Oleh MOHD. SAID SUNGIB
Sumber Utusan
Gambar:malaysia2c.com
TUGU Peringatan Negara yang lebih dikenali sebagai Tugu Negara Malaysia berdiri megah sejak 8 Februari 1966 sebagai simbol penghormatan negara kepada perajurit yang telah mengorbankan jiwa raga mereka bagi mempertahankan integriti, kedaulatan dan keamanan negara.
Menyingkap kembali sejarahnya, Kompleks Tugu Negara terawal yang ditegakkan oleh pihak Pentadbir British hanya berupa tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu (berdekatan bulatan Stesyen Keretapi Kuala Lumpur) bagi memperingati peperangan dan perajurit yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama (1914 hingga 1918) dan Perang Dunia Kedua (1939 hingga 1945) serta semasa Darurat (1948 hingga 1960).
Namun kini hanya tapak seluas 10 meter persegi yang tinggal kerana tiang asalnya telah dialih ke Kompleks Tugu Negara di kawasan Taman Tasik (berhampiran dengan bangunan Parlimen).
Dari segi spesifikasinya, Tugu Negara berdiri setinggi 15 meter dan diperbuat daripada gangsa. Ia direka oleh Felix de Weldon, seorang pengukir berbangsa Austria. Tugu ini menggambarkan sekumpulan perajurit di mana setiap rekabentuk patung gangsa tersebut menonjolkan ciri kepimpinan, keberanian, kekuatan, kesiapsiagaan, kegetiran, semangat setiakawan dan pengorbanan.
Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan kita turut berkibar megah dengan tiangnya digenggam erat oleh satu patung gangsa yang membawa maksud, cintakan negara mengatasi kepentingan peribadi walaupun nyawa ditukar ganti.
Rakyat Malaysia secara majoritinya tidak pernah lupa akan kewujudan Tugu Negara, apatah lagi di kalangan warga pasukan keselamatan kerana tugu tersebut amat sinonim dengan sambutan Hari Pahlawan pada tanggal 31 Julai setiap tahun.
Insiden yang berlaku ke atas Tugu Negara pada 26 Ogos 1975 masih terpampang jelas di fikiran rakyat Malaysia yang tahu menilai erti pengorbanan, keamanan dan cintakan negara.
Tindakan mengebom tugu tersebut oleh pihak pengganas komunis telah mencetuskan kemarahan meluap dan rasa kebencian terhadap anasir Parti Komunis Malaya (PKM).
Reaksi yang dipamerkan oleh masyarakat terhadap insiden tersebut amat jelas membuktikan bahawa Tugu Negara tidak dilupakan pada setiap detik selagi hayat dikandung badan.
Lokasi sambutan Hari Pahlawan yang dipindahkan dari Tugu Negara ke Putrajaya mulai tahun ini dan tiada lagi upacara meletakkan kalungan bunga dan bertafakur di hadapan tugu tersebut juga tidak melambangkan Tugu Negara semakin dilupakan.
Pindahan tersebut bertepatan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana agenda sambutan Hari Pahlawan di hadapan tugu sebelum ini bertentangan dengan syariat dan akidah Islam. Janganlah kita mempunyai pengertian yang meleset terhadap perubahan tradisi dan lokasi dengan merumuskan bahawa Tugu Negara semakin dilupakan.
Pasukan keselamatan tidak pernah melupakan Tugu Negara kerana ia terus kekal sebagai simbol perjuangan dan pengorbanan perajurit tanah air dalam mempertahankan kedaulatan negara. Tugu tersebut bukan sahaja menjadi salah satu mercu tanda negara malah menjadi bukti sejarah kepada generasi muda dalam menjiwai erti 'pengorbanan demi keamanan'.
Walaupun kerajaan dan pasukan keselamatan tidak lagi mengadakan upacara peletakan kalungan bunga dan bertafakur sempena lawatan pembesar negara-negara luar serta sambutan Hari Pahlawan di perkarangan tugu, ini tidak bermakna segala pengorbanan perajurit tidak dikenang atau dihargai dan tugu dilupakan. Jasa dan pengorbanan mereka sentiasa disemat dalam sanubari serta dikenang oleh kita.
Tugu Negara kekal disenaraikan sebagai warisan negara dan salah satu tempat menarik untuk dilawati atau dikunjungi oleh para pelawat asing dan tempatan. Simbol perjuangan dan pengorbanan ini terus berdiri megah - tak lekang dek hujan dan panas.
Pemergian mereka dalam lipatan sejarah menjadi pemangkin kepada semangat juang yang tinggi di kalangan pencinta tanah air terutamanya warga pasukan keselamatan.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka. Al-Fatihah!
No comments:
Post a Comment