Pages

Tuesday, March 8, 2011

Tentera Darat terima kereta perisai baru

Sumber Utusan
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 6 Mac – Tentera Darat akan menerima aset tempur terbarunya, kereta perisai (APC) AV8, secara berperingkat-peringkat mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengesahkan perkara itu berkata, kemasukan AV8 dalam inventori Tentera Darat adalah bagi menggantikan kereta perisai Condor.

“Kita telah menyerahkan surat penerimaan (LOA) kepada Deftech Sdn. Bhd. dan kereta perisai pertama akan mula diserahkan kepada kementerian mulai 1 Januari 2012.

“Ia hasil memorandum perjanjian (MoA) yang dimeterai antara Deftech dengan syarikat pertahanan dari Turki, FNSS, baru-baru ini,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Ahmad Zahid hadir menyaksikan perarakan kontinjen serta aset Tentera Darat sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-78 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Hadir sama timbalan beliau, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin.

Kementerian Pertahanan sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk membeli 257 kereta perisai AV8 buatan Deftech hasil pemindahan teknologi dari FNSS.

1 comment:

  1. Revolusi dalam hal ehwal ketenteraan (revolution in military affairs -RMA) turut menukar ciri dan tugas serta tanggungjawab ATM dan ketiga-tiga perkhidmatan di bawahnya. Serangan ke atas Iraq dan Afghanistan pada awal alaf tahun 2000 memperlihatkan antara lain peri pentingnya peperangan di alaf ke 21 ini dilaksanakan secara bersama (joint operation) antara ketiga-tiga perkhidmatan angkatan tentera dan secara gabungan bersama (joint combine) antara angkatan tentera sebuah negara dengan angkatan tentera daripada sebuah atau beberapa buah negara asing.

    Bermula dengan sebuah angkatan tentera yang memberi fokus kepada konsep peperangan melawan gerila (CRW)di mana setiap operasi yang dijalankan bersifat satu perkhidmatan (single service operation) dan di sokong sekurang-kurangnya oleh sebuah perkhidmatan yang lain, ATM kemudiannya beranjak kepada memberi fokus ke arah konsep peperangan konvensional (CW)dan kini kita sudah pun bergerak untuk melaksanakan konsep peperangan secara bersama.

    Konsep peperangan bersama memerlukan pembabitan ke tiga-tiga perkhidmatan ATM dalam melaksanakan sesuatu misi operasi. Bagi tujuan itu, kekuatan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu TD, TLDM dan TUDM perlu dibangunkan secara seimbang. Apa yang bakal diterima oleh TD iaitu sebanyak 257 unit 8x8 AWV dalam 12 variants adalah sebahagian dari program membangunkan TD sebagai sebuah pasokan yang mampu menyumbang ke arah pelaksanaan konsep operasi bersama.

    Bentuk ancaman masa kini yang akan dihadapi jauh berbeza dengan apa yang telah kita hadapi sebelum ini. Kita tidak lagi berhadapan dengan kumpulan musuh dalam bilangan yang kecil dan menyerang kita secara "hit and run". Sebaliknya, kita bakal berhadapan dengan musuh secara terbuka dalam suasana perang yang sebenar. Justeru, walaupun bakal penerimaan secara berperingkat kereta-kereta perisai tersebut untuk menggantikan kereta-kereta perisai daripada jenis Condor dan Simbas boleh dianggap sebagai sesuatu yang "long overdue", sekurang-kurangnya kita bakal memilikki sesuatu yang baru bagi berhadapan dengan bentuk ancaman masa kini dan masa hadapan. Ini kerana sebagaimana pendapat M. Ghazemy Mahmud dalam rencana beliau bertajuk "Re-equipping the Army" (Sunday Star 20 Mar 2010), "the intensity of combat on the modern battlefield requires infantry vehicles that are mobile, survivable and lethal". Pada hemat saya AWV dari jenis PARS 8x8 keluaran FNSS Turkey itu dapat memenuhi ciri-ciri yang dikehendakki.

    ReplyDelete