Pages

Saturday, September 1, 2012

PALAPES

Sumber Majalah Perajurit edisi sept 2012
Oleh Hamzah hd.

Pemeriksaan Diraja

Pada 17 Julai 2012, Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi menjadi tuan rumah bagi Istiadat Pentauliahan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke 31.

Penganjuran kali ini merupakan kali keempat oleh UUM yang mana sebelum ini pernah menjadi hos dalam istiadat seumpama pada 1989, 1996 dan 2003.  Acara tahunan ini dibuat secara giliran dalam kalangan IPTA  yang mempunyai pasukan berunifom sebagai subjek ko-kurikulum.

Perbarisan Pentauliahan Diraja pegawai  kadet PALAPES IPTA ke-31 ini berkekuatan seramai 1,284 pegawai kadet yang terdiri daripada 600 orang pegawai kadet lelaki dan 684 orang pegawai kadet wanita.  Daripada keseluruhan kekuatan yang menerima watikah pentauliahan, seramai 981 orang dari PALAPES Tentera Darat, 154 orang PALAPES Tentera Laut dan 149 orang PALAPES Tentera Udara dari 15 buah IPTA di seluruh Malaysia.  Di antara IPTA yang terlibat ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sehingga kini seramai 21,199 orang pegawai  kadet PALAPES IPTA telah ditauliahkan yang mana selepas tamat pengajian mereka akan melapor ke pasukan-pasukan sukarela Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

Sesuai dengan penubuhan  IPTA sebagai pusat pengajaran dan penyelidikan pelbagai bidang di samping memberi sumbangan kepada perkembangan sosial, ekonomi dan intelektual di kawasan setempat, 15 buah IPTA  seperti yang dinyatakan di atas juga merupakan pusat pengeluaran pegawai graduan yang terlatih dalam ilmu ketenteraan sebagai sumber tenaga bagi Angkatan Tetap dan Angkatan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).




Pengurniaan watikah pentauliahan telah disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah Yang Teramat Mulia Brigadier Jeneral Kehormat Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dewan Mu’adzam Shah, UUM sebaik sahaja Istiadat Perbarisan Pentauliahan tamat di Padang Kawad UUM.





Sejarah PALAPES

Sejarah pembentukan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) bermula sejak 3 April 1965 selari dengan penubuhan cawangan Angkatan Infantri pertama tentera simpanan di Universiti Malaya (UM), sebagai reaksi dan tindak balas dari kebimbangan kakitangan dan pelajar-pelajar UM semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963

Di peringkat pembentukan pasukan ini seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menjalani latihan asas rekrut di Kem Latihan Seputih Batu Gajah Perak semasa cuti semester.  Kebanyakan daripada mereka mempunyai latar belakang tentera atau polis kerana sebelum ini mereka merupakan bekas pelajar maktab Tentera Diraja.
Bertitik tolak daripada peristiwa berdarah 13 mei 1969, kompeni ini telah berkembang dengan penubuhan Kompeni ‘A’ di Institut Teknologi Mara (ITM), Kompeni ‘B’ di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kompeni ‘C’ ditubuhkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan UM kekal sebagai Ibu Pejabat Batalion.
Dengan semangat juang yang tinggi telah ditunjukkan oleh pelajar-pelajar Pusat Pengajian Tinggi ini telah membuatkan Pengarah Tentera Simpanan iaitu Brigadier General Dato' Abul As bin Ismail memulakan perbincangan dengan Naib Canselor semua universiti-universiti terbabit bagi mewujudkan  PALAPES.




Ibu Pejabat PALAPES UM

Ibu Pejabat pertama Batalion Infantri pertama UM ditempatkan di bilik tutorial Fakulti Sastera.  Oleh kerana tiada bangunan atau tapak latihan khusus pada masa itu, semua latihan dikendalikan di sekitar kampus dan kem-kem tentera.

Pada tahun 1969, UM bersama dengan Kementerian Pertahanan bersetuju untuk membina sebuah kem baharu untuk batalion mereka pada sebidang tanah di jalan Damansara iaitu di belakang kampus UM.  Pembinaan ini telah diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan menyiapkan 5 blok kayu.  Kem ini turut dikongsi dengan Ibu Pejabat Division ke-11 dan telah membina 2 blok tambahan mengandungi garaj kenderaan dan perumahan untuk tenaga pengajar pada tahun 1983.  Setelah Division ke-11 berpindah ke kem Jalan Imphal, kem tersebut telah diserahkan kepada PALAPES UM.

Malangnya kem Damansara juga tidak dapat menyediakan fasilitas penuh untuk tujuan latihan kerana bilik kuliah terlalu kecil bagi menampung semua kadet dalam satu masa.  Kem ini tidak mempunyai padang kawad dan setor senjata yang mengakibatkan latihan tidak berjalan lancar.  Kem ini juga didapati telah usang dan fungsi-fungsinya yang terhad.  Daripada kesedaran itu, satu usaha untuk membina satu kem baharu telah dimulakan oleh Timbalan Komandan pada masa itu iaitu Leftenan Kolonel Md Affandi Awang dalam tahun 1994. 

Pada 2 Ogos 1996, satu peruntukan sebanyak 3.5 juta telah diluluskan untuk membina sebuah kompleks yang mengandungi satu blok pentadbiran, bilik kuliah, setor senjata, bengkel kenderaan,pos keselamatan dan padang kawad di atas sebidang tanah seluas 8 hektar di belakang Kem Damansara. Pembinaan ini telah siap dibina pada Feb 1998 dan pemindahan dari Kem Damansara telah dilakukan pada Julai 1998.  Pada 24 November 1998 kompleks baharu ini dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Syed Hamid Bin Syed Jaafar Albar dengan disaksikan oleh Panglima-panglima dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. (Sumber: http://palapes.um.edu.my).  

Selari dengan objektif penubuhan yang sangat signifikan dengan keperluan semasa pendidikan dan pertahanan maka menjadi kewajiban kepada pentadbir-pentadbir IPTA memanjangkan kolaborasi dengan pihak Kementerian Pertahanan bagi meneruskan usaha ini kepada semua IPTA di Malaysia dengan mengadaptasikan salah satu atau ketiga-ketiga cabang perkhidmatan ATM menjadi unit PALAPES sebagai medium ko-kurikulum Universiti. 

Justeru,  mengikut catatan dari sumber laman-laman sesawang berkaitan, PALAPES  UKM ditubuhkan pada 1979, ITM/UiTM (1979), UPM (1980), USM 1980, UUM 1984, UTM (1991), ATMA/UPNM (1995), UMS (1997), UniMap (2005), UMT (2007), UPSI (2003) UTHM (2003) dan UIAM (2009) bagi melahirkan pegawai-pegawai muda berijazah, berdisiplin dan berkarisma untuk memimpin pasukan-pasukan sukarela setelah tamat pengajian.

Objektif Dan Keistimewaan PALAPES

Pada dasarnya objektif penubuhan PALAPES adalah untuk memberi pendedahan kepada penuntut-penuntut  IPTA selok belok ilmu ketenteraan untuk membina jati diri ke arah pembentukan insan berdisiplin dan bersemangat waja.  Di samping menyediakan sumber tenaga pegawai lepasan IPT yang terlatih dalam bidang ketenteraan kepada Angkatan Tetap dan Angkatan Simpanan bagi mengukuhkan pertahanan negara.

Latihan PALAPES dijalankan selama 3 tahun sesuai dengan tempoh pembelajaran normal seseorang penuntut di IPT di mana silibus asasnya adalah sama dengan latihan kadet di kolej-kolej cabang perkhidmatan namun latihan keseluruhannya  tidak dapat menandingi mutu latihan di pusat-pusat latihan kadet Angkatan Tetap terutamanya UPNM yang memberi latihan secara fundalmental serta bertanggungjawab dalam meningkatkan pengetahuan dan status akademik angkatan bersenjata dengan menawarkan gelaran sarjana di bidang teknik, ilmu pengetahuan dan pengurusan sementara tidak mengabaikan keperluan dasar dari latihan tentera.

Sebelum layak ditauliahkan sebagai Pegawai Muda, kadet PALAPES perlu menjalani latihan yang diperuntukan hampir 300 jam setahun secara keseluruhannya merangkumi latihan tempatan, latihan kem tahunan dan latihan pentauliahan.  Sepanjang latihan mereka diberi makan percuma dan insentif RM4.00 sejam bagi latihan tempatan, RM27.71 sejam bagi latihan berterusan, khemah tahunan dan perbarisan tamat latihan di samping bounty tahunan sebanyak RM520.00.  Insentif-insentif yang diterima sekali gus dapat meringankan beban perbelanjaan sepanjang pengajian.

Antara Patriotisme Dan Kekangan Semasa

Anggota PALAPES sebenarnya telah diberi masa secukupnya oleh pihak IPTA untuk para peserta menjalani latihan asas ketenteraan dibantu atau dilatih oleh anggota tetap mengikut perkhidmatan masing-masing sebelum mereka di tauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Angkatan Sukarela ATM. Malah mereka juga diberi keistimewaan dan pengiktirafan yang sama seperti anggota sukarela yang lain dalam konteks pakaian, insentif dan sebagainya.  

Sistem dan prosedur  pentauliahan juga tiada bezanya dengan sistem yang dipraktikkan kepada pegawai-pegawai kadet dari Angkatan Tetap dengan menekankan sepenuhnya adat istiadat, tradisi rejimental mana-mana cabang dalam ATM.  Bermakna selesainya pengurniaan watikah pentauliahan oleh mana-mana Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan atau YDP Agong, mereka sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pegawai kadet Angkatan Tetap cuma kebolehan, kompetensi dan perjawatan yang membezakan mereka.  Mereka perlu terus berlatih dan menimba ilmu teknik dan taktik ilmu ketenteraan secara berterusan jika ingin mendapatkan impak maksima dalam bidang ketenteraan.

Namun begitu, setelah bergelar pegawai muda, ramai yang mensia-siakan watikah pentauliahan ini tanpa meneruskan kesinambungan latihan di mana-mana pasukan Angkatan Sukarela untuk meneruskan kesinambungan bagi mempersiapkan diri menjadi seorang pegawai tentera sebenar. 

Dalam persoalan ini penulis tidak menunding jari kepada pegawai-pegawai muda tersebut secara total kerana banyak kekangan-kekangan yang terpaksa ditempuhi bagi pegawai-pegawai muda khususnya yang bekerja dengan agensi-agensi  swasta yang mana pihak majikan langsung tidak berkompromi untuk memberi pelepasan kepada staf-staf mereka bergiat cergas dalam pasukan berunifom. 

Ada juga penempatan pekerjaan terlalu jauh dengan kem-kem tentera yang menyukarkan  mereka untuk meneruskan latihan dengan mudah.  Ada juga terdapat  dalam kalangan pegawai-pegawai muda memberi alasan terdapat banyak sangat birokrasi seumpama kesukaran untuk kenaikan pangkat, Unit-unit Sukarela tidak mempunyai ruang lagi untuk menerima mereka bila mereka bertukar tugas ke sesuatu kawasan baharu dan pelbagai alasan lagi yang diberi untuk mengiyakan tindakan mereka. Malah tidak kurang juga angka yang tidak langsung mempunyai alasan untuk tidak hadir meneruskan latihan melainkan kemungkinan kerana tiada lagi keperluan atau kepentingan peribadi yang boleh diharapkan dengan title pegawai sukarela.

Kekangan dan tekanan dari pihak majikan yang tidak patriotik terus menjadi penghalang utama kepada usaha untuk menjadikan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) sebagai wadah perjuangan warga negara bangsa mempertahankan tanahair mereka.

Bagi memudahkan usaha anggota sukarela menghadiri latihan, pindaan terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 telah dilaksanakan. Pindaan terhadap seksyen 201B dan seksyen 201C telah dikuatkuasakan pada 15 Ogos 2005 yang mewajibkan majikan memberi pelepasan kepada pekerja-pekerja mereka menghadiri latihan dan penugasan Angkatan Sukarela.

Seksyen 201B Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan yang menghalang pekerjanya menjalani latihan Angkatan Sukarela boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM6000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 201C Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan yang menamatkan pekerjaan pekerjanya yang merupakan Angkatan Sukarela semata-mata kerana pekerja itu mengikuti latihan atau pertugasan, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM6000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Peraturan 41Bab C Perintah Am, 1974 telah memperuntukan cuti tanpa rekod selama 30 hari oleh Ketua Jabatan kepada seseorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang dikehendaki menghadiri latihan atau khemah tahunan pasukan-pasukan sukarela.

Meskipun akta yang termaktub cukup kondusif  bagi membolehkan Angkatan Sukarelawan yang bekerja makan gaji dengan kompeni untuk meneruskan aktiviti latihan, peningkatan dan penugasan namun hakikatnya masih terdapat rungutan seolah-olah sistem yang disediakan tidak berjalan seperti yang dirancang. Dilema ini tidak mudah untuk diselesaikan tanpa kerjasama semua pihak-pihak terbabit yang mana jika diambil jalan sendiri akan mendatangkan impak yang kurang baik sekaligus akan memudaratkan prestasi kerja pegawai-pegawai muda yang terlibat. 

Secara praktikalnya setakat ini belum lagi kedengaran  mana-mana majikan telah di penjarakan atau didenda kerana menghalang pekerjanya dari menyertai latihan Pasukan Sukarela.  Ini menggambarkan bahawa penguatkuasaan undang-undang tidak berjalan bagi membendung perkara ini berlaku.  Natijahnya fenomena ini hanya tinggal polemik berterusan.  Alangkah ruginya negara yang telah membelanjakan ribuan ringgit untuk menjadikan seorang awam yang tidak reti apa-apa tentang tentera,  sehingga  anak muda itu menjadi seorang yang berkarisma di samping segulung ijazah selepas tamat pengajian.

Natijah kepada kesedaran bagi mengekalkan kedaulatan, keselamatan dan kestabilan negara bukan sekadar menggariskan di atas kertas malah ianya menuntut lebih daripada itu seumpama menguatkuasakan penglibatan mereka-mereka yang sudah menyatakan komitmen sesuai dengan akta-akta yang telah diperuntukkan.

HANRUH memerlukan penyertaan dan komitmen yang padu terutamanya daripada masyarakat yang sudah pun menjadi separa tentera yang bernaung di bawah Angkatan Simpanan Sukarela (volunteer).  Pegawai-pegawai Muda PALAPES, Pegawai-pegawai dan LLP Askar Wataniah, PSSTLDM dan PSSTUDM dan mengembalikan mandat kepada sebilangan lagi Angkatan Simpanan Tetap (reservist) yakni anggota/pegawai Angkatan Tetap yang telah berhenti, meletak jawatan dan bersara dari perkhidmatan.  Mereka diwajibkan berkhidmat sebagai anggota simpanan di dalam perkhidmatan masing-masing mulai dari tarikh berhenti untuk jangka masa lima tahun bagi pegawai, manakala anggota lain-lain pangkat sehingga mencapai umur 50 tahun atau yang mana terdahulu.

Mereka merupakan aset sokongan pertahanan yang mampu bergerak dalam formasi-formasi tertentu selari dengan pelan kontijensi dalam membantu-ganti angkatan tetap menggandakan paras kekuatan yang diperlukan untuk mempertahankan kepentingan strategik bila keadaan mendesak. Kumpulan ini mesti bersungguh-sungguh menjadikan diri mereka model terbaik untuk dicontohi dan menarik minat orang-orang awam yang lain menyertai jejak mereka dalam pasukan sukarela.

Peranan dan tanggungjawab tidak hanya terhad kepada kemampuan memikul senjata dengan kekuatan fizikal di barisan-barisan tertentu sahaja malah melalui penghayatan ianya boleh diterjemah dan diaplikasikan mengikut kemampuan dan patriotisme walau di tahap mana seseorang itu berada.  Waktu aman, sesuai dengan Strategi Lautan Biru negara, mereka juga boleh  digerakkan bagi membantu operasi-operasi keselamatan dalam negeri dan lain-lain operasi menghadapi bencana alam atau lain-lain kecemasan jika keadaan memerlukan.

Pembangunan dan perkembangannya Angkatan Sukarela mempunyai paksi dan hala tuju yang jelas malah sudah mencipta sejarah cemerlangnya yang tersendiri semasa mempertahankan tanahair pada suatu ketika dahulu.  Di era ini, penambahan dan penubuhan platun-platun baharu bagi setiap Parlimen sangat signifikan dengan keperluan pertahanan negara masa kini dan mendatang yang mendambakan penyertaan menyeluruh rakyat Malaysia dari semua kaum.

Individu-invidu  yang telah menyahut cabaran untuk menjadi sebahagian daripada warga pertahanan negara dengan jujur dan rela hati ingin berbakti kepada ibu pertiwi bukan dipengaruhi oleh lain-lain maksud seperti ingin menambahkan pendapatan atau keistimewaan-keistimewaan tertentu sebagai seorang tentera adalah mempunyai nilai yang sangat tinggi pada tafsiran patriotisme. PERAJURIT

1 comment:

  1. sejurus habis sahaja watikah,bolehkah untuk pegawai muda palapes untuk menyambungkan ke bidang ketenteraan sebagai kerjayanya?

    ReplyDelete