Pages

Tuesday, June 1, 2010

Tudm rancang miliki pesawat canggih

Sumber utusan

KUALA LUMPUR 31 Mei - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang memiliki beberapa jenis pesawat tempur baru bagi mengukuhkan lagi pasukan itu sejajar dengan perkembangan teknologi dan usia TUDM yang menjangkau 52 tahun esok.

Panglima TUDM, Jen. Datuk Seri Rodzali Daud berkata, satu pasukan penilaian telah ditubuhkan bagi mengkaji beberapa jenis pesawat yang telah dikenal pasti dalam usaha memiliki aset canggih sejajar dengan peredaran semasa.

Beliau berkata, antara pesawat yang diteliti ialah F/A-18E/F Super Hornet buatan Amerika yang dianggap mempunyai keupayaan multi role combat aircraft (MRCA) iaitu mampu melakukan tugas dari udara ke udara dan udara ke bumi.

"Sesuai dengan perkembangan semasa dari segi teknologi dan pemodenan aset, TUDM sememangnya memerlukan pesawat berteknologi terkini untuk membolehkannya bersaing dengan pesawat negara-negara lain di rantau ini," katanya kepada Bernama dalam wawancara khas sempena sambutan ulang tahun TUDM ke-52 esok.

Namun, TUDM tidak memfokuskan hanya kepada pesawat F/A-18E/F Super Hornet sahaja sebaliknya turut mengkaji beberapa pesawat lain seperti Gripen dan Eurofighter yang dianggap pesawat berteknologi tinggi dalam kelasnya yang tersendiri.

Katanya, pasukan penilaian itu turut ditugaskan untuk meneliti beberapa aspek sebelum sesuatu perolehan pesawat dibuat seperti keupayaan pesawat, sokongan alat ganti, kos dan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan.

"TUDM mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pesawat F/A-18D dan kita sedang mengkaji faktor keupayaan pesawat F/A-18E/F Super Hornet yang lebih canggih daripada pesawat itu," katanya.

Beliau berkata, walaupun pihaknya sedang meneliti pesawat-pesawat canggih yang lain, namun pesawat yang sedia ada tidak diabaikan termasuk pesawat tempur SU-30 MKM yang mana pesawat terbabit boleh membuat pelbagai penugasan strategik dan taktikal udara dengan berkesan.

"TUDM telah pun memiliki dua pesawat MRCA iaitu F/A-18D dan SU-30MKM, kedua-dua pesawat ini sememangnya berkemampuan untuk menjaga ruang udara negara dan kita sedang merancang untuk menukarkan pesawat-pesawat bukan MRCA kepada keupayaan MRCA," jelasnya.

Ditanya mengenai fungsi pesawat MiG-29, Rodzali berkata, pesawat berteknologi 80-an itu masih berkemampuan dan relevan terutamanya di rantau ini dan fungsi pesawat itu kini adalah sebagai Pesawat Pemintas dan Pertahanan Udara.

No comments:

Post a Comment