Pages

Tuesday, May 18, 2010

PBB terus iktiraf Pasukan Perubatan ATM


KUALA LUMPUR 11 Mei - Tahap profesionalisme Pasukan Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila diberi kepercayaan untuk meneruskan misi di Sahara Barat selama enam bulan lagi.

Misi kali ini adalah menyediakan bantuan perubatan kepada pasukan keselamatan PBB yang bertugas di negara bergolak itu dan pada masa yang sama turut menawarkan rawatan kecemasan kepada penduduk negara itu.

Lebih menarik, pasukan dengan kekuatan 20 anggota diketuai Leftenan Kolonel Dr. Rosli Kolob itu turut disertai seramai sembilan pegawai perubatan wanita menjadikan ia misi di Sahara Barat yang paling ramai disertai anggota wanita.

Menurut Ketua Staf Markas Angkatan Bersama (MAB), Laksamana Muda Datuk Jamil Osman, selain itu, pasukan tersebut yang akan berlepas ke Sahara Barat malam esok juga bakal terlibat dalam projek jiwa murni untuk membantu masyarakat setempat.

"Pasukan Malaysia mempunyai asas kekuatan sedia ada memandangkan negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Pengalaman itu mampu memberi nilai tambah yang proaktif dalam membantu pasukan ini berinteraksi dengan masyarakat setempat.

"Ini adalah pengiktirafan berterusan PBB kepada negara dan juga ATM. Jadi, tahap profesional tertinggi ini perlu dikekalkan walaupun kita sedar cabaran dan risiko keselamatan yang tinggi di negara itu,'' katanya semasa berucap merasmikan penghantaran pasukan itu di Markas MAB di sini hari ini.

Tambahnya, cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh pasukan perubatan tersebut antaranya cuaca padang pasir yang ekstrem berbanding persekitaran iklim tropika di negara ini.

Selain itu katanya, Sahara Barat adalah sebuah negara yang berdepan dengan sejarah pergolakan politik yang panjang sehingga menjadikan persekitarannya sentiasa berisiko kepada pasukan keselamatan.

Sementara itu, bagi anggota wanita, Pegawai Waran 1, Zarinah Yatimin, perbezaan gender bukan penghalang baginya untuk menjayakan misi negara.

"Tugas ini adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin tanpa mengira sama ada kita anggota wanita atau lelaki kerana misi kami membawa nama dan imej ATM serta Malaysia.

"Sebagai ibu dan isteri memang terasa berat hati untuk pergi tetapi bagi seorang anggota tentera, pengorbanan ini bukan menjadi persoalan yang besar kerana kami semua telah bersedia,'' katanya.

Bagi Kapten Dr. Juhanis Safira Johari pula, beliau gembira terpilih mewakili negara untuk bertugas di bawah payung PBB.

Jelasnya, walaupun tugas kali ini menyebabkan beliau terpaksa buat pertama kali berhari raya jauh daripada keluarga, ia sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk menabur bakti kepada ATM dan masyarakat antarabangsa.

"Saya sebenarnya berbangga terpilih dan tidak timbul langsung soal sedih kerana saya lahir dalam sebuah keluarga yang terlibat dalam bidang ketenteraan,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment