Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
Pages
▼
Tuesday, March 8, 2011
Rahsia negara tanggungjawab bersama
Sumber Utusan
Oleh JENERAL TAN SRI DATUK SRI AZIZAN ARIFFIN
PERUBAHAN ke atas persekitaran strategik, perkembangan teknologi maklumat dan revolusi dalam hal ehwal ketenteraan telah mencorakkan wajah peperangan masa hadapan. Sejajar itu, rancangan pembangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah direncanakan secara capability-based yang menyaksikan proses memperkasakan ATM melibatkan perolehan peralatan dan persenjataan baru dibuat secara berperingkat.
Kesinambungannya, ATM sedang giat melaksanakan pelan peningkatan keupayaan angkatan yang merupakan dimensi keempatnya ataupun lebih dikenali sebagai Fourth Dimension Malaysian Armed Forces. ATM yakin usaha ini akan melonjakkan keupayaannya pada masa hadapan dari segi pelaksanaan operasi, cegah rintang yang kredibel serta kelebihan asimetri dan penggandaan kekuatan yang akan mengurangkan jurang keupayaan masa kini.
Sesungguhnya, hanya ketumbukan yang mantap akan dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa ATM benar-benar mampu melindungi kedaulatan dan kepentingan strategik negara. Keprihatinan berterusan kerajaan terhadap keperluan tersebut amat ATM hargai. Hasilnya, dapat dilihat pada hari ini di mana sistem pertahanan negara kini diperkuatkan lagi dengan kehadiran aset-aset kapital pertahanan yang moden dan berteknologi tinggi.
Tujuan pemodenan tersebut bukanlah untuk kita berlumba atau bermegah dengan mana-mana negara, tetapi semata-mata demi menentukan pembangunan ekonomi dan sosial yang stabil, keselamatan dan kedaulatan negara kekal di tahap yang tinggi serta membolehkan kita menyumbang terhadap keselamatan dan kestabilan serantau dengan efektif.
Dalam proses transformasi keupayaan ini, ATM akur akan keperluan untuk berbelanja secara berhemah. Langkah untuk mengubah rancangan perolehan peralatan berdasarkan ancaman (threat-based) kepada keupayaan (capability-based) merupakan satu langkah yang bertepatan. Pembangunan keupayaan secara capability-based mampu mempersiapkan ATM untuk menghadapi ancaman yang lebih meluas (multi spectrum) dengan kos yang lebih rendah.
Sungguhpun demikian, perolehan peralatan ketenteraan dewasa ini bukannya murah, malahan semakin hari semakin meningkat. Ini kerana nilai bagi setiap peralatan dan persenjataan bergantung kepada teknologi yang khusus untuk keperluan ATM serta menghadapi dinamisme perkembangan keselamatan serantau yang mempengaruhi keselamatan negara.
Pihak pengeluar persenjataan dan peralatan lazimnya akan membuat penyesuaian bagi memenuhi keperluan yang digariskan oleh ATM. Pakej sebegini semestinya mempunyai kos yang jauh berbeza dengan peralatan atau persenjataan yang dibeli secara off the shelf (mengikut spesifikasi pihak pengeluar). Kos tersebut belum mengambil kira aspek nilai tambah seperti kos penyelidikan dan pembangunan (R&D), perolehan teknologi, pemindahan teknologi, perkhidmatan sokongan dan sebagainya.
Secara jelas, adalah tidak wajar untuk membuat perbandingan bajet pertahanan sesebuah negara dengan negara-negara lain secara emotional equation tanpa memahami keperluan khusus sebenar negara tersebut, terutama sekali kepada negara-negara membangun. Sebagai pengguna dalam bidang pertahanan yang telah sekian lama mendokong keperluan pertahanan negara, ATM sentiasa mematuhi prosedur yang ketat serta melakukan pertimbangan dan kajian yang terperinci di antara kos dan keupayaan sebelum mengesyorkan setiap rancangan perolehan kepada kerajaan.
Keupayaan pertahanan negara adalah rahsia negara yang perlu dipertahankan oleh setiap lapisan warga Malaysia yang mempunyai akses terhadapnya. Rahsia keupayaan pertahanan negara boleh diibaratkan seperti rahsia keselamatan rumah kita. Melalui pandangan mata kasar, orang luar boleh mengetahui bahawa rumah kita berpagar dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lain.
Namun begitu, mereka tidak akan mengetahui ciri-ciri terperinci mengenai keselamatan dan hal ehwal dalaman rumah kita, jika tidak diberitahu. Apabila rahsia atau ciri-ciri terperinci ini diketahui umum, secara langsung aspek keselamatan dan rahsia dalam rumah kita akan dikompromi dan terdedah kepada pelbagai ancaman seperti jenayah, tohmahan dan fitnah.
Begitulah juga dengan kerahsiaan keupayaan ATM termasuk perolehan kelengkapan, sistem dan teknologi pertahanan tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia akan menjejaskan kesiagaan pertahanan negara dan semangat juang pasukan keselamatan. Sehubungan itu, rancangan pemilikan aset strategik ATM yang merupakan maklumat berdarjah perlu dilindungi kerahsiaannya.
Pendedahan maklumat berhubung keupayaan dan rancangan aset-aset pertahanan negara sewenang-wenangnya, tanpa ada kesedaran tentang implikasi negatif terhadap kewibawaan ATM dan kemampuan pertahanan negara pada masa hadapan, tidak sepatutnya berlaku.
Umum perlu sedar bahawa sebarang kompromi mengenainya akan menjejaskan tahap kesiagaan dan keupayaan ATM dalam melindungi kedaulatan negara. Secara sedar atau tidak, tindakan tersebut juga jelas bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi Negara.
ATM, seperti mana-mana organisasi kerajaan yang lain, mengikuti proses perolehan yang ditetapkan kerajaan. ATM juga akur, sebagai stake-holder, rakyat perlu maklum akan perolehan aset-aset utama pertahanan negara. Namun, ciri-ciri terperinci sistem pertahanan tidak sepatutnya dihebahkan, kerana ia adalah rahsia dan strategi ketenteraan untuk ATM menghadapi musuh ketika krisis atau peperangan.
Pendedahan rahsia tersebut adalah umpama pucuk dicita ulam mendatang kepada musuh, ini kerana bukanlah mudah untuk mendapatkan rahsia negara seumpama ini. Tiada mana-mana negara secara sukarela mendedahkan rahsia ketenteraan mereka, melainkan melalui tindakan pengintipan, sabotaj atau pengkhianatan. Secara sedar atau tidak, usaha keterlaluan dalam mempolemik serta mendedahkan perolehan dan keupayaan ATM, umpama mencemuh dan memperlekehkan pasukan keselamatan.
Harus diingat bahawa pasukan keselamatan inilah yang selama ini telah menjamin kedaulatan dan keselamatan negara semasa era konfrontasi dan darurat. Pasukan keselamatan inilah juga yang akan sentiasa berjuang di masa hadapan demi memastikan negara kita kekal berdaulat dan rakyat hidup dengan aman sejahtera.
Keghairahan mempersenda dan mendedahkan keupayaan sistem pertahanan negara akan meletakkan pasukan keselamatan berada dalam kedudukan yang 'disadvantage', kerana segala rahsianya telah didedahkan. Natijahnya, tindakan mendedahkan rahsia negara seperti ini tersasar jauh daripada semangat patriotisme yang sejati.
PENULIS ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia
Sumber Utusan.
ReplyDeleteMembocorkan rahsia kekuatan ATM umpama 'menjual' negara
SETIAP rakyat mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan negara, terutama dalam memastikan ruang udara, perbatasan laut dan sempadan negara tidak diceroboh anasir luar yang berniat jahat.
Tanggungjawab itu adalah satu amanah yang memerlukan taat setia yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan segala rahsia berkaitan sistem pertahanan negara sama ada bajet, peralatan ketenteraan sedia ada dan akan dibeli, kekuatan anggota darat, laut dan udara, serta sistem dan teknologi yang digunakan dalam mempertahankan kedaulatan negara kekal menjadi rahsia setiap rakyat negara ini.
Seperti yang ditegaskan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Sri Azizan Ariffin dalam artikelnya yang disiarkan di muka surat 10, akhbar ini semalam, keupayaan pertahanan negara adalah rahsia negara yang perlu dipertahankan oleh setiap lapisan warga Malaysia yang mempunyai akses terhadapnya.
Penegasan itu dibuat kerana sudah ada pihak tertentu termasuk pembangkang sengaja mendedahkan rahsia pertahanan negara, misalnya dalam kes pembelian enam buah Kapal Tempur Pesisir (LCS) TLDM.
Pendedahan itu bukan berniat baik kerana ia lebih kepada mencari keuntungan politik. Mereka sedar perbuatan itu boleh membahayakan keselamatan negara tetapi masih mahu melakukannya demi meraih kepentingan politik.
Nampaknya pihak pembangkang tidak mempedulikan keselamatan negara, asalkan matlamat mereka tercapai. Mereka lebih rela mengabui mata rakyat dengan membuat pelbagai pendedahan walaupun menyedari ia boleh menjejaskan keselamatan negara. Tindakan itu boleh kita anggap sebagai 'menjual' negara sendiri kepada pihak luar.
Kita tahu jika sewenang-wenangnya rahsia kekuatan tentera negara dihebahkan kepada dunia, banyak kesan buruk bakal menanti. Pihak musuh akan menggunakan segala maklumat yang dibocorkan itu untuk membuat perancangan rapi dan persediaan yang lebih baik dalam menghadapi kekuatan pasukan tentera kita jika ditakdir meletusnya pertikaian.
Memanglah kita tidak mahu mencari nahas dengan berperang dengan negara luar, tetapi jika itulah pilihan terakhir yang ada maka mahu tidak mahu kita perlu menghadapinya demi mempertahankan maruah dan tanah air tercinta. Namun, pastinya segala maklumat yang bocor itu akan menjejaskan persediaan kita menghadapi musuh luar yang tidak dijangka.
Siapa sangka negara Thailand dan Kemboja kini berperang di sempadan bagi berebut kuil purba kurun ke-11, Preah Vihear. Itu membuktikan banyak perkara yang tidak dijangka boleh berlaku. Justeru, kesiagaan dan keupayaan ATM dalam melindungi kedaulatan negara mesti berada di tahap yang tertinggi.
Kita akui negara kita sentiasa berada dalam keadaan siap siaga termasuk memperkukuhkan teknologi peralatan ketenteraan sedia ada, selain melatih anggota tentera agar sentiasa bersedia mental dan fizikal. Namun, kesiapsiagaan itu tidak ada gunanya jika rakyat negara ini membocorkan rahsia tentera kepada pihak luar.
Sumber utusan
ReplyDeleteDedah rahsia pertahanan negara, gugat kredibiliti ATM
KUALA LUMPUR 7 Mac – Pendedahan maklumat berhubung keupayaan pertahanan negara akan menggugat kredibiliti negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta mendedahkan aspek keselamatan dan rahsia negara kepada pelbagai ancaman seperti jenayah, tohmahan dan fitnah.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, keupayaan pertahanan negara adalah rahsia yang perlu dipertahankan oleh setiap lapisan warga Malaysia yang mempunyai akses terhadapnya.
“Jika didedahkan pelbagai implikasi akan timbul termasuk menjejaskan kredibiliti negara dan ATM. Apa saja maklumat berkenaan kesiapsiagaan pertahanan adalah rahsia negara yang sepatutnya disimpan dan tidak dibincangkan, lebih-lebih lagi dibocorkan kepada pihak luar.
“Menjaga kerahsian negara adalah aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan oleh setiap rakyat di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas rencana tulisan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dalam Utusan Malaysia semalam yang bertajuk ‘Rahsia negara tanggungjawab bersama.’
Azizan berkata, pendedahan maklumat berhubung keupayaan dan rancangan aset-aset pertahanan negara sewenang-wenangnya, tanpa ada kesedaran tentang implikasi negatif terhadap kewibawaan ATM dan kemampuan pertahanan negara pada masa hadapan, tidak sepatutnya berlaku.
Mengulas lanjut, Mohd. Izani yang bersetuju dengan Azizan berkata, menjaga rahsia pertahanan negara bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa seperti polis dan ATM malah, ia perlu penglibatan setiap rakyat demi memastikan negara selamat daripada ancaman luar.
“Pendedahan rahsia negara umpama pucuk dicita ulam mendatang kepada musuh. Tiada mana-mana negara secara sukarela mendedahkan rahsia ketenteraan mereka, melainkan melalui tindakan pengintipan, sabotaj atau pengkhianatan.
“Secara sedar atau tidak, usaha keterlaluan dalam mempolemik serta mendedahkan perolehan dan keupayaan ATM, umpama mencemuh dan memperlekehkan pasukan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, penerapan nilai integriti dalam diri rakyat dan warga ATM perlu bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang peri pentingnya menjaga kerahsiaan pertahanan negara.
Membocorkan rahsia kekuatan/kelemahan ATM adalah merupakan salah satu dari beberapa faktor yang menyebabkan negara menjadi terdedah lemah (vulnerable) kepada ancaman luaran. Terdapat beberapa faktor lain yang menyokong kepada berlakunya vulnerability ini.Antaranya termasuklah rahsia pengurusan ekonomi, pengurusan pentadbiran negara malah profil dan "ideosyncrasies" (cara laku dan kelakuan) pemimpin juga diambil kira. Namun, kerana ATM menjadi tulang belakang kepada pertahanan negara, maka segala maklumat mengenainya (khasnya segala kelemahan yang dimilikkinya) yang dibocorkan kepada pihak ketiga oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab, menjadi satu "advantage" kepada pihak lawan.
ReplyDeleteDalam konteks ini, analogi yang diberi oleh PAT amat bertepatan sekali. Orang luar tidak akan tahu apakah sistem keselamatan yang disediakan untuk menentukan sesebuah rumah itu selamat dari gangguan luar kecuali penghuni di dalam rumah itu sendiri memaklumkannya. Begitu juga dengan urusan keselamatan dan pertahanan negara, hanya mereka yang peka dan sensitif mengenainya serta mempunyai tahap taat dan setia yang tinggi akan mengawal dengan cara cemburu segala maklumat mengenai keselamatan dan pertahanan negara.
Saya turut berasa simpati kepada Mohd Izani bin Mohd Zain daripada UPNM. Dalam usahanya untuk memberikan pendapat dan ulasan kepada rencana yang ditulis oleh PAT, pandangan beliau telah menerima kritikan yang tidak kurang pedasnya daripada bloggers yang tidak sependapat dengan pendirian kerajaan ataupun ATM. Mungkin tanggapan saya salah tetapi kritikan-kritikan tersebut mungkin dibuat secara "throwing two birds with one stone", ditujukan kepada rencana PAT dan juga rencana Sdr Izani.
Rahsia Ketenteraan Tanggungjawab Bersama.
ReplyDeletePembangunan Terancang atm kini memeberikan kesan yang sunguh mendalam kepada masyarakt jiran tetangga walaupun kita telah menyatakan ia adalah programe biasa sesebua negara berdasarkan keperluan. Kita tidak mcm setengah jiran kita pembelian kereta kebal PT-90 menyebabkan negara ini seperti ketakutan dan membeli helikopter Pemusnah kereta kebal. Pembelian Suk-30MKM Malaysia maka dibeli beratus F-16 sedangkan kita baru membeli beberapa sahaja. Kita telah nyatakan kita bukan negara penyerang kita hanya negara cegah rintang KECUALI kita di serang. Maka itu kita sebagai rakyat Malaysia Wajib dengan jatidiri dan semangat tidak sewenag-wenagnya mendedahkan gambar2 tertentu aset-aset pertahanan kepada luar.