi akan menjadikan NURI sebagai sasaran latihan penembakan malam. Malangnya anggota tersebut telah meninggal dunia semasa di dalam helikopter.

Untuk mendarat di Kroh, beliau dan gunship dipandu oleh lampu Land Rover.  Beberapa buah Land Rover digunakan sebagai marker di grass strip. Misi berjaya. TUDM tidak menghampakan TDM. Sebagai penghargaan, keesokan petang, Pegawai Memerintah 6 RAMD telah menjemput mereka untuk minum teh di Mes pegawai beliau (khemah kanvas). 
Penerbangan tersebut telah diketahui oleh Ketua Skuadron (KS). Sekembali dari detachment, resepsi yang beliau terima ialah KS mempersoalkan tindakan beliau yang tidak mengambil kira risiko ke atas kedua-dua buah pesawat dan krew seandainya pengganas komunis mengambil tindakan menembak mereka pada malam itu. 

Alasan beliau ialah jika sekiranya beliau tidak melakukan penerbangan tersebut, anggota itu akan terkorban dan kemungkinan anggota-anggota keselamatan akan hilang kepercayaan terhadap TUDM kerana keadaan anggota pada masa itu sebenarnya masih hidup. Sekiranya diberitahu anggota tersebut telah terkorban, sudah pasti beliau tidak akan mengambil risiko kerana bodevac boleh dilakukan ke esokan hari.  

Sebagai kapten pesawat, beliau bertanggungjawab ke atas sebarang keputusan yang beliau telah buat.  Sekurang-kurangnya beliau telah cuba untuk menyelamatkan satu nyawa tetapi ketentuan Ilahi mengatasi segalanya.
Atas dasar menentang segala usaha individu atau kumpulan yang cuba untuk membawa pulang Chin Peng ke Malaysia, beliau rasa bertanggung jawab dan sedar betapa perlunya beliau tampil berkongsi pengalaman semasa menentang kekejaman pengganas untuk tatapan umum.

Beliau juga mengharapkan supaya pihak kerajaan Perlis mengambil suatu pendekatan positif terhadap pengorbanan anak-anak Perlis dengan memberi apa-apa penghargaan kepada pejuang-pejuang yang masih hidup dan juga kepada balu-balu sebagai mengenang jasa dan budi mereka yang tersangat tinggi nilainya kepada negara.

Penutup

Sebagai rakyat Malaysia keseluruhan amnya seharusnya berusaha mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara kerana kemakmuran dan keamanan ini akan diwarisi kepada generasi yang akan datang.  Ketengangan dan kekacauan yang berlaku di luar negara seperti Mesir dan yang terbaru di Syria wajar kita jadikan contoh yang terbaik.  Turut tercatat dalam sejarah ialah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah banyak meninggalkan kesan kehancuran, kemusnahan dan pertumpahan darah yang berlaku berpunca dari ketegangan kaum.

Kesan daripada suasana sebegini akan menjejaskan bukan sahaja nama baik negara malahan kemerosotan ekonomi dan sosial masyarakat juga akan terjejas sama.  Mencipta kemerdekaan dan mengekalkan keamanan negara bukan suatu perkara yang senang untuk digapai satu ketika dahulu namun berkat ketabahan dan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Sambathan dan Tun Tan Cheng Lock maka  perpaduan kaum dapat dijalin dengan baik dan terus dipertahankan oleh pimpinan terkemudian.  Kita tidak mahu sejarah luka berulang kembali dan generasi hari ini perlu diberi kefahaman sejelas-jelasnya supaya keamanan dan keharmonian yang dikecapi hari ini dapat dinikmati sampai bila-bila.  MP




No comments:

Post a Comment