Pages

Tuesday, September 21, 2010

TLDM PAMIR KEUPAYAAN DI LAUT CHINA SELATAN

Sumber Majalah Perajurit edisi sep 2010
Oleh Hamzah Hd




Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara terbahagi kepada tiga zon iaitu Pantai Timur Semenanjong yang berkeluasan 131,248 km persegi, Pantai Barat Semenanjong yang berkeluasan 74,469 km persegi, Perairan Sabah yang berkeluasan 65,436 km persegi dan Perairan Sarawak yang berkeluasan 63,518 km persegi. Sejak 20 September 1979, ketika Malaysia mewartakan kawasan sekitar 156 batu nautika dari Kota Kinabalu sebagai ZEE, pulau-pulau di Gugusan Semarang Peninjau (GSP) seperti Terumbu Layang – Layang, Mantanani, Ubi, Siput dan Peninjau telah dijaga dan diawasi sebilang masa oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) secara khususnya dan sentiasa berada dalam pengawasan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara umumnya melalui aset-aset permukaan yang sentiasa menunjukan kehadiran. Stesen-stesen utama dan kawasan sekitarnya yang kaya dengan sumber asli dari perut bumi dan pemakanan hasil laut juga turut menjana ekonomi negara yang bukan sedikit jumlahnya dan merupakan kawasan yang masih dalam dilema tuntutan bertindih dengan beberapa buah negara lain. Alasan ini menjadikan GSP sangat popular dan sentiasa terdedah dengan aktiviti-aktiviti pencerobohan nelayan asing, provokasi dan pengintipan perisikan negara yang berkepentingan dari permukaan, bawah permukaan dan udara sejak dahulu lagi. Aktiviti-aktiviti ini menjadikan TLDM sentiasa bersiapsiaga untuk menentukan wilayah tanggungjawabnya sentiasa dikawal dari segala anasir.


OSTEX/SUBFIX 2010

Operational Sea Training Exsecise (OSTEX) adalah merupakan aktitiviti latihan tahunan TLDM yang meliputi semua wilayah iaitu Timur dan Barat ZEE negara yang bertujuan untuk memastikan aset-aset TLDM sentiasa bersedia dalam menghadapi segala ancaman. Manakala Submarine Fleet Integration Training (SUBFIT) pula akan menguji tahap kesiagaan kapal selam dan menguji kepakaran pegawai dan anggota angkatan selam dalam mempertahankan negara menggunakan jentera peperangan bawah permukaan ini.

OSTEX/SUBFIX 2010 adalah merupakan gabungan latihan yang julung kali diadakan secara bersama dengan kapal selam pertama iaitu KD TUNKU ABDUL RAHMAN (KD TAR) yang telah berlangsung dari 29 Julai hingga 6 Ogos lalu di Perairan GSP. Eksesais kali ini dikoordinasikan oleh Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Dato’ Seri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin dan dibantu oleh Ketua Staf Markas Armada Laksamana Pertama Mior Rosdi bin Dato’ Mior Mohd Jaafar. Kesemua latihan dan pergerakan aset-aset yang terlibat dikawal oleh Kepten Syed Zahrul Putra bin Syed Abdullah TLDM.

Eksesais OSTEX / SUB FIT 2010 ini adalah antara eksesais terbesar TLDM tahun ini di mana 10 aset permukaan telah diatur gerak iaitu KD SRI INDERASAKTI (MPCSS), KD LEKIU (Frigat), KD LEKIR ( Korvet) , KD PERAK, KD TRENGGANU, KD PAHANG, KD KEDAH (Kapal Peronda Generasi Baru), KD MAHAMIRU, KD LEDANG (Kapal Anti Periuk Api) dan KD SRI GAYA ( Kapal Pengangkut Trup).

Latihan kali ini juga telah menguji tahap kecekapan pasukan Markas Udara TLDM, KD RAJAWALI di mana Skuadron Superlynx dan Skuadron Fennec turut diberi peranan bagi membuktikan kebolehannya melaksanakan operasi yang bukan sahaja melibatkan kapal, tetapi juga kapal selam. Latihan Hi-Line Transfer antara helikopter Super Lynx dan kapal selam KD TAR telah dilakukan. Skuadron 502 Fennec terlibat dengan latihan mencari dan menyelamat (SAR) waktu malam. Latihan ini bertujuan untuk menguji keberkesanan sistem alat pandang malam (NVG) milik Pasukan Udara. Skuadron 502 adalah satu-satunya pasukan udara di Malaysia yang mampu menjalankan operasi pada waktu malam.

PASKAL adalah di antara elemen strategik TLDM turut digerakkan dengan menjalani latihan penyusupan dan rampasan di pulau-pulau sekitar GSP. Latihan penyusupan dan rampasan pulau yang dijalankan oleh PASKAL telah menguji kesiagaan pasukan elit TLDM ini dalam mempertahankan kawasan perairan negara dari dicerobohi oleh pihak luar. Kecekapan dan kebolehan pasukan khas ini telah teruji bukan sahaja melalui latihan pada kali ini malah sejarah GSP menjadi saksi anggota PASKAL tidak pernah berundur walaupun setapak dalam senario sebenar ketika berhadapan dengan anasir-anasir penceroboh semenjak GSP di dalam fasa pembinaan di awal tahun 80an lagi. Hari ini PASKAL telah matang dengan pengalaman, keupayaan tempur dan memiliki peralatan canggih setanding dengan pasukan khusus yang terkenal di dunia.

Bagi melengkapkan persiapan dalam konteks peperangan maritim, elemen bawah permukaan menjadi agenda yang paling strategik kepada negara-negara yang mempunyai kapal selam. KD TAR yang sudah pun beberapa waktu membuat penyesuaian di dalam suasana laut tropika sudah bersedia untuk dipentaskan bersama aset-aset lain di dalam senario olah perang. Pelbagai latihan dijalankan untuk menguji KD TAR. Antara latihan yang akan dijalankan ialah Perintah, Kawalan dan Komunikasi di mana kapal selam, kapal-kapal perang dan pesawat akan berkomunikasi di antara satu sama lain dalam merancang dan menyampaikan arahan serta mengatur strategi bagi mengkoordinasikan sesuatu pergerakan atau serangan yang berlaku semasa situasi sebenar.

Sebelum itu KD TAR telah membuktikan keupayaannya apabila berjaya melancarkan misil bawah permukaan ke permukaan air jenis Exocet SM39 Blok 2. Misil tersebut telah mengenai sasaran permukaan statik yang berukuran 40 meter panjang pada jarak 40 km(22 batu nautika). Misil dilancarkan pada kedudukan KD TAR berada pada kedalaman 55 meter di mana suatu kedalaman yang sukar dikesan oleh sistem penderia bawah air oleh mana-mana kapal permukaan. Penembakan ini dilaksanakan sebagai sebahagian aktiviti kontrak ujian tropika. Penembakan ini juga bertujuan mengesahkan keberkesanan Misil Exocet SM39 Blok 2 dan keupayaan sistem persenjataan atau lebih dikenali sebagai SUBTICS KD TAR di kawasan laut beriklim tropika. Misil Exocet SM39 Blok 2 telah diperolehi dari negara Perancis pada pertengahan 2008. Ia merupakan peluru berpandu bawah permukaan ke permukaan yang mempunyai berat keseluruhan 2,100 kilogram, panjang 6 meter dan diameter 35 sentimeter. TLDM telah mula menggunakan misil jenis Exocet sejak tahun 1979 lagi yang bertujuan memusnahkan kapal permukaan bersaiz besar.

Dengan kejayaan ulung ini, secara tidak langsung TLDM telah membuktikan kepada khalayak tentang kemampuan anak watan mengendalikan aset secanggih Scorpene tidak sepertimana yang sering diperlekehkan oleh sebilangan rakyat Malaysia sebelum ini. Sekali gus menafikan persepsi khalayak yang mempersendakan kebolehan dan keupayaan kapal selam yang baru dibeli suatu pembelian yang merugikan kerana tidak dapat beroperasi setelah dibawa balik ke Malaysia.
Masa mendatang telah memberi satu sinar kepada armada TLDM khususnya kerana sekurang-kurangnya untuk melaksanakan Combined Anti Submarine Execise (CASEX) tidak lagi perlu menunggu kedatangan kapal selam negara lain sebagai elemen. Dengan beroperasinya dua buah kapal selam TLDM, bermakna kepelbagaian latihan bersama dapat direncana semaksima mungkin untuk mencungkil potensi taktikal secara optimum .
OSTEX/SUBFIT/2010 telah melibatkan lebih 1,000 orang anggota dan pegawai TLDM yang mana siri-siri latihan seperti ini dan banyak lagi latihan yang diadakan sepanjang tahun secara intra maupun latihan bersama tentera laut negara lain adalah bertujuan untuk menguji dan meningkatkan keupayaan dan keberkesanan peralatan, menilai kompetensi pemain olah perang di samping mewujudkan jalinan kerjasama dan setiakawan.

Dalam situasi ancaman yang tidak menentu di luar pesisir Laut China Selatan akhir-akhir ini, TLDM dengan berani menjadikan GSP sebagai medan memperagakan kekuatan pertahanan maritimnya. Ini jelas menunjukkan komitmen TLDM yang sentiasa bersedia mempertahankan wilayah tanggongjawab sedaya mungkin demi kedaulatan negara biarpun terpaksa berhadapan dengan bakal musuh yang lebih besar kekuatannya.
Dengan keluasan 334,671 km/per peraiaran negara, aset armada yang ada belum mencukupi untuk menjaga dengan baik bermakna kerajaan perlu menyediakan lebih banyak lagi aset armada bagi memungkinkan TLDM melaksanakan tugasnya dengan lebih berkesan. Perolehan aset kombatan yang menjurus kepada peperangan anti kapal selam adalah lebih relevan kerana iklim semasa melihat kecenderungan negara-negara serantau kelihatan berlumba-lumba mempersiapkan armada masing-masing dengan perolehan kapal selam. Untuk menyatakan keperihatinan dengan semangat Sedia Berkorban TLDM, kerajaan seharusnya tidak melengah-lengahkan perolehan kerana masa aman adalah masa untuk berlatih dan persiapkan kelengkapan perang. PERAJURIT

2 comments:

  1. Tapi...satu demi satu wilayah negara jatuh ke tangan orang...tanpa senjata pun.

    ReplyDelete
  2. itu zaman dolah bodohwi....semua tahu dia tu tak tau apa2..hanya guna remote control tadbir negara...sebab tun BN jatug 5 negeri + wliayah jadi 6...negeri tempat di alahir pun bungkus kat DAP.. aduh malu dpt pm terlelap mcam dia tu...

    ReplyDelete