Sumber utusan
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
Gambar NASIRRUDDIN YAZID
REJIMEN Artileri Pertahanan Udara yang merupakan salah satu daripada tonggak kekuatan Tentera Darat (TD) sekali lagi mempamerkan kekuatan dan keupayaan mereka dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara melalui Eksesais Panah Jaguh 1/2010.
Kawasan Lapang Sasar Bumi ke Udara berkeluasan 105 hektar milik kerajaan negeri Johor di Tanjung Logok, Mukim Kembau, Kota Tinggi, menjadi saksi keunggulan sistem persenjataan Rejimen Artileri Pertahanan Udara negara.
Lapang sasar itu merupakan satu-satunya lapang sasar yang boleh digunakan untuk latihan tembakan sistem persenjataan Artileri Pertahanan Udara.
Eksesais tahunan yang berlangsung selama 12 hari baru-baru ini merupakan eksesais khusus bagi latihan tembakan peluru dan misil hidup yang disertai seramai 1,100 anggota dan pegawai daripada pasukan Rejimen Artileri Pertahanan Udara.
Ia merangkumi unit pertahanan udara dan daratan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada pasukan 361 Rejimen Artileri Diraja (RAD) Para, PPU Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Skuadron 401 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Antara sistem persenjataan yang digunakan sepanjang latihan itu adalah meriam 35mm Oerlikon, radar Skyguard, pelancar berganda bersaiz ringan (LML) Starburst, radar Giraffe, pelancar bahu misil Igla, radar TRML 3D dan pelancar bahu misil Anza MK-II.
Turut digunakan dalam latihan itu adalah sistem persenjataan Rejimen Artileri Pertahanan Udara Jernas yang meliputi radar pengesan, radar penjejak, pelancar misil Jernas dan Misil FN-6 yang baru memasuki inventori TD.
Selepas berjaya melaksanakan latihan menembak pada tahun 2006, 2007 dan 2008, Panglima Rejimen Artileri Pertahanan Udara, Mejar Jeneral Datuk Husin Md. Tahak menamakan semula latihan menembak misil hidup (LIVEX) sistem persenjataan Artileri Pertahanan Udara sebagai Eksesais Panah Jaguh.
Sejajar dengan wawasan Artileri Pertahanan Udara, eksesais kali ini menetapkan beberapa objektif antaranya melaksanakan eksesais tahunan dalam semua keadaan cuaca termasuk tembakan pada waktu malam dan melaksanakan ujian tembakan ARTEB pasukan 32 RAD.
Selain itu ia juga bertujuan membantu penuntut kursus PM/SMT (PU) PUSATRI menjalankan latihan menembak peluru hidup dan menguji peserta mempertingkatkan Perintah Tetap Operasi.
Eksesais Panah Jaguh yang dilaksanakan itu terbahagi pada tiga peringkat iaitu simulator dalam kumpulan, mengesan dan menenang sasaran, latihan menembak peluru dan misil hidup sasaran udara.
menggunakan simulasi
Latihan mengesan dan menenang sasaran yang menggunakan simulasi serangan udara oleh pesawat Agusta daripada 881 Skuadron dan Hawk 200 daripada 6 Skuadron TUDM serta latihan menembak peluru misil hidup menggunakan sasaran udara jenis towed dan drone.
Eksesais kali ini turut disertai Pusat Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) yang berperanan menganalisis aspek balistik peluru dan misil yang ditembak.
Latihan kali ini turut melakar sejarahnya tersendiri apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Darat ketika itu, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin hadir untuk menyaksikan sendiri keupayaan pasukan berkenaan dalam melaksanakan eksesais tersebut.
Keprihatinan pucuk tertinggi pemerintahan dalam menentukan aspek kesiapsiagaan serta kredibiliti pasukan tersebut yang dilengkapi dengan aset-aset pertahanan udara yang canggih dapat memberikan motivasi kepada anggota serta pegawai tentera untuk terus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pencerobohan keselamatan negara.
Ahmad Zahid ketika ditemui berkata, latihan seperti ini adalah satu keperluan bagi memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya pencerobohan keselamatan ruang udara negara.
Selain itu, beliau berkata, ia juga sebagai medan untuk melatih para anggota dan pegawai bagi membolehkan mereka mengendalikan setiap senjata yang dimiliki.
"Ia juga bertujuan melihat sama ada senjata yang dimiliki masih boleh berfungsi sepenuhnya kerana setiap alat persenjataan memiliki jangka hayat dan ia perlu digunakan secara optimum," katanya.
Meskipun kos untuk pengurusan senjata yang digunakan pada waktu ini adalah sangat tinggi tetapi beliau berkata, aspek pertahanan udara bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh sebaliknya perlu diberikan penekanan serius.
Beliau berkata, negara perlu bersedia pada setiap waktu dari segi anggota dan teknologi persenjataan bagi mengelak daripada berlaku sebarang musibah yang tidak diingini.
Panglima Rejimen Artileri Pertahanan Udara, Mejar Jeneral Datuk Husin Md. Tahak berkata, eksesais berkenaan bertujuan melihat serta menilai keberkesanan sistem persenjataan yang dimiliki negara pada waktu ini selain melihat sejauh mana kesempurnaan fungsinya.
Jelasnya, setiap senjata dan peluru memiliki tarikh luputnya dan ia perlu sentiasa diuji bagi memastikan ia boleh digunakan secara optimum.
"Kebiasaannya setiap senjata memiliki jangka hayat maksimum 10 tahun dan selepas tempoh berkenaan tiada sebarang jaminan ia akan berfungsi dengan baik dan melalui eksesais ini kita dapat melihat sama ada ia berfungsi dengan baik atau tidak.
"Sebagai contoh, ujian tembakan complete round proof (CRP) misil Starburst berjaya dilaksanakan dengan sempurna meskipun usianya sudah melebihi 15 tahun," jelasnya.
Beliau berkata, pada sesi latihan kali ini mereka berhadapan dengan masalah ketepatan kerana sesetengah senjata yang digunakan bergantung sepenuhnya pada haba yang dibekalkan dan sekiranya haba dibekalkan tidak mencukupi tembakan yang dilepaskan akan tersasar.
Selain itu, para anggota dan pegawai yang terlibat juga berhadapan masalah untuk mengendalikan senjata kerana cuaca terlalu panas selain masalah pada sistem persenjataan itu sendiri.
"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa sasaran dalam latihan dan dunia sebenar adalah berbeza dan ia merupakan faktor utama tembakan yang dilepaskan tidak mengenai sasaran. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan eksesais kali ini," katanya.
Beliau juga menegaskan, sistem pertahanan udara tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah sesuatu yang sangat penting dalam usaha untuk mempertahankan negara daripada dicerobohi.
Jelasnya, pada fasa pertama sesebuah peperangan, pihak musuh akan melakukan serangan awal melalui udara bagi memusnahkan segala radar dan sistem komunikasi yang terdapat di kawasan berkenaan sebelum diteruskan ke fasa berikutnya.
"Oleh itu sistem pertahanan udara adalah sangat mustahak untuk mempertahankan sesebuah negara dan ia perlu sentiasa diberikan perhatian," katanya.
No comments:
Post a Comment